Ceritera

Sedari tadi, Razif hanya duduk sendirian di balkoni. Mahu menghirup udara segar di situ, tetapi tidak kesampaian kerana gelisah yang datang tiba-tiba. Seakan tidak ada tenang. Malar segar tidak begitu dirasakan, sekejap ke kanan balkoni sekejap lagi ke kiri mencari punca kegelisahan.

Semenjak pagi tadi, tidak satupun makanan yang dijamah, hanya sempat menghirup segelas nescaffe panas. Seleranya hilang tatkala tiba di bilik hotel itu. Dua hari kursus kenaikkan pangkat berlangsung di Penang, langsung tidak mendatangkan moodnya untuk itu. Hatinya asyik terbayang-bayang akan Nurul dan anak-anak di rumah.

Tidak keruan.

Sehari sebelum bertolak ke Penang, Razif bertengkar dengan isterinya Nurul. Puncanya terlalu kecil, dan Razif sedar itu adalah silapnya, namun Nurul yang menjadi mangsa kemarahannya pada malam yang lalu. Ketika marahnya memuncak, tangannya hinggap di pipi lembut Nurul. Nurul menangis dengan hiba malam itu.

Hari ini kekesalannya timbul. Terasa mahu segera menghabiskan kursus itu. Hati kecilnya berkata, Nurul harus cepat dipujuk, dan Razif perlu memohon maaf pada isterinya. Dia mendengus, melepaskan nafas bersama kekesalannya.

_____________________________


Nurul tidak dapat menahan air mata daripada gugur, cepat-cepat diseka dengan jari halusnya. Seakan rasa bersalah datang tiba-tiba tatkala mengingatkan peristiwa malam itu. Razif mungkin penat dan letih, tidak seharusnya dia mengingatkan Razif tentang percutian anak-anak ketika itu. Akhirnya perbalahan kecil berlaku. Nurul merasakan dialah punca ketegangan malam itu.

‘Mama menangis?’ sapa Siti Aisyah anaknya yang bongsu. Baru berumur 6 tahun, rambutnya ikal.

‘Tak sayang, mata mama masuk habuk’ Nurul cepat mengelak, menyembunyikan kesedihan yang berbaur kerinduan terhadap Razif. Pemergian Razif amat memedihkan jiwa dan perasaannya.

Dia terus bermenung.


Terasa ‘Hilang’ Bila Berjauhan

Tahukah anda Cinta itu adalah sebahagian daripada motivasi diri? mengapa saya berkata begitu? Saya menjawabnya begini, jika anda pernah melalui saat cinta bersama insan yang anda sayang, anda tidak akan berkira-kira untuk melakukan apa jua permintaannya. Bahkan, saya boleh katakan, apa yang tidak disuruh pun pasti akan dilakukan jika itu yang membolehkan hubungan anda semakin erat dan cinta anda meningkat.

Motivasi ini terjadi bermula daripada seorang pemberi atau disebut peransang, peransang motivasi akan menghasilkan motivasi yang seterusnya secara tidak putus-putus. Maka, cinta bermotivasi akan terhasil daripada seseorang yang memberikan cinta kepada anda. lalu, apabila hilang si pemberi, cinta akan hilang dan semangat cinta (motivasi) juga akan terpadam.

Ketika itulah anda akan rasakan sebuah perasaan ‘memerlukan si dia’ atau ‘terasa kehilangan’ disebabkan punca motivasi yang sudah hilang. Biasanya manusia sukar untuk menghargai insan yang selalu berada di depan mata, budi sering tidak dihargai dan cinta tidak akan teruji bila selalu berduaan (suami isteri). Benarlah kata-kata pepatah, ‘kita tak akan merasai nikmat sihat, jika tidak terlebih dahulu merasakan azabnya kesakitan’

Pelikkan sikap manusia, yang hilang dicari-cari, di hadapan mata tidak langsung dipeduli.

Saya pasti, pasangan (suami/isteri) yang pernah mengecapi nikmat bahagia dan saat-saat indah suatu ketika dahulu akan merasakan rindu apabila sudah berjauhan. Oh, rupanya cinta itu masih ada, Cuma tidak sedar ketika duduk bersama, bila berjauhan barulah rasa teruji oleh kehilangan yang ketika itu cinta berbunga kembali.

Kadangkala, tatkala berjauhan emosi amat mudah tersentuh lantaran hati membuak-buak menyatakan kerinduan kepada kehilangan si dia (suami/isteri). Rindu dari jarak kejauhan kerana terpisah mungkin lebih mendalam rasanya dan lebih bermakna nilainya. Benarlah, di saat suami pergi jauh meninggalkan isteri yang disayangi, pasti si isteri sering bermenung mengenangkan suami, ada juga yang tidak sabar menanti kepulangan insan tersayang.

Siapa pun sering tidak sedar akan situasi ini, sebab itu kehilangan dan kejauhan sahajah yang bisa mengikat ikatan, membenihkan semula kasih yang lama dan menyuburkan kembali sayang yang dahulunya tidak disedari kehadirannya. Tika berjauhan, rindulah yang menjadi bukti kesetiaan pasangan. Ingatlah, jika rindu itu masih ada dan segar di hati, nescaya itulah angerah cinta yang paling berharga daripada ALLAH.


Selesa atau Serasi?

Saya ada seorang teman sepengajian yang suka bertanyakan kepada saya soal 'cinta-cinta' ini, saya bukanlah tidak gemar sangat akan soalan-soalan yang sedemikian tetapi sekadar memikirkan bahawa saya tidaklah ahli dalam hal tersebut. Pengalaman bercinta pun tidak banyak. Kelakar pun ada, macamlah saya ini seorang ‘pencinta wanita’.

Namun, apabila ditanya saya perlu jua menjawab untuk tidak mengecewakannya, daripada dia mendapat jawapan yang belum tentu benarnya, saya cuba memberi idea saya yang sekadarnya sahaja. ‘Macam mana nak tahu, si dia sukakan kita? Malu juga kalau bertepuk sebelah tangan’

Aduh! Mendalam sekali soalannya kali ini. Selalunya biasa-biasa sahaja.

Sebelum saya memberikan jawapan kepadanya, saya mengingatkan terlebih dahulu supaya jangan bercinta jika tidak pandai mengawal diri daripada terjerumus ke lembah kemungkaran dan kemaksiatan. ISLAM ada cara membentuk dan mencari cinta, bukannya semberono.

Hati biasanya akan terlebih dahulu merasakan sesuatu yang berbentuk emosi dan halus. Lalu saya memberikan beberapa petua bagaimana mengenali seorang wanita yang minat terhadap seseorang lelaki. Mungkin juga petua ini betul, dan mungkin sekali tersasar, tetapi saya telah merasainya dan ia tepat seperti yang dikatakan. Ia barangkali begini:

Bila terpandang, hati kerap berasa tenang dengan sikapnya.

Bila bekerja, serasi sudah tidak perlu dibuat-buat kerana ianya terhasil sendiri.


Bila dilanda masalah, anda orang yang pertama tempat dia meminta pandangan.


Bila dirundung duka, teringat akannya menjadikan hilang keresahan hati.

Bila ketiadaannya sekejap, terasa kehilangannya.


Itu semua adalah anugerah TUHAN kepada hati untuk menyatakan keserasian anda bersamanya. Bukannya ALLAH itu mahu mendorong ke arah cinta yang mungkar, tetapi hakikatnya DIA mahu memberikan isyarat bahawa dia mungkin pilihan anda yang terbaik. Mungkin anda juga pernah merasai isyarat begitu. – selesa dan serasi.

Namun perlu juga diingat, Serasi bukanlah apa-apa syarat untuk menjamin bahawa dia adalah milik anda yang mutlak, tetapi ia sekadar langkah pertama untuk mengenali teman yang rapat dan boleh dijadikan sahabat baik. Ia mungkin juga boleh digunakan untuk mengenali jodoh dan pasangan yang secocok dengan anda, ingat ia bukan syarat tetapi petua sahaja.

Jangan pula anda terus terburu-buru menjadikan pandangan saya ini sebagai dalil mengatakan si dia menyukai anda, ia sekadar apa yang saya lalui dan sedikit pengalaman yang diberikan oleh teman-teman serta beberapa rujukan. Saya jua tidak pasti bagaimana pula cara percintaan anda. Yang penting, jangan melanggari adat dan peraturan agama dalam bercinta. Awas ya!

Penutup;

Sayangilah seseorang yang anda cinta saat dia berada di depan mata, jangan tunggu sehingga dia berjauhan meninggalkan kita. kejauhan dan ditinggalkan adalah satu keperitan dan kepedihan jiwa walaupun ia sebuah ujian. Kesempatan bersama harus digunakan untuk menaburkan bakti dan bukti kasih sayang untuk yang dicintai selagi hayat KEHIDUPAN masih panjang. Buat suami dan isteri, andalah selayaknya memberikan bahagia untuk pasangan masing-masing walaupun kita tahu saat perpisahan itu pastinya berlaku.

_________________________________________


Dapatkan wallpaper & Poster Motivasi KEHIDUPAN daripada saya di sini: afiqsaa'flickr
Sembang-sembang Motivasi bersama saya di sini (Yahoo Mesengger): afiqsaa@yahoo.com
Perkongsian Idea, Pendapat dan Masalah dengan saya di sini: (Email): afiqsa@yahoo.com
Laman Sosial bersama saya di Facebook: type 'my afiq'


Untuk read more, tulis di sini...

5 Responses so far.

  1. lagi artikel yg mnarik & mnyentuh perasaan.

    benar, kita jarng rasai kewujudn org tersyang di dpn kte..

    bla hilng bru trasa hilang.

    tahniah,

  2. salam afiq
    menarik blog afiq ni, nanti ada masa sy akan go through, but definitely not today. Nanti sy link kan blog ni dlm blog sy. Tks sudi btandang di blog sy and share u'r story

  3. "Bila terpandang, hati kerap berasa tenang dengan sikapnya.

    Bila bekerja, serasi sudah tidak perlu dibuat-buat kerana ianya terhasil sendiri.

    Bila dilanda masalah, anda orang yang pertama tempat dia meminta pandangan.

    Bila dirundung duka, teringat akannya menjadikan hilang keresahan hati.

    Bila ketiadaannya sekejap, terasa kehilangannya"

    mnarik kata2 nie, ia lbih dr sbuah petua yg berguna.

    gud luck to penulis blog!!

  4. "Bila dilanda masalah, anda orang yang pertama tempat dia meminta pandangan."
    -- statement ni betul je .. hehe --
    keep on writing this kind of article.. n_n

  5. salam,

    sy pun sokong dgn amAl..tp ditmbh dgn

    'Bila bekerja, serasi sudah tidak perlu dibuat-buat kerana ianya terhasil sendiri..'

    'Bila ketiadaannya sekejap, terasa kehilangannya'

    gud luck ust