semasa

Idea oleh Mohd Afiq Mohd Saleh Friday, August 29, 2008 at 9:22 PM 0 Comments

INUL DARATISTA vs AVRIL LAVIGNE


Belum pun selesai artikel berkenaan kemenangan di Permatang Pauh, saya rasa terpanggil untuk mencoretkan isu ini. Saya ketepikan sebentar isu Anwar, untuk meneliti dan memberi pandangan pada isu ini. Ini kerana isu yang lebih dekat kepada pencabulan maruah agama dan bangsa harus didahulu dan di kehadapankan perbincangannya.

Pada Awalnya saya merasa tersangat lega ketika Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KEKWA) memutuskan Konsert Avril itu dibatalkan, fikir saya, wajarlah ia dibatalkan kerana menghormati sensitiviti majoriti umat Islam di Negara ini, lebih-lebih lagi kita semakin hampir dengan sambutan kemerdekaan yang ke 51, namun tekaan saya jauh tersasar, pembatalan itu rupanya di sebabkan pihak penganjur tidak memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh KEKWA, iaitu kelewatan memohon permit. Kalaulah demikian, sekiranya pihak pihak penganjur “cepat” memohon permit, maka konsert itu bolehlah dilangsungkan tanpa mengira sensitivity mana-mana pihak walaupun Negara kini sedang melaungkan semangat merdeka, yang kononnya mahukan rakyat Malaysia membudayakan nilai-nilai kebangsaan dan adat ketimuran.

Kalaupun konsert itu kononya tidak mahu melanggar adat ketimuran dan mencemarkan bahang kemerdekaan, sekurang-kurangnya Pemimpin/Jemaah menteri ( yang beragama Islam) menghormati kedatangan Bulan Mulia Ramadhan al-Mubaraq dan sebahagian besar umat Islam di Malaysia. Tetapi kedua-dua sebab itu cukup penting, persoalannya siapa AVRIl itu, adakah dia dilahirkan di Malaysia? Pernahkan dia mengetahui tentang adat-adat dan budaya ketimuran jauh sekali tentang nilai-nilai keagamaan (Islam).

Peribadinya, Sekiranya konsert itu dilangsungkan juga, pertamanya AVRIL telah mencemarkan kedatangan Bulan Ramadhan yang akan menjelma hanya beberapa hari lagi, dan ini adalah satu penghinaan kepada warga Malaysia yang beragama Islam. Keduanya, jemaah menteri telah menafikan sikap mereka yang mengatakan mereka tidak mahu rakyat Malaysia dipengaruhi oleh budaya barat. Ketiga, ekoran daripada kelulusan semula konsert itu, maka saya amat yakin selepas ini, akan disusuli pula dengan konsert-konsert bersifat ala-ala kebaratan oleh penganjur lain, alasannya begini “kalau konsert AVRIL boleh diluluskan kenapa konsert kami tidak?”, mudah dan senang sahaja bukan. Seterusnya, jangan lambat atau lewat memohon permit, maka konsert akan diluluskan.

Justeru, apa bezanya dengan pembatalan konsert INUL tempohari? Kalau mahu dilabelkan antara INUL dan AVRIL, kedua-duanya sama sahaja, tidak langsung menunjukkan budaya yang bertepatan dengan nilai-nilai Timur, Islam jauh sekali. Namun, mungkin kerana kerajaan Malaysia lebih bersikap pandang ke hadapan dan terbuka, konsert AVRIL boleh diluluskan tetapi INUL tidak. Bagi mereka mungkin kita boleh mempelajari cara seni muzik yang moden dan baru untuk diadaptasikan dalam seni muzik di Malaysia. Yelah, kalau tidak berpandangan terbuka, kita akan dikatakan jumud. Betulkah??

Akhirnya, para mufti pun setakat ini tidak pula saya mendengar mereka bersuara. Yang di utara pun tidak yang di selatan jauh sekali. Soal sumpah laknat, mubahalah, muqabalah dan sebagainya cepat sahaja dikupas dan dicanang-canangkan hukumnya, sedangkan itu tidaklah sangat melibatkan masalah yang serius, cukuplah ditanya pendapat pada seorang agamawan sahaja untuk menjelaskan perkara itu. Tetapi bila timbul soal HARAM dan HALAL yang melibatkan kepentingan “orang besar-besar”, tidak seorang pun yang menawarkan diri untuk menyatakan hukumnya. Takkan mahu disuruh, baru bertindak? Kata Nabi s.a.w. HARAM dan HALAL itu bayyin (jelas). Hukumnya telah sedia ada, cuma yang tinggal hanyalah untuk di ungkapkan dan diberitahu kepada masyarakat sahaja. Sebenarnya, tentang menyatakan sesuatu itu HALAL atau HARAM adalah tugas siapa? Orang yang berjawatan dalam agama atau penjual goreng pisang? Cukup untuk kita fikir-fikirkan…

Saya teringat kembali pada peristiwa ngeri yang menimpa umat Islam di Acheh satu ketika dulu, sambutan awal tahun baru serta-merta dibatalkan dan digantikan dengan tahlil doa selamat. Tsunami ketika itu memang memberikan kesan mendalam terhadap umat Islam dan pimpinan kerajaan justeru itulah doa selamat diadakan. Rupanya pemimpin hadhari ini tahu ada ketikanya ALLAH itu marah, lalu terus dibatalkan konsert tahun baru yang lazimnya menjadi agenda tahunan Negara. Jelas di situ kita lihat, kerajaan bukan tidak boleh untuk menolak atau membatalkan segala program yang berbentuk maksiat, akan tetapi sengaja tidak mahu bertindak demikian atas kepentingan orang-orang tertentu.

Malam ini kerajaan menganjurkan tahlil sempena kemerdekaan ke 51 di Masjid Negara. Serentak dengan itu juga konsert AVRIL sama rancak menggegarkan stadium. Anda diberi pilihan untuk menghadiri mana-mana daripada salah satu majlis tersebut. Majlis Tahlil yang walaupun tanpa tiket beratus-ratus ringgit pasti saya dapat rasakan kesunyian dan kehambarannya. Tapi apa faedahnya, mereka melaksanakan Tahlil (makruf yang sunat) tetapi dalam masa yang sama menganjurkan juga perkara yang bertentangan (haram) iaitu kemungkaran. Kononnya kita hidup mestilah berwasatiah (bersederhana), maksiat kita buat, mungkar pun balun sekali, satu pakej. Inilah wasatiah ala-Hadhari. Adakah anda terfikir kalaulah kejahatan dicampur-adukkan dengan kebaikkan, mahukah ALLAh menerima amalan kita? Ibaratlah seperti menghidangkan santapan kepada seorang raja, tetapi di dalam makanan tersebut ada terdapat najis cicak. Agak-agak raja mahu makan atau tidak?

Kalam saya untuk terakhir, saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar menanamkan kebencian di dalam hati terhadap segala kemungkaran, baik secara zahir atau yang kita tidak nampak. Kita tidak punyai kuasa untuk menghentikan melain orang yang berkuasa berbuat demikian, cukuplah kita menyatakan “kita marah dan tidak redha” segala maksiat dengan cara kebencian di dalam hati dan mulut. Walaupun ianya adalah dikategorikan sebagai kebencian yang selemah-lemah iman, namun itu sudah memadai untuk kita memberi alasan kepada ALLAH daripada dikenakan azabnya di akhirat kelak. Kerana Nabi pernah menyebutkan: “barangsaiapa yang melihat kemungkaran (dihadapannya), maka hendaklah ditegahnya dengan menggunakan tangannya (kuasanya), jika kamu tidak mampu, hendaklah dengan lisan/lidahmu (nasihat), jika tidak mampu, maka hendaklah kamu membencinya dengan hati mu, itulah selemah-lemah iman”.

Ketika terfikir tentang amaran ALLAH yang disampaikan daripada Nabi, saya sejujurnya terasa amat takut, bunyinya lebih kurang begini: “sekiranya Azab ALLAh itu diturunkan, maka tidak terkecuali sesiapa sahaja akan ditimpanya, tidak kira golongan yang beriman atau kufur (yang melakukan kemaksiatan”. Kalau hendak difikirkan dengan lojik akal, mengapa mesti orang yang beriman itu dipakejkan dalam azab yang diturunkan? Jawabnya mudah, kerana orang beriman (yang bertanggungjawab) itu tidak menegur atau mencegahnya…


afiqsa-gombak
290808-0130




0 Responses so far.