MUQADDIMAH

Penulisan adalah bisnes ataupun lebih biasa disebut sebagai perniagaan. Lebih mudah lagi kita menyebutnya sebagai bisnes akhirat. Kita menjual produk berupa penulisan, dan mendapat keuntungan berupa pahala. Pahala memberi ilmu, pahala memahamkan orang, dan pahala daripada orang yang menyebarkan penulisan kita. Dalam masa yang sama bisnes ini telahpun menjadi kerjaya dakwah peribadi.

Apabila disebut bisnes, sudah pasti ia tidak boleh lari daripada prinsip bagaimana untuk kita melariskan perniagaan kita. Sudah tentulah kita harus memasang & menyusun stratergi. Keuntungan akan bergantung kepada kualiti produk yang kita hasilkan dan bagaimana kita mempromosikannya.

Ramai yang bertanya saya, bagaimana mahu menjadi penulis blog yang hebat dan diminati pembaca? Pada saya, bukan sahaja penulis blog, kalau nak jadi hebat seperti pemain bola sepak negara Safee Sali pun perlu memakan masa bertahun-tahun. Jadi, untuk menjadi hebat dalam masa sehari dua, barangkali mustahil melainkan Tuhan berikan kepada orang itu "mukjizat", hari ini menulis blog, esok lusa dia jadi hebat. (maaflah, saya bergurau)

Pendek kata, sebagai orang biasa, untuk menjadi hebat, perlu melalui perjalanan yang panjang. Apatah lagi ia melibatkan bidang kemahiran, lebih-lebih lagi memerlukan kepada praktikal yang komited dan konsisten daripada diri sendiri, barulah boleh menjadi penulis yang hebat seperti ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Pahrol Md Juoi, Fatimah Syarha dan banyak lagi penulis terkemuka tanah air.

MEMBACA, MEMBACA & MEMBACA!!

Saya memegang kata-kata Sasterawan tanah air, Dato A.Samad Said, katanya; kalau mahu menjadi penulis yang hebat, "seorang penulis itu mesti lebih banyak membaca daripada menulis". Apa yang terjadi kepada penulis sekarang sudahpun terbalik, ramai penulis terlalu "obses" dan fanatik dalam kerja-kerja menulis dan mengabaikan aspek pembacaan. Sedangkan melalui pembacaanlah penulisan dihasilkan. Analoginya begini, kalau kita tidak makan, bagaimana kita ingin mendapatkan tenaga untuk hidup?

Begitulah juga dalam penulisan, ia mesti ada prinsip input dan output, input melalui pembacaan, output pula dengan menulis. Sebab itulah apa yang terjadi kepada penulis sekarang, tiada "something" yang baru yang mereka dapat hasilkan daripada penulisan mereka, kerana kekontangan sumber dan idea, menulis subjek yang sama dan berulang-ulang. Puncanya adalah, kekurangan membaca!

PETUA 3:1

Sifirnya begini, jika mahu menjadi penulis (yang tak hebat pun tak mengapa), ikut petua saya, selepas 3 kali pembacaan barulah anda boleh menghasilkan 1 penulisan. Nisbahnya 3:1 dan tak boleh kurang. Formula ini saya bina sendiri hasil gabungan peristiwa Nabi saw di Gua Hira' dan saranan Sasterawan negara. Malaikat Jibril menyuruh Nabi saw "Iqra' Iqra' dan Iqra". Walaupun Nabi saw kaku ketika itu, tapi itulah yang disuruh oleh malaikat.

Pendek kata, membaca adalah suatu yang sangat penting dalam kehidupan. Sampaikan ada bidalan yang menyebutkan "orang yang malas membaca samalah seperti orang yang tidak pandai membaca".

Jadi ingat dan peganglah prinsip ini elok-elok, jika mahu menghasilkan penulisan yang ilmiah dan menarik, anda harus lebih banyak membaca. Jika anda tidak mampu menguasai petua yang saya cadangkan ini, saya berani beri jaminan, penulisan anda akan tumpul selepas beberapa kali menulis.

Ingat! 3 kali membaca, 1 kali menulis!

ZAMAN PENULISAN

Zaman sekarang adalah zaman penulisan. Semua orang mulai sedar betapa besarnya kuasa sebuah penulisan. Selain boleh menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat ia juga boleh menjana sumber pendapatan. Tidak hairanlah ramai orang sudah mula berkecimpung dalam bidang ini.

Tidak seperti dahulu, tidak ramai yang tahu menulis, jadi tidak banyak produk buku yang dikeluarkan. Permintaan cukup tinggi ketika itu. Tapi hari ini sudah berbeza, buku lebih banyak dihasilkan daripada permintaan pembaca. Oleh kerana pihak penerbit lebih mengutamakan keuntungan, mereka telah mengabaikan soalan kualiti penulisan yang dihasilkan.

Sekarang kita tidak pening kerana kekurangan sumber bacaan, tetapi pening memikirkan dimanakah mahu mencari bahan bacaan yang berkualiti.

Baik, kesimpulannya anda boleh memilih samada mahu menjadi penulis atau penyumbang ilmu kepada masyarakat. Jika mahu menjadi penyumbang ilmu, penulisan anda haruslah berkualiti.

KONSISTEN (ISTIQOMAH) &DISIPLIN

"Biar sikit dan meniru, asalkan sentiasa buat dan tidak tinggalkan"

Itulah prinsip ketika saya mula-mula menulis dulu. Saya mula berjinak-jinak dalam arena menulis sejak 4 tahun yang lalu, dan tidak terlintas lagi mahu menjadi penulis yang hebat. Setiap hari saya memikirkan idea untuk menulis, saya cuba disiplinkan jadual penulisan saya, setiap 3 hari saya mesti menulis.

Tidak kiralah samada idea penulisan itu datang dari saya atau saya akan ciplak daripada mana-mana penulisan. Tekad saya, asalkan saya boleh konsisten untuk menulis 3 hari sekali, tidak kiralah meniru atau idea sendiri. Tetapi saya akui, diawal penglibatan saya, saya lebih banyak menciplak penulisan orang. Bak kata orang putih, copy & paste!

Dari situ anda akan pelajari selok belok penulisan, anda akan dapat melihat kaedah penulisan yang betul, dan kelemahan dalam penulisan. Mula-mula anda akan meniru tajuk dan isi penulis lain, selepas itu, dengan meniru tajuk penulis lain anda akan cuba menghasilkan isi sendiri. Dan akhir sekali, anda akan mampu menghasilkan tajuk serta isinya 100% daripada idea anda sendiri.

Kita bermula dengan kreatif untuk menjadi inovatif!

Sebelum memulakan penulisan, anda harus bermuhasabah beberapa aspek di bawah sebagai penilaian dan panduan dalam penulisan anda:

1. Kepada siapa kita mahu menulis? (memilih sasaran)
2. Apakah jenis penulisan kita? (genre penulisan)
3. Untuk apa kita menulis? (kehendak sasaran)
4. Dari mana kita menulis? (idea & hati)
5. Bagaimana hendak mempersembahkan hasil produk? (kaedah menulis)

CATATLAH!

Seorang penulis bukan sahaja menulis ketika dia mahu menulis semata-mata, tetapi dia mesti menulis tidak kira waktu dan di mana-mana sahaja. Maka, pen dan kertas adalah teman setianya. Kerana apa? kerana Idea akan datang tidak kira waktu, setiap subjek di sekeliling kita boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan tulisan. Apabila idea itu datang, maka catatlah, kerana idea yang datang itu takkan datang lagi dengan bentuk yang sama untuk kali keduanya. Kalau ia datang, mungkin dalam bentuk yang berbeza. Jadi jika kita tidak mencatatnya, kita telah kerugian satu idea.

Jika seorang peniaga, ini adalah rezekinya, jika dia membiarkan peluang ini, maka ia sudah kerugian.

Sewaktu saya dalam fatrah fanatik menulis, iaitu semasa mula-mula berkecimpung dalam bidang ini, saya akan menulis di mana-mana saja tidak kira waktu. Setiap kali ada idea saya akan terus menulis. Tidak kiralah apa waktunya, ketika kuliah sedang berjalan, ketika menunggu bas, ketika menonton televisyen, ketika makan dan apa jua waktu.

Jika tidak ada pen, saya akan catatkan ia di dalam telefon bimbit saya, jika tidak ada kertas, maka buku-buku teks kuliahlah yang akan menjadi mangsa catatan saya. Yang banyak berconteng itu bukanlah nota kaki kuliah, tetapi adalah hasil catatan artikel blog saya.

Jangan terkejut dan tidak percaya, kadangkala idea boleh datang ketika anda sedang membuang air!

Pernah dahulu saya ditegur oleh pensyarah, salah saya juga kerana tidak menumpukan perhatian dalam kuliahnya. "kamu tulis apa tu?" soalnya. Saya hanya diam dan menyorokkan semula catatan saya. "sila beri perhatian semasa saya sedang mengajar" tambahnya lagi. Sejak hari itu, saya akan berhati-hati. Tetapi prinsip saya, saya tetap menulis, apa nak jadi, jadilah!

Jangan tiru seperti saya, kerana ketika itu saya sedang berdarah panas untuk menulis, saya cuma mahu menggambarkan kepada anda bahawa betapa pentingnya nilai catatan kepada seorang penulis. Jadilah seperti wartawan, mereka bukan saja menunggu peluang, tetapi mencari peluang untuk bahan tulisan mereka.

SKILL & LATIHAN BOLA SEPAK

Jika anda bertanya kepada Drogba atau Rooney, apakah rahsia kemahiran mengawal bola di padang, sudah tentu mereka akan menjawab: "banyakkan latihan"

Apa jua perkara yang melibatkan skill atau kemahiran, ia memerlukan latihan yang kerap dan konsisten. Sebagaimana juga jika anda bertanya pada seorang penghafal Al-Quran 30 juzu' maka jawapannya tetap sama: "mesti selalu dan perbanyakkan hafalan untuk mengekalkan apa telah dihafal"

Saya percaya dan yakin, kekuatan dan kehebatan Rooney bermain bola di padang adalah hasil latihannya berjam-jam pada setiap hari, ya setiap hari. Lebih banyak latihan yang mereka lakukan, lebih hebat skill permainan mereka.

Oleh itu, seorang penulis tidak boleh jemu untuk membuat latihan. Apakah latihan itu? Perbanyakkan aktiviti membaca untuk mengetahui skill menulis dan kerap menulis untuk memantapkan skill penulisan. Jika anda sudah mampu mencipta rentak penulisan anda sendiri, maka ia adalah kejayaan pertama anda. Tetapi bukan bermakna anda perlu berhenti berlatih, latihan tetap diteruskan walaupun ketika itu anda sudah bergelar pemain bola sepak terbaik dunia!

Bersambung lagi di episod akan datang..

Oleh
AFIQ SALEH
Blog KEHIDUPAN (Usah Jemu Memberi)

5 Responses so far.

  1. Satu perkongsian yang bagus

  2. Alhamdulilah..ada tips rupanya..kena tadbi'kkan ini..penulis mendapat idea dari aman ye?boleh kongsikan?

  3. shukran ata s perkongsian

  4. alhamdulillah,suatu penjelasan yang cukup ringkas tetapi mudah difahami dan cukup mudah untuk di praktikkan.semuga ia adalah sebuah sumbangan dalam membina kelompok manusia yang berinovatif dalam membina tamaddun yang celik maklumat.

  5. satu perkongsian ilmu yang sgt bermenfaat esp utk org yang tak suka menulis seperti saya!!!