Pendahuluan
Lafaz ini disebut ketika mula-mula mengikat tali percintaan (Aku adalah Hamba-Mu lalu Engkau adalah TUHAN-ku):
‘Aku naik saksi bahawa tiada (ada) Tuhan yang disembah melainkan ALLAH, dan Nabi Muhammad saw adalah pesuruh ALLAH’
Dan lafaz ini diungkapkan kerana bukti kecintaan kepada seseorang (Aku mencintai-mu lalu engkau adalah kekasih-ku):
‘Aku terima nikahnya (si Polah binti si Polan) dengan mas kahwinnya 85 ringgit tunai..’
Ketika melalui perjalan hidup lafaz ini pula sering disebut-sebut dan diulang-ulang ungkapannya:
‘Sesungguhnya Solat-ku, Amalan-ku, Hidup-ku dan mati-ku hanyalah untuk-MU Tuhan sekalian Alam. Tiada sekutu bagi-MU..’
‘Ketahuilah, Abang terlalu mencintai-mu..’
Dengan penuh kesedaran bahawa kita telah meletakkan CINTA kepada Si DIA, mengakui pada hati Dia sebagai Tuhan, lantas LISAN dan PERBUATAN juga perlu beriringan jika mahu CINTA terus berkekalan sampai ke akhir hayat. Itulah namanya CINTA sejati. diLAFAZ-kan dengan LIDAH, diakuinya dengan HATI, dan dibuktikan dengan AMALAN. 3 prinsip ini adalah bukti kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada ALLAH taala.
AKAD inilah penghubung Cinta kepada Ilahi (selepas berada dalam Agama Islam).
AKAD itulah bukti cinta kepada seseorang (selepas diijab-kabulkan atau berkahwin).
Prinsip 3 Resepi: Hilang Satu, Hilanglah CINTA
Anda harus tahu bahawa 3 prinsip tadi seumpama sebuah resipi pengukuhan cinta terhadap sesiapa saja yang anda cintai. Ibarat garam, gula dan air di dalam suatu masakan. Kurangnya salah-satu daripada bahan tersebut, maka keenakkan juga akan menjejaskan masakan.
Kurangnya gula tidak mengapa, tetapi jika tiada garam? Bukan saja dibenci bahkan akan dicaci.
Begitu jua cinta kepada ALLAH, mana mungkin cukup sekadar melafazkan ikatan (akad) di mulut semata-mata sedangkan dalam perbuatan dan hati tidak sama dengan pengakuan. Hati ke lain, perbuatan juga lain. Pendek kata, Munafiq namanya. Hamba seperti ini telah bermain ‘kayu tiga’ dengan Tuhan, kononnya di mulut melafazkan cinta tetapi hatinya terpaut pada dunia.
Mulut manusia sememangnya mudah untuk melafazkan apa sahaja termasuk cinta, tetapi apabila sampai kepada suruhan melaksanakan dan mengotakan apa yang telah dilafazkan, ia menjadi berat. Lalu, satu ikatan sudah terputus talinya akibat khianat dalam perbuatan. Begitu yang berlaku pada hati apabila pengakuannya tidak seiring dengan lafaz di mulut, akhirnya sudah dua tali akad terputus menjadikan nilai pengukuhan cinta semakin menjarak dan menjauh. Apabila cinta kepada Tuhan semakin jauh, cinta dunia akan mula mendekati.
Hati itu ibarat cawan yang kosong, jika tidak diisikan dengan air, ia akan dipenuhi dengan udara. Jika tidak ada kebaikan yang mengisi, ia akan dikuasai dengan kejahatan. Cinta dunia akan segar apabila cinta Tuhan semakin pudar.
Bagaimana Cinta yang sebenar dan sejati?
Cinta yang sebenar adalah apabila telah melafazkan akad dengan lidah dan mengakuinya dengan hati, seorang hamba mestilah menterjemahkannya dengan perbuatan (amal ibadah yang diperintahkan). Jika mengakui akan kebenaran rukun Iman dan Islam, maka bukan sekadar tahu di hati tetapi jua melaksanakan suruhan tersebut dengan amalan.
Kerana itulah, taat bukan sahaja terjadi di hati dan lidah tetapi taat juga mesti berlaku pada perbuatan. Lidah, hati dan anggota (perbuatan) adalah seiring dalam menterjemahkan cinta kepada seseorang (juga kepada ALLAH). Hilang satu resepi, maka kuranglah bukti cintanya.
Seorang suami yang mencintai isterinya, mestilah sanggup untuk memberikan apa sahaja dan menerima apa jua permintaan isteri yang disayanginya tidak sekadar di mulut dan hati tetapi dalam perbuatannya jua. Bersusah payah menjaga, memberi nafkah zahir dan batin, dan segala perbuatan yang menjurus ke arah kemaslahatan orang yang disayangi adalah lambang kecintaannya kepada seorang yang dicintainya.
Apa yang terjadi kebelakangan ini kepada pasangan suami isteri akibat meraka telah kehilangan salah satu daripada 3 resepi pengukuhan cinta atau prinsip yang dilaksanakan tidak seiring. Kerana itulah, tempoh perkahwinan tidak berlarutan panjang. 5 tahun berkahwin sudah mula bermasam muka dan akhirnya berpisah. Puncanya disebabkan suami mudah melafazkan I love you sedangkan isteri ditipu bulat-bulat bahawa si suami sudah mempunyai cinta yang lain di hati.
Kalau menipu sesama manusia, mereka digelar Hipokrit.
Tetapi, menipu dengan Allah taala, mereka layak digelar Munafiq dan Fasiq. Tempatnya sama, kedua-duanya bebas di neraka. Betulkah orang munafiq ini tidak seiring akadnya? Mari dengarkan hadis Nabi saw ini:
‘Tanda-tanda (sifat) Munafiq ada 3. Apabila bercakap mereka menipu. Apabila berjanji mereka tidak menepatinya (bercanggah). Apabila (mengakui) beriman mereka mengkhianatinya’
Resepi Bercinta: Jangan Retorik!
Ketika duduk keseorangan di saat hati merasa bersalah, ingatkan kembali sewaktu mula-mula melafazkan akad di hari perkahwinan. Kalau tidak kerana cinta, mana mungkin akad seindah itu senang dilafazkan di bibir.
Rupanya cinta itu bukan sahaja di hati, tetapi pada tangan yang menjaga sakitnya isteri, pada mulut yang selalu melafazkan cinta, pada kaki yang berjalan mencari rezeki untuk si dia, pada tubuh yang bersusah payah memberikan segala yang terbaik untuk insan yang dicintai. Apabila sudah terlaksana semua tuntutan 3 prinsip, maka lengkaplah sebuah resipi cinta yang enak (indah dan sejati).
Ketika itu, barulah tidak ada prasangka apabila berjauhan, tidak ada cemburu buta dalam hubungan, dan tiada pertelingkahan antara pasangan. Kerana masing-masing sudah lengkap dengan 3 prinsip pengukuhan cinta, maka lahirlah cinta sejati.
Hilanglah hipokrit, datang pula kejujuran.
Tidak ada gunanya jika setiap hari mengucapkan sayang pada pasangan sedangkan di belakang berlaku curang. Sama juga sepertinya seorang hamba yang mengakui kebenaran dan kefardhuan sebuah Solat tetapi sering mengabaikan dan melewat-lewatkannya setiap kali tiba waktu solat.
Mereka mengetahui salahnya sebuah dosa tetapi tetap terus melakukannya tanpa merasai apa-apa. Lafaz cintanya yang dahulu telah hilang bersama cinta barunya kepada dunia dan nafsu. Akad di hati dan di lidah semakin terputus apatah lagi pada perbuatannya semakin menjauh.
Akhirnya Tuhan tergadai kerana dunia yang menggapai.
Penutup:
AKAD itu penghubung CINTA, mengakui dengan HATI, membenarkan dengan LISAN, dan beramal dengan PERBUATAN. Sehari semalam 5 kali akad ini dilafazkan, disusuli dengan amal dan niat IKHLAS di hati pastinya akan menerbitkan CINTA. Sesungguhnya HIDUP-ku dan MATI-ku hanya untuk-MU. Semakin kuat IKATAN, semakin RAPAT rindunya, semakin hari, semakin SAYANG jadinya.
Cinta itu mengakui dengan hasrat HATI.
Cinta itu melafazkan dengan LIDAH.
Cinta itu melaksanakan bersama PERBUATAN.
Barulah lahirnya sebuah cinta dengan ukuran dan nilai yang sejati. Sejatinya cinta akan mengekalkan seorang hamba kepada kejujuran hingga ke akhir hayatnya, kepada Tuhan dan jua kepada orang yang dicintainya.
[Usah Jemu Memberi]
Untuk read more, tulis di sini...
0 Responses so far.
Post a Comment