KISAH 1

“Kita nak ke mana ni, abang?” soal Siti kehairanan. Sedari tadi dia tidak tahu arah tuju pemanduannya.

“Ada la, Siti terus je, kemudian masuk ke kiri, lepas traffic-light Siti masuk ke lorong kanan” Arah Azman kepada isterinya. Sesekali dia menoleh ke arah isterinya yang sedang memandu sambil mengukir senyum kecil.

Sambil memerhatikan selekoh, Siti memperlahankan sedikit kereta apabila melalui kawasan orang ramai yang sedang menunggu bas, bimbang terlajak ke selekoh yang lain. Dia perasan, orang ramai yang sedang menunggu bas memandang ke arah mereka. Siti tidak menghiraukan reaksi itu, mencari selekoh adalah yang lebih utama.

Azman juga perasan akan situasi itu, tapi dia hanya tersenyum. Dia sudah lali dengan tanggapan orang. Dia tidak peduli semua itu. Bahagia yang ada padanya sekarang bukan diambil atau ‘dibeli’ daripada orang lain, dia yang binanya sendiri. Sekalipun apa yang digapai sekarang berlainan daripada rutin, itu  bukan sebab untuknya merasa kekok atau malu.

“Ini ke lorongnya, abang?”  ujar isterinya menyedarkan daripada lamunan seketika.

“Aaaaa? Apa dia sayang?”

“Abang berangan ye? Fikir apa tu?” soal Siti melihat Azman terpinga-pinga.

“Abang rasa, semua orang kat luar tengah tengok kita. Macam tengok hantu!” seloroh Azman.

“Kenapa, abang?”

“Mana ada pasangan macam kita, isteri jadi driver, suami jadi cheff!”

Mereka berdua serentak ketawa. Mata mereka saling bertentang, sambil hati terdetik:

‘Asalkan kami bahagia!’


KISAH 2

“Abang. Bawang ni nak potong halus-halus ke?” Tanya Siti, tangannya memegang 3 ulas bawang merah yang sudah dikupas kulitnya.

“Bawang ni Siti potong besar-besar je sebab abang nak bland,” arah Azman sambil sibuk mengacau kuah Gulai Lemak Cili Api di atas dapur.

“Lagi, abang?”

“Udang tu Siti buangkan kepalanya je, Kailan pula ambil daunnya, batangnya ambil yang lembut-lembut, yang keras buang,” ujar Azman. Siti pantas menyiapkan bahan-bahan yang diminta oleh Azman.

“Baunya mengancamlam, bang. Tak sia-sia abang kahwin dengan Siti. Kalau Siti kahwin dengan orang lain, setiap hari makan di restoranlah jawabnya,” Siti berseloroh, menghidupkan suasana sunyi di dapur. Azman dari jauh tergelak kecil.

“Áda-ada aje isteri abang ni,”

Mereka baru saja melangsungkan pernikahan, 3 bulan lalu mereka Cuma sepasang kekasih seperti orang lain. Mereka sudah berjanji, apapun yang berlaku dalam perkahwinan nanti, mereka harus melaluinya bersama.

Ternyata ia meleset, mereka menyangka kelainan yang bakal mereka lalui itu akan menyusahkan namun lain pula yang berlaku, mereka lebih bahagia berbanding pasangan-pasangan yang lain, Azman selesa bertugas di dapur dan Siti pula seronok menjadi pemandu kereta.

Ah, gila bukan? Tak mengapa, gila tapi tak berdosa.

“Orait lauk semua dah siap, jom kita makan!’ laung Azman dari dapur.

“Abang!!” ujar Siti cemas.

“Kenapa sayang?”  balas Azman cuak.

“Nasi belum masak lagiiiii…”

Pecah keheningan dapur dengan hila-tawa mereka. Tengahari itu, mereka menyudahkan makan tengahari yang sepatutnya telah berstatus minum petang. Pelik!

‘Asalkan kenyang!’

‘Asalkan bahagia!’


TIDAK KIRA APA JUA CARANYA

Kadangkala, bulan harus menjadi matahari yang memancarkan cahaya di malam hari tanpa mengganggu tugas si matahari. Adakalanya, angin harus menjadi awan yang menyejukkan bumi tanpa menggangu tugas si hujan.

Kita ada tugas tersendiri, namun adakalanya memaksa kita melakukan tugas orang lain demi kemaslahatan. Masing-masing mahu mencari kebahagiaan, apa salahnya kita bekerjasama?

Dunia memang dipenuhi dengan pelbagai kehairanan dan kepelikkan, selagi tidak melanggar Sunnatullah dan garisan dosa pahala, ia tidak menjadi kesalahan.

Menteri mesti menjadi rakyat bila perlu,
Ayah boleh menjadi keanak-anakan,
Pelepah kelapa boleh menjadi bumbung,
Buluh boleh menjadi tiang atau rakit,
Kereta boleh mengambil alih tugas bas,
Sudu boleh menjadi pisau,
Suami boleh lakukan tugas isteri,
Isteri boleh buat kerja suami,

Tanpa mengganggu sesiapa, kita boleh menjadi apa saja, asalkan untuk bahagia!

Suami mesti akan seronok jika mempunyai isteri yang selalu pergi ke kedai untuk mencari barang keperluan dapur sendiri dan mengambil anak-anak pulang dari sekolah bila tiba waktu petang.

Isteri juga gembira jika memiliki seorang suami yang suka mengemas rumah apabila tiba hujung minggu, mencuci dan melipat kain baju.

Alangkah bertuahnya seorang bos yang memiliki pekerja yang berjiwa bos, ketika ketiadaan bos dia mampu menjalankan tugas seperti seorang bos.

Alangkah baiknya jika kita mempunyai seorang adik perempuan yang penyayang seperti seorang kakak. Ketika kita mengidam kek coklat, dialah yang bersusah payah membuatnya untuk menunaikan hajat kita.

Paling-paling tidak, pertukaran dan kepelikkan ini menghasilkan kebaikkan dan tidak menyusahkanpun.

Di Negara arab, jika ada pasangan suami isteri yang jalan beriringan untuk ke mana-mana, suami yang akan mendukung anak bukannya isteri. Memang pelik, tetapi itulah cara mereka mengusahakan kebahagiaan.

Formulanya begini:

A takkan menjadi E, tetapi sesekali A boleh bekerja sebagai E tanpa mengganggu tugas O.

Betul ke?

Ada orang sebut ‘kenapA’, ada orang sebut ‘kenapE’, dan ada yang menyebut ‘kenapO’.

(",)
_______________________________________

Nota Kehidupan (1): Sejak menikahi gadis Terengganu, saya sudah merasakan yang Negeri Keropok Lekor itu seperti dekat, orangnya pula dekat di hati.

Nota Kehidupan (2): Ramai orang menyangka untuk melakukan sesuatu harus dimulakan dengan PERSEDIAAN, oleh kerana ramai yang memandang persediaan sebagai ‘nyawa’ sesuatu perkara, lalu mereka takut mencuba atas alasan belum bersedia. Sebenarnya, jika nak buat sesuatu hanya perlu dimulakan dengan TINDAKAN, persediaan akan datang kemudian secara automatik!

Kahwin dulu, nanti kita akan termatang secara paksa!

['Kalau Tuhan yang dicari, hidup akan lebih dihargai, usah jemu memberi']

Blog Kehidupan