MAHASISWA : KEKUATAN & KEMEGAHAN YANG KIAN SURAM


Dengan nama ALLAH yang maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala pujian dipanjatkan kepada ALLAH Rabbul Izzati, Tuhan Pencipta Alam Semesta, Selawat serta salam juga dilafazkan buat junjungan besar Muhammad alaihi solaatu wassalam. Bersyukur ke hadrat-Nya kerana masih dipanjangkan usia kita dalam kelangsungan Iman dan Islam sehingga ke saat ini, moga-moga kedua nikmat itu akan berterusan bersama pedoman istiqomah yang terus berkekalan dan berpanjangan, amin ! Salam Ramadhan al-Kareem..

meminjam sepotong hadis nabi s.a.w. yang mafhumnya berbunyi, dari Umar r.a. Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda:

“hendaklah engkau berada di dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang, atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara). Dan Ibnu Umar r.a. berkata: Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi, dan apabila engkau berada di waktu pagi, janganlah engkau menunggu petang. Dan gunalah hari sihat engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau"
(riwayat oleh Bukhari)

a. Kesempatan Masa yang Terabai

Dunia mahasiswa adalah seumpama masa emas yang sungguh bernilai lagi berharga. Kesempatan mengaut khazanah ilmu pengetahuan seharusnya diambil manfaat sepenuhnya bagi sesiapa yang bergelar mahasiswa. Tidak kira mereka itu daripada jurusan apa sekalipun, peluang dan ruang sebegini wajar dipandang sebagai “masa berbulan madu” demi masa depan yang baik, kerana setiap saat adalah masa yang indah dan berharga untuk menikmati kelazatan ilmu.

Pun begitu, apa yang berlaku adalah sebaliknya, mahasiswa tidak lagi mempamerkan identiti dan keizzahan seorang ilmuan. Lihat sajalah pada situasi dan kondusi sekarang, majoritinya tidak bersungguh-sungguh dalam ketekunan menimba ilmu, prinsip “cukup sekadar apa yang ada” menambahkan lagi kemalasan yang sudah sedia ada di dalam diri. Tidak hairanlah terdapat sebahagiannya yang hanya cukup-cukup makan setiap kali keputusan peperikasaan keluar. Saya tidak menafikan setiap manusia mempunyai tahap kecerdikan tersendiri, tetapi apa yang menjadi soal pokok adalah kesungguhan dalam belajar. Kerana Kesungguhan inilah yang menjadi penambahbaikkan dalam diri pelajar itu, menjadikan mahasiswa matang dan tahu tentang hala-tuju mereka.

Bagi saya, kemegahan seorang mahasiswa itu terletak pada kemantapan ilmunya yang mampu dipraktikkan. Persoalannya bagaimana untuk mempraktikkannya jika ruang untuk memantapkan ilmu pengetahuan itu sudah diabaikan begitu sahaja? Apa yang menyebabkan terjadinya keadaan begini? Jawapannya mudah, kerana masa itu sudah banyak dihabiskan hanya untuk berhibur. Saya sempat bertanya kepada beberapa sahabat saya tentang masa muda, jawab mereka “ masa muda tidak boleh disisa-siakan, bila tua tak dapat nak berhibur lagi..” fikir-fikirkanlah…


b. Matlamat yang Kelam, Punca Utama Hala-tuju Tersasar

Seperti memandu sebuah kereta di jalan raya, apa yang perlu dirancang adalah halatuju dan destinasi, tanpa keduanya, Ibarat “bermain golf tanpa ada lubangnya”. Pukullah bola itu sejauh mana sekalipun, tetap tiada kesudahannya, bahkan menambah letih dan penat, kerana tiada matlamat serta penghujung. Demikianlah hidup kita sebagai seorang mahasiswa, meletakkan matlamat adalah langkah terawal untuk berjaya. Kemudian diteruskan pula dengan perancangan hala-tuju, barulah wujud keseimbangan semasa menuntut ilmu. Sekiranya kedua-dua mekanisma itu masih lagi tidak jelas dan kabur, maka ia akan terganggu. Hasilnya belajar hanya untuk mengisi masa bosan dan mendapatkan segulung “kertas ijazah” yang tiada nilai dan kualiti.

Sebab itulah yang menjadi tunjang utama dalam kejayaan seseorang adalah hala-tuju dan Matlamatnya. Misalnya, si Ahmad yang bercita-cita (bermatlamat) menjadi seorang doktor akan berusaha sedaya-upaya sehingga dia betul-betul menjadi seorang doktor. Apa jua jalan (halatuju) sekalipun dia akan berusaha ke arah itu selagi jalan itu tidak menyalahi. Tetapi apa yang terjadi jika tidak meletakkan sasaran yang berupa matlamat tadi? Semestinya akan tersasar daripada landasan asal (halatuju) dan yang paling membimbangkan adalah terus tersimpang daripada matlamat. Kalaulah layang-layang yang tidak bernyawa pun memerlukan tali, mengapa tidak kita? Mahasiswa yang berwawasan untuk cemerlang, gemilang dan terbilang adalah mahasiswa yang berpegang pada prinsip hidup dan cita-cita.

Pastinya sahabat-sahabat semua menganali Colonel Harland Sanders, seorang pengusaha ayam goreng KFC yang terkenal, beliau adalah seorang jutawan dalam usia beliau yang sudahpun lanjut. Walaupun beliau tidak sempat melihat kejayaan beliau hari ini, namun matlamatnya untuk menjadi seorang peniaga berjaya telahpun terbukti. Buktinya, setiap pelusuk negara, ada saja terpampang wajahnya. Itulah contoh orang yang berhala-tuju serta bermatlamat.


c. Persediaan Menjadikan Diri Sebagai Qudwah Hasanah (Role Model)

Seorang mahasiswa sudah pasti dalam masa yang sama mereka adalah seorang da’ie (pendakwah) yang mampu menyampaikan serta memberi manfaat kepada masyarakat apabila pulang kelak terutamanya bagi golongan agamawan. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan lebih daripada itu mereka harus menjadi idola dan ikon kepada masyarakat iaitu sebagai penyeru kepada kebaikkan dan meninggalkan serta menjauhi kemungkaran. Baiknya fe’el laku mahasiswa maka baiklah pandangan masyarakat terhadap kita. Namun, Bagaimana masyarakat mahu menerima seruan kita ke arah kebaikkan sedangkan kita sendiri melakukan kemungkaran dan meninggalkan kebaikkan.

Justeru, apa yang ingin saya lahirkan adalah, mahasiswa kini tidak banyak yang mampu menjadi contoh tauladan kepada masyarakat, jangankan kepada Negara, dalam sebuah keluarga pun mereka sudah tidak mampu menjadi guider dan pengelola, ternyata ini adalah realiti yang sedang berlaku hari ini. Fokus di sini adalah, masyarakat kini tidak lagi memandang tinggi kepada mahasiswa kerana sifat gah yang dulunya dicanang-canang kian tenggelam. Kalau suatu ketika duhulu, mahasiswalah yang menjadi pembela kepada hak-hak kemasyarakatan, mereka turun di tengah-tengah kekalutan masyarakat sebagai wira, menghulurkan bantuan dan sebagainya. Namun apa yang terjadi sekarang adalah tamparan yang hebat kepada kita kerana mahasiswa sudahpun mula dipandang negatif, nilai-nilai kebaikkan atau sifat qudwah itu kian musnah dek kerana sikap buruk mahasiswa.

Menyedari hakikat ini, saya menyeru kepada semua agar kita segera mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu yang mencukupi agar sekembalinya kita ke dalam dunia masyarakat kita mampu menjadi pendahulu dan pendokong kepada mereka atau dalam erti kata lain sebagai “role model”. Mahasiswa adalah ‘aset penentu’ kepada masa depan negara, kita adalah contoh, kita juga adalah ikon terbaik kepada sesiapa sahaja. Apa yang kita mahukan adalah untuk membina paradigma yang boleh memberikan sumbangan berharga kepada Agama, bangsa dan negara.

Akhir kalam, salam penghargaan buat semua yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi, anda adalah diri anda yang anda sendiri corakkan. Bermula dengan langkah awal ini untuk berubah, saya percaya kita semua akan mampu mencapai kejayaan yang kita ingin-inginkan selama ini. Semoga Allah sentiasa meredhai dan memberkati usaha kita semua.

Salam perjuangan buat semua !!



afiqsa-gombak

1507pm-250808


0 Responses so far.