“Rizal, ana nak ucap terima kasih banyak-banyak pada enta. Kalau tak ada enta, tak tahulah apa jadi pada ana tadi,” ujar Abu Ikrima memulakan bicara. Dia sedang memandu kereta.

“Alhamdulillah, first thanks to ALLAH, Abu. Ana ni membantu aje. Lagipun kita tak bersalah, ana pun pelik juga, macam mana Prof Ramlee tu tiba-tiba lembut hati nak maafkan kita,” balas Rizal sambil melemparkan pandangan ke luar tingkap. Melihat kesibukan jalan raya.

“Hmm, betul tu, mesti berkat Ayat pengasih tujuh gunung enta tu kan?” Abu Ikrima bergurau. Mereka berdua tertawa kecil.

“Ish enta ni Abu, ke situ pula perginya,”

Sepi seketika. Masing-masing melayan lamunan. Malam itu selepas Rizal selesai menyampaikan kuliah Maghrib di Surau, mereka bercadang mahu menjamu selera di luar sahaja. Sudah menjadi rutin, jika mereka mempunyai urusan luar seperti kuliah Maghrib atau usrah, mereka akan singgah sebentar di warung berdekatan untuk menikmati makan malam.

“Habis tu, lepas ni enta nak join demontrasi lagi ke, Rizal?” soal Abu Ikrima menduga. Walaupun dia sudah tahu apakah jawapannya.

“Kenapa tanya macam tu, Abu?” sengaja Rizal tidak menjawab. Abu Ikrima mengangkat bahu.

“Abu, selagi ana ada kekuatan, cita-cita untuk melihat agama ISLAM bangkit ana tak akan tinggalkan. Ana tak mampu nak korbankan yang lebih dari itu, tapi cukuplah pengorbanan tenaga yang satu ini ana infaqkan untuk ISLAM,” jawab Rizal. Serius wajahnya.

“Walaupun terpaksa gadaikan masa depan enta?”

“Masa depan ana bukan di tangan sesiapa, tetapi ALLAH sudah tetapkan untuk ana. Rezeki ana, hidup dan mati ana semuanya sudah tertulis. Kalaupun kita susah di dunia, di akhirat Tuhan telah janjikan ganjaran yang tinggi untuk kita,”

“Kita tak akan merana kalau memperjuangkan agama,” sambung Rizal lagi.

“Rizal, ana kagum dengan enta tapi ana tak mampu n
ak jadi macam enta,” wajahnya sugul, menampakkan kesedihan.

“Ana tak minta enta jadi seperti ana, perjuangan ISLAM itu luas, kalau kita tak mampu menjadi seperti Abdul Rahman bin Auf, memadailah kita menyumbang tenaga seperti Bilal bin Rabbah. Tapi jangan sesekali kita menjadi Abdullah bin Ubai,” terang Rizal.

“Walaupun dengan hanya menampal poster di jalanan, jika itulah nilai perjuangan dan sumbangan kita untuk ISLAM, pasti akan dinilai oleh ALLAH berbanding orang yang tiada sumbangan langsung untuk ISLAM,”

“Yang penting kita ikhlas berjuang untuk Agama ALLAH,” tambah Rizal menutup perbualan. Abu Ikrima terkedu mendengar kata-kata yang diluahkan oleh Rizal. Semangat Rizal sungguh tinggi, dia sendiri tidak mampu menjadi seperti Rizal.
_____________________________________

Malam itu, selepas pulang dari menjamu selera Rizal tidak terus tidur kerana ada beberapa tugasan kuliah yang masih berbaki dan perlu disiapkan. Seperti hari-hari minggu yang lain, dia seringkali tidur lewat, kalaupun tidak menyiapkan tugasan kuliah, dia akan menghabiskan masanya dengan membaca buku-buku tambahan.

“Awal enta tidur malam ni, Abu?” Rizal menyapa apabila melihat Abu Ikrima melangkah ke bilik tidur sambil membawa selimut.

“Ana letih sangatlah hari ini Rizal, seharian di universiti. Tambah pula, ada match bola sepak petang tadi. Dah lama tak main bola, terasa pancit pula,” balas Abu Ikrima. Matanya sudah kuyu.

“Patutlah ana nampak enta tersengguk-sengguk masa ana tengah ceramah tadi. Letih sangat rupanya. Pergilah tidur,” balas Rizal, ada baur-baur perli dalam katanya tadi.

“Ok, lailah saeidah,” Ujarnya pendek, Abu Ikrima terus melangkah masuk ke bilik tidurnya.

Rizal meneruskan pembacaanya. Jam baru menunjukkan angka sepuluh. Kebiasaannya Rizal akan melelapkan mata selepas jam dua belas malam. Dia jarang tidur awal, ada saja aktiviti atau tugasan yang harus diselesaikan.

Jika tidak ada tugasan, dia akan membaca buku atau menaip artikel untuk diisi dalam blog peribadinya.

‘Masih awal’ detik Rizal di dalam hati. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Rizal bangkit menuju ke meja komputernya. Dia mencapai telefon.

‘Siapa pula yang mesej malam-malam ni?’ bisiknya. Segera dia membuka mesej tersebut.

‘Ustazah Nurul?’

‘SALAM ALAIK UST RIZAL. MAAF KALAU MESEJ ANA MENGGANGGU UST LEWAT MALAM INI. ANA CUMA MAHU BERTANYAKAN SESUATU. KALAU TAK KEBERATAN, UST DAPAT BERIKAN JAWAPAN DENGAN SEGERA’

Rizal membalas: ‘WSLM WBTH UKHTI NURUL. INSYAALLAH, ADA APA-APA YANG BOLEH ANA BANTU UKHTI?’

5 minit kemudian, Rizal menerima semula mesej daripada Nurul.

‘PERTAMANYA ANA NAK UCAPKAN TERIMA KASIH PADA UST DAN ABU IKRIMA KERANA MEMBANTU ANA MASA DI HOSPITAL DULU. TAPI, SEJAK ANA KELUAR DARI HOSPITAL, ANA TAK PERNAH TAHU SIAPA YANG MEMBAYAR SEMUA KOSNYA, SYUHADA PUN TAK BERITAHU ANA TENTANG ITU. ANA PERNAH BERTANYA PADA ABU IKRIMA, TETAPI DIA CUBA RAHSIAKAN DARI ANA. JADI, ANA AMBIL KEPUTUSAN UNTUK BERTANYA SENDIRI PADA USTAZ, UST KE YANG MEMBAYAR SEMUA KOS PERUBATAN ANA TEMPOHARI? MAAFKAN ANA KALAU PERTANYAAN INI MENYINGGUNG UST’

Rizal termenung seketika. Dia sudah menjangka Nurul pasti akan bertanyakan tentang hal itu kepadanya. Kali ini Rizal tidak dapat merahsiakannya. Dia membalas semula pertanyaan Nurul. Rizal terus menaip.

‘YA UKHTI NURUL, ANA YANG MEMBAYAR KOSNYA. PADA ANA, UKHTI LEBIH MEMERLUKAN KETIKA ITU. UKHTI TAK PERLU BIMBANG, ANA IKHLAS MEMBANTU UKHTI. YANG PENTING UKHTI SUDAH SIHAT SEMULA’

Nurul membalas semula mesej Rizal:

‘ANA SANGAT TERHUTANG BUDI DENGAN UST, ANA MOHON SIKIT MASA UNTUK BAYAR SEMULA DUIT UST. SEMOGA ALLAH MEMBALAS SEMUA JASA BAIK UST’

Selepas membaca mesej tersebut, Rizal berfikir-fikir, dia tidak mahu membebankan Nurul dengan hutang tersebut, baginya itu sahaja cara untuk dia membantu Nurul, sahabat baiknya sepanjang di kampus. Nurul tunjang utama kepada persatuan Islam yang sama-sama dinaunginya. Banyak sudah jasa Nurul membantu Rizal dalam menaikkan persatuan tersebut.

Rizal juga terhutang budi dengan semangat yang ditunjukkan oleh Nurul. Tanpa Nurul, pasti persatuan tersebut tidak akan mencapai kejayaan sejauh ini. Rizal menaip sesuatu:

‘UKHTI NURUL, ANA TAK MINTA HUTANG TU DI BAYAR, ASALKAN KESIHATAN UKHTI TERJAMIN DAN BOLEH KEMBALI BERKHIDMAT UNTUK PERSATUAN KITA. ANA ORANG YANG PALING GEMBIRA BILA UKHTI SUDAH KEMBALI SIHAT. PERJUANGAN INI MASIH PANJANG, DAN MEDAN INI MEMERLUKAN ORANG YANG BERBAKAT SEPERTI UKHTI’

Rizal menoktahkan mesejnya lalu menekan butang ‘send

‘TAK BOLEH MACAM TU UST, ANA JANJI ANA AKAN BAYAR SEMULA BILA MASA MENGIZINKAN. TERIMA KASIH KERANA BANYAK MEMBANTU ANA. ALLAH SAJA YG MAMPU BALAS JASA BAIK UST PADA ANA. IBU ANA SAMPAIKAN SALAM PADA UST, DIA UCAP TERIMA KASIH. ANA MOHON DIRI DULU. ASIF, KALAU ANA MENGGANGGU UST MALAM2 NI. WSLM WBTH’

'Waalaikum salam wbth' bisik Rizal di dalam hati.

Rizal tersenyum kecil. Hatinya puas dapat memberi sesuatu kepada Nurul. Biarpun dia tahu Nurul tetap merasa bersalah dengan pemberian itu, namun Rizal tidak menganggap ia sebagai hutang budi. Dia ikhlas membantu Nurul yang sangat memerlukan.

Lagipun, Nurul bukanlah orang lain, sahabat susah & senang sepanjang membangunkan persatuan yang dipegang bersama selama 3 tahun lalu.

Rizal terasa tenang dan bahagia sekali malam itu. Wajah Nurul seakan sedang tersenyum hadir seketika dikotak fikirannya. Dia sentiasa mendoakan Nurul dalam keadaan sejahtera.
___________________________________________

Dalam masa yang sama Nurul mengalirkan air matanya, terharu dengan kebaikkan Rizal, mulutnya membisikkan sesuatu: ‘Ya ALLAH, rahmatilah dia, semoga kebaikkan yang dicurahkan kepadaku diganjari dengan balasan yang setimpal. Tuhan, mudahkanlah jalan perjuangannya, amin’

bersambung...

1 Response so far.

  1. cerita ni best...teruskan usaha akhi..manyampaikan cerita islamik..