Tok Wan Dan Mak Wan Hero ‘Bidan Terjun’ Kami.

“Air untuk masak nasi ni hendak berapa banyak abang bob?” soal saya. Akmal, senior 3 tahun daripada saya, lebih dikenali dengan panggilan BOB di Universiti kami.

“Kau pergi sediakan satu baldi dulu, nanti tak cukup abang minta lagi,” balas Akmal merangkap ketua masakan kami, dia sibuk menumis bahan-bahan untuk memasak nasi. Katanya menu nasi minyak hari ini.

Saban tahun menjadi tradisi untuk kami dan Pihak Malaysia Student Department (Jabatan Penuntut Malaysia) Jordan akan mengadakan open house untuk pelajar-pelajar yang berhari raya di sini. MSD dan kami sudah menjadi sahabat ‘kamcing’ sejak dulu lagi, apa tidaknya merekalah yang menjadi ‘ayahbonda’ kami tempat mengadu segala masalah. Tidak hairanlah pejabat itu menjadi rumah kedua kami berkunjung dan bertandang untuk sebarang urusan pelajaran, begitulah juga di hari raya. Tahun ini, saya dan 4 orang lagi sahabat diundang menjadi tukang masak pada majlis open house tersebut, gembira kami dibuatnya, lebih-lebih lagi bila mendapat tahu Sultan Muda Pahang akan berkunjung dan turut sama dalam majlis tersebut. 2 hari sebelum majlis, kamilah yang menjadi cheff.


tok wan dan mak wan tersayang

“Tak awal sangat ke kita letak beras ni abang bob? Air nampaknya belum mendidih lagi,” soal saya lagi.

“Letak sebungkus dulu,” arahnya kepada saya. Saya menurut sahaja. Kemudian saya berlalu menjenguk-jenguk di bahagian satay, kalau-kalau ada baki-baki satay yang perlu saya selesaikan.

Setengah jam berlalu, saya melihat Akmal dari jauh sedikit berkerut-kerut mukanya, kejap ke kiri kawah dan sekejap ke kanan. Tangannya erat memegang pengacau kawah menggodek-godek nasi di dalamnya. Saya mula mengesyakki sesuatu dan menghampirinya.

“kenapa Abang Bob?”

“Habislah kita, nasi semua jelantah ni,” Akmal menunjukkan nasi-nasi yang belum masak. ‘aduh, parah-parah’ kata saya dalam hati. Saya juga turut menggelabah ketika itu. Bayangkanlah, jam pada waktu itu menunjukkan pukul 8 pagi, majlis akan bermula dalam beberapa jam sahaja lagi. Nasi pula buat perangai. Kami saling berpandangan. Kalau anda semua hendak tahu, itulah pertama kali kami memasak beras jenis BASMATHI.

“Call Pak Long cepat, kata kita ada masalah ni,” balasnya pendek. Terus dia berlalu.

* * * * * * * *

“Alhamdulillah Tok Wan dengan Mak Wan ada, kalau tidak tak tahu apa hendak jadi dengan
nasi kami tadi,” Luah Akmal. Wajahnya nampak lega.



Lepas sahaja insiden tadi, kami terus bergegas ke rumah Ustaz Sulaiman, Pengarah MSD kami. Mengadu hal tersebut, dan beliau terus ke kedai berdekatan mencari kampit beras yang baru untuk digantikan dengan beras yang ’tidak menjadi’ tadi. Terusnya kami membawa kawah itu untuk diupgrade semula. Akhirnya, Tok Wan dan Mak Wanlah (ayah mertua kepada Ustaz Sulaiman) yang menjadi hero kami. Mengucap panjang kami dibuatnya. Majlis Aidilfitri pagi itu berjalan lancar pagi itu, walaupun kami separuh mati meng cover kerja-kerja akibat insiden nasi mentah tadi. Tuhan sahaja yang tahu letihnya.

“Hendak masak nasi, kalau di musim sejuk macam ni kena tunggu air betul-betul mendidih dulu, baru masukkan berasnya. Kalau tidak, beras susah nak kembang,” kata Tok Wan, Mak Wan mengangguk mengiyakan. Kami juga mengangguk. Rupanya Tok wan dan mak wan adalah tukang masak yang bukan calang-calang ketika zaman muda mereka. Kata tok wan, kebanyakkan majlis kahwin dia yang akan menjadi tukang masak di kampung mereka. Bayangkanlah, nasi mentah hasil kretiviti kami tok wan dan mak wan boleh upgrade semula menjadi nasi yang boleh dimakan. Saya amat terkejut. Bukan sebarang orang boleh buat macam itu. Bagi saya, nasi jelantah tempatnya di tong sampah sahaja.


cucu tok wan yang comel, Dik La

Hari itu, seharian kami menuntut pelbagai resepi-resepi memasak daripada tok wan dan mak wan. Daripada memasak air sehinggalah memasak lauk-pauk perkahwinan. Bersungguh-sungguh kami menuntut. Tok wan dan Mak wan pula tidak jemu-jemu memahamkan kami. Jadilah kami seperti anak-beranak ketika itu, saling bertukar-tukar cerita. Pengalaman nasi minyak memang menjadi ingatan sampai bila-bila.


Haji yang Bermakna buat Tok Wan dan Mak Wan, Pengajaran Buat Kami.


“Balik saja daripada Tanah suci tempohari, saya terus demam. Mak wan pun sama,” Tok wan memulakan bicaranya. Petang itu, selepas sekian lama tidak berkunjung ke rumah mereka, kami tergerak hati untuk ke sana menziarahi mereka. Kebetulan mereka baru sahaja pulang menunaikan fardu haji.

“Memang pengalaman yang tak dapat saya lupa, letih sangat-sangat tapi berbaloi,” tambahnya lagi. Wajahnya nampak tenang, putih berseri selepas haji.

“Ada satu masa tu, saya hilang sekejap daripada rombongan. Puas Mak wan dan kawan kamu Sabran mencari merata-rata kawasan masjidil haram tak jumpa. Akhirnya, lepas solat Isya’ barulah saya sms mereka yang saya selamat,” ceritanya semakin panjang. Kami khusyuk mendengar pengalaman mereka.

“Kalau kamu hendak tahu tentang cerita saya hilang tadi, kamu boleh tanya pada Sabran. Dia tahu semuanya. Kadang-kadang bila teringat peristiwa itu, saya menangis sorang-sorang,” tambahnya lagi dia masih berahsia.

Saya lihat lopak matanya ada air yang bertakung. ‘mungkin peristiwa itu amat bermakna untuk tok wan’ duga saya. Kami meneruskan perbualan, dengan harapan dapat mengorek dan memancing cerita peristiwa tok wan hilang di Tanah Haram. Akhirnya dia membuka mulut menceritakan peristiwa tersebut.

“Saya tak pernah rasa yang saya dapat baca Al-Quran sebaik itu, semasa duduk di hadapan kaabah,” katanya.

“Dari muka surat awal sampai ke muka surat 12, saya boleh baca tanpa lihat Al-Quran. Sedangkan semasa di Malaysia saya hanya pernah membaca saja, tak pernah sekali menghafal. Mungkin ketika itu tuhan hendak beri saya sesuatu. Saya rasa sangat-sangat tenang,” tok wan meneruskan cerita.

Kata tok wan dia hilang ketika dia mahu mengambil barangnya yang tercicir selepas zohor, kemudian terus dia hilang daripada kumpulannya. Akhirnya dia mengambil keutusan untuk membaca Al-Quran di situ. Seusai solat hajat 2 rakaat dia mengaji. Selepas itu, seorang yang berbangsa Maghribi yang duduk di sebelahnya menegurnya, meminta disemak bacaannya. Tok wan menurut sahaja. Sekali lagi perkara ajaib berlaku, tok wan tidak langsung melihat Al-Quran ketika menyemak bacaan dan mampu menegur beberapa kesalahan tajwid dan ejaan. Orang Maghribi itu kagum langsung menyangkakan tok wan seorang al-Hafiz Al-Quran, tetapi tok wan menafikan. Kami masih lagi khusyuk mendengar, saya melihat lagi dalam-dalam mata tok wan, semakin banyak air matanya bertakung. Nada suaranya pun kian berubah.


“Akhir pertemuan, saya minta orang Maghribi tadi doakan saya. Kemudian kami berpeluk erat. Saya rasa sedih sangat ketika itu, menangis saya dibuatnya,” tambah tok wan.

Katanya, tok wan meminta agar orang maghribi tadi mendoakan supaya dia boleh fasih berbahasa arab dan menjadi seorang penghafal Al-Quran suatu hari nanti. ALLAHUAKBAR! Terharu hati saya mendengarnya. Orang berumur sekitar 70-an masih bercita-cita mempelajari bahasa arab dan menghafal Al-Quran.

Kata tok wan lagi, hanya beberapa saat sahaja kelibat orang tadi sudah hilang. Hajatnya tok wan mahu memulangkan selipar yang tertinggal, namun selepas mencari-cari kelibat orang berbangsa Maghribi tadi, dia tidak ketemui. Keajaiban lagi. Tok wan tertanya-tanya siapakah orang tadi? Barulah saya mengerti, betapa tok wan mulia orangnya sehinggakan Tuhan memberikan sesuatu yang ajaib untuknya ketika berada di Tanah Suci itu. Peristiwa tok wan hilang sangat berkesan di hati saya.

“Satu lagi, ada satu masa di Tanah Suci mak wan kamu tak boleh langsung hendak membaca ayat-ayat doa semasa haji walaupun di sini dia sudah menghafal semua doa-doa tersebut. Kemudian mak wan mengadu pada saya dan menangis,”

“Saya kata, ada tak terlintas di hati kamu rasa menunjuk-nunjuk sebelum nak tunai haji. Kalau ada cepat-cepat buang perasaan tu,” kata tok wan. Akhirnya mak wan boleh membaca.

Sekali lagi kami terkedu mendengar peristiwa itu. Masing-masing berfikir sesuatu. Pengajaran dan Iktibar.


* * * * * * * *

Petang itu selepas minum-minum ringan kami bersalaman meminta diri pulang. Teringat peristiwa tok wan dan mak wan sekejap menginsafkan kami. Lalai dan leka kami ditegur oleh cerita-cerita bermakna oleh tok wan. Tahun ini, jika diizinkan ALLAH, kami akan bertamu di Tanah Suci itu. harapannya biarlah persediaan kami itu mencukupi. Malam ini, cerita pengalaman tok wan terus berlegar-legar dalam ingatan saya, buat panduan dan titik permulaan berubah. Saya sudah anggap tok wan dan mak wan sebagai ayah dan ibu kandung sendiri.

afiq saleh - 2326pm

p/s: hati rasa sedih bila tok wan nak pulang ke Malaysia hujung bulan 6 ini. dalam kehangatan ukhwah kami, tiba-tiba perpisahan menjenguk kami seakan mencemburui..



1 Response so far.

  1. wah..nasi jelantah..trauma2!!