'Cinta Terlarang' berpunca daripada hawa nafsu yang tiada dorongan daripada Ugama


‘Kalau perempuan tu dah lama tak balas mesej kita, agak-agak dia dah tak sukakan kita lagi ke, Afiq?’ Seorang sahabat saya bertanya.

‘Barangkali..’ saya menjawab acuh tak acuh, tidak mahu isu ‘cinta berdosa’ dibangkitkan menjadi topik perbualan malam itu. Sambil-sambil itu saya sengaja melakukan kerja lain. Sepatutnya dia seorang pelajar agama lebih memahami.

‘Tapi dah lama sangat dia tak balas mesej aku, takkanlah dia tak ada kredit phone atau tak sempat ke cyber café untuk balas mesej aku kat facebook?’ Sampai ke tahap itu sahabat saya yang seorang ini fikirkan, mengarut sama sekali.

Saya bukanlah Dang Suria di harian Metro untuk menjawab kisah cinta remaja.

‘Nak bercinta mestilah sabar’ balas saya pendek, dengan harapan dia memahami maksud saya.

‘Tak tenanglah kalau macam ni’ dia menyambung pula.

‘Sudahlah tu, selagi tak ada ikatan, semua tu boleh membawa kepada dosa. Tak ada jaminannya cinta sebelum berkahwin ini bermanfaat dan berpahala’

‘Nak berkenalan pun tak boleh?’ Dia membidas kata-kata saya. Nawaitunya saya mengerti sangat, hendak berteman. Tapi bersahabat dengan wanita tanpa tujuan berkahwin bukan caranya.

‘Nak berkenalan ke nak berpacaran?’ Dua-dua masih berdosa. Kalau betul-betul mahukan dia, Islam ada sediakan cara. Kalau sekadar suka-suka, baik hentikan saja. Itu muqaddimah zina namanya’ Kali ini saya bertegas apabila melihat dia tidak makan saman dengan pendapat saya. Mungkin dia sudah tergila-gila akan wanita itu menjadikan dia buat tidak endah dengan nasihat saya.

‘Ish.. aku tak mahu ikat awal-awal, takut tak ada jodoh, berdosa!’ Ah, dia sendiri yang reti menyebut tentang dosa dan pahala, bermakna sudah cukup syarat untuk dia menjauhi sebuah cinta larangan, apatah lagi dia sendiri tahu akan batas-batas pergaulan.

‘Alasan! Habis, yang bercinta siang malam tak rasa berdosa pula?’ Giliran saya pula membidas. Kali ini dia sudah bosan dan putus asa bersembang dengan saya. Saya tersenyum saja.

‘Susahlah bercakap dengan Ustaz ni. Ingatkan doktor cinta boleh setlekan masalah, rupanya menambah masalah’ Dia mulai bosan dengan kata-kata saya. Sesekali saya perlu ‘menamparnya’ dengan nasihat yang pedas supaya dia lekas sedar.

‘Eleh, merajuklah tu. Aku cuma ingatkan dosa pahala je, selebihnya kau lebih faham daripada aku. Sudahlah tu, jom kita makan, dah siap hidang semuanya’ Sambil memaut tangannya , saya mencucuk pinggangnya. Bergelak-tawa saya dan dia menuju ke meja makan.

Malam itu dia mendapat sebuah pengajaran berkenaan cinta.

SERABUT BERCINTA.

Sibuk bercinta pelajarannya tersadai.

Serabut bercinta ALLAH-nya terabai.

Salah bercinta Agamanya tergadai.

Lazimnya, orang bercinta akan sibuk dengan apa yang dicintai. Saya tidak menafikan kebenaran pepatah arab yang berbunyi: ‘Seseorang itu akan menjadi hamba kepada apa yang dicintai’

Anda tidak perlu hairan dengan pepatah arab tersebut kerana ia sebuah realiti yang telah terjadi. Tamsilannya begini, orang yang cintakan ilmu akan berusaha untuk meraih apa jua ilmu yang dicintai olehnya, lalu ketika itu dia sedang menjadi hamba kepada buku-buku dan segala sumber yang bisa membantunya untuk mendapatkan ilmu. Mabuknya dia dalam percintaannya adalah mabuknya dia terhadap ilmu.

Tukarkan saja kalimah ilmu tadi kepada kalimah ‘wanita’ ataupun TUHAN, anda sendiri bisa mencari jawapannya. Menjadi hamba Tuhan ataupun hamba perempuan.

Jika cinta dijadikan sebagai Tuhan, manusia akan hancur, tetapi jika Tuhan yang dicintai dalam sebuah percintaan ia akan menjadi terpimpin.

Kebelakangan ini ramai mereka yang telah terjerat dengan persimpangan cinta semasa status mereka sebagai pelajar, mahasiswa dan graduan. Dua pertimbangan antara cita-cita dan cinta membuatkan mereka rasa bersalah untuk memilih keutamaan.

Lalu, timbullah dilema, bolehkah bercinta semasa memburu cita-cita? Ataupun memburu-cita-cita dahulu kemudian barulah bercinta. Atau jadikan cinta sebagai peniup semangat memburu cita-cita. Atau, apakah bahang cinta boleh melayukan cita-cita. Sungguh banyak persoalan yang timbul untuk membuat pilihan.

Akhirnya, mereka tewas dengan nafsu dan emosi lantas memilih cinta sebagai cita-cita utama semasa remaja. Daripada perasaan bertukar menjadi ‘perasan’

Nasihat seorang Pakar Cinta: ‘Anda mungkin kehilangan cinta dalam memburu cita-cita, tetapi usah risau, kerana apa yang hilang itu bukanlah CINTA tetapi hanya cinta. Dan setelah cita-cita anda tercapai cinta yang sebaik-baiknya akan berada di hadapan anda. Tetapi awas, jika cinta didahulukan daripada cita-cita, anda mungkin bakal kecundang, kerana cinta itu belum cukup teguh. Lalu akan terjerumus ke lembah ‘frust’ dan kecewa’ (Pahrol Md Juoi)

HARAM YANG TAK BERAPA HARAM

Kalau ditanyakan tentang kaedah bercinta sebelum berkahwin yang tepat dan betul, jawapannya adalah tidak ada.

Sampai ke hari ini, saya sejujurnya belum menemui apa jua kaedah bercinta sebelum berkahwin yang benar-benar terperinci seperti kaedah solat, cara berpuasa dan lain-lain hukum ibadah. Ianya tak akan dibolehkan sebelum termeterainya tempoh halal sebuah ikatan antara lelaki dan permepuan melainkan melaui jalan pernikahan. Itu barulah bercinta namanya.

Bercinta sebelum berkahwin, semuanya bergantung kepada perhitungan akal dan kewarasan empunya nafsu untuk bertindak. Ada manusia yang bercinta cuba menghalalkan apa jua cara asalkan dia dapat merasai sebuah percintaan, sehingga ada yang sanggup berselindung di sebalik nama Islam seperti ukhwah-fillah, nasihat-menasihati, dan lain-lain cara.

Bukan begitu jalannya, jika mahu bercinta sekalipun, janganlah sampai ‘mempahalakan’ sebuah dosa yang tidak sepatutnya.

Saya tidak nampak apa yang ada pada sebuah percintaan itu melainkan ianya wujud dan lebih realiti praktikalnya hanya terdapat di dalam sebuah perkahwinan sahaja, bahkan saya boleh katakan ia sebagai ibadah yang berpahala.

Percintaan boleh menjadi pahala jika garis-pandunya adalah ibadah.

Percintaan boleh berganti dosa jika ia bertitik-tolak daripada adat yang salah.

Pendek kata, cinta adalah suatu yang serius dan bermatlamat, Ia bukan suatu keseronokkan, kelalaian atau khayalan semata-mata. Cinta adalah komitmen, tanggungjawab dan Amanah.

Mana mungkin orang yang bercinta tidak bertentangan mata, bertutur, saling-membalas rasa sayang atau perasaan hati, berpegangan tangan, berutusan mesej dan sebagainya. Jika inilah yang ditafsirkan sebagai sebuah perlakuan dalam bercinta, ianya hanya dibenarkan selepas adanya ikatan yang sah dan halal. Maka telah terbuktilah, tiada wujudnya istilah halal bercinta sebelum berkahwin.

Orang yang belum lagi 'berpangkat' halal, jangankan mahu berpegangan tangan atau bercinta, memandang muka pun sudah dilarang oleh ALLAH taala. Selepas saja ALLAH taala menyatakan haramnya mendekati zina, kemudian DIA sekali lagi menyatakan kaedah menjauhi zina dan yang seumpama dengannya, apa kata-Nya:

‘Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan (menundukkan) pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan. Dan Katakanlah kepada orang perempuan yang beriman, hendaklah mereka menahan (menundukkan) pandangannya dan memelihara kemaluan mereka…’

(Surah an-Nur ayat 30 & 31)

Begitulah jelasnya agama yang ingin memelihara manusia daripada terjerumus kepada perlakuan yang haram termasuklah dalam hal bercinta. ISLAM itu tidak pernah melarang manusia untuk melunaskan fitrah mereka bahkan menggalakkannya tetapi memerlukan kepada jalan dan cara yang lebih terpimpin, jalan alternatifnya adalah melalui perkahwinan.

Di sana terdapat segala macam keseronokkan dan kelebihan yang akhirnya akan membuahkan kebahagiaan yang sebenar-benarnya.

Cinta tidak salah, jika haram dan halalnya mampu diawasi.

______________________________________

Nota Kehidupan (1): Insan yang selayaknya anda cintai selepas ALLAH dan Rasul-Nya adalah Ibu bapa dan isteri tercinta. Percayalah!!

Nota Kehidupan (2): Jangan terlalu cinta dan jangan terlalu benci. Kerana benci boleh bertukar sayang, dan cinta boleh berubah benci. Itu kata Nabi saw bukan kata-kata saya.

[Usah Jemu Memberi]

1 Response so far.

  1. terbaik! brmanfaat..jazakallah...