Masuk pagi ini, sudah 3 kali berturut-turut Ahmad bangun lewat, bermakna Solat Subuhnya di kala matahari sudah naik segalah. Oleh kerana kelewatan tersebut, waktu ke kuliah juga terganggu, kadangkala dia menjadi tumpuan seluruh pelajar akibat kelewatannya masuk ke dewan kuliah. Hari esok belum pasti lagi, sedari tadi dia terlalu berfikir akan puncanya.

Sejak kebelakangan ini, masanya banyak dihabiskan dibilik gerakan persatuan, kadang-kadang membawa sampai ke lewat malam. Kerja seorang diri tidak menjadi masalah untuknya , yang penting segala urusannya selesai seperti yang dia mahukan. Dia amat bersungguh dalam kerja persatuan, selalu mahukan yang terbaik.
Akhirnya, apabila terlalu leka dengan urusan itu, dia telah mengabaikan urusan ibadatnya. Dia tahu akan salahnya dan seringkali memikirkan soal itu.

Tengahari tadi, dia tidak sempat untuk bersama-sama rakannya ke kuliah Zohor yang selalu diikuti sejak di awal semester, mesyuarat Sambutan Pelajar Baru perlu dihadirinya serentak dengan waktu kuliah Zohor tersebut. Hajatnya mahu turut serta dalam kuliah Maghrib tetapi tidak kesampaian apabila terpaksa meninggalkan kolej untuk mencari barang keperluan program. Malam itu dia tiba di rumah lewat jam 1 pagi, akhirnya terus terlelap di bangku meja ruang tamu rumahnya.

Sambil duduk bermenung, dia akui kebelakangan ini masanya untuk ibadat sudah mulai berkurang. Ke masjid hanya 2 kali seminggu, zikir selepas sembahyang hanya diambil yang ringkas-ringkas. Banyak kuliah agama di surau-surau kediaman yang selalu dihadiri sudah tidak lagi dihadirinya. Pendek kata, dia bukan seperti Ahmad yang dahulu, berlumba-lumba mengejar fadhilat.

‘Kelibat’ Tuhan semakin pudar dalam diari ibadatnya. Masanya banyak dihabiskan dengan urusan dunia.

MENENTUKAN HALATUJU ‘KEHIDUPAN’ SELEPAS KEHIDUPAN

Sekiranya manusia itu tahu kehidupan yang lebih penting yang perlu dilaluinya selepas ini, sudah pasti mereka akan melebihkan kehidupan yang satu lagi itu. Mereka akan berlumba-lumba untuk mengumpul bekalan yang secukupnya untuk diadili dengan baik supaya dapat masuk dengan tenang ke dalam kehidupan yang kekal abadi itu.

Manusia yang tidak tahu akan halatujunya selapas kematian akan terus leka dengan hal keduniaan. Mereka menyangka tiada lagi kehidupan selepas kehidupan di dunia, sedangkan apa yang dikejar itu cuma bersifat sementara berbanding akhirat yang kekal selama-lamanya. Kata ALLAH dalam firman-Nya:

‘Sesungguhnya kehidupan dunia itu hanya permainan dan tipu daya semata-mata, dan kehidupan akhirat itulah yang lebih baik’

Ibarat mereka yang bermusafir, selepas mengetahui tujuan dan destinasi yang akan dituju, mereka akan tahu sebanyak mana bekalan yang perlu dibawa untuk digunakan semasa dalam perjalanan nanti agar apabila tiba di sana, mereka tiba dengan selamat. Mereka juga perlu berfikir dengan bekalan yang harus digunakan sepanjang keberadaan mereka di tempat permusafiran tersebut. Jika mereka berhasrat mahu menetap selama sebulan, maka bekalan dengan kuantiti sebulan harus disediakan secukupnya.

Maka lebih-lebih lagilah jika destinasi akhir yang akan dituju itu untuk kehidupan selama-lamanya. Lebih banyaklah bekalan yang harus dikumpul. Antara dunia yang sementara dan akhirat yang abadi, manusia yang bijak semestinya memilih akhirat sebagai pilihan yang tepat. Dunia diambil sekadar keperluan dalam tempoh perjalanan ke sana. Lalu, rugilah mereka yang berlumba-lumba untuk dunianya sedangkan bekalan akhirat masih lagi belum memenuhi ‘bakul’ amalannya.

Lebih buruk dan merugikan, ada sebahagian manusia yang di dunia lagi sudah kerugian akibat ‘pelaburannya’ yang salah, namun tidak langsung diambil pengajaran, akhiranya dia turut rugi apabila tiba masa timbangannya di al-Mizan nanti.

Rugi di dunia dan rugi jua di akhirat – itu sebuah kecelakaan!

Kadangkala terasa sedih dan sayu melihat mereka yang sudahlah miskin harta di dunia, mereka ini juga bakal menjadi miskin ‘harta’ di akhirat nanti. Hal kemiskinan mereka di dunia tidak langsung menggerakkan hati mereka untuk lebih dekat kepada ALLAH. Sudahlah merana di dunia, takkan di akhirat nanti mahu juga merasai azab?

Tidak menjadi kesalahan untuk merebut keindahan dunia selagi ia tidak melalaikan daripada mengingati akhirat, bahkan jika betul caranya hal keduniaan itu boleh dijadikan aset untuk dibawa ke saham akhirat. Kereta dan rumah besar yang dimiliki sememangnya dilihat sebagai unsur dunia tetapi ia bergantung kepada sikap bijaksana manusia menguruskannya agar ia boleh bertukar menjadi saham akhirat. Rumah boleh menjadi pahala atau bertukar kepada dosa mengikut cara tuannya mengendalikan hal tersebut.

Manusia ini pelik kerana tidak mahu kepada kebaikkan yang dijanjikan oleh ALLAH taala. Syurga yang Tuhan gambarkan sebagai tempat ketenangan abadi dan pusat segala nikmat mereka tolak dengan mentah hanya kerana nikmat dunia yang tidak seberapa itu. Sabda Nabi saw pula:

‘kalau sekiranya dunia ini berharga di sisi ALLAH swt walau seberat sayap nyamuk nescaya tidak akan diberinya kepada orang-orang kafir walau seteguk air’

(H.R. Tarmizi daripada Sa’ad bin Sa’ad)

Ternyata dunia yang ALLAH sediakan tidak langsung bermanfaat di sisi-Nya jika ia tidak digunakan niainya untuk kebahagiaan akhirat.

‘FULL TIME’ ATAU ‘EVERY TIME?’

Kalau Tuhan yang dicari, hidup mesti lebih dihargai.

Sebagai seorang mukmin yang bijak lagi bestari, anda adalah penentu masa depan anda ke arah mana halatuju kehidupan yang mesti dilebihkan. Sudah tentu jika ditanya, antara hidup yang singkat dan hidup yang selama-lamanya, anda mesti memilih kehidupan yang lama, ditambah pula jika ia dijanjikan dengan kenikmatan.

Lalu, anda harus segera bermuhasabah diri, sepanjang hidup yang dilalui sebelum ini, sebanyak mana anda telah memperuntukkan masa untuk ALLAH? Dan sebanyak mana habisnya masa anda dalam urusan keduniaan? Adakah masa untuk dunia telah dilebihkan berbanding masa untuk bersama-Nya?

Hitung lagi masa anda, dalam tempoh 24 jam yang disediakan, adakah melebihi separuh daripada nilai itu anda telah menyerahkannya untuk DIA semata-mata? Ataupun urusan keduniaan anda telah mengatasi masa untuk akhirat anda? sedangkan anda telah berjanji bahawa anda mahukan syurga apabila dihidupkan kembali nanti.

Sewajarnya masa untuk TUHAN adalah diletakkan pada peringkat yang teratas sekali. Masa untuk-Nya juga terlebih dahulu telah dilabelkan sebagai ‘sepenuh masa’ dalam apa jua perkara. Lalu, masa untuk dunia hanya dijadikan sebagai masa sampingan untuk mendapatkan sesuatu yang sekadar perlu. Tidak rugi jika anda mengutamakan akhirat walaupun diri merasakan ketinggalan dalam urusan dunia, fitrahnya orang yang mengejar akhirat dengan sendiri dunia akan mengekorinya dari jauh.

Nabi Muhammad saw jika baginda inginkan kekayaan dunia sudah pasti baginda orang yang pertama akan memperolehi nikmat tersebut, tetapi baginda sangat khuatir dan selalu melarikan diri daripada kekayaan tersebut. Bimbang kalau-kalau urusan itu yang melalaikan baginda daripada mengingati akhirat. Terbukti, dengan caranya itu dunia sentiasa mengekori baginda.

PENUTUP:

Tentang dunia Nabi saw pernah berpesan ketika Ibnu Mas’ud terlihat akan Nabi saw yang berbekas tubuhnya akibat baringannya di atas daun kurma yang kasar:

‘Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah pohon kayu yang rendang, selepas beristerirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanannya’

____________________________________________

Nota kehidupan: Amat sukar menghabiskan penulisan dalam artikel kali ini akibat meninggalkan kerja menulis dengan tempoh yang agak lama. Seperti memasak, jika anda sudah lama tidak memasak, barangkali masakan anda menjadi kurang enak berbanding ketika anda menjadi ‘cheff’ dahulu.

[Usah Jemu Memberi]


1 Response so far.

  1. Terima kasih atas entry yg sangat berguna.apapun walau dh lama ustaz x memasak,"masakan" ustaz masih lg enak.=)