PAYAHNYA BERSAHUR
Ketika bersahur itu
menjadi penguat kepada mereka yang berpuasa, ramai yang kurang mengambil endah
terhadap sunnah kecil itu, akibatnya belumpun sampai separuh hari berpuasa
sudah ada yang merungut lapar, letih serta dahaga. Agaknya, mereka tidak
perasan atau sedar bahawa Nabi saw telahpun berpesan: ‘Bersahurlah kamu!,
kerana di situ mempunyai barokah’
Setiap pesan Nabi saw itu ada terdapat
implikasi dan aplikasinya terhadap rutin harian dalam kehidupan. Berpuasa
bukanlah sekadar menahan perut daripada makan atau minum, jauh dari sudut itu
adalah bagaimana kita mengejar kesempurnaan dalam mengerjakan ibadat tersebut. Ya,
dalam semua perkara kita mahukan yang perfect, mengapa pada puasa kita
tidak mahu berlumba dan berusaha ke arah yang terbaik?
Walaupun jika anda tidak
bersahur itu tidaklah membatalkan puasa anda, namun tanpa sedar ia sudah
mengurangkan salah satu objektif berpuasa, iaitu bangun di awal pagi dengan
tujuan beribadah. Maksud Nabi saw pada perkataan barokah bukanlah semata-mata pada makan sahur tetapi
juga pada ibadat yang lain sebelum bersahur seperti bertahajud, bertadarus dan
sebagainya.
Di zaman sahabat
dahulu, walaupun hidangan bersahur sekadar buah tamar (kurma) dan segelas susu,
mereka tidak pernah meninggalkannya, pada mereka bersahur bukanlah kerana nanti
tidak tahan menanggung lapar di siang hari, tetapi mereka mengamalkannya untuk mengejar
barokah yang telah Nabi saw pesankan. Sungguh berbeza di zaman sekarang,
kalaupun dihidangkan dengan sehebat manapun makanan, jika rasa mengantuk sudah
menguasai, ‘say good bye’ saja pada makanan tersebut, yang penting hajat
mata harus didahulukan.
0 Responses so far.
Post a Comment