Saya hendak menulis tentang hantu. Kerana ia juga berupa kehidupan. Makhluk ghaib yang makan dan minum seperti kita. Beriman dan akan dihisab seperti manusia bila sampai masa di akhirat nanti.
Barangkali mereka juga bercinta saya pun tidak pasti. Kalau tidak, masakan ada manusia yang sudi berkawan dengan jin.
Saya menulis artikel ini di siang hari supaya tiada yang cuba ‘mengganggu’ tempoh penulisan saya kalau ianya ditulis di malam hari. Takut pun ada juga, tetapi kita punyai ALLAH taala, dan DIA lebih berhak saya takuti.
Ia bukanlah bidang atau genre dalam penulisan saya, saya menulisnya sekadar ia sebuah kehidupan dan perkongsian dengan khalayak tentang kepentingan iman dalam I’tikad sebagai seorang yang mengakui dirinya Muslim.
HANTU, JIN DAN MAKHLUK GHAIB
Jika orang bertanyakan saya tentang hantu: ‘Percaya atau tidak ada hantu di zaman moden ini?’
Soalnya bukan di zaman moden atau kuno, tidak kira di era mana sekalipun, pokoknya saya mesti mengimani adanya makhluk ghaib yang tidak bisa dilihat oleh mata kasar, mereka hidup di sekeliling saya dan juga anda. Hantu cuma pengistilahan oleh orang-orang melayu dahulu untuk menyatakan kewujudan hidupan ghaib yang perlu dipercayai.
Kalaulah hantu itu berupa jelmaan daripada makhluk ghaib atau jin, saya wajib mempercayainya atas dasar firman ALLAH taala: wallazina yu’minuuna bilghoibi, wayuqimuuna as-solah (orang-orang beriman itu, mereka mempercayai adanya perkara-perkara ghaib dan mendirikan solat..) – Surah Baqarah ayat 3.
Lalu, mengingkari kewujudan hantu (perkara ghaib) boleh mengundang kufur kerana ia adalah salah satu cabang daripada rukun keimanan.
Maka, fahamlah kita bahawa hantu adalah jelmaan makhluk halus atau hidupan ghaib. Tidak percaya kepada hantu samalah seperti tidak percaya akan kuasa dan perkara-perkara ghaib kerana ia telah pun disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran. Tidak mempercayai kalam Tuhan beerti kita sudah mengingkari akan ALLAH taala.
Saya terlalu sinis jika ada sesetangah mereka yang tidak mempercayai kewujudan hantu dan spesisnya, Kata mereka: ‘Di tengah-tengah bandar ni mana ada hantu?’ Saya tahu, kata-kata seperti itu sekadar mahu menyedapkan hati agar mereka tidak berasa takut untuk berjalan di malam hari, sedangkan mereka tetap mempercayainya.
Tetapi, harus beringat jika ungkapan kata seumpama itu disertakan dengan I’tikad, ia boleh membawa kepada perlakuan kufur kerana menyanggah salah satu daripada cabang keimanan dalam agama.
Justeru, apa yang menjadi ‘hantu’ kepada kepercayaan masyarakat Melayu yang selalunya mengundang syirik adalah kerana mereka terlalu mempercayai bahawa hantu boleh memudhoratkan manusia, bahkan kuasa hantu melebihi kuasa Tuhan. Ia bukan sekadar kufur tetapi sudah jatuh ke dalam lembah syirik.
Ketakutan kepada kuasa hantu yang kononya bisa memberi mudhorat kepada manusia sudah melebihi takutnya mereka kepada ALLAH taala. Takutkan suasana malam kerana bimbang kalau-kalau munculnya jembalang, sedangkan hantu bisa muncul bila-bila masa kalau mereka mahu. Sudah saya katakan, mereka ini adalah hidupan yang tidak nampak tetapi ada di sebelah kiri, kanan, atas dan bawah manusia.
Inilah tabiat orang Melayu, takut pada sesuatu yang nampak sahaja, mana yang tidak nampak, semuanya dilanggari. Itu sebablah banyak hukum ALLAH yang tidak dipatuhi, barangkali kerana Tuhan itu tiada di depan mata mereka.
Perasaan 'Takut-takut' mereka diburukkan lagi dengan kebanjiran filem-filem hantu yang tahyul lagi karut-marut. Menggambarkan perkara ghaib dengan sesuatu yang buruk dan dasyat. Anak-anak pula diajarkan dengan takutkan hantu terlebih dahulu melebihi takutkan Tuhan.
Tidak salah takutkan makhluk ghaib seperti mana anda takut daripada dibaham binatang buas, tetapi jangan melaratkan perasaan takut itu melebihi takut kepada Pencipta makhluk ghaib iaitu ALLAH taala.
Hantu boleh menjadi Tuhan kepada manusia, tetapi Tuhan takkan menjadi hantu untuk manusia. Pendek kata, saya mahu menyimpulkan bahawa percaya kepada hantu adalah kepercayaan kepada makhluk ghaib yang mesti diimani oleh manusia. Namun, takut kepada hantu tidak sama konsepnya dengan takut kepada ALLAH.
Hantu, jin atau makhluk halus tidak boleh memberi mudhorat atau manfaat tanpa izin dan kuasa daripada ALLAH terlebih dahulu.
Sekarang anda sudah nampak siapa yang lebih berkuasa? Pilihlah untuk anda takut kepada siapa? TUHAN ataupun HANTU.
Namun, percaya tetap percaya, beriman tetaplah beriman.
PENGALAMAN & CERITA TEMAN-TEMAN
Saya tiada pengalaman berhadapan dengan hantu dan tidak berharap untuk mempunyai atau memiliki pengalaman seperti itu. Namun, I’tikad saya tetap kuat mempercayai kewujudan hantu atau yang seumpama dengannya. Pada saya, mereka wujud di alam mereka dan hidup seperti mana kehidupan yang diberi oleh ALLAH taala kepada mereka.
Hanya suatu ketika, adik saya pernah diganggu oleh makhluk halus selepas terjaga dari tidur. Seingat saya ia berlaku di wantu senja dan dia menangis sambil berlari-lari di sekeliling ruang tamu rumah saya, katanya dia melihat ada seseorang yang hodoh di tangga melambai-lambai memanggilnya.
Saya hanya seorang diri bersamanya kerana ahli keluarga keluar membeli barang. Sangat seram!
Selepas beberapa minit dan dibacakan dengan ayatul Kursi ia hilang dengan sendirinya. Sejak peristiwa itu, saya meyakini manusia lebih berkuasa berbanding ‘mereka’
Dahulu, sememangnya saya gemar menonton filem dan membaca cerita hantu walaupun saya ini bukanlah seorang yang berani. Cuma kini sudah agak lali dengannya, membaca sekadar suka-suka yang boleh menambahkan pengetahuan.
Janganlah kerana takutkan hantu, sampai tidak berani untuk ke tandas seorang diri, sedangkan ia cuma beberapa langkah dari ruang tamu. Jangan pula bila disuruh ke kedai yang perlu melintasi kawasan perkuburan anda menolak kerana takutkan hantu pocong yang melompat-lompat.
Kerna itulah saya katakan, mempercayai hantu dan makhluk ghaib adalah suatu perlu, tetapi takut akannya secara berlebih-lebihan adalah tidak perlu apatah lagi jika ia boleh mengundang syirik.
Ada satu amalan mudah yang dianjurkan oleh Nabi saw untuk menghindari daripada segala gangguan makhluk halus atau hantu. Dari Anas RA, Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa yang mengucapkan diwaktu pagi dengan ucapan ini (au’zubillahissami’il a’limi minassyaitonir-rojim), maka dia dilindungi dari gangguan syaitan yang direjam hingga ke petang’ (HR Ibn Al-Sunni)
Amalan lain pula, Dari Ibn Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda; ‘Sesiapa yang membaca sepuluh ayat dari surah alBaqarah di awal siang nescaya ia tidak didekati oleh syaitan sampai petang, jika dibaca waktu malam nescaya syaitan tidak akan mendekatinya sampai pagi. Tidak akan dilihatnya apa-apa yang buruk menimpa keluarganya atau hartanya’ (HR Al-Darami dan Baihaqi)
Ini adalah amalan turun-temurun Nabi saw dan Para Sahabat sejak dulu lagi, ia diamalkan setiap hari sebagai zikir harian bukan diamalkan ketika hantu muncul sahaja. Tidak rugi anda mengamalkan zikir seperti ini, di samping dapat menghindari gangguan ia juga sebagai zikir untuk mendekatkan diri anda kepada ALLAH taala.
Kehidupan kita dan ‘mereka’ adalah berbeza, jika kita saling menghormati, tiada sengketa atau gangguan yang akan terjadi. Kerana ALLAH lebih mengetahui akan setiap kejadian yang diciptakan.
______________________________________
Nota Kehidupan (1): Saya lebih bimbangkan ‘hantu’ di kalangan ahli politik kerana ia merupakan problem umat yang terbesar. Selagi ada hantu dalam arena ini, selagi itulah rasuah akan bermaharajalela. Bacakan Yaasin supaya mereka terbakar!
Nota Kehidupan (2): Jika diberi pilihan, saya lebih suka menonton filem komedi romantik daripada menonton filem hantu. Saya suka watak ustaz lakonan Eizlan Yusof dalam filem Damping Malam yang bersahaja berbanding watak Asyraf Muslim dalam Puaka Niyang Rapik.
Nota Kehidupan (3): Kata seorang teman saya: ‘Di Negara Arab tidak ada hantu kerana tiada pokok, semuanya padang pasir. Habis, hantu nak menyorok kat mana?’
[Usah Jemu Memberi]
afiq, dh x jd doc cinta ke? skarng? crita hantu plak!
gud luck!
tertarik dengan nota kehidupan 3, terfikir yg same jugak...hehe amende la dok pikir mende ghaib ni...tp kadang2 kan, terpikir gak hantu mcm takot je dgn org arab dgn perangai dorg mcmni..huhu