Bagaimana Penilaiannya dan Kayu Ukurnya Siapa?

Saya hanya mahu merungkai dua aspek ini. Mesej dan Jalan Cerita.

Dahulunya, di sekitar era dan tahun 70-an, filem-filem rata-ratanya memaparkan kisah hidup atau masyarakat sebagai keutamaannya. Bermula kisah hidup yang dikorek daripada sejarah sehinggalah kisah reality yang berlaku di sekeliling. Tidak lebih dari itu, semuanya diadun dengan baik dan cermat jalan penceritaannya sebelum diterbit menjadi sebuah filem yang berkualiti.

Dahulu, kayu ukurnya adalah kepada 'story board' dan mesej yang mahu disampaikan oleh pengarah filem. Apabila mesej itu diterima baik oleh masyarakat yang menontonnya, maka pengarah itu dikira berjaya dan diangkat sebagai filem terbaik walaupun jalan ceritanya kurang menarik. Pada mereka, jalan cerita yang menarik bukanlah sandaran utama sesebuah filem, kerana itu hanya subjektif bagi penonton, yang perlu diutamakan adalah mesej positif.

Lihat sajalah filem-filem Seniman P.Ramlee, jalan ceritanya disusun dengan cara yang ‘biasa-biasa’ tetapi jelas memaparkan keindahan mesej dan objektif perfileman yang mahu disampaikan, mesej kasih sayang, perpaduan, kesepakatan dan lain-lain mekanisma positif dapat disampaikan sebaiknya. Kalau mahu ditimbang pada jalan ceritanya, tidaklah terlalu baik. Tetapi ia menjadi kegemaran masyarakat melayu kerana mesejnya yang berjaya. Tidak hairanlah jenaka Allahyarham P.Ramlee ini masih segar ditayangkan sehingga kini.

Akhirnya, zaman kini sudah berubah, mentality masyarakat juga diambang perubahan yang kurang sihat. Mereka sebagai penonton ada yang sudah bosan dengan filem-filem yang bermesej ini, bagi mereka filem-filem itu bukan zamannya lagi untuk ditayangkan. Mereka mahukan filem-filem berbentuk dan bermotifkan HEDONISMA. Lalu, berlumba-lumbalah para pencita filem terutamanya dari barat berusaha menerbitkan filem berunsurkan hiburan.

Lalu, filem-filem yang bermotifkan Hedonisma ini sedikit demi sedikit mendapat tempat di hati penonton. Sekarang sudah terbukti, filem-filem Hedonisma ini sudah mampu mengalahkan filem-filem biasa (yang bermesej) di pasaran. Ceritanya tidaklah seberapa, tetapi apabila diselitkan dengan hiburan yang berlebihan ia tiba-tiba menjadi pujaan penonton sehingga dinobatkan sebagai filem box office, modalnya hanya Hiburan semata-mata. Manusia sudah kelabu mata untuk membuat pilihan.

Akhirnya, yang menjadi kayu ukur kepada filem-filem masakini adalah filem mana yang paling banyak dipaparkan dengan unsur Hedonisma, ia akan menjadi filem kegemaran dan terbaik. Mesej ditolak ke tepi dahulu.

Anda sendiri boleh melihatnya, kebanyakkan filem-filem box office inggeris didahului oleh filem hiburan di tangga teratas sekali. Filem-filem bermesejkan masyarakat hanya menduduki carta yang bawah dan tercorot. Penonton sudah mula hilang minat terhadap filem-filem yang bermesej positif tetapi telah mula mengambil hiburan sebagai kayu ukur pada sesebuah filem.

Anda perlu bertanyakan diri, di bahagian manakah anda? Dan bagaimana anda menjadi penilai terhadap sesebuah filem.


Selayang Pandang

Saya akui dan merendah diri apabila ada di kalangan ‘Kipas Susah Mati’ filem-filem inggeris ini mengatakan: ‘Filem inggeris lebih baik mutu teknologinya kalau nak dibandingkan dengan filem melayu yang sudahlah lesu, ketinggalan zaman pula tu’

Orait! Saya akuinya. Tetapi,

Kalaulah hanya kerana kecanggihan teknologinya serta kehebatan persembahannya dijadikan alasan untuk me’wajib’kan juga memaksa agar dialihkan minat saya supaya menonton filem inggeris ini, itu belum cukup untuk saya merubah pendirian, apalah sangat mahu dibanggakan dengan kecanggihan teknologi itu jika ia dibaurkan dan dikuasai dengan mekanisma maksiat di dalamnya. Apa tidaknya, majority (walaupun bukan semua tetapi boleh dibilang) filem-filem inggeris pasti akan ada adegan-adegan seks bebas. Paling kurangpun berciuman!

Kalaupun pasangan aktres yang berlakon itu sudah berkahwin dan halal hubungannya, tidak sewajarnya adegan itu ditontonkan kepada khalayak. Mengapa sampai begitu?

Setakat filem-filem canggih dan up to date melebihi zaman yang dibangga-banggakan seperti Terminator, Mask Rider, Batman, Superman dan lain-lain lagi yang seumpama kecanggihan dengannya, lebih banyak-banyak lagi filem-filem yang sebaris dengan itu wujud bahkan sama juga pembawaan serta tonjolannya: yang hendak dibawa hanyalah FANTASI dan KEWUJUDAN DI ALAM SEKARANG.

Mungkin adalah lebih baik saya terus menonton filem kegemaran saya iaitu DORAEMON, ia juga memaparkan dunia fantasi dan abstak yang tidak wujud, cuma lebihnya adalah, filem itu bebas daripada adegan seks. Baik untuk anda juga kanak-kanak.



Saya amat serius mengatakan ini, saya lebih rela dihina dan menahan telinga disindir oleh rakan-rakan kerana menonton filem-filem cerekarama melayu yang lembap jalan ceritanya daripada bersekongkol dengan mat-mat salih barat (tidak ISLAM) yang bermaksiat.

Saya bukanlah tidak langsung menonton filem inggeris, ada sebahagian filem yang dijamin sedikit ‘kebersihannya’ juga saya tonton seperti filem THE KITE RUNNER, CHIPMUNK, FINDING NEMO, THE NUTTY PROFESSOR dan lain-lainnya, namun sekadar mengambil manfaatnya sahaja, tidaklah saya terlalu obsess seperti sebahagian ‘Kipas Susah Mati’ yang lain. Keluar saja filem baru, sudah bersiap untuk ke pawagam, keluar saja filem box office rasa rugi yang teramat apabila tidak menonton. Yang paling teruk kesannya, sampaikan solat jadi terabai dek kerana taksub dengan filem-filem inggeris ini.

Saya tidaklah mahu melebihkan filem-filem melayu, atau menganak-tirikan filem-filem inggeris, saya tidak langsung menyalahkan mereka menghina filem-filem melayu tetapi jika ada yang memuja-muja filem inggeris sebagai minat utama sehingga tersisih prinsip ISLAM dan terabai perkara-perkara keaulawiyatan itu sudah dikira melampau bagi saya.

Lebihnya filem inggeris ini hanya pada teknologinya, tetapi lebihnya filem melayu ini mungkin bagi saya kerana ada budaya-budaya melayu dan adat sopan yang masih dipelihara dan kurang sedikit dari maksiatnya. Ya, mungkin ada filem-filem melayu minority yang agak teruk dan ‘kotor’ tetapi itu cuma sebilangan kecil yang dapat kita elak dan membuat pilihan. Terserah kepada sikap kita sebagai seorang pelajar ISLAM yang berugama ISLAM yang juga dahulunya dilahirkan di dalam keluarga MELAYU dan ISLAM.

Tontonlah jika anda mahu, tidak mengapa. Saya juga adakalanya menonton filem-filem inggeris ini walaupun boleh dibilang dengan jari. Tetapi, saya tetap meletakkan sikap waspada terhadap kedua-dua genre filem ini. Filem inggeris mahupun melayu, ia tetap perlu diwaspadai. Anda boleh menonton filem-filem inggeris ini, tidaklah salah jika ada manfaat dan baiknya, tetapi cukuplah sekadar menjadikan ianya sebagai ‘suka-suka’ bukannya sebagai sesuatu yang perlu’. Janganlah mengatakan ‘aku menyesal dan sangat rugi’ jika tidak sempat menonton filem inggeris sekian-sekian. Ada kita tonton, jika tiada, sudahlah. Banyak lagi filem melayu yang hebat jalan ceritanya, pilihlah! Bahkan kurang maksiatnya.

Syuga Cinta, Air Mata Ibu, Seputeh Qaseh Ramadhan dan yang terbaru dan terhebat siri drama Nur Kasih. Ini semua di antara barisan filem-filem melayu yang tidak kurang hebatnya.



Drama NUR KASIH - Fenomena Filem Islamik di Malaysia

Filem 2012 arahan *** baru-baru ini menimbulkan konflik dan kekacauan di kalangan para pengkritik filem barat dan para ugamawan tidak kira ISLAM dan KRISTIAN. Ia bukan sahaja menyentuh soal kepercayaan agama ISLAM bahkan turut dipersoal oleh pemikir yang berpegang kuat dengan agama sekarang. Mujurlah, tidak dipaparkan dengan gambaran keruntuhan dan kebinasaan Kaabah di dalam filem tersebut, jika tidak, mungkin ada yang bakal menerima nasib yang sama seperti pelukis karikator menghina Nabi saw. THE ALMIGHTY juga antara filem kontoversi yang sempat diharamkan kemunculannya di Malaysia. Terima kasih kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia. Jangan biarkan doktrin barat yang kotor cuba mencampuri urusan tarbiyyah ISLAM di Malaysia.

‘Filem Korea, Jepun, Thailand dan lain-lainya macam mana pula?’

Saya percaya, anda adalah penilai yang hebat dan berhemah, apa yang saya lontarkan adalah sebahagian pandang sisi saya sebagai orang yang tidak pakar di dalam bidang perfileman apatah lagi ia bukanlah profession saya. Tetapi saya yakin, siapa yang tahu memikirkan tentang dosa serta pahala dia pasti dapat membezakan antara baik dan buruk sesuatu. Anda boleh menjadi apa yang anda mahukan dalam KEHIDUPAN perfileman ini, yang positif atau negatif.

Jika anda sebilah pisau, adakah anda mahu menjadi pemilik kepada seorang pemotong sayur atau pemilik kepada seorang pembunuh? Lakukanlah Pilihan yang Tepat.

_______________________

p/s: belum sempat menonton filem yang menjadi kegilaan remaja KETIKA CINTA BERTASBIH. dialog yang selalu menjadi sebutan: "siapa namanya mas?, ABDULLOHHH".. kelakar, kelakar!!

Untuk read more, tulis di sini...

2 Responses so far.

  1. setuju hedonisme adalah candu kepada masyarkat pada hari ini. Namun,para pembuat filem bukanlah bermazhabkan hedonisme~mazhab mereka ialah kapitalisme : membuat filem untuk membuat duit.Fahaman macheiveli-matlamat menghalalkan pula merupakan mazhab kedua mereka.

    membuat filem dengan memasukkan elemen pelaris tidak kira halal haram.entah sampai bila mahu berubah~

  2. afiq baik ko ngaku, ko memang peminat setia Nur Kasih kan?? Jangan malu, ramai yang mengakuinya..