“Alhamdulillah, ummi sihat. Anak ummi pula macam mana?” dari jauh terdengar suara lembut ibunya.

“Nurul sihat ummi. Lepas keluar dari hospital tempohari, Nurul kuat makan, selera pun makin bertambah ummi,” Balas Nurul riang. Hampir 2 bulan dia tidak berbual dengan ibunya kerana kesibukan masa di kampus. Kali ini dia berpeluang melapangkan masa seketika.

“Gembira ummi dengar anak ummi sihat. Lepas ni, Nurul kena jaga kesihatan elok-elok, kalau sakit tak ada orang yang boleh tengok-tengokkan. Dulu masa duduk bawah ketiak ummi bolehlah ummi suapkan ubat, sekarang Nurul dah duduk jauh,” ujar ibunya.

“Alaa ummi, kawan-kawan Nurul ramai kat sini, semua boleh tolong jagakan Nurul, kalau Nurul sakit, makan minum Nurul diorang yang sediakan. Ummi jangan bimbang ya,” Nurul membalas, cuba meyakinkan ibunya bahawa dia mampu hidup berdikari. Walaupun sakit yang dihidapinya kerap datang sejak kebelakangan ini, namun dia masih berkudrat untuk meneruskan pengajian.

“Ummi bukannya apa Nurul, anak ummi yang perempuan seorang ini aje, kalau jadi apa-apa nanti, tak sempat ummi nak sambut menantu lelaki tau,” ibunya berseloroh, ada makna tersirat di sebalik kata-kata ibunya. Nurul tersenyum kecil di balik telefon.

“Ummi ni, ada-ada aje tau, Nurul cerita pasal sakit, ummi masuk cerita lain pula. Nurul ni perempuan ummi, kenalah tunggu lelaki yang datang merisik,” Balas Nurul bersahaja, juga ada makna tersirat.

“Habis tu, kalau nak tunggu lelaki yang datang merisik, sampai bila ummi nak ada menantu? Nurul asyik tolak aje. Anak Pak Uda kamu tu dah ada 3 menantu, cucu pun nak masuk 7 orang, tahun depan dapat seorang menantu lagi. Seronok ummi tengok diorang,” sayu dihujung talian suara ibunya.

Nurul faham akan perasaan seorang ibu, lebih-lebih lagi usia ibunya hampir masuk ke setengah abad, dia mengerti akan maksud itu, ibunya mahu Nurul segera berumah tangga. Namun, soal jodoh adalah suatu yang rumit untuk dirinya. Dia mempunyai pilihan sendiri dan impian yang tinggi untuk masa depannya. Cita-citanya bukan sahaja mahu membina mahligai rumah tangga yang bahagia, tetapi perkahwinan itu nanti mampu menjadi jalan dakwah untuk dia terus dengan impiannya memberi sesuatu kepada masyarakat.

“Anak ummi Nurul Aliya, ummi nak tanyakan sesuatu boleh?”

“Apa dia, ummi?”

“Nurul dah ada seseorang yang menjadi pilihan hati?” Nurul terkesima seketika, dia sudah mengagak soalan itu yang akan ditanyakan oleh ibunya. Lama Nurul terpaku dihujung talian.

Nurul termenung jauh. Sukar untuk dia menjawab pertanyaan itu. Ketika itu, wajah Rizal yang lembut terbayang-bayang dikotak fikirannya. Nurul tersenyum tetapi dirasakan tawar saat itu. Rizal adalah lelaki yang telah menambat hati perempuannya, tetapi dia sedar, dia hanya seorang wanita, tidak mampu untuk menjadi seperti ‘Saidatina Khadijah’

Rizal pula tidak pernah menyatakan apa-apa, walaupun keakraban mereka dalam sebuah persatuan melebihi daripada persahabatan biasa, namun Rizal seolah-olah menganggap dia hanya rakan biasa. Tetapi dia sering bertanya-tanya, mengapa Rizal terlalu baik dengannya, Nurul terasa dia selalu diambil berat oleh Rizal. Adakah Rizal juga sepertinya? Menyimpan perasaan yang sama – cinta.

Nurul menduga sendirian.

“Nurul,” tiba-tiba suara ibunya mengejutkannya ditalian.

“Err.. ya, ummi,”

“Maafkan ummi, kalau ummi bertanya suatu yang menyinggung anak ummi. Nurul fahamkan maksud ummi?”

“Faham ummi,” balasnya pendek.

“Kalau ummi tanya lagi boleh?”

“Apa dia ummi?” Nurul sekali lagi berdebar-debar.

“Siapa kawan Nurul yang tolong Nurul masa sakit dulu?” Soal ibunya.

“Maksud ummi, Abu Ikrima?” duga Nurul.

“Bukan. Dulu Nurul ada cerita pada ummi, dia yang bayarkan semua kos perubatan Nurul, tapi Nurul tak kenalkan pada ummi siapa orangnya,” terang ibunya panjang.

“Ohh, Ustaz Rizal ke. Dia satu kuliah dengan Nurul, kami sama-sama menguruskan persatuan di kampus, sebab tu kami rapat. Kenapa ummi?” soal Nurul. Dia semakin faham akan kata-kata ibunya.

“Nurul suka dengan Ustaz Rizal? Ummi dapat rasakan, dia orang yang baik,” pendek saja jawapan dari ibunya namun mengandungi makna yang besar bagi Nurul. Kali ini hati Nurul terasa sungguh bahagia. Tetapi dalam masa yang sama dia tidak tahu apakah yang harus dilakukan. Dia Cuma bertepuk sebelah tangan.

“Ish, ummi niiiii…..” manja suaranya di talian apabila disakat oleh ibunya.

“Ummi tanya je, manalah tahu kalau betul-betul Nurul ada hati dengan Ustaz Rizal, boleh ummi tolong risikkan. Bertuah ummi dapat menantu dengan ustaz,” Kali ini ibunya tidak berlapik lagi. Nurul pula cuba menyembunyikan perasaannya. Dia tidak mahu ibunya tahu siapa Rizal dihatinya. Sampai masa nanti dia akan menceritakan kepada ibunya.

“Ke situ pula ummi ni, tak manislah orang perempuan yang pergi merisik lelaki ummi,” ujar Nurul.

“Eh, kenapa tak manis pula? Saidatina Khadijahkan orang yang merisik Nabi? Nurul tak mahu jadi macam tu?”

“Tapi, Nurul bukan
‘Saidatina Khadijah’ ummi. Nanti apa pula kata orang, malulah Nurul,”

“Nurul, Nurul. Anak ummi yang seorang ni. Nurul jangan dengar cakap orang, yang kita nak ikut bukannya adat tapi syariat. Kalau betul apa yang kita buat selari dengan kehendak ugama, apa salahnya. Ummi tunggu ‘green light’ je dari Nurul,” ibunya berseloroh lagi.

“Ummi ni, kalau bab kahwin, asyik Nurul je yang kena. Ummi memang boleh jadi Saidatina Khadijah, patutlah arwah abi sayang kat ummi,”

“Tengoklah siapa isterinya,” ulah ibunya ringkas dan berbaur jenaka.

Mereka berdua serentak ketawa. Perbualan mereka petang itu berlanjutan hingga ke Maghrib. Mereka berdua sangat rapat kerana Nurul-lah satu-satunya anak permpuan di dalam keluarga tersebut. Lagipun, Nurul anak kedua yang terakhir, lalu dialah yang menjadi tempat mencurahkan perasaan.

Nurul merasakan terlalu damai petang itu. Separuh daripada hasrat hatinya sudah terlerai. Ibunya seolah memahami apakah yang dirasakan saat itu. Cuma dia hanya menanti ‘jawapan’ dan ketentuan Tuhan untuk dirinya. Jauh dari sudut hatinya berharap agar Rizal dapat mengisi kekosongan itu seterusnya menjadi teman sehidup dan semati dengannya. Hanya Rizal sahaja yang mempunyai perjuangan yang sama sepertinya.

Tanpa disedari, air matanya mengalir di pipi. Cepat-cepat dia menyeka air mata yang mengalir. Dia tidak pasti samada air mata yang jatuh itu adalah tanda cintanya kepada Rizal atau air mata kesedihan. Kedua-duanya berbaur.

‘Sukarnya menghadapi sebuah cinta & perasaan’ bisik hati kecilnya.

Dalam sendu, hatinya berbisik kecil, berdoa agar diberi kekuatan dan petunjuk.

‘Ya ALLAH, jika dia yang KAU ciptakan untuk mengisi kekosongan ini, sampaikanlah hasrat ini kepadanya. Jika dialah yang terbaik untuk hidupku dan agamaku, maka mudahkanlah jalan ini untuk ke sana. Jika dialah yang tertulis sebagai jodoh hidup dan matiku, panjangkan hubungan ini serta ikatan ini hingga ke akhir hayat’

‘Tuhan, hatiku hampir tertutup untuk menerima sesiapa, hanya dia seorang yang bisa mengisi kekosongan ini. Aku mencintainya kerana-Mu dan agama-Mu, amin’

Sepi.

“Kak Nurul, kenapa ni? Akak menangis?” tiba-tiba dia disapa oleh seseorang. Syuhada rupanya, baru pulang dari kuliah. Nurul segera menyapu air mata yang ada di pipinya, namun matanya masih kelihatan merah.

“Syuhada, terkejut akak. Mata akak sakit sikit, masuk habuk agaknya,” Nurul cuba mengelak.

“Kak Nurul duduk kat tingkap, memanglah senang nak masuk habuk. Syu ingatkan akak teringat kat mata air tadi, huhu,” sakat Syuhada.

“Ishhh…” Syuhada terus beredar meninggalkan Nurul keseorangan di bilik. Nurul menarik nafas lega.

bersambung...

5 Responses so far.

  1. sy dpt rsakan ape yg nurul alami, smakin suspen crit nie..

  2. ust, knape rizal x b'trus trang je kat nurul, sian nurul tertunggu2. klu bleh biarlah hepi ending ye ust..

  3. Assalamualaikum wbth. Moga pembaca dalam rahmat ALLAH selalu.

    To anonymous (1) - Terima kasih kerana menjiwai cerpen ini, masih banyak lagi konflik yg bakal dilalui oleh Nurul, nantikan..

    To anonymous (2) - Rizal mungkin ada caranya tersendiri dalam persahabatannya, apapun nantikan episod yg akan datang. Saya cuba berikan yg terbaik untuk semua pembaca.

    sekian.

  4. Assalamualaikum wbth. Moga pembaca dalam rahmat ALLAH selalu.

    To anonymous (1) - Terima kasih kerana menjiwai cerpen ini, masih banyak lagi konflik yg bakal dilalui oleh Nurul, nantikan..

    To anonymous (2) - Rizal mungkin ada caranya tersendiri dalam persahabatannya, apapun nantikan episod yg akan datang. Saya cuba berikan yg terbaik untuk semua pembaca.

    sekian.

  5. setahu saya tidak ada istilah 'sahabat' antara lelaki dan perempuan yang dihalalkan berkahwin.

    wallahu'alam~