‘Along, pakailah topi keledar tu kemas-kemas. Kalau jadi apa-apa nanti susah,’

‘Alah ummi ni, bukan jauhpun tempat kerja Along tu, 10 minit dah sampai. Ummi janganlah risau,’

‘Tapi kan elok kalau kita jaga keselamatan. Terjamin perjalanan kita,’ pesan Ummi lagi, dia memandang anak sulongnya dengan wajah kerisauan. Ada belenggu resah di balik hatinya.

‘Asalkan pakai, nak elak saman je ummi,’ ujar Azman lagi, acuh tak acuh. Sibuk membelek-belek beg kerjanya, tali keledarnya masih tidak dikancing lagi. Padahal jika dikancing bukanlah memerlukan tenaga yang banyak. Prinsip Azman terlalu mudah, asalkan buat sudahlah!

‘Along, Along, tak pernah nak dengar cakap ummi,’

‘OK lah ummi, Along pergi kerja dulu ya,’

‘Hmm, hati-hati ye Along,’ kali ummi sudah putus asa menasihati Along.

Meskipun berulang kali menegur kesalahannya, tetapi Along jarang hendak berubah. Jika di suruh, kerja yang diselesaikan mesti ada kekurangan. Along memang begitu, untuk menyiapkan sesuatu dengan sempurna bukan sikapnya, asalkan apa yang disuruh menampakkan hasil sudah memadai, tidak dapat yang terbaik pun tak mengapa.

‘Asalkan buat, cukuplah!’


______________________________________


‘Fiq, kau dah solat?’


‘Belum lagi, aku nak siapkan assignment ni dulu. Ada sikit lagi yang tak complete,’


‘Tapi waktu zohor dah lama masuk, aku takut kau terlewat nanti,’

‘Lewat-lewatpun solat jugakan?’


‘Bukan macam tu, Fiq. Maksud aku bukan ke lebih elok kalau kita solat di awal waktu? Lepas tu kau nak buat kerja pun senang,’


‘Eh, sejak bila pula kau jadi ustaz ni? Selama ni aku tak pernah pun tinggal solat, awal waktu ke akhir waktu ke sama je, asalkan solat!’
jawab Syafiq, kali ini nadanya sedikit tinggi. Dia terasa seperti anak kecil yang dinasihati oleh si ibu. Dia rimas.


‘Kalau macam tu, tak apalah,’ Zul beredar meninggalkan Syafiq yang tekun menaip assignment-nya. Zul tahu, jika dia terus menasihatkan Syafiq, mungkinn akan berlaku perbalahan.

Zul tidak mahu bermasam muka, lebih-lebih lagi Syafiq adalah teman serumahnya.
Namun, semakin hari hati Zul semakin tidak tenteram dengan sikap Syafiq yang suka melewat-lewatkan solat. Kadangkala tiada alasan yang munasabah. Pada Syafiq, menunaikan solat di awal waktu ataupun lewat bukan ukuran, asalkan kewajipan dapat ditunaikan, sudah cukup untuknya.

HAMBA YANG ‘SEKADAR BUAT’


Menilai kembali status seorang hamba ALLAH, terasa terlalu jauh untuk menggapai gelaran itu. Setiap tanggungjawab yang ditunaikan barangkali belum lagi memuaskan Tuhan pencipta manusia. Sesekali datang rasa kerisauan di hati, apakah amalan yang dipersembahkan setiap hari itu sudah cukup sempurna untuk dihadiahkan kepada ALLAH azza wajalla.

Kalau tidak sempurna, sejauh manakah usaha kita selaku seorang hamba untuk memperbaiki amalan tersebut sehingga hadiah yang dipersembahkan itu mampu membuatkan ALLAH ‘gembira’ dan redha.


Sejauh manakah solat kita? Adakah cukup dan memadai dengan hanya menunaikan rukun serta kewajipan semata-mata? Ataupun kita telah cuba melakukan yang terbaik dengan berusaha untuk menyempurnakannya.

Bagaimanakah pula puasa kita dan amalan-amalan yang lain. Sudah sempurnakah aurat kita ditutup? Sebanyak manakah amalan baik yang dilakukan sepanjang hayat kita mempunyai kualiti yang terbaik untuk dibawa bertemu ALLAH nanti? Adakah kita sekadar menunaikan suruhan? Atau kita telah menghiasi suruhan tersebut dengan kesempurnaan?


Ataukah kita seorang hamba yang sekadar melepaskan batok di tangga? Atau hamba yang sekadar buat?


Adakah solat kita solat yang sempurna? Atau solat yang sekadar buat?

Adakah puasa kita puasa yang terbaik? Atau puasa yang sekadar buat?

Adakah segala amalan yang dilakukan setiap hari telah mencapai kayu ukur yang sempurna atau sekadar melakukannya untuk melepaskan bebanan kewajipan?

Tanyalah diri kembali, sejauh manakah kualiti amalan kita.

Seorang hamba yang taat dan mengakui untuk mengabdikan diri kepada ALLAH swt bukan sahaja melunaskan kewajipan yang disuruh kepadanya, tetapi dia juga berusaha mempersembahkan kewajipan tersebut dengan jalan yang paling baik untuk ‘Tuannya’ agar Tuannya gembira melihat hasil tersebut. Dengan ‘kegembiraan’ tersebut, barulah keredhaan ALLAH akan mengiringi hamba itu.

Begitulah ibaratnya seorang tukangg gaji, jika dia disuruh memasak dan mengemas rumah, untuk menjadikan majikannya lebih sayang kepadanya, dia bukan sekadar menunaikan suruhan memasak semata-mata, tetapi juga cuba sedaya-upaya untuk menghidangkan masakan yang paling lazat untuk majikannya. Tidak cukup dengan itu, jika terdapat kekurangan dalam masakkannya, dia akan berusaha untuk memperbaikinya pada masa akan datang, dengan harapan majikannya akan berpuas hati dengan hasil kerjanya.

Begitulah ibarat seorang hamba dengan ‘Tuannya’


TAHAJUD SEORANG ‘MUHAMMAD’

Ketika ditanya oleh isteri baginda Saidatina Aisyah r.ha:
‘Wahai Rasulullah, mengapakah engkau bertahajud sehingga bengkak kaki-kaki mu sedangkan engkau seorang hamba yang telah dijamin masuk ke syurga ALLAH tanpa hisab?’


Rasulullah saw dengan penuh kehambaan menjawab: ‘Salahkah aku untuk menjadi hamba yang bersyukur?’

Inilah Rasul kita, Rasul yang tidak pernah jemu beribadah. Rasul yang jarang merungut bila mana diletakkan di bahunya apa jua tanggungjawab. Pada baginda, status nabi bukannya jalan mudah untuk baginda ke syurga tanpa perlu beribadah kepada ALLAH taala. Pada baginda juga, dalam melaksanakan ibadah, bukan tujuannya untuk melepaskan kewajipan yang disuruh tetapi untuk mendapat keredhaan ALLAH taala. Untuk menunjukkan lambang kesyukuran atas nikmat percuma yang dikurniakan oleh ALLAH kepada baginda.

Kalaulah seorang nabi yang bernama Muhammad itu melaksanakan ibadah dengan jalan yang terbaik, wajarkah kita selaku hamba biasa terus bersenang-lenang sedangkan kita mengharapkan syurga yang sama. Adakah amalan kita sebanding dengan amalan nabi yang bernama Muhammad? Sudah pasti jauh sekali.

Kita tidak akan mampu menjadi seperti seorang ‘Muhammad’ tetapi kita mampu berusaha untuk memperbaiki amalan kita dan mencontohi baginda. Bilamana mahu menunaikan solat, cubalah untuk melakukannya dengan sehabis daya, anggaplah setiap solat yang kita persembahkan kepada ALLAH itu sebagai solat yang terakhir dalam usia kita. Jika kita sudah merasakan setiap masa kita dekat dengan kematian, maka ibadah yang dilakukan pasti ibadah yang terbaik.

PENUTUP

Jika punyai kekasih, sudah tentu hadiah yang bakal dipersembahkan kepadanya hadiah yang terbaik. Jika kekasih yang kita sayang, sudah pasti hadiah itu bukan setakat hadiah yang biasa-biasa, bahkan hadiah yang paling mahal dan berharga akan kita berikan kepadanya.

Tidak lain tidak bukan, kekasih yang paling layak untuk dihadiahkan dengan hadiah yang terbaik adalah ALLAH. Lakukanlah ibadah sebaik mungkin, agar Dia redha dengan ‘hadiah’ yang kita persembahkan kepada-Nya. Semoga kehidupan kita senantiasa diberkati oleh-Nya.

0 Responses so far.