Bicara cinta kali ini sedikit berbeza.

Biasanya, jika kita disayangi seseorang kita pasti dapat apa yang kita hajati daripadanya. Biasanya jika kita disakiti sesorang, bermakna orang itu tidak lagi menyayangi kita.

Kita hendak yang itu tapi tak kesampaian – kita kecewa

Kita mahukan yang itu tapi dapat yang ini – kita marah

Semuanya hanya berkisar apa yang kita hendak, dalam masa yang sama kita tak terfikir apa yang kita perlukan. “hendak” itu barangkali datangnya dari nafsu tetapi “perlu” itu adalah satu tuntutan.

Ada kebaikkan yang datangnya dari jalan kemanisan. Itu lumrah. Ada orang mendapat duit yang banyak tanpa perlu bekerja keras, ada orang berlainan pula jalannya. Dia bekerja keras tetapi pulangannya hanya sdikit, tapi dia tetap beroleh duit. Walaupun jalan datangnya yang pelbagai, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk mendapatkan duit.

Adakala, kebaikkan itu datang dari jalan kesakitan, kebahagiaan itu muncul daripada sebuah penderitaan. Cumanya ramai yang tidak sempat sampai kepada fatrah kebahagiaan akibat gugur di pertengahan jalan kesakitan, sedangkan jika ia bertahan sedikit masa lagi ia boleh mencapai kebahagiaan yang diinginkan.

Adakah tidak mustahil jika ALLAH sayangkan seseorang itu lalu ditimpakan sedikit kesusahan? Kita seringkali tidak terdengar, acapkali ALLAH taala berbisik begini:

“Sabarlah wahai hamba-Ku, sedikit masa lagi engkau akan bahagia...”


BANDINGAN SYUKUR DAN NIKMAT

Sejak kecil lagi kita diajar agar berterima kasih jika mendapat pemberian. Rasa janggal jika tidak berterima kasih apabla orang memberi sesuatu kepada kita.

“Along dah cakap terima kasih pada uncle ke belum?” ujar si ibu mengingatkan anaknya.

“Terima kasih uncle, bagi saya gula-gula,”

Lafaz itu mudah tetapi berat hendak diucapkan, sedangkan kita ini hamba yang wajib menuturkan kata-kata itu setiap hari.

Sekalipun kita terlupa atau ‘sengaja lupa’ dengan ucapan itu, Allah tak pernah berkecil hati apatah lagi marah. Bahkan adakalanya Dia menambah lagi nikmat dengan harapan hamba-Nya akan bersyukur suatu hari nanti.

Namun, inilah manusia, fitrahnya lupa. Lupa dirinya seorang hamba. Apabila dia tidak kenal siapa identiti dirinya dia juga tidak akan kenal siapa tuannya, jauh sekali jika dia ingin berterima kasih. Akhirnya, segala musibah yang melandanya akan ditafsirkan sebagai kebencian Allah terhadap dirinya. Sedangkan ALLAH Cuma mahu menguji tanda sayang.

Sesekali cubalah tanya ke dalam diri, berapa banyakkah ‘hadiah’ yang telah diberikan oleh ALLAH kepada kita berbanding ucapan terima kasih yang telah kita lafazkan. Barangkali satu nisbah sepuluh.

Jangan ditanya soal dosa yang telah kita buat dulu. Hitung dahulu setinggi mana kesyukuran kita. Jika mahu diikutkan logik, syukur kita sebagai hamba mestilah dua kali ganda daripada nikmat yang ALLAH berikan. Jika 1 nikmat yang ALLAH beri, kita mesti mengucapkan dua kali terima kasih, barulah berbaloi kita bergelar hamba.

Cuba kita semak semula, adakah ini yang berlaku pada kita?

Kita terlupa bersyukur, tetapi rezeki kita masih tidak terputus.

Kita terlalai, tetapi kesihatan kita masih berpanjangan.

Kita terbuat dosa, tetapi doa kita masih dimakbulkan.

Dengan sekian banyak kelebihan yang ALLAH kurniakan, masih ada alasankah untuk kita tidak bersyukur?

“Ya Allah, rupa-rupanya aku belum layak bergelak hamba-Mu..”

 sebagai introspeksi, cuba renungkan kisah dibawah,

“DENGARLAH WAHAI HAMBAKU...”

Wang syiling jatuh di hadapan seorang lelaki yg sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu,tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama,tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya. Dia menyambung semula kerjanya.

Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya.Lelaki itu menoleh ke kiri, kanan dan disekelilingnya. Tiada siapa yg berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya.

Tidak lama kemudian,lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama,dia mengambil dan menyimpannya. “Rezeki aku!” kata lelaki itu dalam hati. Lelaki itu tidak sedar, logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yg mereka bina itu.

Sebenarnya ,ketuanya mahu memanggilnya.Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu.Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan,cuba memanggil lelaki itu yg berada pada aras paling bawah.

Namun, jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut. Dek kerana itulah, ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas.Mudah-mudahan,dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.

Sayangnya, sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah, lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.

Lantas, ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai. Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah. Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu. Setelah merasa sakit dan terganggu, lelaki itu mendongak ke atas, melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yang menyerangnya tadi.

Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yang sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.


“TERIMA KASIH ALLAH...”

kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta. Tanpa sedar, Allah sering menjatuhkan ‘syiling’ lambang rezeki, rahmat atau kesenangan yang tidak terkira banyak kepada kita.

Tuhan menjatuhkan ‘syiling’ itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya. Tetapi, kita acap kali lalai untuk ‘mendongak’ ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.

Seperti kisah ketua dan pekerja tadi,apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian, lalu Dia jatuhkan pula ‘batu’ yg berupa musibah, kegagalan, keperitan dan pengalaman yang menyakitkan.

Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu, barulah kita teringat untuk mendongak, menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita..

_________________________________

Nota Kehidupan (1): isteri saya seorang yang kasihkan kucing. Dalam kereta kami ada sebekas makanan untuk dia berikan pada kucing-kucing yang dia jumpa. 

Nota Kehidupan (2): Eidul-Adha ini adalah raya yang pertama saya bersama isteri.

[Usah Jemu Membei]

4 Responses so far.

  1. Suka perumpamaan syiling, sangat terkesan! mabruk !! :)

  2. Hi, saya Jamil, Personal Wellness Coach dengan Herbalife. Jika anda berminat untuk turunkan atau naikkan berat badan, atau hanya nak kekalkan kesihatan badan, saya boleh membantu. Call/sms/whatsapp 012-2570677

  3. terima kasih atas motivasi tersebut..terkesan sangat..

  4. UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT