ANALOGI

Pernahkah anda merasai suasana putus cinta?

Apakah perasaan anda ketika itu? Sudah pasti segalanya sedang berbaur, yang pasti semua perasaan ketika itu menunjukkan anda sedang bersedih. Makan tidak lalu kerana terkenangkan kekasih, tidur juga tidak lena kerana di dalam mimpi anda muncul wajah kekasih dan kerap terjaga.

Tidak cukup dengan rasa sedih, anda juga akan merasakan sudah tidak punya apa-apa. Kalau dulu, kekasih itulah yang memberi kata-kata peransang dan semangat dalam hidup, tetapi kini anda berseorang tanpa kehadiran orang tersayang, seolah telah putus tempat pergantungan.

Barangkali itu adalah takdir. Tetapi bagaimana pula jika anda ditipu kekasih anda? dahulu, katanya hendak setia, tetapi akhirnya menyatakan lafaz perpisahan. Bukan itu sahaja, dia juga telah menjalinkan hubungan cinta dengan orang lain.

Saya pasti, suasana ini lebih memilukan. Anda bukan sahaja sedih kerana terpaksa berpisah, tetapi kecewa kerana ditipu. Bayangkanlah, selama ini anda hanya ditipu, dia telah menduakan anda, dia juga telah ‘menyekutukan’ hubungan percintaan yang selama ini anda jaga.

Manusia apakah ini? layakkah dia digelar sebagai kekasih?

Mana mungkin ada peluang kemaafan untuk si dia, sudahlah tidak jujur, menipu pula. Saya kira tidak zalim jika kata-kata ini ditujukan pada kekasih yang menduakan anda: “Tiada maaf bagimu untuk selamanya!”

Orang yang tidak jujur dalam percintaan, dia berpotensi besar untuk tidak jujur dalam percintaan yang seterusnya. Kerana itu, hukuman untuk pembohong dalam hubungan cinta yang paling layak adalah ‘tiada keampunan untuknya’

Dosa yang dia lakukan adalah dosa yang terlalu besar. Memusnahkan harapan orang yang mencintainya dan menjalinkan hubungan cinta dengan orang lain.

Pada anda dia lafazkan kata cinta, pada orang lain dia serahkan hati.


Ohh, pilunya!

MENYEKUTUKAN PERCINTAAN DENGAN ALLAH

Patutlah firman Allah swt tentang situasi ini sungguh keras, kerana Dia tahu, mereka yang syirik (menyekutukan) ini memang jahat dan tiada hati perut! Kata Allah swt dalam Al-Quran:

“Sesungguhnya Aku tidak akan mengampunkan (selamanya) dosa mereka yang syirik (menyekutukan) kepada-Ku dan akan mengampunkan dosa selain itu..”

Demikianlah peri-dasyatnya dosa mereka yang syirik kepada ALLAH swt. Lalu, siapakah mereka yang dikatakan menyekutukan percintaan dengan ALLAH swt ini?

Mereka adalah, orang yang mengucapkan lafaz syahadah tetapi dalam masa yang sama menyerahkan diri mereka kepada selain ALLAH swt iaitu makhluk. Mereka mengakui ketuhanan ALLAH swt tetapi tidak meyakini kekuasaan-Nya. Mereka tahu tuhan sebagai Pemberi Rezeki, tetapi hati mereka lebih yakin kepada manusia yang kononnya manusialah yang memberi makan dan minum kepada mereka.

Dulu mereka melafazkan cinta (syahadah) kepada-Nya, tetapi dalam pembuktian cinta, mereka serahkan hati (keyakinan) mereka kepada makhluk. Inilah orang yang menyekutukan percintaan mereka dengan ALLAH swt.

Ya, mereka telah menduakan cinta!

Lalu, layaklah mereka ini untuk tidak mendapat keampunan Tuhan??

Adakala, kita tersyirik tanpa sedar, kita mengutamakan manusia dan mengetepikan ALLAH swt. Kita sering mendahulukan urusan kita berbanding urusan ALLAH swt, kita sering menyisihkan keutamaan ALLAH swt berbanding keutamaan diri. Kita meletakkan segala kepentingan diri di hadapan, dan keutamaan ALLAH swt sering ditinggalkan di belakang.

Sembahyang kita seringkali lewat kerana urusan kerja, kita tidak menutup aurat kerana mementingkan kecantikan dan penampilan, kita juga meletakkan agama ALLAH swt ke tepi demi mendapat habuan dunia.

Pada urusan ALLAH swt kita selalu berkata: “Nanti pun tak apa” sedang pada urusan dunia kita pula berkata: “Kalau lambat nanti ketinggalan”

Kalaulah kita ketahui mati itu datang tidak dimaklumkan, datangnya tidak pernah lewat, pasti ALLAH swt adalah kekasih yang kita dahulukan sepanjang hidup kita.

SETIA DALAM PERCINTAAN

Jika kita punyai kekasih hati, setiap saat adalah masa untuknya. Setiap butiran kata dan nasihatnya adalah arahan yang mesti dituruti. Kalaupun disuruh meredah gunung, apalah sangat kerana cinta untuk kekasihnya lebih besar daripada bahaya memanjat gunung. Kalau dia mati ketika meredah gunung, matinya untuk menunaikan hajat kekasih yang dicintai itu.

Hebatnya nilai kesetiaan!

Cinta yang paling agung adalah mereka yang mati dalam kesetiaan walaupun dipaksa menggadaikan nyawa. Mereka tidak curang dalam percintaan apalagi dalam berkasih. Mereka merasakan tiada lagi cinta yang lebih besar daripada percintaan dengan Tuhan Robbul Izzati.

Buktinya, para sahabat di zaman dahulu sanggup bergadai nyawa semata-mata memperjuangkan agama Islam kerana cinta kepada ALLAH swt. Tidak cukup dengan itu, harta mereka juga dibelanjakan untuk kegunaan agama Islam. Mereka sudah nampak hasil percintaan mereka itu akan terbalas suatu hari nanti.

Balasannya tidak lain tidak bukan adalah syurga yang sedang menanti.

Benarlah kata pujangga, berkawan biar ramai, berkasih tetap satu.
______________

Nota kehidupan: Jika kita kekasih yang sejati, masa yang diluangkan untuk kekasih kita bukanlah sekadar berstatus Full-time bahkan mestilah bertaraf Any-time!

[Usah Jemu memberi]

0 Responses so far.