Nur - Gadis riang yang jarang mengecewakan sesiapa.
Wajahnya kerap tenang membiaskan cahaya seiring budinya yang mulia.


Sejak kebelakangan hatinya sering teringat akan gadis itu, seminggu selepas pertemuannya dengan Ustaz Taufiq, dia masih yakin bahawa muslimat yang bertanyakan itu adalah Nur, walaupun di hatinya masih berteka-teki. Namun, nama Nur saja yang sering diingati.

‘Mungkin ya, mungkin juga tak. Ah! Aku ni perasan pula’ detik hati kecilnya.

Dia mengalihkan duduknya. Baki assignment terbiar di hadapannya, laptop dibiarkan menyala. Sedari tadi fikirannya tidak boleh tertumpu pada assignment. Menaip sepatah, berhenti sekejap. Teringat pertemuaannya dengan Nur siang tadi. Hadi tersenyum sendiri.

‘Kalau tak keberatan, saya nak minta kamu temankan saya, Faeza dan Yuna ke Carrefour hujung minggu ni. Nak cari barang-barang persiapan untuk program minggu bahasa kita’ Ujar Nur.

‘Insyaallah. Tapi saya kena tanya pada Razman dulu, kalau dia free boleh kita ajak dia sekali,’ balas Hadi.

‘Hmm, bagus juga cadangan tu. Saya tak kisah, lagi ramai lagi bagus. Boleh tolong angkatkan barang-barang’ Nur tertawa kecil. Hadi juga.

‘Wah! Mengangkat barang ya? Kalau macam tu, awak dengan Faeza kena belanja kami makanlah?’ seloroh Hadi.

‘Aisy, sepatutnya boss lah kena belanja anak buah, bukan kami. Tak gitu Eja?’ balas Nur bersahaja. Faeza tersenyum kecil.


‘Hmm, apa-apa jelah awak ni Nur, dah pandai mengenakan saya ya! OK, kalau macam tu, awak ingatkan saya semula tentang ini, bimbang saya terlupa’ kata Hadi.

‘Insyaallah, terima kasih sebab luangkan masa. Kami mohon diri dulu, nak ke kuliah. Assalamualaikum!’

‘Waalaikumsalam!’

Hadi tersenyum sendirian lagi. Semakin jauh fikirannya melayang-layang. Tersedar apabila telefon bimbitnya berbunyi.

‘Terkejut aku, mesej rupanya’ bisik Hadi.

‘SELAMAT HARI LAHIR KE 25, MOGA DIPANJANGKAN UMUR DALAM KEBAHAGIAAN DAN KEBERKATAN’ P/S: JANGAN LUPA TEMU JANJI KITA, BELI BARANG UNTUK PROGRAM MINGGU BAHASA WEEKEND NI. (NUR)

‘Lah, birthday aku rupanya hari ini. Aiseh, macam mana boleh lupa, dia pula yang ingat’ bisik Hadi sendirian sambil tersengih. Pantas dia menyambung menaip baki-baki muka surat yang terbiar tadi. akhirnya tidak sedar yang dia tertidur di meja belajar sehingga dikejutkan oleh Razman pagi itu.

Jam menunjukkan ke angka 6 pagi. Dia bergegas ke bilik air mengambil wudhu untuk menunaikan Sembahyang Subuh. Razman sedang menunggu di tikar sejadah untuk berjemaah.


________________________________________


Hadi mulai hairan, masuk hari ini sudah tiga hari Nur tidak hadir ke kuliah Komunikasi. Tiga hari itu jugalah dia tidak melihat kelibat Nur di kawasan kolej. Bila ditanyakan kepada Razman, dia juga menjawab tidak tahu.

Kebiasaannya, Nur akan hadir awal ke kuliah. Sudah maklum, Nur dan Faeza orang yang akan membuka bilik kuliah, membersihkan kawasan bilik itu dan duduk membaca buku jika tiba awal. Tetapi, 3 hari kebelakangan ini, tidak pula begitu. Jangankan ke kuliah di awal pagi, batang tubuhnya pun tidak kelihatan di sekitar kolej ini. Paling kurangpun pun jika tidak ke kuliah, Nur akan menghantar mesej pesanan kepadanya untuk memaklumkan kepada pensyarah tentang ketidakhadirannya ke kuliah.

Hadi mencuri-curi pandang ke belakang ketika kuliah sedang berlangsung, kalau-kalau terlihat kelibat Nur, tetap tidak ada. Hanya Faeza yang tekun menyalin nota. Dialihkan pula pandangan ke arah Razman dengan membuat isyarat kening, Razman pula mengangkat bagu tanda tidak tahu. Hadi mendengus kecil.

Seusai kuliah, Hadi berlari mendapatkan Faeza, mahu bertanyakan tentang perihal Nur.

‘Maaf, menganggu awak Faeza. Dah lama saya tak nampak Nur datang ke kuliah. Dia sakit ke?’ soal Hadi.

‘Oh, Nur tak beritahu awak, dia demam panas, doktor beri cuti seminggu. Insyaallah dua tiga hari lagi sembuhlah. Risau ya?’ Jawab Faeza sambil tersengih kecil.

‘Syafakillah. Tak ada pula dia beritahu saya. Kalau macam tu tak apalah. Sampaikan salam saya pada Nur’ Ujar Hadi. Sedikit terkejut dikhabarkan dengan keadaan Nur yang sakit.

‘Insyaallah’ balas Faeza ringkas.

‘Terima kasih Faeza, saya minta diri dulu. Assalamualaikum!’

‘Waalaikumsalam’

________________________________________


Malam jumaat itu, Hadi tidak mampu menahan perasaannya. Langsung dia terus ke rumah Fuad. Di situ dia boleh bercerita sepuas-puasnya. Fuad, teman sepersekolahannya semasa di sekolah menengah dahulu walaupun sekarang ini mereka berada di dalam fakulti yang berlainan. Namun, dia lebih banyak mengetahui rahsia Hadi. Segala soal hati hanya Fuad tempat diluahkan.

‘Kau betul-betul simpan perasaan pada Nur?’ Soal Fuad bersungguh-sungguh. Hadi hanya diam seribu bahasa. Terlalu sukar untuk memberi jawapan pada soalan Fuad. Namun, hati dan perasaannya telebih dahulu berkata YA. Bukan hari ini, tetapi 2 tahun yang lalu sehinggalah kini. sebelum dia mengenali Salwa lagi, Nur gadis yang pertama berjaya memikat jiwa lelakinya.

‘Susah aku nak gambarkan perasaan aku Fuad,’ luah Hadi. Sepatah demi sepatah cuba dirungkaikan.

‘Aku faham perasaan kau Adi, kau terikat dengan Salwa. Tapi perasaan dan hati kau ada pada Nur. Dari cara kau aku dah tahu’ tambah Fuad lagi, mahu memujuk Hadi supaya meluahkan isi hatinya yang sebenar.

‘Kenapa Tuhan uji aku begini Fuad? Banyak dugaan yang aku sanggup hadapi seorang diri, tapi bila sampai pada perasaan dan cinta, aku tewas! Aku menyintai orang yang tidak sepatutnya aku cinta’ Hadi tidak dapat menahan perasaan sedihnya, setitis air matanya mengalir. Cepat-cepat diseka dengan hujung jari. Fuad datang merapati Hadi.

‘Nur sangat baik pada aku. Biarlah aku berterus terang pada kau, aku menyimpan perasaan pada Nur sejak di awal pertemuan dengan dia. Tapi perasaan itu aku simpan. Siapalah aku ketika itu mahu menjadi teman Nur. Dia terlalu sempurna’ luah Hadi lagi, kali ini dia lebih beremosi. Air matanya laju mengalir.

‘Walaupun Salwa yang aku cinta, namun Nur tak pernah padam dalam hati aku. Dia sumber inspirasi aku setiap kali aku lemah. Aku dapat rasakan Nur tak kan hilang sampai bila-bila’ Fuad datang menenangkan Hadi yang mula lemah. Menggosok perlahan-lahan dibelakang Hadi.

‘Adi, kalau kau betul-betul cintakan Nur, kau mesti berani untuk buat keputusan. Kau tak boleh terus-menerus duduk dalam dilema macam ni. Aku tak mahu ada sesiapa yang akan dikecewakan nanti. Mungkin Nur juga ada menyimpan perasaan pada kau, kau mesti berterus terang! Biar terseksa sekarang, daripada merana selama-lamanya’ ujar Fuad, dia cuba meleraikan perasaan yang terbuku di hati Hadi.

‘Berdoalah pada ALLAH agar Dia memberikan petunjuk pada kau. Istikhoroh adalah jalan terbaik. Andainya Nur itu ditakdirkan jodoh kau, Tuhan akan mudahkan jalan untuk ke sana. Percayalah!’ pujuk Fuad bersungguh-sungguh. Fuad memang memahami perasaannya ketika ini. Hilang sedikit kesedihan di hatinya.

Suasana dibiarkan lama menyepi. Fuad memberi ruang untuk Hadi berfikir.

‘Maaf Adi, aku tak berniat untuk pisahkan kau dengan Salwa. Tetapi jika situasi begini berterusan, ia takkan selesai. Pokoknya, kau mesti berani dan yakin dengan keputusan hati kau sendiri’ tambah Fuad.

‘Terima kasih Fuad kerana memahami aku. Bila jadi macam ni, aku tak tahu nak luahkan pada siapa. Ummi aku pun tak faham apa yang aku alami. Kau je tempat aku nak ceritakan segala-galanya, maafkan aku kalau menyusahkan kau Fuad’ perasaan Hadi mulai tenang, tidak seperti tadi. Hadi sudah mulai mengerti, saat ini dia perlu berani untuk membuat apa jua keputusan kerana ia merupakan soal hidup dan matinya.

‘Dah lewat malam ni, kau tidur saja di rumah aku. Lagipun esok kau tak ada kuliah kan?’ pelawa Fuad. Kebetulan rakan serumahnya pulang ke kampung, jadi Fuad duduk seorang diri.

‘Hmm..’ balas Hadi pendek. Dia terus dibuai perasaan. Kali ini wajah Nur muncul dengan senyuman manis.

Malam semakin larut. Sepi.

_____________________________________________


Hadi benar-benar bertekad, sudah sampai masanya dia membuat keputusan terbaik untuk dirinya dan insan yang disayanginya. Ramai sudah rakan-rakannya yang telah memberikan pendapat serta sokongan, hanya yang tinggal adalah keputusan di tangannya sendiri.

Semalam dia menelefon Ustaz Taufiq untuk bertemu dengannya. Ustaz Taufiq menyatakan persetujuaan walaupun agak terkejut kerana tempoh yang diberikan untuk Hadi memberikan jawapan masih lagi jauh. Namun, Ustaz Taufiq menurutkan saja permintaan Hadi untuk bertemu. Petang itu, selepas menunaikan sembahyang Asar Hadi bergegas ke Restoran yang dijanjikan untuk bertemu dengan Ustaz Taufiq.

‘Ana pun terkejut, cepat sungguh kamu buat keputusan. Kamu dah fikir masak-masak?’ soal Ustaz Taufiq.

‘Ana tak berniatpun nak memaksa kamu menerima lamaran itu, cuma apa yang ana lihat kamu saja yang layak dengan muslimat tu’ sambung Ustaz Taufiq. Hadi tekun mendengar. Mencari ruang-ruang dan semangat untuk bersuara, menyatakan keputusan.

‘Lagipun, muslimat tu sudah tidak lama di kolej ni, mungkin sebelum graduate dia nak mencari seorang lelaki yang boleh menjaganya bila dia keluar nanti’ ujarnya.

‘Jadi, apa keputusan kamu Adi?’ soalan itu mengejutkan lamunan Hadi. Dia menyedut minuman, meraih sedikit kekuatan.

Sepi seketika. Lama Ustaz Taufiq menanti jawapannya.

‘Beginilah Ustaz, saya amat menghargai lamaran daripada muslimat tu, jarang saya jumpa Siti Khadijah yang berani sepertinya, saya kagum! Tapi, mungkin dia belum lagi bertemu dengan Muhammad yang setanding dengannya, dan mungkin ia akan muncul nanti. Yang pastinya, saya bukanlah Muhammad itu’ balas Hadi lembut. Dia berbahasa dalam menolak pelawaan itu.

‘Kamu ni Adi, terus terang sajalah. Ana tak pandai nak berbunga-bunga macam ni’ seloroh Ustaz Taufiq.

‘Saya dah buat keputusan, saya terpaksa menolak lamaran muslimat itu. Saya sudah ada pilihan sendiri ustaz. Lagipun ini untuk masa depan saya juga’ balas Hadi lagi. Dia menarik nafas lega, apa yang sekian lama terbuku telah dilepaskan walaupun sehingga kini dia tidak mengenali muslimat itu.

‘Terima kasih Adi, ana menghormati keputusan kamu. Saya akan sampaikan jawapan kamu kepada muslimat itu nanti. Kamu tak mahu tahu siapa dia?’ sengaja Ustaz Taufiq menduga. Hadi terdiam.

‘Tak mengapalah Ustaz, saya faham. Biarlah dia saja yang mengenali saya, sampaikan salam persahabatan saya untuknya’ pendek saja Hadi membalas. Ustaz Taufiq hanya tersenyum.

‘Insyaallah…’

Petang itu, selepas Ustaz Taufiq beredar meninggalkan restoran itu, Hadi masih lagi keseorangan duduk di situ. Hampir ke waktu Maghrib barulah dia pulang. Dalam perjalanan, dia singgah di masjid menunaikan Sembahyang Maghrib. Dia bercadang mahu ke gerai makan bersama Razman untuk mengisi perut sebagai makan malam tetapi Razman masih lagi berkuliah, terpaksa ditangguhkan makan malamnya selepas Isya nanti.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi mengisyaratkan mesej masuk.

SALAM WBTH ADI. MAAFKAN AKU MENGGANGGU KAU. KENAPA KAU TOLAK LAMARAN USTAZ TAUFIQ, KAU TAHU YANG MELAMAR KAU TU NUR? MAAF ADI, AKU TAK BERNIAT NAK MEMAKSA KAU, TAPI AKU TAHU KAU MENIPU PERASAAN KAU SENDIRI. (FUAD)

Lemah longlai lutut Hadi apabila membaca mesej daripada Fuad. Dia sudah menjangkakan bahawa Nur-lah orangnya. Dia cuba menahan perasaan agar terkawal. Namun, air matanya tertumpah jua, mengalir halus di pipinya. Tidak tahu pada siapa harus diluahkan rasa sedih ketika itu.

‘Nur…’ hatinya berbisik halus.

Hadi melangkah perlahan, tidak tahu ke mana harus dituju saat ini.


__________________________________________


Sebulan telahpun berlalu begitu pantas, namun peristiwa itu masih lagi segar dalam ingatan. Segarnya kerana dia diulit rasa bersalah yang belum berkesudahan. Bersalah kepada Nur kerana menolak lamarannya dan jua pada diri-sendiri kerana menipu perasaan hati.

Dia sendiri masih tidak faham dan tegar untuk menghadapi situasi ini sehingga kini. Masa belajarnya kadangkala diganggu oleh perasaan yang bukan-bukan. Menolak-nolak hatinya agar terus merasa bersalah. Saat ini dia masih belum yakin dengan keputusannya yang dibuat sebulan yang lalu, semasa tekadnya bertemu dengan Ustaz Taufiq.

Hanya Fuad saja yang sudah mengetahui keputusan ini. Razman mahupun Rusydi masing-masing tidak tahu. Bagi Hadi, dia harus menjauhi Nur, agar gadis itu tidak terus menyimpan perasaan terhadapnya. Namun dia masih terikat dengan kerja-kerja persatuan yang memaksanya untuk terus menatap wajah cantik gadis itu.

‘Nur mesti dijauhi tapi tidak sesekali aku mampu membuangnya’ bisik hati halusnya. Membuang Nur dari hatinya bereti membuang segala kebaikkan dan sebuah semangat hidup. Nur adalah segala-galanya untuk Hadi.

Hadi membetulkan duduknya. Televisyen yang menayangkan cerekarama langsung tidak dilayan. Lebih suka memikirkan sesuatu jika duduk seorangan. Sementara menanti Razman dan Rusydi yang keluar membelikan makanan malam, dia berehat di ruang tamu.

Hadi sukar untuk keseorangan, wajah-wajah wanita itu akan kerap muncul menjadikan perasaannya sering bertukar sedih.

Hadi mengeluh halus. Sepi dan sunyi.

Telefonnya berbunyi. Mesej masuk. Hadi mulai takut untuk membaca mesej-mesej yang masuk. Bimbang mesej itu yang bakal melukai hatinya lagi. tiba-tiba sahaja hatinya berdebar-debar. Lama dia membiarkan akhirnya dia membukanya.

[
bersambung ke episod akhir...]

Untuk read more, tulis di sini...

1 Response so far.

  1. haha. abg memang jahat la. ingtkan 3episod je. ana dah nak ke syria hari ni. lambat pulak la nak dapat baca lepas ni... sedih tul...