'Maa ngaiiii? banyak gilaa?' (itu jika dalam bahasa pasarnya)

'Masya' ALLAH! terlalu melimpah-ruah nikmat Ramadhan ini' (ini pula bahasa sopan mengikut tatabahasa melayu)

Terlalu banyak fadhilat Ramadhan sehingga setiap gerak laku di sisipkan dengan kelebihan yang melimpah-limpah ganjarannya. Bukan sahaja Fadhilat puasa yang sudah tersedia besar, ada pula fadhilat tarawikh, fadhilat malam Lailatul Qadar dan macam-macam lagi.

Kalau mahu dikirakan hadith Nabi saw yang bercakap-cakap tentang kelebihan beramal di bulan Rahmat ini, rasanya tak terlawan banyaknya pahala berbanding kekuatan amal yang larat kita kerjakan. Ganjaran ini bukan kita yang minta daripada Tuhan, tapi Dia yang Maha Kaya yang memberi tawaran. Sombong sangatkah kita hinggakan offer seperti ini kita pejamkan saja sebelah mata?

Anda telah berjaya menjadi tetamu Ramadhan ini, sudah dikira terlalu layak untuk anda lafazkan rasa syukur kerana diajak lagi bertemu dengan bulan yang indah ini. Biarpun baru saja kita berada di pintu masuknya, rasa syukur harus anda letakkan mula-mula di hadapan hati. Ada orang hendakkan dijadikan cerita, dia tidak mempunyai rezeki bertandang ke taman Ramadhan ini, 29 Syaaban dia seorang manusia, tetapi bila menjelang 30 Syaaban dia tidak pula menjadi tetamu Ramadhan, Ramadhan tidak sempat hendak menyapanya, tetapi lebih dahulu menjadi ‘tetamu’ ALLAH azza wajalla.

Inilah dia namanya, SYUKUR! Bukan mahu lari daripada mati, tetapi ruang hidup yang dibuka untuk peluang beribadah. Kerana saya tahu amalan kita-kita ini terlalu sedikit. Kerana nyawa kita akan menjadi bernilai dengan sebab amalan yang baik-baik.

Masuk tahun ini, kalau semua hendak tahu sudah menjangkau ke usia 1430 kali Ramadhan bertandang, lepas setahun datang lagi setahun Ramadhan berkunjung, Ramadhan tidak pula penat menyinggah, tetapi yang menjadi pelik dan hairan, manusia seperti kita-kita ini yang jemu dan lelah beribadah. Ramadhan ini tidak pula lokek dengan kekayaannya, tetapi kita yang sombong mengutipnya.

Ada yang mengejar peluang ini di awal-awal pusingan pertama, tetapi apabila tiba ditengah-tengah sempadan, dia rasa sudah puas dan jemu, langsungnya dia berhenti berehat dahulu. Rehat yang terus meninggalkan fadhilat yang lagi banyak menanti di hujung-hujung Ramadhan.

Ada pula yang agak kelakar dan lucu. Baginya bulan Ramadhan dan bulan lain biasa-biasa saja. Yang bezanya adalah, Ramadhan di siang harinya berpuasa, tak boleh makan dan minum. Bagi mereka yang ‘kelakar’ ini puasa bermaksud tidak boleh makan dan minum sahaja. Itu sebablah kadangkala bila mengumpat nampak biasa saja, bila tidak menjaga pandangan pun dianggap tidak salah atau tidak batal puasa. Maafkan mereka kerana kejahilan itu.

Mana Nawaitu?


JANGAN PILIH-PILIH DAN BEZA-BEZAKAN HARI BERIBADAH

‘Din, malam ni malam 25 kan?’

‘yup! Awat?’

‘Malam ganjil ni. Qiyamullail jom?’

‘Aik, semalam tak buat qiyam pun?’

‘semalam genap, malam inikan ganjil. Mana tahu kena Lailatul Qadar untung kita Din?’

‘Ye tak ye laa.. mari kita!’


Teringat kisah dulu-dulu, seolah mengetawakan diri-sendiri. Tradisi salah ini kadang-kadang jadi lazim perbuatannya. Mengaut untung di saat-saat akhir. Bak kata orang, study last minute!. Ataupun dipanggil mengelat dan pilih-pilih hari saja.

Sesekali terasa pelik, yang tidak mahu berlumba-lumba untuk mengutip amalan, dengan feel mereka sendiri, yang berlumba-lumba pula ada juga sikap culas tersendiri. Boleh pula ada hari-hari yang ditarget mahu beribadah, malam lain ke mana perginya?

Ingatlah semua, fadhilat yang ditawarkan ini bukan menyuruh kita memilih mana-mana hari atau masa yang best baru mahu beriabadah, tetapi diberikan supaya kita tidak jemu berbuat baik. Buatlah sebanyak-banyaknya ibadah yang kita termampu,

'biar tidak larat kerana penat bukan rilex kerana memilih'

Rasa-rasanyalah, kalau ALLAH itu memberitahu kepada Nabi saw bila akan datang Lailatul Qadar, dan Nabi menyampaikan pula kepada kita, maka masjid pasti akan melimpah ruah sehingga ke tebing jalan raya, silap-silap hari ke 27 Ramadhan itu kerajaan memperuntukkan cuti rasmi untuk beribadah sahaja. Namun, mujurlah ALLAH merahsiakan malam seribu bulan ini, itupun masih ramai yang mencuri-curi masa dan mengintai ruang beribadah. Aduhailah Ramadhan!

Ramadhan bukan syarat beribadah, Lailatul Qadar juga bukan syarat untuk banyakkan amalan, pahala pun tidak jua begitu. Fadhilat, Lailatul Qadar dan pahala semuanya adalah motivasi penguat ibadah yang disebut sebagai ganjaran kalau kita benar-benar lakukannya buat ALLAH semata-mata. Pokok pangkalnya Ikhlas. Kalau sudah rasa Ikhlas, puasa setahun pun manusia akan sanggup!


BID’AH LAGIKAN KHURAFAT

‘Nenek, kenapa kita kena pasang pelita malam ni?’

‘Malam inikan malam ke 27, sunat nyalakan pelita. Malaikat akan datang ke rumah-rumah yang pasang pelita. Kalau tak pasangkan gelap, macam mana Malaikat nak datang beri rahmat?’

‘Ooo.. macam tu’

‘Aiman tolong nenek nyalakan pelita belah hujung sana, bolehkan?

‘Boleh nek, Aiman tak kisah’

Nenek oh nenek! Kalaulah nenek tidak katakan yang pasang pelita itu sunat, pun ia sudah menjadi bid’ah, apatah lagi nenek berkata begitu. Kata-kata dan perbuatan ini khurafat lagi sesat. Buta sangatkah Malaikat sampai rumah yang tidak punyai atau tidak dipasangkan dengan pelita mereka tidak nampak untuk dikunjungi? Datangnya malaikat memberi rahmat bukan kerana terangnya dan banyaknya pelita dipasang, tetapi kerana mahu melihat orang-orang beribadah di samping membawa rahmat kepada yang bertuah.

Kalau nenek pasangkan pelita sepanjang satu kilometer atau disekeliling rumah sekalipun tetapi tidak berterawikh dan tidak mahu beribadah, agak-agaknya mahukah malaikat hendak bersinggah?


PESAN BUAT KAUM HAWA, LELAKI PUN TERMASUK JUGA YEA…

Ini bukan tradisi tetapi sebuah fenomena. Namanya fenomena bila raya bakal menjelang. Sepatutnya di hujung-hujung Ramadhan inilah kita paling-paling mahu berlumba mengejar habuan selepas di awalnya kita bertungkus lumus, tetapi terbalik pula, bagi emak-emak atau anak-anak dara manis jelita ini, ruang dapur lebih minat diimarahkan berbanding anjung masjid atau surau-surau. Misi mereka kuih raya perlu siap dan dibereskan sebelum menjelang tirai Syawal.

Langsungnya hilang manis Lailatul Qadar yang ibadahnya dikhususkan. Emak-emak maafkan saya ya! Buat kuih tidaklah salah, tetapi ambillah peluang yang utama dahulu, kemudian barulah ambil yang terkemudian. Setahun hanya sekali saja ALLAH buka offer ini, tidak merasa rugikah kalau nikmat yang sekejap ini dilihat terbang begitu saja? Kalau tidak sempat hendak mengacau Bahulu atau menguli Semprit, kita hello saja, katakan saja mahu berapa kotak Tat Nanas dan Maruku, hulur duit 15 ringgit siap Batang Buruk di depan mata. Tetapi Lailatul Qadar ini jika dibayar sekalipun belum tentu dapat nilainya. Sungguh saya kata.

Tetapi bagi yang berdegil, saya tidak menghalang, Tuhan pun tidak menghalang. Namun, usah bimbang dan risau risau ada juga fadhilat untuk anda. Kepada makcik-makcik dan anak dara manis jelita ini saya mahu berbisik tentang fadhilat ini: anda sibuk membuat kuih raya, jika kebetulan malam itu anda menguli kuih raya serentak dengan datangnya Lailatul Qadar, maka disisi anda ‘pahala seribu tahun’ menguli kuih raya, juga ‘pahala seribu tahun’ anda mengimarahkan dapur-dapur. Tetapi kalau anda sedang solat atau bertadarus Quran? Bayangkanlah pahalanya banyak mana.

Buat teman-teman lelaki saya juga mahu berbisik cerita yang hampir sama: kalau kebetulan malam anda lepak-lepak dikedai kopi atau mamak kerana menonton bola sepak serentak dengan Lailatul Qadar, maka bagi anda ‘pahala seribu tahun’ menonton bola sepak. Bagi peminat meriam buluh dan merecun juga begitu ‘pahalanya’.

Beres!


HARAPAN RAMADHAN INI DAN AKAN DATANG

Seorang teman bertanya saya: ‘apa istimewa berpuasa di Jordan?’

Saya kata, tidak ada apa-apapun yang istimewa sepanjang 3 kali saya berpuasa di sini. Bahkan jika mahu tahu, saya rindukan suasana berpuasa di tanah air. Di sana ada ibu yang menggerakkan dan menyiapkan makanan sahur, serta ada adik-adik yang dapat makan bersama ketika berbuka.

Istimewa itu ada kerana berbeza suasana sahaja, bahkan lebih istimewa hari-hari ada giliran memasak. Kami memasak kami juga yang menghadap hidangan itu. Mujurlah puasa tahun ini tidak jatuh pada hari kuliah universiti. Kalau terjadi demikian, kami akan menjadi bujang trang tang-tang yang masuk angin keluar asap.

Saya anggap, nilai berdikari dalam mengerjakan puasa di perantauan juga suatu yang sedikit istimewa. Bertahun-tahun saya berpuasa di tanah air dengan manja-manja ayah dan ibu, baru hari ini dapat rasakan susah payahnya. Namun ia tetap istimewa.

Tanya seorang kawan lagi ketika berchatting semalam: ‘apa persiapan Ramadhan?’

Saya ketawa.

Kalau persiapan yang material itu tak adalah sangat, sikit-sikit je ada, persiapan untuk sahur esok sajalah, sepaket Nescafe dan kek segera yang sempat dibeli di kedai pakcik bawah.

Tetapi kalau mahu disebutkan persiapan rohani, lebih-lebih lagilah saya malu mahu memberitahu. Hari ini sudah masuk Ramadhan pun saya masih tidak percaya, apatah lagi mahu buat persiapan yang rapi. Saya malu kerana Ramadhan sudah datang dengan persiapan memberi sesuatu, tetapi saya bertemunya dalam keadaan saya tidak ready dengan apa-apa untuk menyambutnya. Tetapi hati saya penuh dengan harapan bahawa saya mahukan yang lebih baik daripada tahun-tahun lepas. Moga ALLAH masukkan kekuatan itu dalam jiwa saya dan anda semua.

Kamu semua bagaimana?

Nawaitu dan Sauma Ghadin?

Nawaitu kerana ALLAH, Sauma pun kerana ALLAH.


Untuk read more, tulis di sini...

0 Responses so far.