Saya di sini dihujani dengan perasaan teruja dengan komitmen teman-teman apabila masuk ke pintu Syaaban. Sehingga kini, saya lebih merasai bahang Ramadhan yang semakin hampir dan sudah nampak jalur bayang-bayangnya. Rejab yang sudah menghilangkan jejaknya bukan akan dilupakan begitu sahaja, tetapi disertakan muhasabah yang boleh membersihkan hati, takut juga ada di hati, kerana jika saya tidak dapat ‘menemui’ Rejab pada masa hadapan, bermakna Syaaban dan juga Ramadhan jauh sekali kelibatnya dapat saya lihat apatah lagi bau harumnya.

Allahumma Ballighna Ramadhan !! selalu saja saya panjang-panjangkan butir doa ini moga jadi nyata hari mendatang nanti.

Belumpun puas mengaut untung di Bulan Rejab, Syaaban sudah bertamu semula membawa lagi banyak keuntungan yang saya kira sama lipat-gandanya. Untung dan rugi terletak dipoket masing-masing.

REJAB yang sudah tertinggal nilai budinya oleh kita, jangan harapkan tawaran yang sama akan datang lagi. Bersungguhlah pula untuk yang bakal tiba.

SYAABAN yang kini bersinggah sementara mempersiapkan diri untuk menyambut bulan seterusnya. Kautlah isinya sebanyak mana yang larat, kerana larat itu sungguh berbaloi balasannya.

RAMADHAN yang sudah berjanji untuk datang, tapi belum pasti kita boleh berjumpa dengannya. Persiapan tetap harus dilaksanakan, walaupun temujanji itu tidak pasti ada ataupun tiada. Tunggu sajalah nanti !!

Menduduki Syaaban seolah mendukung sebuah peti besi yang dalamnya berisi emas, pemiliknya adalah kita. Kita mengautnya lantas kita yang miliki itu semua. Maka, bukanlah sia-sia jika ada yang berebut-rebut untuk mengambil pedoman dari keuntungan tersebut. Buatlah apa-apa yang terbaik, jika Ikhlas isinya, maka baiklah pendapatannya.

Syaaban ini pasti datangnya setiap saban tahun, selagi mana bumi ini belum dijanjikan dengan kehadiran hari kegoncangan, justeru akan sentiasalah dikunjungi oleh Syaaban. Yang berubah hanyalah tahunnya. Kalau dibilang sudah 1430 kali Syaaban datang menjenguk kita. Kita ini, yang baru berpuluh kali berjumpa dengannya sudah sombong untuk mengutip nilai Syaaban.

Ketika melihat sahabat dan teman-teman bersemangat mengambil tempat dalam semangat menyambut Syaaban, saya turut rasa bersyukur kerana bulan mulia ini masih diingati dan dijiwai oleh mereka. Sekali sekala bertemu, mereka akan mengingatkan agar berpuasa. Paling kurangpun bagi yang kerap kali terlupa akan tetap ingat, tapi cuma cara sahaja yang berbeza, bertanya soalan: ‘hari ini berapa Syaaban ya?’ walaupun nampak saja mereka yang bertanya ini jarang mengambil berat tentang bulan-bulan ISLAM, sekurangnya dia mengingatkan kepada kita yang ditanya. Ada juga pahala untuk mereka.

‘Esok puasa nisfu Syaaban, nak join?’

‘Boleh ke?’

‘Kenapa tidak boleh pula?’

‘Ustaz tu kata B#$%^h..!!’

Seolah sudah menjadi satu halangan apabila mahu berbuat kebajikan, ada saja yang menegah atau sengaja menutup pintu. Kadangkala, menghalangnya dengan sangkaan yang buruk-buruk. Ini tidak boleh dan itu tidak boleh kerana tiada ……. yang menyebutnya.

Syaaban ini bulan 'berkebajikan', bulan mengutip amalan, maka jangan disia-siakan nilai kebaikkan itu. Yang mampu berpuasa teruskan berpuasa. Yang selalu bersedeqah, istiqomahkan amalan itu, begitu juga dengan perbuatan-perbuatan baik yang lain. Yang penting, jangan menghalang orang lain yang mahu merebut peluang keemasan itu.

Sahabat bertanya kepada saya: ‘Ada nas ke berpuasa pada nisfu Syaaban?’ saya kata: ‘mungkin ada tetapi saya yang tidak menjumpainya, tetapi kalau tiadapun, apa salahnya kita berpuasa, niatkan saja puasa tadi dengan puasa sunat biasa’ . Senang bukan? Titik tolaknya kita mahu menyambut, memuliakan dan mengimarahkan Syaaban yang satu ini, bukan mahu bertikam lidah.

Ayuh, peluang yang sedikit ini jangan kita abaikan isinya yang molek ini, Syaaban mungkin menjadi penilai kita sebelum datangnya Ramadhan yang lebih mencabar situasinya nanti. Jadi, jangan saling menyalahkan dengan kesalahan yang kecil sehingga terabainya Rahmat yang lebih besar.

Kali ini saya mahu berkongsi hadis yang diriwayatkan oleh Bukhori: ‘Adalah disunatkan berpuasa di bulan Sya`ban sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu `anha berkata: Maksudnya: "Adalah Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam berpuasa sehingga kami mengatakan baginda tidak berbuka, dan baginda berbuka sehingga kami mengatakan baginda tidak berpuasa. Saya tidak pernah melihat Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam menyempurnakan puasa satu bulan kecuali pada bulan Ramadan dan saya tidak pernah melihat baginda berpuasa lebih banyak daripadanya pada bulan Sya`ban."

(Hadith riwayat Bukhari)

Janganlah kita bermasam muka dan saling bertikam lidah atas satu perkara yang remeh ini, tentang fadhoil (kelebihan-kelebihan beramal) terlalu luas nilai cakupannya, kalaulah adab masuk ke tandas pun nabi ajarkan tertibnya, maka apatah lagi tuntutan memuliakan Syaaban, lebih-lebih lagilah disuruh kita melaksanakannya. Anda boleh mencari titik temu untuk sama-sama mencari hasil yang lumayan ini. Paling kuranpun jika ada yang berkata: ‘ini tidak disuruh dalam bulan Syaaban!’ Jawab saja begini: ‘saya buat bukan kerana Syaaban, tetapi mahu meningkatkan prestasi amalan, Kebetulan Syaaban tiba, maka saya lebih bersemangat. Niat saya satu sahaja, MAHU MEMULIAKANNYA!’

Pertemuannya adalah, kita mahu memuliakan bulan ini, buatlah apa saja, selagi bukan bercangah dengan agama. Tetapi jika mengambil jalan menyalahkan amalan orang lain atas dasar yang bukan-bukan, kita telah memilih arah untuk mencemarkan bulan ini.

Akhirnya, saya mengambil juga ruang untuk merebut sisa-sisa Syaaban ini dengan cara yang saya mampu, iaitu mengajak anda beramal. Mungkin saya tidak berdaya berpuasa seperti semua orang, tapi saya gembira jika boleh memberi orang puasa makanan untuk berbuka. Itu juga salah satu cara memuliakan Syaaban ini. Tiada Nas? Ops.. itu terpulang pada anda, saya akan terus dengan prinsip saya:

Memuliakan itu lebih baik, daripada mensia-siakannya!

Kalau tak boleh buat semua, jangan tinggal semua..

Untuk read more, tulis di sini...

3 Responses so far.

  1. betul tu bro. gua sokong. asyik nak bid'ah je, bila nak beramal?

  2. klu x silap akk... mmg xder nas ttg amalan puasa pd hari nisf sya'ban... tp pada siapa yg berpuasa.. spt awak kata, niatla berpuasa sunat.. bukan kerana lain.. n yg pntg, hadis yg awak tuliskan tu.. wallahu 'alam

  3. Salam.
    Tenang hati membaca.
    doakan djat dari bumi barakah..
    ~DJAT~