'Walaupun CINTA-ku pada yang lain, namun SETIA-ku harus pada yang satu'


‘Kau gila? macam mana aku nak lamar dia, yang sudah ada ni nak letak kat mana, Man!’ Ujar Hadi, ada garis-garis keliru pada wajahnya.

‘Adi, dalam banyak-banyak lelaki di kuliah ni, kau seorang je yang ramai peminat tau!’ Usik Razman.

‘Eh, betul apa?’ Tambah Rusydi pula. Berpakat dengan Razman mengenakan Hadi. Sekadar mahu menceriakan suasana malam itu. Siang tadi, peperiksaan akhir semester baru menutup tirainya, sehari dua lagi bermula pula cuti panjang. Kesempatan malam itu sengaja diruangkan untuk menghilangkan penat-lelah peperiksaan.

‘Sepatutnya kau oranglah yang tolong aku untuk buat keputusan. Ini bikin aku runsing lagi adalah’ balas Hadi lagi. Sesekali dia menyedut air di hadapannya membasahkan kekeringan tekak.

‘Cinta boleh datang kemudian. Kau juga yang mengajar aku dulu,’ ujar Razman. Mahu memujuk.

‘Jangan lambat-lambat Adi, nanti melepas baru berguling! Haaa..’ Kali ini Rusydi menambahkan kekeliruannya lagi.

Hadi mengelus kecil, bersama rungkai-rungkai kerisauan dan kegalauan di dalam hatinya. Kali ini, jiwanya benar-benar diuji dengan perasaan cinta. Belum pernah situasi begini terjadi dalam diari hidupnya. Dan hari ini dia membenarkan segala-galanya adalah realiti, bukanlah hanya wujud di dalam helaian novel-novel cinta yang pernah digilai dahulu.

Dia beristighfar panjang. Malam itu belum lagi menghadirkan suasana gembira seperti yang dia inginkan. Dalam hiruk-pikuk dan hilai tawa rakan-rakannya, dia keseorangan memencilkan diri dan membisu. Kotak fikirannya silih berganti memikirkan sebuah keputusan. Wajah dua orang wanita sekejap-sekejap muncul di birai matanya, seolah-olah menuntut cinta mereka.

Dia berfikir seketika, tiba-tiba teringat akan seorang temannya di Kolej Kenari. Mungkin dia saja yang boleh memberikan jawapan dalam saat-saat genting sebegini.


_____________________________________________



‘Adi, Adi..’

Dari jauh kedengaran suara Razman memanggil. Hadi segera menoleh, menutup buku-bukunya dan menolak seketika ke tepi. Bangkit menuju ke arah Razman, kelihatan seperti ada suatu yang penting.

‘Ssshhhh, hey slow-lah sikit, inikan library,’ terkocoh-kocoh Hadi mendapatkan Razman, dia memandang ke kiri dan ke kanan. Semua Pelajar memerhatikannya. Hadi tersengih malu.

‘Ada apa ni Man? Macam jumpa hantu je,’ soal Hadi.

‘Tengok ni. Jeng, jeng, jeng! Kek Coklat kegemaran kau,’ Pantas Razman menghulurkan bungkusan balutan merah kepada Hadi. Apabila dibuka, sememangnya kek coklat kegemarannya dalam balutan tersebut. Bau sudah semerbak menusuk ke hidung. Dia tersenyum.

‘Pemurah pula kau hari ini Man. Sesekali macam ni, aku pun seronok berkawan dengan kau,’ Ujar Hadi, gembira dapat menjamah kek kesukaannya. Lagipun sudah lama makanan itu tidak dijamah.

‘Aku memang pemurah Adi. Tapi ada yang lagi pemurah daripada aku. Dialah yang beri kek ni,’ barulah Razman memberitahu hal yang sebenar. Tersedak kecil Hadi dibuatnya.

‘Siapa?’

‘Nur. Dia yang bagi. Lepas kuliah tadi dia ada mesej nak jumpa aku, ingatkan ada hal persatuan, rupanya nak kirim kek ni pada kau,’ Kali ini Razman pula yang bersungguh-sungguh menjamah kek coklat tersebut, Hadi pula sudah berhenti mencubit bila mendengar nama gadis itu, Nur.

‘Sudahlah, jangan fikirkan banyak-banyak. Kek ni habiskan dulu, biar lama-lama nanti basi. Rezeki jangan ditolak’

Tut, tut. Bunyi mesej masuk. Hadi pantas membuka.

SALAM WBTH HADI. MAAF GANGGU KAMU. ADA TERIMA KEK COKLAT DARI RAZMAN? KEBETULAN LEPAS USRAH MALAM TADI KAMI ADA BUAT BIRTHDAY PARTY UNTUK ANAK USRAH, LEBIHAN KEK ITU TAK ADA SIAPA NAK HABISKAN. TERINGAT PADA KAMU, SAYA SIMPANKAN. KALAU TAK SEDAP BERITAHU, SEBAB HAND MADE JE!

Tidak berkelip mata Hadi membaca mesej tersebut. Nur terlalu baik dengannya. Bukan sekali ini sahaja, tetapi sudah banyak pemberian yang diterima daripada gadis tinggi lampai itu. Hadi pula, sesekali saja membalasnya. Mungkin Kelab Sasterawan ini yang telah mengeratkan hubungan mereka.

‘Ah, kawan biasa je’ bisik hati kecilnya, sekadar mahu menyedapkan perasaannya yang bercampur-baur. Gadis bertudung labuh itu sangat jujur. Dua tahun, suatu masa yang lama mengenali hati budi gadis itu. Nur, tidak seperti gadis lain. Banyak yang dia tertarik pada gadis itu sejak mula berkawan dengannya.

Nur – Gadis riang yang tidak pernah ada sedih di raut wajahnya. Seiring namanya yang membawa erti cahaya.


____________________________________________



‘Ummi bukan apa Adi, nak tengok kamu hidup senang, bahagia,’ Hajar, orang tua yang separuh abad umurnya. Sejak kecil lagi tidak jemu-jemu memberi nasihat. Untuk kali ini, Hadi terpaksa mengalah kerana ia adalah sebuah hasrat seorang ibu.

‘Dua tahun tu tak lamapun Adi. Pejam celik pejam celik, habislah kamu belajar nanti. Masa tu, kalau kamu nak berkahwin pun Ummi tak risau dah,’ Tambah Umminya lagi, dia benar-benar menyatakan hajatnya. Hadi tidak mampu melawan.

‘Kamu jangan bimbang soal bertunang, kita buat yang wajib aje,’

Memang pada asalnya malam itu Hadi berhajat mahu memberitahu kepada Umminya agar dipercepatkan hari perkahwinannya, paling kurangpun mahu mengikat tali pertunangan, namun hasratnya itu terbatal apabila Umminya mula bersuara demikian. Mahu membantah, dialah satu-satunya insan yang tinggal sebagai sumber kehidupan.

Hadi tetap membisu lagi, mendengar saja tutur dari mulut Umminya.

‘Salwa apa khabar? ada dia hantar khabar berita dari sana pada kamu?’ soal Umminya. Beralih ke perbualan lain. Kopi yang siap dibancuh diletakkan di atas meja makan, dihulurkan secawan kopi panas kepada hadi.

‘Alhamdulillah. Katanya nak balik ke Malaysia hujung tahun ni. Balik beraya,’ jawab Hadi. Ada yang serba tidak kena padanya. Wajah Nur muncul tiba-tiba.

‘Sampaikan salam Ummi pada dia. Minumlah kopi tu,’ Umminya beredar ke sinki, membasuh saki-baki pinggan mangkuk yang ada. Sesekali dia mencuri pandang kepada anaknya Hadi. Dia menggelengkan kepala. Anaknya itu masih melayan perasaan sendiri.

‘Ummi..’ panggil Hadi. Tersekat-sekat suara yang mahu keluar dikerongkongnya.

‘Ummi, kalau Adi cakap sesuatu Ummi tak marahkan?’ tiba-tiba Hadi mula bersuara. Terkejut, tetapi Umminya cepat-cepat menyembunyikan.

‘Apa dia tu, Ummi kena dengar dulu,’ balas Hajar, kembali semula ke meja makan lalu melabuhkan punggungnya bersebelahan Hadi.

‘Ummi rasa, Salwa sanggup tunggu tak sampai Adi habis belajar? Kalaulah ditakdirkan Adi tiada jodoh dengan dia, Ummi redha?' Hadi memberanikan diri untuk berkata. Hasrat hatinya mesti diluahkan malam ini. Dia tidak mahu lagi berada dalam dilema.

Ah, dilema itu suatu keseksaan batin.

‘Adi, kenapa bilang macam tu sayang. Ummi tak kisah, siapa pun bakal menantu Ummi, Ummi akan redha. Yang penting bahagia untuk Adi, bahagia juga untuk Ummi. Sudahlah, jangan fikirkan lagi, mari tolong Ummi lipatkan pakaian adik kamu. Esok dia nak balik ke asrama dah,’ balas Umminya lembut. Hadi puas dengan jawapan Umminya. Hanya tinggal pada dirinya saja untuk membuat segala keputusan. Keputusan yang sangat penting.

Ya, Ini adalah soal hidup dan matinya. Soal jodoh. Wajah Nur dan Salwa muncul lagi. Bermain-main di hujung matanya. Silih berganti menghadiahkan senyum sinis buatnya. Cepat-cepat dia beristighfar.

‘Ya ALLAH, tunjuki aku dalam persimpangan ini..’ akhirnya dia mengalah, tidak mampu melawan perasaan yang berkecamuk di dalam dadanya. Terlalu berat dilema dan perasaan yang harus ditanggung ketika ini.

Antara janji Salwa dan kejujuran Nur, dia harus membuat pilihan yang tepat tanpa mengguris hati kedua gadis itu.

‘Huh!’

Dia mendengus. Membuang segala kekacauan yang berkumpul di hati. Malam terus berlalu, hanya kedengaran suara pungguk dan cengkerik yang asyik dengan alunan bunyi mereka. Bunyi-bunyi itulah yang menghiasi dan mengindahkan panaroma malam.

Sunyi.


__________________________________________


SALAM WBTH HADI, MAAF GANGGU KAMU. LEPAS KULIAH NI, TUNGGU SEKEJAP YA. KALAU FREE SAYA NAK JUMPA. ADA HAL PERSATUAN.

Begitulah mesej yang baru diterima daripada Nur sebentar tadi. Seusai kuliah dia ke belakang bilik kuliah, mencari-cari kelibat Nur. Dia harus segera beredar kerana telah berjanji dengan Razman mahu bertemu dengannya di Kafe Kenanga.

‘Assalamualaikum’

‘Waalaikumsalam, Nur. Maaf tak perasan awak ada kat sini. Ada apa ya nak jumpa saya tadi?’ Hadi terkejut apabila Nur muncul tiba-tiba tanpa disedari. Bersama Nur ada teman karibnya Faeza.

‘OK, Straight to the point. Saya baru balik dari bilik Dekan tadi, HEP ada minta kita manage satu program untuk minggu bahasa bulan depan. Jadi, paper work kita kena hantar selewat-lewatnya dua minggu dari sekarang,’ Ujar Nur panjang lebar. Mata Hadi hanya tertumpu pada wajah ayu Nur.

‘Ok, thanks for the info. Jadi kertas kerjanya saya akan buat atau awak nak buat Nur?’ soal Hadi.

‘Kalau kamu sibuk, saya yang buatkan pun tak mengapa. Terpulanglah,’ ringkas Nur memberi kata putus. Hadi berfikir-fikir sejenak.

‘Begini, kalau kali ini awak pula yang buat boleh? bila siap nanti saya akan semak,’ Hadi memberi cadangan. Nur hanya mengangguk. Kebiasaannya Hadilah yang akan menyiapkan segala kertas kerja, namun kali ini dia agak sibuk, dan terpaksa menyerahkan tugas itu kepada Nur.

‘Ok, Boss!’ Gurau Nur. Ketiga-tiga mereka serentak ketawa.

‘Ohya, saya ada siapkan nota ringkas untuk subjek Komunikasi. Kalau kamu nak saya ada fotostate lebih,’ ujar Nur. Dia menghulurkan nota itu kepada Hadi. Dengan tersipu-sipu Hadi mencapainya.

‘Terima kasih banyak-banyak Nur, saya ni selalu je menyusahkan awak,’ Hadi berseloroh, malu pun ada.

‘Tak susahpun, tolong kawan-kawan yang memerlukan. Kalau macam tu saya minta diri dulu ya Hadi. Paper work tu saya akan usaha siapkan secepat mungkin,’ Nur terus beredar dari situ. Dari jauh Hadi tidak lepas memandang Nur.

Dia terhutang budi lagi pada Nur. Nota yang diberikan tanpa diminta itu sebuah syafaat yang besar di saat-saat peperiksaan nanti. Lagi pula, dia terpaksa menyusahkan gadis itu buat sekian kalinya, meminta agar disiapkan kertas kerja program. Bertambah rasa bersalahnya kepada Nur. Namun dia tahu, Nur bukan seorang yang akan mengecewakan sesiapa, setiap arahan pasti akan dituruti. Hadi bertuah bekerja dengan gadis yang ringan tulang seperti Nur. Tidak hairanlah kebanyakkan persatuan berebut-rebut untuk mendapatkan khidmat dan air tangan Nur dalam mengendalikan selok-belok sebuah persatuan.

Nur memilik ciri-ciri segala kelengkapan seorang wanita. Bukan setakat cantik, tetapi bijak dan aktif. Sukar untuk mencari gadis yang mengambil bidang profesional yang bertudung labuh dan mempunyai kefahaman Islam seperti Nur, dalam kolej itu boleh dibilang dengan jari. Satu dalam jutaan gadis.

Lama Hadi termangu. Rupanya dia sudah berkhayal jauh. Terus dia melangkah ke garaj mengambil motor, janji dengan Razman sudah terlewat hampir setengah jam.

‘Lewat lagi. Ah! Mati aku nak menjawab,’ rungutnya.

[bersambung…]

Untuk read more, tulis di sini...

3 Responses so far.

  1. best cerpen ni...x sbr nk baca sambungan nya..

  2. abg, esok sambung yang 2 lak tau. mana leh stop time suspend. adoi... tersiksa jiwa. hehe

  3. SUMAIYYAH: insyaallah ada sambungannya nanti.

    SAYANGIBU: episod 2 dah ada dah, tengok artikel seterusnya, episod 3,4,5,6 dan ........... je yang tak ada lagi. tunggu ya Mat, macam drama lah, seminggu sekali je.

    for ALL: teruskan membaca dan menyokong!!