(sambungan tajuk) NADAMURNI SUDAH SAYA JIWAI SEJAK DARI DULU LAGI.


TAKZIAH! - Untuk Isteri dan anak-anak ustaz Asri Ibrahim, buat teman-taman seperjuangannya di dalam arena yang sama, tetangga serta semua yang mengenali beliau.

TAHNIAH! - Buat kita-kita atas kesudian Tuhan mengingatkan kita apabila berita kematian ini sungguh menginsafkan insan yang lupa bahwa suatu hari kelak, kita jua akan turut bersama diajak ke sana.

Mari sama-sama mengalunkan zikir al-fatihah ini untuk beliau. Semoga rohnya dicucuri Nikmat dan Rahmat ALLAH taala.


Nadamurni Yang Saya Kenali

Seingat saya, di akhir tahun persekolahan rendah iaitu sekitar tahun 1998, saya dan rakan-rakan ada menyimpan hasrat untuk menjadi anak buah kepada kumpulan ikon kami ini, NADAMURNI. Seorang rakan saya mahu belajar teknik suara, saya dan 2,3 rakan yang lain mahu mengemaskan teknik bermain perkusi. Namun, cita-cita itu hanya tinggal kenangan dan ingatan kerana selepas keluar dari alam sekolah rendah kami sudah berpisah dengan hala tuju masing-masing. Namun jiwa nasyid kami masih segar hingga sekarang.

Bila diingat semula memang melucukan, baru umur setahun jagung sudah mahu menjadi ahli nasyid. UPSR pun ketika itu belum lagi. Tetapi semangat mahu berkecimpung dalam bidang nasyid ini terlalu kuat. Tidak hairanlah, jika kami bertemu ada sahaja nasyid yang kami alun-alunkan.

‘Jom kita latih suara, enta main perkusi?’

‘Orait, jom!’

Begitulah suasana kami ketika di sekolah rendah, nama NADAMURNI memang satu ketaksuban bagi kami, bagi saya dan kami NADAMURNI ini adalah ayah dan mentor nasyid kami, hampir kesemua albumnya kami ada. Kalau mahu disebutkan satu persatu pun boleh apa tajuk albumnya!

Kalau dulu, penyanyi utamanya terdiri daripada Munif Ahmad dan Allahyarham Ustaz sendiri, tetapi arena dakwah mereka telah berkembang akhirnya tertubuh dua kumpulan gergasi yang kini bergerak gah dipersada arena ini. Terjadilah kumpulan nasyid RABBANI dan HIJJAZ, namun ibu mereka adalah NADAMURNI yang mungkin tidak semua yang tahu. Hanya orang-orang veteran nasyid yang mengenali.

Sehingga masa sekarang, bayang-bayang NADAMURNI masih dalam ingatan saya dan mungkin juga sahabat-sahabat saya dahulu. Saya rindukan Rabbani yang dahulu, ada kolaborasi kemerduan Ustaz Asri dan lunak suara Munif Ahmad. Apabila sudah tiada NADAMURNI ini saya berhenti sekejap fokus nasyid terhadap Rabbani, akhirnya bila muncul album Rabbani-Nostalgia Nadamurni, saya berjaya mengubat rindu yang lama. Saat mendengarnya seolah dibawa ke zaman persekolahan dan zaman nasyid ‘kompang-kompang’. Walaupun nasyid nostalgia itu dinafas barukan persembahannya, namun kelunakkannya tetap masih segar.


ARTIS vs USTAZ

Bukan mudah mahu memegang dua title dalam satu-satu masa, tetapi Allahyarham Ustaz Asri lain orangnya, baginya itulah gelaran yang sinonim untuk dia melebarkan sayap dakwahnya dan sehingga kini tugas itu layak buatnya dan dia sukses dalam dua bidang itu.

Nasyid sebagai Artis dan Nasyid sebagai Pendakwah.

Bukan mudah menjadi artis dalam masa yang sama mengejar tugas sebagai seorang pendakwah. Imej, personality semuanya dipandang dan dinilai orang di sekeliling. Tetapi ustaz seolah dikurniakan kelebihan yang tiada pada seorang ustaz yang lain. Boleh bernasyid di khalayak, kemudian disanjung pula sebagai seorang ustaz. Hebat bukan?

Ada juga yang mempunyai gelaran ustaz dan artis, tetapi akhirnya agak tersungkur dipertengahan kerjayanya.

Saya memandang hebat kepadanya kerana imej dan kebolehan beliau, komitmen beliau pula usahlah dipertikaikan, beliau dan Rabbani adalah antara kumpulan yang paling mesra alam dan memenuhi hampir semua jemputan nasyid. Tidak kira di ceruk rantau mana sekalipun, yang penting bukan alunan itu, tetapi nilai alunan dan dakwah perlu disampaikan.


Terkilan

Pagi semalam, rakan saya memaklumkan berita pemerigian Allahyarham Ustaz Asri, saya agak terkesima seketika. Rasanya baru semalam saya Nampak Allahyarham ustaz online di dalam Yahoo Mesenngernya tetapi esoknya sudah ‘tiada’. Tiada yang buat selama-lamanya.

Tetapi pesan ALLAH yang mengingatkan: ‘Apabila datang ajalmu, maka tidak akan dilewatkan sesaat atau dicepatkan’ mengubat sedikit rasa terkejut dan terkilan. Semalam bernyawa, hari sudah hilang nyawa dari jasad. Semuanya kerja Tuhan.

Ada sebuah lagu yang menjadi penghibur dan pengingat di hati saya dikala saya sedih dan kecewa, mulanya saya cuma melihat-lihat tajuknya, tetapi apabila sekali lagu itu diputar. Makna dan alunannya amat memukau yang terus mengajak saya bertafakur. Liriknya mudah tetapi ertinya amat mendalam pesanannya. Tajuknya - BERKELANA.

Tuhan memanggil, ku tidak menyahutnya,
Tuhan memanggil, aku mendengar saja,
Tuhan memanggil aku, ku sahut sekali sekala,
Tuhan memanggil aku, ku cuba menerimanya…
Tuhan memanggil, ku sahut bertalu-talu,
Tuhan memanggil, ku jemu menyahutnya,
Tapi aku memaksa diriku menerimanya,
Itulah diri aku belum jinak dengan Tuhan.


Saya tinggalkan lirik ini untuk saya dan rakan-rakan renungkan. Mungkin mudah saja difahami tetapi jika dihayati ia akan melangkau tahap keinsafan dalam diri. Syabas buat Rabbani yang berjaya memberikan sesuatu yang berharga untuk hati pendengarnya. Inilah yang dikatakan roh nasyid. Bila sesuatu sudah bertemu jiwa dan rohnya, maka akan terbit natijah yang sempurna dan berkesan di hati sesiapa pun.

Syabas Nadamurni,
Syabas Rabbani,
Syabas jua buat Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim.


Untuk read more, tulis di sini...

1 Response so far.

  1. sy pon. pemergiannya 1 kehilangan. smoga beliau ditempatkan bsama2 org beriman:l