CINTA dan Bahagia adalah sinonim (lumrah), mereka jua adalah teman sejati,
kerana itu ia disebut sebagai 'cinta sejati'


Apabila ALLAH menciptakan perasaan yang dinamakan CINTA, dia melandasinya dengan beberapa panduan supaya manusia tidak terjatuh ketika mengendalikannya. Andainya sembahyang mempunyai rukun serta syarat tertentu, mana mungkin perkara lain yang dijadikan tidak mempunyai garis pandu. Maka, tidak terkecualilah pada CINTA turut ada peraturannya.

Cinta adalah terjemah daripada perbuatan, oleh kerana ia suatu yang abstrak, ia tidak boleh diterima dan diberi seperti mana sebuah barangan. Oleh itu, cinta juga diistilahkan sebagai perbuatan. Apabila ia memasuki makna perbuatan, ia layak diletakkan dengan syarat, rukun dan panduan. Siapa yang berjaya mematuhinya, dia akan memperolehi cinta sejati yang bakal melahirkan (mengeluarkan) produk bahagia.

Cinta ibarat sebuah susunan warna, ia disusun berperingkat-peringkat agar kelihatan cantik apabila dipandang. Bermula dengan warna lembut dan diikuti pula dengan warna-warna yang menyusul selepasnya. Gabungan susunan warna tersebut akan menghasilkan cinta yang penuh dengan warna-warni kebahagiaan. Anda pasti dapat membayangkan jika salah satu daripada warna-warna penting itu hilang, lalu apakah yang akan terjadi?

Rukun dan susunan warna itu sebenarnya suatu simbolik syarat kepada hasil cinta yang sama. Jika hilang satu warna atau dilanggari salah satu rukunnya, maka cinta bukan lagi melahirkan bahagia, ia akan menjadi erti yang sebaliknya – mungkin bahagia akan bertukar bahaya.

Sudah semestinya anda yang mahu bercinta merasa takut-takut dan bertanya-tanya, bagaimanakah jika diri tidak mampu untuk menurut kehendak cinta atau lebih mudahnya terlanggar akan syarat dan peraturannya. Terlanggar mungkin tidak mengapa kerana ia bukan kehendak, tetapi jika sengaja, bahagia dengan sendiri akan rosak.

Oleh itu, mahu atau tidak mahu, sesiapa yang berhajat memasuki gerbang percintaan mestilah bersedia dan sanggup untuk mematuhi segala peraturannya, samada sukar ataupun berat anda mestilah berani menghadapinya, itulah cabaran bercinta. Jangan sesekali melanggar adatnya, anda akan menanggung akibatnya nanti. Lalu, cinta bagaimana yang dikatakan tidak memprodukkan kebahagiaan?

Sambung bacaan anda pada sub-tajuk di bawah:


Apabila Tersasar Daripada Prinsip dan Rukun CINTA

Ramai orang yang terjadi situasi putus cinta dipertengahan jalan menyalahkan antara satu sama lain. Lelaki menyalahkan perempuan kerana meminta putus, perempuan pula menunding jari kepada lelaki kerana tidak setia. Namun, tidak pula mahu melihat kepada diri yang sudah jauh tersasar daripada prinsip-prinsip cinta yang telah ditetapkan.


Cinta sambil berpasang-pasangan (couple), prinsip ini selalu dilanggar oleh pasangan cinta. Kerana itu, besar kemungkinan cinta mereka jarang menemui bahagia. Jika bahagia pun cuma sementara dirasai. Anda boleh melihat sendiri bagaimana prinsip ini telah dicemari oleh manusia yang mereka sendiri inginkan kebahagiaan daripada hasil cinta mereka.

Jika anda bersembahyang tetapi pakaian yang digunakan tidak menutup aurat, adakah sembahyang itu sah dari segi hukumnya? Sudah tentu tidak. Sembahyang itu akan cacat dan menatijahkan suatu yang buruk jika diteruskan. Arakianlah cinta. Andainya cinta dicampur-gaulkan dengan perlakuan maksiat, maka ia telah membatalkan rukun cinta seperti mana sembahyang tadi. Jika ia berusaha diteruskan dengan jalan yang salah, anda akan menanggung akibat yang buruk nanti.

Jangan hairan jika berlaku putus cinta, lahir anak luar nikah, dan bermacam-macam lagi situasi buruk di dalam masyarakat. Ini adalah akibat berlaku curang atau sikap tidak mematuhi syarat dan rukun dalam bercinta.

Pendek kata, jika mahu sembahyang yang sah dan daripada sembahyang itu menghasilkan sebuah ketenangan dan jiwa yang takutkan tuhan, maka perlu diperhalusi, dipatuhi dan dituruti peraturannya. Kata Nabi saw:
‘Barangsiapa yang bersembahyang tetapi sembahyangnya tidak dapat mencegahnya daripada keburukkan, seolah dia tidak bersembahyang’

Anda yang bercinta tetapi tidak mengimbuhkan bahagia, seperti anda yang tidak pandai bercinta atau jahil akannya. Atau mudahnya dipanggil cinta anda tidak sah, kerana cinta anda bukan sahaja tidak mempunyai apa-apa hasil bahkan buruk pula yang diperolehi – lebih teruk jika cinta yang anda puja-puja dahulu membawa bersama-sama anda untuk ke lembah neraka nanti
(nau’zubillah).

Habis, tak boleh bercintalah?

Jawabnya: jika takut tersasar, tangguhkan dahulu untuk mencari cinta manusia, teruskan pada mencari cinta yang lain, iaitu cinta kepada ALLAH, rasul dan kepada ibu bapa. Selepas selesai dan memperolehi kebahagiaan, barulah beralih.

Jika khuatir tersasar, berlatihlah dahulu sebelum menerokai alam cinta manusia, selain mempunyai banyak mehnah, anda bakal berdepan dengan dosa yang sentiasa menunggu anda di kiri dan kanan di sepanjang melaluinya. Jika tersilap langkah, anda akan hanyut dibawa oleh Sang Syaitan durjana.

Cinta entah ke mana, bahagia pula berganti bahaya.


Apabila CINTA diuji Oleh-Nya (Perpisahan Bukan Maksud Tidak Bahagia)

Cinta tidak boleh dinilai dengan hanya melihat pada mata kasar. Contohnya, manusia yang bergaduh atau berkelahi belum tentu mereka itu bermusuhan, tetapi itu adalah sebahagian daripada jalan untuk merapatkan hubungan.

Apabila anda berani memasuki alam percintaan, anda juga mesti berani melaluinya dan berani apabila disuruh 'keluar' daripadanya, tidak kira samada keluarnya melalui jalan perpisahan atau kematian. Bermakna, sayang mana sekalipun anda pada seseorang, pastinya apabila ditakdirkan berpisah kita mesti berani dan SABAR menerima atau menghadapinya.

Yang pastinya, perpisahan bukan bermakna tidak bahagia. Bagi mereka yang telah berusaha mematuhi peraturannya dengan kesungguhan, perpisahan adalah jalan menemui kebahagiaan yang baru buatnya. Perhentian yang seketika ini (perpisahan) merupakan titik permuhasabahan semula bagi cinta lama untuk mencipta kebahagiaan yang baru.

Kematian juga bukan bermakna kebahagiaan itu akan terputus, bahkan bahagia boleh diteruskan sehingga ke taman syurga jika setia yang dipegang oleh pemilik cinta. Cinta itu pasti akan diuji kerana ia adalah tradisi dan lumrah alam.

Sejarah ada menceritakan tentang kesetiaan cinta seorang nabi agung. Nabi Ibarahim apabila perkahwinan yang pertamanya tidak dikurniakan zuriat baginda mula mencari cinta baru tetapi bukan bermakna cinta lamanya tidak menguntungkan bahagia. Baginda bahagia dengan Siti Hajar, cuma diuji kebahagiaannya dengan ketiadaan zuriat.

Pendek kata, cinta yang tidak bahagia bukanlah cinta yang duji dipertengahan jalan dengan kesakitan dan keperitan, tetapi cinta yang melanggar syarat dan rukun percintaan itulah cinta yang rosak dan tidak menghasilkan bahagia. Melanggar itu bererti melanggar prinsip pencipta perasaan itu, iaitu ALLAH.

Bahagia itu adalah ketenangan, apabila seorang hamba itu diuji oleh TUHAN dengan kesakitan cinta dan hamba itu merasa semakin tenang dan damai, ia merupakan tanda-tanda cinta sejati akan diperolehi olehnya, setelah cinta itu diperolehi akan datanglah kebahagiaan yang di dalamnya terdapat jua ketenangan.

Bahagia itu boleh dicipta dan dicari, ia tidak sesukar seperti yang disangka. Mencari sebuah cinta bererti mencari sebuah kebahagiaan dan begitulah sebaliknya. Tidak rugi jika anda berusaha mencari salah satu daripadanya dan anda akan memperolehi kedua-dua nilai tersebut, iaitu cinta dan bahagia (ketenangan).


Penutup:

Semua manusia pasti inginkan kebahagiaan dalam cintanya. Kerana maksud dan tujuan bercinta itu adalah menghendaki bahagia di dalam
KEHIDUPAN. Cinta kepada ALLAH bererti menginginkan kebahagiaan daripada-Nya.

Biar hidup diseksa dengan ujian, tetapi matinya dalam kebahagiaan yang damai.

[Usah Jemu Memberi]

Untuk read more, tulis di sini...

1 Response so far.

  1. suka baca tulisan abg afiq... macam nak menuntut je rasa. hehe