Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts


Mereka tersilap!!

Itu persepsi saya diawal mendengar slogan tersebut. Mendaulatkan ugama atas nama perkauman adalah langkah yang tersasar dan tersimpang. Bukan sahaja boleh menaikkan kemarahan bangsa barangkali boleh memburukkan nama ugama.

Islam tetap tertegak tanpa perlu menunggu bangsa tertentu untuk bersatu terlebih dahulu. Bahkan dengan kepelbagaian kaum yang majmuk, Islam boleh ditegakkan. Mensyiarkan ugama tidak harus didahulukan dengan apa-apa aspek perkauman, sekalipun bangsa itu sedang berpecah-belah, Islam tidak akan terpengaruh dengan situasi untuk dibangkitkan, kerana masih banyak bangsa yang sudi mendepangkan tangan untuk mendaulatkan Islam.

Islam tidak memerlukan Melayu sahaja untuk bangkit, bahkan Melayu sekadar faktor kecil untuk kebangkitan Islam, pendak kata, jika Melayu tidak wujud di dunia ini ataupun Melayu sendiri belum lagi mahu bersatu, Islam pasti bangkit dengan kegagahannya sendiri. Dan kalaupun bangsa Melayu berjaya mendaulatkan Islam, tidak bermakna Orang Melayu dengan riak bisa berkata: “Bangsa kamilah yang memartabatkan Islam”

Rasis!

SLOGAN DAN MATLAMAT?

Sesungguhnya, apa yang ingin dibawa oleh entiti Islam ini ternyata silap, percaturan mereka dalam usaha untuk merealisasikan matlamat utama mereka mengandungi unsur kemasyarakatan yang sangat sensitif. Lalu jalan yang mereka rencanakan telah tersimpang sedikit ke tepi dan akhirnya telah mengakibatkan berlakunya “kemalangan” yang memakan diri. Slogan Melayu yang dilaungkan bukan sahaja tidak difahami bahkan sudah mula menimbulkan kemarahan. Sehinggakan ada yang mengandaikan persepsi sebegini:

Bangsa Melayu diagung-agungkan,

Bangsa Cina mula berkecil hati,

Bangsa India terasa dianak-tirikan.

Sedangkan Islam diwahyukan untuk semua dan tidak terkecuali atas nama kebangsaan!

Dalam usaha untuk memartabatkan ugama, sama sekali ia tidak boleh digabungkan dengan sentimen perkauman yang dapat menimbulkan perpecahan. Seolah-olahnya kita sedang melakukan dua kerja yang bertentangan, yang pertama cuba memartabatkan Islam, namun dalam masa yang sama bangsa lain merasa tidak berpuas hati kerana disisihkan.

Kita mampu bersetuju jika matlamat untuk mempersatukan Melayu itu dalam kerangka memartabatkan Islam hanya dijadikan sebagai matlamat cabang, tetapi jika diletakkan sebagai matlamat utama ia adalah tidak relevan.

Sebagai sebuah entiti yang membawa nama Islam, mereka harus sedar bahawa pendekatan yang ingin diketengahkan dalam memartabatkan Islam harus diteliti agar tidak mengguris mana-mana pihak.

Saya akui, Bangsa Melayu sememangnya banyak “memenangi” kedudukan teratas dalam apa jua masalah dan gejala sosial. Statistik membuktikan bahawa Melayu menduduki kiraan tertinggi dalam kegawatan tersebut. Usaha entiti ini untuk memperbaiki bangsa Melayu dan mengembalikan mereka kepada cara hidup yang sempurna tidak harus diperlekeh bahkan itulah yang dimahukan oleh semua entiti dakwah yang membawa nama Islam.

Saya juga bersetuju jika mahu mengembalikan zaman keagungan Islam di Malaysia, Bangsa Melayu harus dahulu diubah agar jalan untuk melihat kegemilangan Islam dapat dirasai semula. Kalaulah situasi ini yang mereka sedari untuk melajukan jalan menuju kemenangan Islam, saya harus memuji entiti ini kerana belum ada lagi kesatuan yang mengambil cakna secara serius akan isu ini.

JANGAN SALAHKAN BANGSA LAIN

Namun,

Jika Masjid India disalahkan dan dijadikan alasan untuk merealisasikan slogan ini, itu tidak sepatutnya berlaku kerana Masjid India tidak pernah memecah-belahkan masyarakat yang bersembahyang disitu bahkan menjadi agen dan pusat penyatuan umat Islam sesama kaum. Bahkan nama Masjid India sendiri tidak langsung mencetuskan kontroversi dan ia hanyalah sebuah nama tanpa ada apa-apa agenda perkauman.

Bukankah ini satu cara & sikap yang negatif? Membangkitkan isu bangsa lain dengan tujuan untuk mempromosi kehebatan slogan tertentu. Mahu memartabatkan melayu, Masjid India yang disalahkan.

Kita harus sedar, golongan selain Melayu yang bernaung di “Tanah Melayu” adalah golongan minoriti yang harus dijaga, apatah lagi mereka ini bukanlah dikalangan penganut yang beragama Islam. Dakwah kita kepada mereka adalah berbentuk tauladan dan hubungan baik. Jika dakwah yang ingin dibawa ini tersalah langkah, Islam akan menanggung risiko yang besar untuk tidak didekati.

Oleh kerana, bangsa Melayu adalah golongan majoriti yang mendominasi kedudukan besar di Malaysia, tidak seharusnya mereka menimbulkan isu perkauman yang kononya dengan kesatuan kaum akan mampu memartabatkan Islam.

Ya teori ini ada benarnya, jika ‘umat’ melayu tidak bersatu, Ugama Islam di Malaysia amat sukar untuk ditegakkan, maka ia harus dijadikan salah satu faktor untuk menyelamatkan Islam, tetapi memadailah ia dijadikan sebagai solusi kecil dan method pelaksanaan sahaja, bukannya diangkat menjadi slogan dan disorak-sorak.

Saya tidak hairan jika slogan ini keluar dari kesatuan yang tidak membawa nama Islam, tetapi jika yang melaungkan slogan ini terbit dari entiti yang sinonim dengan nama Islam, ia tidak wajar. Silap mereka cuma satu, cuba menaikkan kedaulatan Islam atas nama bangsa dan mewar-warkannya sebagai slogan.

Sebagai sebuah entiti yang sudah lama bertapak sebaris dengan NGO dan parti politik Islam, mereka harus bijak membuat pertimbangan dalam meletakkan objektif pada setiap penggal sesi pentadbiran mereka. Slogan atau motto yang dirangka harus menepati bukan sahaja kehendak ahli mereka malah keperluan masyarakat di luar sana. Ia mesti mengambil kira sensitiviti dari pelbagai aspek apatah lagi jika ia dikaitkan dengan nama ugama.

Apa yang dikhuatiri objektif untuk mempersatukan Melayu mungkin berhasil tetapi matlamat untuk mempersatukan kaum atas nama Islam tidak terlaksana. Lebih dibimbangi, ulam yang dicita, bukan pucuk yang mendatang sebaliknya perpecahan kaum pula yang terjadi. Lalu, masyarakat akan mensabitkan kesalahan ini kepada bangsa Melayu kerana Islam telah disinonimkan dengan nama Melayu.

Sebagai umat Islam yang sayang akan agamanya, saya mahu melihat entiti ini terus mendapat pengiktirafan di mata masyarakat Islam dengan hanya memperbaiki sedikit daripada slogan mereka. Mereka akan lebih gah jika pendekatan yang dibawa ini berbentuk universal, Melayu tetap Melayu, cuma tidak diabaikan peranan bangsa lain lalu kalimahnya boleh digeneralkan kepada umum agar tafsirannya berunsur majmuk.

KITA SEPAKAT, ISLAM BERDAULAT!

Maka, Cina, Melayu dan India dapat disatukan atas nama Islam.


MOHD AFIQ MOHD SALEH
Mantan,
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ)
Sesi 2010/2011


MENGALAH BUKANNYA KALAH

Oleh: Mohd Afiq Mohd Saleh


Pertamanya: Bukan mudah untuk mencari seorang wanita yang berjiwa selamba mengharungi air banjir semata-mata untuk menemui penduduk di sekitar Labis. Saya pasti jika Cikgu Mala tidak memulakan feel-nya itu, YB Mohd Azahar juga akan berbelah bahagi dan ‘malu-malu ayam’ untuk mengharungi banjir, akhirnya nampak jelas kekoknya YB Azahar di dalam air kerana terpaksa.

Cikgu Mala sudah lali dengan kerja dan situasi begitu, bukan ketika pilihanraya sahaja beliau bermain dengan hujan, bahkan boleh dikatakan setiap masa. Penduduk di Tenang juga amat mengenali tabiat beliau.

Keduanya: Bukan sebarangan wanita yang rela menggadaikan periuk nasinya hanya untuk menginfaqkan sepenuh tenaganya kepada parti. Belasan tahun khidmatnya sebagai guru dengan gaji yang lumayan ditinggalkan begitu saja walaupun beliau tahu kesusahan dan akibat yang bakal dilaluinya nanti apabila menerajui Parti.

Siapa sedar, sedikit demi sedikit sekatan dan tohmahan buruk mulai dilemparkan terhadap Cikgu Mala. Tempiasnya juga turut mengenai suami beliau. Namun, apa boleh buat itulah namanya berjuang di dalam parti yang bernama PAS.

Ketiganya: Jika tiada PRK Dun N.05 Tenang, saya mungkin tidak mengenali Cikgu Mala seperti hari ini. Pertama kali melihat wajahnya, saya merasakan beliau mempunyai suatu spirit dan kelebihan yang jarang saya temui pada muslimah lain.

Bersahaja dan tenang, itulah pandang pertama saya.

Rupanya beliau seorang guru sekolah, bahkan pernah mendapat anugerah guru cemerlang. Dari sudut itu beliau sudah cukup mulia untuk dipuji kerana kerjayanya membina modal insan. Di sekolah beliau seorang cikgu yang mendidik, tetapi di dalam masyarakat saya kira beliau seorang murobbi untuk penduduk Labis, di rumah beliau adalah bidadari di hati suami.

Keempatnya: Cikgu Mala ada identiti tersendiri, masyarakat suka melihat beliau bukan setakat beliau memiliki wajah yang cantik tetapi juga kredibiliti dan izzah yang dihormati. Teman-teman saya sempat bergurau saat mengenali calon PRK Tenang itu: ‘Cikgu Mala tu cantikkan?’

Ada-ada saja.

Cikgu Mala memiliki pakej seorang muslimah. Lengkap dari segala-galanya. Berani, berkeyakinan tinggi, petah bertutur, mesra, ramah dan murah senyuman. Ilmunya pula usah disangkal kerana beliau adalah seorang guru.

Daya tarikan pada beliau amat luar biasa. Kaum Cina dan India lebih mendekati beliau berbanding Melayu itu sendiri.

Sang Murobbi - Anak muridnya masih sayang kepadanya


DI TANGAN CIKGU MALA ADA ISLAM

Oleh: Saudara Aizat Saleh (http://generasiwahyu.blogspot.com/)

Pada 30 Januari 2011, DUN Tenang telahpun menyaksikan ‘kebijaksanaan’ rakyat Johor. Negeri itu bukan lagi menjadi kubu kuat UMNO-BN seperti mana sebelum tahun 2008, pasca-perubahan rakyat Malaysia boleh berlaku pada bila-bila masa.

Ada yang bijak ada juga yang kurang bijak!

Cikgu Mala yang mendapat jolokan 'tangan ajaib' begitu tuah. Dek kerana peribadinya yang bersih, MCA tidak dapat menyerangnya. Orang kata: 'Tak dapat paha, betis pun jadi'. Tak dapat serang peribadi, tangan pun jadilah!

Saya bersetuju dengan pandangan daripada Shannon Teoh, kolumnis themalaysianinsider.com, beliau mengulas berkenaan tangan Cikgu Mala:

"I'm not expert on Islam but I'm sure that the latter is taking it a bit too far, or not even part of Islam. Maybe we should refer to PKR president Datuk Seri Wan Azizah whose gloved hand I've shaken on several occasions."

Bahkan sebenarnya, Cikgu Mala boleh dijadikan model pemimpin parti politik Islam yang berpegang dengan prinsip Islamnya (tidak bersalam). Dan bagi sebuah negara yang mengamalkan toleransi agama dan demokrasi, seharusnya setiap orang tidak boleh dilarang mengamalkan agamanya (prinsip).

Situasi itu menimbulkan kekaguman beliau yang akhirnya melihat pengamal Islam seumpama Cikgu Mala adalah manusia yang berpegang dengan agamanya. Katanya:

"That's how you preach and teach about you religion, by giving fiery sermons and being a pious person in daily life. I salute Cikgu Mala and Nizar for their commitment to Islam!"

Sudahnya, yang mendapat hidayah orang lain. UMNO-MCA masih begitu.

Kata Penulis (Aizat Saleh):

‘Jika tidak tahu apa manifesto yang diperjuangkan oleh Cikgu Mala, cukuplah mengundi beliau kerana wajah dan imejnya’

Maka saya juga bersetuju dengan kalam penulis.

Kesempatan ini saya ingin mengalungkan ucapan Tahniah kepada YB Mohd Azahari atas kemenangan beliau mengasai majoriti undi penduduk Labis. Biarlah, di kertas undi anda mendahului, tetapi saya cuma mengagak bahawa cikgu Mala masih menang di hati rakyat Labis.

Kain Perca disimpul erat, Surutnya sungai bukanlah mati,

Tewas di gelanggang kalah yang adat, menang di hati, kenang abadi.

____________________________________________

Nota Kehidupan (1): Saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru apabila usai menamatkan pengajian di sini. Teringin rasanya mahu mendengar anak murid memanggil: ‘Selamat Pagi Cikgu Afiq!’

Nota Kehidupan (2): Saya mendoakan kesejahteraan sahabat-sahabat saya yang kini berhadapan dengan suasana bahaya & getir di Mesir. Moga ALLAH memberikan keselamatan kepada mereka semua, amin!

Nota Kehidupan (3): sangat sukar mencari kekuatan baru untuk memulakan semester baru.

[Usah Jemu Memberi]


Tahniah buat Tun Abdullah – Kalau dahulu, semasa jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau tidak sempat membawa panji dan prinsipnya ke tengah masyarakat Islam di Malaysia, tetapi kini baru saya lihat kesinambungan itu disambung semula semalam.

Beliau hanya sempat 5 tahun saja memperjuangkan dasar Islam, kemudian selepas itu, beliau sudah berundur daripada jawatannya. Saya fikir tempoh 5 tahun itu belum cukup Islam mahu disebar jauhkan kepada ummat Islam di Malaysia, walhal kerja-kerja sebegini perlu lama jarak penyebarannya dan hasilnya juga akan dilihat sebagai kerja murni.

Melihatkan kriteria beliau adalah graduan Lulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam Universiti Malaya suatu ketika dahulu, adalah bertepatan sekarang beliau perlu terus menyambung hasrat beliau yang dulu-dulu untuk memperkembangkan Islam dan fahamannya. Biarlah apapun istilahnya, janji perjuangan beliau harus lebih ditekankan dan berjalan secara terus-menerus tanpa henti. Kerana ini adalah usaha penting untuk melihat paradigma yang lahir di masa hadapan akan memahami Islam.

Saya terkenang lagi ketika Tun Abdullah bersama gagasan ISLAM HADHARI nya, walaupun timbul kontroversi dengan apa yang mahu dibawanya tetapi pada saya ada sebahagian gagasan itu tepat dan selaras dengan Islam. Lagi-lagi pula tema yang dibawa sungguh disebut-sebut hingga sekarang. CEMERLANG, GEMILANG, TERBILANG!

Kalaulah tema ini digabungkan dengan hasrat melaksanakan Islam maka ianya akan berubah kepada situasi yang lebih gempak dan punyai impian besar. Namun Tun tidak boleh merasa selesa dan senang kerana dia harus berdepan dengan pelbagai kondisi yang sukar ketika ini. Umat Islam di Malaysia bermasalah dari setiap sudut, bermula kanak-kanaknya, remaja terutama sekali sehinggalah golongan tua pergi ke masyarakat. Masalah bertambah rumit dan mikro apabila dilibatkan pula dengan isu perbalahan kaum. Dua isu problem yang sangat payah dilangsaikan. Tanggungjawab sekarang sudah terletak di bahu Tun Abdullah kini. Memulihakn kefahaman dan imej Islam.

Abdullah mesti buktikan bahawa bukan di jawatan tertinggi sahaja dia mampu merealisasikan Islam di dalam masyarakat tetapi duduk di kerusi ini pun beliau masih boleh meneruskan misi tersebut. Saya tidak memandang yang Abdullah tidak mampu melaksanakannya, bahkan lebih dari itu saya menanamkan kepercayaan hampir seratus peratus kepadanya apabila dia dipilih mengisi kekosongan itu. Kita lihat dan tunggu. Pesan saya pada Tun, jangan hampakan harapan rakyat dan lebih penting harapan umat Islam. Setidak-tidaknya jika betul dan sebarislah pelaksanaan yang akan diatur dibawah IKIM nanti, maka akan memudahkan kerja-kerja Parti Islam di Malaysia. Tetapi jika sebaliknya? Saya mula-mula akan tarik diri daripada menyokong beliau. Ingat ya Tun!

Tahniah sekali lagi pada Tuan Abdullah atas perlantikan sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) daripada penyandangnya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. Apa pun tugasnya, memastikan Islam terus bernyawa di Malaysia adalah sebahagian tugas para Nabi. Jangan dilengah-lengahkan dan jangan disalahgunakan. Semoga Pak Lah terus maju dengan Islam.

Takbir!!

Untuk read more, tulis di sini...



Sepatutnya orang Melayu sudah lebih matang memikirkan soal ini. Ini bukanlah isu yang main-main, atau menghina bangsa tetapi melangkaui batas yang sudah menghina ke tahap kesucian beragama. Menghina sesuatu yang ada hubungkaitnya dengan sesuatu agama adalah bermakna menghina agama itu sendiri. Anda menghina masakan yang disediakan oleh ibu anda seolah anda mempertikai kebolehan ibu anda, bermakna anda juga telah menghinanya!

Sungguh tidak matang lagi B*****G.

52 kali sudah merdeka, 52 tahun juga sudah kita capai keamanan dan keharmonian sejagat sesama kaum di Negara tercinta ini. Seharusnya inidividu terpelajar dan tuan rumah kepada Negara ini sudah matang dan dewasa, berfikiranpun kena jauh dan kehadapan. Bukankah tidak elok bermasam muka, berdendam apatah lagi bergaduh. Inikan pula membakar isu-isu perkauman yang tidak sewajarnya timbul?

Bukan soal di Bulan Mulia sahaja, di bulan lain juga tidak boleh berpelakuan buruk sebegini. Saya sudah tidak tahu, mahu mengklasifikasikan perangai ini kepada tahap keburukan yang mana satu hinanya. Kalau memukul orang, ada juga jenayahnya, tetapi menghina agama ini sesuatu yang terlalu besar penghinaannya.



Peribadinya, saya terlalu dukacita dengan kejadian ini, lebih-lebih lagi melibatkan umat yang bergelar melayu lagi beragama Islam. Dua kali gandanya saya cukup malu. Malunya kerana ia terjadi disebabkan tingkahlaku Melayu, dan lebih malu lagi malu kerana bersumber daripada perbuatan dan feel orang Islam. Kalau ikutkan hati, mahu saja saya membela orang di sebalik ‘pihak sana’, tetapi saya orang Islam juga. Akhirnya saya cukup malu dengan feel yang seagama dengan saya, dan rasa bersalah dengan ‘mereka’ akibat orang-orang yang sama fahaman dengan saya.

Berfikirlah,

Tidak kiralah, mana-mana fahaman politik yang mahu membantah atau berdemontrasi, tetapi janganlah sampai tahap mencampuri urusan keagamaan seperti ini. Langsungnya, bukan sahaja Parti Islam yang mendapat nama buruk, Parti Melayu pun buruk jua. Kerana apa? Kerana nama Melayu sudah sinonim dengan nama agama Islam. Lalu, apa-apa yang dilakukan buruk atau negatif oleh Melayu, maka buruk jugalah yang akan melekat pada agama Islam. Malu bukan?

Melayu pun malu.

Islam lebih malu.

Kemaluan yang berganda-ganda berikutan orang-orang yang agak bodoh-bdoh alang ini, puncanya cuma tidak mahu berfikir atau berfikiran tidak jauh atau lebih kasarnya B***H.



KUIL JE PUN? KENAPA MAHU CEPAT MELATAH?

Saya berkira-kira dan menilik seketika kisah dan isu ini walaupun agak lewat dan ketinggalan 2 ke 3 hari ke belakang, tiba-tiba timbul persoalan yang mungkin untuk bertanya-tanya sahaja.

Mengapa perlu Melayu takut dengan pembinaan kuil tersebut?

Adakah sebab bimbang anak-anak muda akan beralih daripada agama asal (Islam) ke agama pemilik kuil tersebut? Ataupun gusar akan kredibiliti Islam akan terjejas di taman tersebut? Kalaulah faktor-faktor itu yang ditakuti sehingga boleh berbalah-balah dan melibatkan agama perkauman maka itu bukanlah main issue, tetapi ia satu kedengkian yang bersifat sengaja dan mempunyai agenda lain.

Kalau benar takutkan anak-anak kita beralih agama, kenapa biarkan remaja-remaja tinggalkan solat bahkan ada yang tidak tahu langsung bersolat atau bersembahyang. Kenapa tidak hiraukan anak-anak muda yang berpeleseran dan bercouple, berzina, minum arak dan sebagainya berleluasa di sana sini. Jika benar takutkan ini dan sayangkan agama, punca-punca ini harus dahulu dilangsaikan kebobrokannya, bukannya berdemo dan mengaibkan agama lain.

Kuil bukan masalahnya, tetapi tilik dahulu sikap diri sendiri sebelum mahu mengata orang lain. Mengapa sahaja isu kuil ini boleh memecah-belahkan kaum dan agama? Islam mahu penganutnya berbaik-baik agar semua bangsa dapat merasakan yang Islam itu agama yang murni dan berdedikasi bersama semua orang. Tetapi jika umatnya yang melemparkan fitnah ke dalam agama sendiri, bagaimana mahu agama lain akan tertarik dengan kebaikkan Islam?



akhbar Utusan Malaysia 3 September 2009

Kuil dan Masjid, kedua-dua tempat ibadat yang masing-masing perlu dipelihara dan dijagai serta punyai hak masing-masing. Jaganya dengan bagaimana? Berlapanglah dada.

Saya hampir 12 tahun tinggal di sebuah tempat yang bernama Taman Pinggiran Batu Caves. Selama itu jugalah saya belum terdengar atau sebarang kekacauan yang berlaku terhadap penduduk di sini atau pada saya sendiri, saya berharap ia kekal sampai saya pulang nanti. Dalam pemerhatian saya, kami damai dengan kaum di sini, ada Cina dan ada juga India, kami saling bantu membantu. Setakat anjing menyalak membuat bising itu sudah lali dan biasa, namun jika tidak berlapang dada, sudah tentu anjing tadi mati akibat diracun. Tetapi binatang itu sihat hingga kini kerana tuannya pandai menjaga batas-batas kejiranan, dan faham akan keagamaan semua tetangga. Pendek kata, kami selalu berlapang dada.

Bila masuk waktu solat, surau atau masjid akan tetap dengan dikumandangkan azannya, dan bila tiba Hari Thaipusam, mereka juga dengan upacara mereka. Biarpun sebahagian jalan terpaksa di tutup, tetapi kami faham akan itu.

Sudah-sudahlah bergaduh, jauhkan persengketaan. Janganlah menganggap yang buruk-buruk kepada sesiapa. Mengapa perlu menfitnah mereka yang membenarkan pembinaan kuil itu sebagai pengkhianat bangsa? Sungguh hina sangat fitnah sebegitu. Berpada-padalah, tegur sudah cukup rasanya, bukannya menghina bangsa sendiri.


BERLAPANG DADA

Ayuhlah kita, berbondong-bondong untuk mencari titik pertemuan kesatuan agar tidak terlanjur dalam berkata atau bertingkah. Sememangnya kita diikat dengan kemarahan, tetapi boleh reda dengan kesabaran dan berlapang dada. Come on la bro, we are Muslim. Dengarkan pantun yang sengaja saya reka buat tatapan anda, kalau lain macam saja telo bunyinya, anggap saja ia sedap didengar, yang penting isinya:

Pantai yang dalam lebarlah jalanya,
Besar bahtera melindung badai,
Di mana indahnya perpaduan bangsa,
Kalau seninya tidak dinilai.

Untuk read more, tulis di sini...

Muka Hadapan akhbar Utusan Malaysia 25 Ogos 2009 - Isu ini semakin panas diperkatakan


Kartika Sari Dewi Shukarno - tiba-tiba sahaja nama wanita ini menjadi sebut-sebut orang ramai, daripada mulut pak cik di kampung, media massa sehinggalah pak menteri-menteri yang tinggal di Putrajaya. Semuanya bijak-bijak memberi komen!

Maklumlah al-Model as-Sambilan, tentu saja namanya mungkin meletup-letup. Kali ini bukan kerana kemodelannya yang masyhur, tetapi disebabkan keberaniannya yang mengatasi kemodelannya bersuara hasrat hati dengan jalan kebenaran.

Namun, jauh dari pandangan saya, isu sebegini harus dilihat daripada sudut yang pelbagai, agar semua mekanisma positif dapat kita wujudkan.

Walaupun isu ini belum lagi nampak hujung pangkalnya, namun pelbagai pihak tidak harus menuding jari kepada sesiapa. Samada mahu disebat ataupun tidak, bukanlah perkara yang pokok yang perlu dicanangkan atau diperbesarkan.

Juga samada mahu dibuat di bulan Ramadhan kerana mahu mudah diinsafi orang, walaupun ada pihak yang menafikan kebenaran itu. Isunya bukan itu. Ubatnya kepada isu ini adalah satu sahaja, punca!

PUNCA ARAK berleluasa. Di mana?

______________________________________________


REAKSI PELBAGAI PIHAK

Kata Najib: ‘Utamakan Tarbiyyah’

“Oleh itu, apabila mengenakan hukuman (terhadap pesalah) proses tarbiah sepatutnya lebih penting berbanding hukuman fizikal kerana ia sejajar dengan sifat Islam yang simpati dan belas kasihan kepada umatnya,” katanya lagi

(Utusan Malaysia-26 Ogos 2009, Rabu)

Kata Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin pula:

“Kita tidak mempunyai kepakaran dalam bidang ini, saya terpaksa mengaku...,”

(Mstar-26 Ogos 2009, Rabu)

Kata Shahrizat:

"Namun, terserah kepada beliau untuk memohon semakan, beliau boleh melakukannya dan saya berharap beliau akan melakukannya. Kita tidak boleh memaksa beliau untuk tidak disebat kerana beliau mungkin sudah bertaubat menyebabkan beliau menerima hukuman itu,"

(Mstar-25 Ogos 2009, Selasa)

Akan tetapi, reaksi Kartika Sari ini amat berbeza dan harus diberi pujian, bukan kerana dia sanggup dirotan, tetapi pujian kepadanya disebabkan sanggup menjadi ikon ‘wanita yang berani mengaku kesalahannya’ . Bagi saya bukan mudah mahu mencari manusia yang tidak hipokrit. Berapa ramai saja yang mencanang kesalahan, merencana dan melakukan jenayah, semuanya mahu lari dari hukuman. Ingatlah, hukuman dunia bolehlah lepas, akhirat nanti?

Ada juga yang membunuh meletup-letupkan orang, tetapi dilepaskan begitu saja, mata sengaja dibuat-buat pejam sebelah, sedangkan mereka tahu akan siapa penyalahnya. Ada juga rasuah sudah melambung ke jutaan billion ringgit, dan bila masuk dibicarakan, di kandang perbicaraan itu juga dia terlepas.


akhbar KOSMO! edisi 26 Ogos 2009 - Kartika Sari


Cerita kali lain pula, orang yang sudah disabitkan kesalahan dimain-mainkan seperti menendang bola atau tarik tali. Pihak sana tidak sanggup, pihak sini kata ‘nanti dulu’, langsung akhirnya Pak-Pak Menteri yang mula campur tangan, memujuk! Mungkin takut sesuatu yang lain agaknya?

Kata Kartika Sari Dewi Shukarnor pula:

"Bagi saya, usaha untuk 'merayu' sebenarnya sudah berakhir iaitu selepas Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus memukul tukul di mahkamah dan menjatuhkan hukuman terhadap saya. Sejak saat itulah saya sudah nekad dan bersedia menerima hukuman (enam sebatan) itu,"

(Akhbar KOSMO!-26 Ogos 2009, Rabu)

Kan Nabi sudah berpesan, katanya: ‘Arak itu ibu kepada Maksiat (punca kepada keburukan)’ kalau difikir-fikirkan semula pesan Nabi itu, ada benarnya. Pesan itu kalau maksud mudahnya, arak ini akan menyebabkan terjadi kepada perkara-perkara buruk yang lain. Pendek kata, semuanya dalam satu (all ini one). Katakanlah orang yang sedang mabuk kerana meminum arak, besar kemungkinan kita boleh jangkakan dia akan membunuh orang lain, tidak kiralah menggunakan bom ataupun pisau. Begitu juga maksiat-maksiat yang lain, seperti zina dan sebagainya.

Bukankah mudah, jika punca ini diatasi dan dibatasi gejalanya, tidaklah berlaku isu mahu sebat atau tangguh, mahu dibuat di bulan Mulia ini atau selepas raya, mahu tarik balik hukuman ataupun tidak. Kalaulah punca ini dicari tidaklah Mahkamah Syaraih bergaduh-gaduh. Puncanya adalah punca. Kalau jernih sungai di hulu masakan tidak jernih dihilirnya.

Haramkan saja arak agar tidak dijual ditempat-tempat terbuka, dan orang Islam yang membelinya ditangkap serta dihukum berat, tidakpun kembali saja kepada hukum Islam, H***D. Ops! Kata orang besar-besar, Ini pandangan lapuk, cuma belum dilaksanakan lagi saja. Kerana masyarakat majmuk!

Habis tu bagaimana?

Kalau sudah tidak mahu kembali kepada Islam, fikirlah sendiri jalan penyelesaiannya. Kalau sudah jumpa, khabarkan pada saya!


RESPON TUAN GURU YANG AMAT BERNAS DAN ‘BIJAK DI SANA SINI’

Minggu baru-baru ini Dato Hasan Ali ada menyatakan bahawa status, aotoriti, dan hak diberikan kepada tok-tok imam, Nazir, Bilal dan siak-siak masjid untuk menangkap mereka-mereka yang meminum arak selepas usaha beliau mengharamkan arak di Selangor tidak berjaya dan disekat oleh pihak-pihak jahat. Usaha murni Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adatadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Selangor ini harus diganjarkan dengan pujian yang melambung. Biar padan muka kepada mereka (orang Islam) yang tegar dan ketagih arak.

Sewajarnya, usaha ini bukan sahaja dilaksanakan di Selangor atau Kelantan sahaja, bahkan diseluruh negeri terutamanya Kuala Lumpur yang sejak kebelakangan ini telah menjadi tumpuan maksiat.

Apa kata Tuan Guru?

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

"Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat," katanya.

(Harakahdaily.com-26 Ogos 2009, Rabu)

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 80 rotan jumlahnya, kata beliau.

Haramnya arak ini, katanya, adalah tidak mengira tempat samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

Bagi beliau juga, menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya adalah seumpama menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi!

Bagaimana? Sudah nampakkah Kebenaran?

Untuk read more, tulis di sini...

Beberapa hari lagi, situasi dan kondisi kepimpinan di Jordan akan melahirkan generasi baru. Kiranya kalau diibaratkan seperti manusia, mereka yang bakal lahir itu adalah bayi yang comel-comel belaka. Putih yang mesti dicorakkan.

Tapi mereka yang akan lahir itu adalah kepimpinan, jadi tamsilan mereka akan diibaratkan lebih daripada seorang bayi. Mungkin saya gelarkan mereka ini sebagai seorang suami baru kepada isteri yang bakal dipimpin kelak. Juga untuk anak-anak yang bakal kunjung tiba.

Semenjak dua menjak ini, saya dapat merasakan angin yang bertiup itu ada sedikit rasa hangat dan bahang. Barangkali kepanasan musim panas? Bukan juga! Tetapi kepanasan ini adalah berupa abstrak. Tidak terasa di kulit tetapi di dalam spirit dan semangat.

Inilah Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan 2008. Bakal mengundang kehangatan juga dimensi baru perubahan.

Sekarang adalah pasca perubahan, nantikan pula perubahan keseluruhannya.

Sebagai seorang pengundi yang sah dan bebas seperti anda juga, saya juga mempunyai sedikit kekuatan hak untuk bercerita mengenai apakah pandang sisi saya terhadap suasana pilihanraya di Jordan ini. Jujurnya saya tidak mahu melibatkan mana-mana pihak atau di tuduh melobi, kerna itu di awal tulisan ini, saya jujur mengakuinya, supaya anda semua yakin dengan penulisan saya ini dan tidak melemparkan sebarang syak wasangka terhadap saya. Bolehkan? Anggaplah cerita saya ini seperti cerita Sang Kancil ketika menanti lena malam.


Sorotan Masa Lalu..

Saya gerun melihat nama-nama besar yang bakal bertanding nanti. MAFRAQ, IRBID, MU’TAH dan AMMAN. Semuanya mempunyai kekuatan tersendiri, gah mereka itu kadangkalanya tersorok dan tidak Nampak. Tidak hairanlah kepahlawanan mereka-mereka ini hanya terserlah apabila menganjurkan program-program besar.

Lihatlah PERTAMA, KARISMA dan yang bakal muncul nanti, MEKAR. Semua program ini ada identiti tersendiri yang dicipta oleh mantiqah masing-masing, ini adalah trademark untuk mengenali mereka semua. Hebat bukan?

IRBID, bukti yang terbaik.

MUKTAH, lambang keunggulan.

AMMAN, kebangkitan dan juga perubahan.

MAFRAQ, ada kesungguhan murni dan komitmen.

Saya tidak mahu memuji kepada beberapa pihak sahaja, tetapi pujian ini saya lakarkan untuk semua yang bekerja dan menjayakan semua aktiviti MPPMJ semata-mata untuk menaikkan nama MPPMJ di persada ahli. Saya juga pernah terlibat dengan urusan persatuan, maka saya tahu selok-belok kesukaran dan kepayahan dalam persatuan. Oleh kerana itu, mereka yang berkhidmat ini harus dilambungkan kepujian mereka, supaya rasa dihargai untuk mereka dapat dinyatakan.

Tahniah dan segulung terima kasih adalah apresiasi saya untuk anda. Senyumlah sikit?

Pembaca yang budiman,

Setahun dua saya bermukim di tanah Jordan ini, saya dapat memfokuskan sesuatu yang unik di tanah ini yang mungkin tiada di tempat-tempat lain. Di Iribid misalnya, daya intelektual itu ada pada mereka, mungkin juga kerana ramai kelahiran doktor yang berkampung di sana. Tapi apa kurangnya pada profesionalis dari Muktah, Amman dan Mafraq? Mereka ini semuanya mempunyai kekuatan yang hampir sama dalam memimpin, bezanya hanyalah pada bidang, tetapi kita boleh berkawan, bersembang-tawa dan akhirnya mesti bersatu, bersatu ya!

Ini fikiran saya, apalah salahnya dua kekuatan daya ini (intelektual & profesionalis) digabungjalinkan membentuk satu momentum luar biasa untuk menerajui MPPMJ nanti. Doktor boleh memimpin, ustaz juga mampu mencorakkan sesuatu. Cantik bukan?

Ini pula adalah teori saya saja, bukan arahan atau suruhan. Namun saya pasti dan dapat mengagak, juga melihat sesuatu yang sejahtera dan aman apabila suasana ini berlaku, maka hasilnya dapat saya jangkakan adalah berupa kebaikkan yang dapat dirasa oleh rakyat-rakyat seperti kita, indah dan toleransi. Saya fikir anda juga bersepakat bersama saya. Tidakkah begitu?

Saya teringin mahu melihat satu kepimpinan majmuk di dalam barisan kepimpinan MPPMJ nanti yang mempunyai fikrah dan hala tuju yang seiring dan sama, iaitu ISLAMIK dan AKADEMIK, ataupun USTAZ dan DOKTOR bersatu tenaga. Ada ustaz dari Mafraq yang bekerja, Ada pula doktor gigi dari irbid, ada juga ustazah dari Muktah, dan ada juga profesionalis dari Amman. Ohh, sungguh cantik molek gandingan ini!

Yang penting adalah kesatuan.


Pilihlah ‘Orang Baik-Baik’

Apabila ada kawan-kawan yang bertanya saya: ‘Nak pilih siapa ni?’ jawab saya ‘pilihlah orang yang kamu lihat dia baik’ Tanya dia lagi: ‘baik saja?’ jawab saya ‘ya!’

Mari saya terangkan pada anda mengapa saya berkata pilihlah yang baik bukan yang pandai. Bila mana orang meminta pandangan kepada saya, aspek mana yang saya dahulukan untuk memilih pemimpin, kredibiliti (akhlak) atau kepandaian (akademik)? Saya sejujurnya mendahulukan kredibiliti kerana itu adalah izzah dan akhlak. Kepandaian saya letakkan pada kedudukan yang kedua.

Akhlak adalah nombor satu, akademik bukan nombor dua!

Mari saya ceritakan lagi, Kali ini tentang nabi kita Muhammad saw. Mengapa Nabi kita ini sangat disegani, dipandang tinggi dan disanjung-sanjung walaupun dari kalangan orang bukan Islam suatu ketika dulu, iaitu sebelum wahyu di gua Hira turun? Adakah kerana Nabi ini alim dengan ilmu agama atau akhlak nabi yang indah? Saya pasti mestilah akhlaknya, tetapi mengapa ya? Begini, Nabi digelar Al-amin bukan kerana ilmunya, kerana ketika itu baginda masih kecil, tetapi kerana kecantikkan akhlak baginda. Maksudnya bukan Nabi tidak pandai atau alim, tetapi kedudukan akhlak itu dipandang lebih tinggi daripada kepandaian. Tidak hairanlah berapa ramai orang di Makkah yang memeluk Islam hanya kerana terpaut dengan akhlaknya, ada juga yang memeluk Islam dengan hanya mendengar kebaikkan budi pekerti nabi walaupun tidak sempat bersua muka dan bertemu baginda? Sungguh hebat bukan kekuatan AKHLAK ini?

Namun bukan maksud saya untuk mengetepikan kepandaian, elemen ini penting juga tetapi tidak boleh mengatasi kepentingan berakhlak. Kepandaian mudah diasuh dan dijana. Tetapi akhlak amat rumit untuk diterapkan bagi yang tiada kesungguhan. Maka pilihlah orang yang mempunyai walaupun sedikit ilmunya tetapi murni akhlaknya. Mak-mak dan ayah-ayah yang mahu memilih menantu pun mula-mula akan melihat kepada akhlak calonnya. ‘ustaz ke polis?’ ada juga yang berkata: ‘mak teringin sangat kalau kau dapat suami yang menghafal quran’ dan macam –macam lagilah, semuanya berkaitan dengan akhlak.


Bunga-Bunga Harapan

Ketika ini saya dan anda semua pastinya meletakkan harapan yang tinggi terhadap MPPM untuk mengkaderkan pimpinan baru yang lebih mantap dan berkualiti.

Beberapa bulan dan minggu-minggu yang lepas semenjak ura-ura pilihanraya mahu diadakan. Saya dapat rasakan kempen pilihanraya sudah mula bergerak secara kecil-kecilan. Ada yang menyokong calon ini dan ada yang menyokong calon lain. Bagi saya ini adalah persaingan dan kempen yang positif serta menyerlahkan kematangan mahasiswa di Jordan.

Bila melihat calon-calon yang bakal bertanding, saya terus akui kehebatan mereka. Kredibiliti mereka bukan calang-calang lagi, semua mereka ini pernah berkhidmat cemerlang di dalam persatuan sebelum-sebelum ini. Tidak hairanlah nama-nama seperti Nik Hadi (Irbid), Afiq Adnan (Muktah), Syahrul Adnan dan Azraie (Mafraq) selalu disebut-sebut ‘peminat’. Perempuan pula Ain Shamsudin (Irbid), Munirah (mafraq) dan Izzatul Nadia (iribid) tidak kurang hebatnya menjadi buah mulut di kalangan ahli MPPMJ. Maaf, itu yang saya dengar sahaja, mungkin anda juga mendengar buah mulut dari mereka-mereka yang lebih hebat? Silakan..

Betul ke mereka ini hebat? Saya ada buktinya, saya agak rapat dengan mereka ini, jadi saya tahu sedikit sebanyak keramahan mereka. Yang lain pula bagaimana? Ohh, mereka juga adalah hebat-hebat belaka orangnya, sama juga seperti pimpinan yang lain. Saya tabik pada semua!

Jadi apa pilihan saya? Pilihan saya adalah orang yang baik-baik dan mempunyai sedikit kepandaian serta pengalaman dalam memimpin, suatu prinsip memilih yang senang dan ringkas!

Anda pula bagaimana? Kalau masih belum mempunyai pilihan atau masih teragak-agak memilih siapakah calonnya, saya tidak kisah jikalau anda mahu mengikut prinsip saya, itu pun boleh. Sekurang-kurangnya saya sudah terangkan pada anda bagaimana cara memilih seorang pemimpin. Mahu terus dengan pandangan dan prinsip tersendiri pun tidak mengapa. Masing-masing ada kehendak sendiri. Yang pasti, anda adalah yang akan mencorakkan suasana kepimpinan kita akan datang. Tersalah pilih, maka itu tanggungjawab anda. Terserahlah!

Akhirnya, saya mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh warga Malaysia di Jordan, semangat anda amat saya kagumi. Saya mahu anda sentiasa teguh bersama MPPMJ ini. Biarkan kita sama-sama dapat menaikkan nama MPPMJ kita seperti nama-nama besar di luar sana. Kita mampu berbuat demikian dengan sokongan ahli seperti anda.

Salam juang buat semua!

Sisipan dan idea oleh: Mohd Afiq bin Mohd Saleh,
Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Malaysia AL al-Bayt (PRISMA),
Sesi 2009/2010.



Untuk read more, tulis di sini...

(klik pada gambar untuk besarkan imej)


Senarai kabinet ini saya perolehi di laman web Utusan Malaysia, selepas sekian lama usaha saya mencarinya. gembira tak terkata melihat wajah-wajah baru yang bakal berkhidmat untuk negara Malaysia kelak. Kolaborasi hasil gabungan pelbagai etnik bakal melahirkan suasana baru dalam corak pimpinan Malaysia nanti. Agah-agahnya sudah mula nampak sejak beberapa hari kebelakangan ini, cuma kelainannya pasti dapat dilihat sejurus siap semuanya. saya mengucapkan segulung tahniah dan memaut sejuta sokongan terhadap pimpinan ini. Satu Malaysia, Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan.
MALAYSIA GAH DI PERSADA ANTARABANGSA.

Sejak hari semalam, Pak Lah senyumnya melebar manis. Bukan dibuat-buat tapi penuh pengertian yang bukan sinis. Berat tanggungjawab di bahunya dahulu, sudah beralih pundak. Kerna itulah saya kira Pak Lah wajar membuang gundah jauh-jauh lalu memberi laluan kepada angin lain mengubah arah supaya tenang seketika. Daripada gelaran Dato’ Seri sudah menjadi Tun.

Berehat bukan berhenti bekerja. Rehat yang berfikir.

Najib juga bukan calang-calang senyumnya, merasakan era barunya akan bermula, Najib mulai sedar akan tugas-tugas berat yang bakal mendepaninya. Kontroversi dan Konfrantasi mesti sedia dia hadapi. Bukan sahaja keyakinan diri pada rakan pimpinan mesti dijagai rapi, tetapi lebih berat adalah kepercayaan jelata pada imej dan peribadinya perlu ditekan, agar tragedi oktober tidak diulang skrip dan jalan ceritanya. Tanggapan rakyat mungkin saja begini, barunya kepala Negara Malaysia, maka akan barulah keteladanannya. Maka baru jugalah pembawaannya. Dengan harapan peristiwa lama tidak dikutip semula.

Satu Malaysia. Rakyat di Dahulukan. Pencapaian diutamakan.

Oh, mesej yang baru rupanya. Saya berbesar hati bila ada rakyat dalam sebut-sebutnya. Seolah sama dengan istilah yang pernah saya dengar, Ke Arah Negara yang Berkebajikan, yang ini juga saya pasti maksudnya sama, cuma belum diberi peluang dan laluan. Bila rakyat dipentingkan, maka kebajikan negara akan terjaga. Semua orang gembira. Senang hati.

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati.

Kita lupakanlah cerita-cerita buruk yang mendampingi Najib dahulu, kerana peluang mesti diberi pada muka baru, lembaran dan ceraian baru sudah bersedia untuk dibuka dan selak-selak helaiannya. Najib wajar meniru ayahandanya dalam corak pemerintahannya kalau itu garis panduan yang terbaik. Bila sahaja Najib dinamakan oleh Pak Lah sebagai penggantinya, saya seolah terbayang wajah Tun Razak membayangi Negara Malaysia di sekitar tahun 80-an dahulu, hidup dalam aman dan ketenteraman yang luhur. Tidak ada bunuh-bunuh, tidak ada rasuah-rasuah dan tiada politik kotor.

Bersih dan suci keseluruhan.

Pesan saya pada Najib:

Jangan korbankan jiwa rakyat dengan kepentingan diri dan kroni, kerana itu akan membinasakan kelompok kedamaian negara ini, jangan pisahkan ketenangan daripada jiwa rakyat, kerana kedamaian itu telah sebati dalam hati rakyat yang mencarinya. Jangan hancurkan luka rakyat dengan pelbagai alasan dan auta yang jelek, kerana rakyat itu dalam diamnya mereka berfikir. Kerana Rakyat itu persisnya naga di tasik, senyapnya disimpan, pendamnya tiada siapa yang boleh menduga. Sekali pecah, akan terus mara ke hadapan, biarpun di depannya aral yang menongkah bakal sebesar awan putih. Sedangkal-dangkal kewarasan fikiran rakyat, mereka kenal erti kebenaran dan apa itu temberang, mereka belum mahu dikhianati dan tidak akan mahu diperlaku begitu.


JANJI BISA DIKOTA

Semalam Najib sudahpun bersama rakyat, riak cerianya seakan-akan terbit dari wajahnya yang ikhlas. Masakan tidak, sapaan pemandu lori pun bersungguh-sungguh benar Najib gagahi, cuma menghulurkan tangan untuk bersalam, Najib cepat-cepat sambut!! Jiwa rakyat ini yang sama-sama mahukan nanti. Berbetulan pula, dalam slogannya menyebut: satu Malaysia, rakyat didahulukan, inilah pengertiannya saya dapat rasakan.

Itu baru sahaja sebahagian, bagaimana pula janji?

Hebatnya Najib nanti akan dipandang bila janji-janjinya ditunaikan, tingginya reaksi rakyat kepadanya dilihat kalau Najib bisa merealisasikan kata-katanya. Sumpah taat setia sudah, harapan dan janji juga telahpun terlafaz, yang tinggal hanyalah mengotakan apa yang dikata.

Kata Najib:

“Rakyat diutamakan akan merentasi keseluruhan masyarakat, dan kumpulan etnik di setiap pelusuk tanah air”

“Akan bekerja tanpa mengenal erti jemu dan penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat serta mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib”

“Akan komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia”

Lagi katanya:

“Akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia”

“Memang saya tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia”

''Tidak ada sesiapa yang patut berasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kita akan rapatkan hubungan rakyat dan kerajaan daripada dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik”

Akhirnya, janganlah tinggalkan janji yang tidak dikota, kelak akan rosak. Tidak pecah di mulut lambat laun akan pecah di perut. Usah bermain dengan kata-kata yang manis sahaja ibarat janji yang ditabur tinggi menggunung, kerana ia juga seperti bermain dengan api yang kecil, bila membesar boleh melawan diri sendiri.


BERANIKAH NAJIB?

Ketika sahaja usai upacara angkat sumpah, Najib mengumumkan penarikkan larangan terhadap Harakah dan Suara Keadilan. Maka, Akhbar ini boleh bercakap-cakap seperti selalunya, bahkan selepas sebulan berehat mungkin lebih banyak isu-isu panas yang bakal dibicarakan nanti. Tahniah saya untuk Najib atas tindakkan itu, relevan dan bernas ketika ini. Kerana selain Akhbar Utusan, Harakah juga tabloid kegemaran saya sebagai informan politik.

“Kenapa kau kata begitu pula?”

“Apa tidaknya, Dia yang mengharamkan akhbar tu dulu, sekarang nak tarik semula larangan tu? Tektik macam budak-budaklah! Nak buat baik pun janganlah nampak dirancang, ingat orang lain tak boleh fikirkah?”

“Sabar,”

“Sekurang-kurangnya kita dah boleh membaca semula. Tak ke besar jasa Najib tu?”

“Iyalah!”

Saya tersenyum. Kedua-dua belah pihak tak boleh dilaga-lagakan. Semua ada khidmat dan jasa. Rakyat perlu faham situasi pemimpin. Pemimpin pula kalau bersalah jangan ego untuk turun memohon maaf. Esok lusa kalau dikenang, nama kita juga akan disebut-sebut.

Lontaran dan coretan ringan ini bukanlah bertujuan mengukur kelemahan dank kredibilti Najib, tetapi untuk peringatan ketikan berjaga, biar berjaga di awal malam sebelum tertidur di hujung pagi. Najib berpengalaman hampir puluhan tahun di dalam parti dan kerajaan. Masakan Najib tidak tahu selok belok menguruskan Negara. Saya memberikan sepenuh kepercayaan kepada beliau dalam peluang terawal ini untuk dia menunjukkan kebolehannya. Andai tercicir sedikit, jaga-jagalah nanti, mungkin saya juga orang pertama daripada jutaan ribu rakyat yang akan menjadi pengkritik dan bersuara nanti.

Tahniah buat Dato’ Seri Najib Tun Razak beserta barisan pimpinan dan Kabinet yang bakal bekerja, semoga slogan Satu Malaysia. Rakyat di Dahulukan. Pencapaian diutamakan dapat direalisasikan menjadi impian dan bakal menandingi slogan Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sama-sama laungkan MALAYSIA BOLEH!!

semasa

Idea oleh Mohd Afiq Mohd Saleh Friday, August 29, 2008 at 9:22 PM 0 Comments

INUL DARATISTA vs AVRIL LAVIGNE


Belum pun selesai artikel berkenaan kemenangan di Permatang Pauh, saya rasa terpanggil untuk mencoretkan isu ini. Saya ketepikan sebentar isu Anwar, untuk meneliti dan memberi pandangan pada isu ini. Ini kerana isu yang lebih dekat kepada pencabulan maruah agama dan bangsa harus didahulu dan di kehadapankan perbincangannya.

Pada Awalnya saya merasa tersangat lega ketika Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KEKWA) memutuskan Konsert Avril itu dibatalkan, fikir saya, wajarlah ia dibatalkan kerana menghormati sensitiviti majoriti umat Islam di Negara ini, lebih-lebih lagi kita semakin hampir dengan sambutan kemerdekaan yang ke 51, namun tekaan saya jauh tersasar, pembatalan itu rupanya di sebabkan pihak penganjur tidak memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh KEKWA, iaitu kelewatan memohon permit. Kalaulah demikian, sekiranya pihak pihak penganjur “cepat” memohon permit, maka konsert itu bolehlah dilangsungkan tanpa mengira sensitivity mana-mana pihak walaupun Negara kini sedang melaungkan semangat merdeka, yang kononnya mahukan rakyat Malaysia membudayakan nilai-nilai kebangsaan dan adat ketimuran.

Kalaupun konsert itu kononya tidak mahu melanggar adat ketimuran dan mencemarkan bahang kemerdekaan, sekurang-kurangnya Pemimpin/Jemaah menteri ( yang beragama Islam) menghormati kedatangan Bulan Mulia Ramadhan al-Mubaraq dan sebahagian besar umat Islam di Malaysia. Tetapi kedua-dua sebab itu cukup penting, persoalannya siapa AVRIl itu, adakah dia dilahirkan di Malaysia? Pernahkan dia mengetahui tentang adat-adat dan budaya ketimuran jauh sekali tentang nilai-nilai keagamaan (Islam).

Peribadinya, Sekiranya konsert itu dilangsungkan juga, pertamanya AVRIL telah mencemarkan kedatangan Bulan Ramadhan yang akan menjelma hanya beberapa hari lagi, dan ini adalah satu penghinaan kepada warga Malaysia yang beragama Islam. Keduanya, jemaah menteri telah menafikan sikap mereka yang mengatakan mereka tidak mahu rakyat Malaysia dipengaruhi oleh budaya barat. Ketiga, ekoran daripada kelulusan semula konsert itu, maka saya amat yakin selepas ini, akan disusuli pula dengan konsert-konsert bersifat ala-ala kebaratan oleh penganjur lain, alasannya begini “kalau konsert AVRIL boleh diluluskan kenapa konsert kami tidak?”, mudah dan senang sahaja bukan. Seterusnya, jangan lambat atau lewat memohon permit, maka konsert akan diluluskan.

Justeru, apa bezanya dengan pembatalan konsert INUL tempohari? Kalau mahu dilabelkan antara INUL dan AVRIL, kedua-duanya sama sahaja, tidak langsung menunjukkan budaya yang bertepatan dengan nilai-nilai Timur, Islam jauh sekali. Namun, mungkin kerana kerajaan Malaysia lebih bersikap pandang ke hadapan dan terbuka, konsert AVRIL boleh diluluskan tetapi INUL tidak. Bagi mereka mungkin kita boleh mempelajari cara seni muzik yang moden dan baru untuk diadaptasikan dalam seni muzik di Malaysia. Yelah, kalau tidak berpandangan terbuka, kita akan dikatakan jumud. Betulkah??

Akhirnya, para mufti pun setakat ini tidak pula saya mendengar mereka bersuara. Yang di utara pun tidak yang di selatan jauh sekali. Soal sumpah laknat, mubahalah, muqabalah dan sebagainya cepat sahaja dikupas dan dicanang-canangkan hukumnya, sedangkan itu tidaklah sangat melibatkan masalah yang serius, cukuplah ditanya pendapat pada seorang agamawan sahaja untuk menjelaskan perkara itu. Tetapi bila timbul soal HARAM dan HALAL yang melibatkan kepentingan “orang besar-besar”, tidak seorang pun yang menawarkan diri untuk menyatakan hukumnya. Takkan mahu disuruh, baru bertindak? Kata Nabi s.a.w. HARAM dan HALAL itu bayyin (jelas). Hukumnya telah sedia ada, cuma yang tinggal hanyalah untuk di ungkapkan dan diberitahu kepada masyarakat sahaja. Sebenarnya, tentang menyatakan sesuatu itu HALAL atau HARAM adalah tugas siapa? Orang yang berjawatan dalam agama atau penjual goreng pisang? Cukup untuk kita fikir-fikirkan…

Saya teringat kembali pada peristiwa ngeri yang menimpa umat Islam di Acheh satu ketika dulu, sambutan awal tahun baru serta-merta dibatalkan dan digantikan dengan tahlil doa selamat. Tsunami ketika itu memang memberikan kesan mendalam terhadap umat Islam dan pimpinan kerajaan justeru itulah doa selamat diadakan. Rupanya pemimpin hadhari ini tahu ada ketikanya ALLAH itu marah, lalu terus dibatalkan konsert tahun baru yang lazimnya menjadi agenda tahunan Negara. Jelas di situ kita lihat, kerajaan bukan tidak boleh untuk menolak atau membatalkan segala program yang berbentuk maksiat, akan tetapi sengaja tidak mahu bertindak demikian atas kepentingan orang-orang tertentu.

Malam ini kerajaan menganjurkan tahlil sempena kemerdekaan ke 51 di Masjid Negara. Serentak dengan itu juga konsert AVRIL sama rancak menggegarkan stadium. Anda diberi pilihan untuk menghadiri mana-mana daripada salah satu majlis tersebut. Majlis Tahlil yang walaupun tanpa tiket beratus-ratus ringgit pasti saya dapat rasakan kesunyian dan kehambarannya. Tapi apa faedahnya, mereka melaksanakan Tahlil (makruf yang sunat) tetapi dalam masa yang sama menganjurkan juga perkara yang bertentangan (haram) iaitu kemungkaran. Kononnya kita hidup mestilah berwasatiah (bersederhana), maksiat kita buat, mungkar pun balun sekali, satu pakej. Inilah wasatiah ala-Hadhari. Adakah anda terfikir kalaulah kejahatan dicampur-adukkan dengan kebaikkan, mahukah ALLAh menerima amalan kita? Ibaratlah seperti menghidangkan santapan kepada seorang raja, tetapi di dalam makanan tersebut ada terdapat najis cicak. Agak-agak raja mahu makan atau tidak?

Kalam saya untuk terakhir, saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar menanamkan kebencian di dalam hati terhadap segala kemungkaran, baik secara zahir atau yang kita tidak nampak. Kita tidak punyai kuasa untuk menghentikan melain orang yang berkuasa berbuat demikian, cukuplah kita menyatakan “kita marah dan tidak redha” segala maksiat dengan cara kebencian di dalam hati dan mulut. Walaupun ianya adalah dikategorikan sebagai kebencian yang selemah-lemah iman, namun itu sudah memadai untuk kita memberi alasan kepada ALLAH daripada dikenakan azabnya di akhirat kelak. Kerana Nabi pernah menyebutkan: “barangsaiapa yang melihat kemungkaran (dihadapannya), maka hendaklah ditegahnya dengan menggunakan tangannya (kuasanya), jika kamu tidak mampu, hendaklah dengan lisan/lidahmu (nasihat), jika tidak mampu, maka hendaklah kamu membencinya dengan hati mu, itulah selemah-lemah iman”.

Ketika terfikir tentang amaran ALLAH yang disampaikan daripada Nabi, saya sejujurnya terasa amat takut, bunyinya lebih kurang begini: “sekiranya Azab ALLAh itu diturunkan, maka tidak terkecuali sesiapa sahaja akan ditimpanya, tidak kira golongan yang beriman atau kufur (yang melakukan kemaksiatan”. Kalau hendak difikirkan dengan lojik akal, mengapa mesti orang yang beriman itu dipakejkan dalam azab yang diturunkan? Jawabnya mudah, kerana orang beriman (yang bertanggungjawab) itu tidak menegur atau mencegahnya…


afiqsa-gombak
290808-0130





aduhai...DEBAT


Berkali-kali Dato’ Seri Anwar Ibrahim (selepas ini penulis menyebut sebagai Anwar shj), menyebut dan menegaskan bahawa penurunan kadar harga minyak sebanyak 50 sen adalah sebagai langkah awal untuk “mengurangkan bebanan rakyat”, namun lihat sahaja respon pada Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Penerangan Malaysia) seolah-olah beliau hanya melihat perkara/isu ini dengan ‘sebelah mata’. Seawal perdebatan hingga ke hujung sesi itu, tidak sedikit pun Dato’ Shabery meletakkan situasi rakyat berada di hadapan (akan saya dikupas sebentar lagi), yang hanya diulang-ulang adalah bagaimana mahu menampung kerugian Negara sekiranya harga minyak diturunkan kelak. Saya bingung.

Suka saya memfokuskan di sini adalah istilah mengurangkan bebanan rakyat. Isu inilah yang dititik beratkan oleh Saudara Anwar sejak dipermulaan debat. Tidak kira dilontarkan dengan isu apa sekalipun Anwar cepat-cepat akan mengaitkannya dengan isu bebanan rakyat/masyarakat. Benar.!!

Terlau awal untuk saya mengeluarkan pandangan & bicara seperti ini, mungkin kerana terlalu obsess dan beremosi dengan debat kelmarin, saya berkobar-kobar untuk menulis sesuatu yang bersifat umum ini.

Secara peribadinya saya cukup kagum dengan sikap dan prinsip Anwar semalam, bagi saya dia adalah ‘sama’ tidak kira di mana, mempertahankan hak dan kesusahan rakyat adalah ‘tugas’ dan tanggungjawab utama beliau di dalam sosialnya berpolitik. Tidak hairanlah beliau adalah salah seorang tokoh dan ikon yang saya pandang tinggi sebagai pendebat dan pemidato yang terhebat. Saya tertarik juga dengan keupayaan beliau mempertahankan pendirinnya walaupun diasak dengan serangan peribadi oleh Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Secara keseluruhannya, saya menggulung debat kelmarin kepada beberapa isu penting yang perlu dikupas dan rasionalnya. Ini adalah kritikan saya:


a. Tiada Pembelaan Terhadap Kesusahan & Kepayahan Rakyat:

Saya tidak mahu menyalahkan Menteri Penerangan itu secara total dan seratus peratus kerana hujah dan fakta beliau juga ada benarnya, namun keimbangan beliau dalam menyampaikan hujah beliau itu tidak sepatutnya begitu, meletakkan rakyat di belakang adalah bukan selayaknya bagi seorang pimpinan. “Negara nombor satu, dan rakyat bukanlah nombor dua”, tentunya sahabat sekalian pernah mendengar ungkapan ini, tetapi yang didengari semalam adalah sebaliknya. Datuk Ahmad Shabery Cheek tetap mempertahankan hujah beliau seolah-olah kemajuan ekonomi itu yang terutama tanpa memandang situasi rakyat juga adalah sebagai bahagian yang tidak terkecuali daripada aulawiyyat itu.

Betullah, sekiranya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata demikian, namun memandangkan yang menjadi mangsa keadaan setelah harga minyak melambung tinggi adalah rakyat jelata, isu rakyat ini tidak harus diketepikan dan perlu didahulukan. Saya memandang ‘rakyat’ dan ‘ekonomi’ adalah dua mekanisma penting yang sentiasa berganding dalam memacu sesebuah Negara ke arah yang lebih maju. Adalah suatu yang tidak seimbang sekiranya kedua-dua item ini tidak wujud dan stabil lebih-lebih lagi kepada Negara Malaysia sebagai pengeluar minyak antarabangsa. Ya, sebahagian hujah menteri itu saya bersetuju, manakan tidaknya, sekiranya ekonomi mundur rakyatnya juga turut terjejas dengan situasi itu, sekiranya rakyat terjejas maka ekonomi juga akan mundur, dan begitulah sebaliknya siratan itu berlangsung. Kedua-duanya adalah sama penting dan bergerak seiring, tetapi mana satu yang perlu di dahulukan?? Adakah kepentingan ‘kroni’ termasuk sekali..?

Puas saya cuba memahamkan istilah-istilah yang digunakan oleh dua pendebat semalam, namun tidak semuanya berjaya difahamkan. Saya terus menumpukan terhadap sesi debat itu.

Memetik kata-kata Datuk Ahmad Shabery Cheek semalam, harga minyak yang naik adalah disebabkan kedudukan harga minyak global, sekiranya harga minyak diturunkan maka Malaysia akan turut terkesan dengan kadar inflasi, itulah lontaran beliau sejak dipermulaan debat dan turut dijadikan sebagai ice breaking. Kalau tidak istilah inflasi beliau akan menyebut pula kalimah subsidi.

Soal bayaran insentif dan subsidi bukannya menjadi perkara pokok setakat ini, hal itu sememangnya sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan yang memimpin untuk melunaskan, tetapi yang menjadi kayu ukurannya ialah kenaikkan harga minyak yang amat mendadak sehingga membatasi kesanggupan rakyat untuk terus mendepani kos hidup yang tinggi. Kata Anwar kerajaan hanya menampung anggaran satu billion sahaja sekiranya minyak diturunkan sebanyak 50sen, itu pun sukar untuk ‘kerajaan’ berkorban?? Sedangkan banyak lagi hasil-hasil bumi yang mampu digunakan oleh kerajaan untuk menampung dan mengukuhkan ekonomi Negara Malaysia selain menaikkan harga minyak (terlalu tinggi), juga dalam masa yang sama kita sebagai pengeksport minyak, tidak mustahil semua ini!!


b. Tidak Menjawab Kehendak Soalan dengan Tepat dan Memutar-belitkan Fakta

Kebanyakkan isu yang dijelaskan oleh Datuk Ahmad Shabery Cheek adalah bersifat terkeluar daripada kehendak penyoal dan cuba melarikan diri dari jawapan sebenar, bagi saya beliau tidak menjawab persoalan yang diajukan apatah lagi tentang kupasan isu. Tidak kiralah samada beliau ditanya oleh wakil pendebat Anwar dari Akhbar Siasah dan seorang Profesor (saya terlupa namanya) atau perantara debat (Dato’ Johan), jawapan beliau pasti meleset, seolah-olah mahu lari daripada fakta. Sudahlah sesi debat berada dalam keadaan berat sebelah, ini pun masih mahu menipu..?

Misalnya dalam sesi ketiga tidak silap saya, Anwar mengajukan soalan mengapakah media selalu memutar-belitkan fakta terhadap rakyat dalam setiap isu (terutama isu minyak), namun jawapan yang diberikan oleh menteri itu jauh meleret-leret kepada isu lain, membangkitkan isu kegawatan semasa pemerintahan Anwar dahulu, dan sebaginya. Cuma di akhir-akhir jawapannya barulah beliau menyelitkan respon tetapi langsung tidak menepati.

Reaksi ini juga dirasakan oleh sebahagian penonton yang hadir di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP semalam, Ketika ditanya Ahli Parlimen PKR Kulim Bandar Baru, ZULKIFLY NOORDIN berkata: “ Apa yang Anwar sampaikan semua sudah jelas. Apa yang diperdebatkan tidak berkenaan soal minyak, sebaliknya terlampau menyentuh perkara peribadi dan membangkitkan isu lama. Apa yang BN katakana hanyalah omongan kosong dan tidak jelas…”. Saya juga berpendapat sedemikian, dua kali saya menonton sidang debat kelmarin samada siaran secara live dan tertunda, saya tetap tidak dapat menangkap jawapan yang diberikan oleh Datuk Ahmad Shabery Cheek itu bahkan diputar belitkan hujahnya. Kesimpulannya ia tetap tersasar.


c. Pujian Terhadap Keterbukaan Pihak Kerajaan

Barulah kita dapat berbangga dengan sedikit sikap keterbukaan Kerajaan Malaysia dalam mendepani isu-isu semasa, langkah kerajaan mengadakan debat seperti ini harus dipuji kerana memang ini sahajalah ruang media yang ada untuk Pakatan Rakyat menjelaskan hal & situasi yang sebenar kepada rakyat dan penyokong. Kalaulah ruang bicara seperti ini disekat atau dikuasai oleh setengah pihak sahaja, di manakah demokrasi yang selalu di uar-uarkan oleh kerajaan? Media elektronik, media cetak dan sebagainya semua ini telah dieksploitasi oleh kerajaan sepenuhnya, pembangkang hanya terbatas dengan ruang yang kecil dan sempit untuk berkomunikasi bersama masyarakat.

Ruang dan cara berdebat ini telah lama dicadangkan oleh pihak pembangkang, tetapi tiada respon yang positif daripada kerajaan. Kalau ada pun ketika Ustaz Zaharuddin menjawat jawatan sebagai pengerusi GAMIS duhulu, membincangkan tentang isu wajarkah mahasiswa berpolitik. Sehingga kini barulah nampak hasilnya.

Biarpun pada awalnya Anwar secara terbuka berkata agar debat ini diadakan di antara beliau dengan Pak Lah atau Dato’ Seri Najib, namun yang hadir ini pun sudah cukup untuk membuktikan ‘kejantanan’ pihak kerajaan (Barisan Nasional), mungkin mereka berdua sibuk dengan diskusi peralihan kuasa mereka tanpa sempat untuk menghadiri debat kelmarin. Apa pun Tahniah sekali lagi untuk kerajaan Malaysia.

Walaupun saya kira debat ini berlaku dalam keadaan berat sebalah, masa yang terbatas dan singkat sehingga tidak cukup untuk menjelaskan banyak lagi perkara-perkara yang penting, baru Anwar mahu menutup muqaddimahnya, loceng sudah berbunyi, kemudian di api-apikan lagi dengan serangan peribadi. Ini semua adalah stratergi untuk menghalang Anwar daripada berkata dan mengolah tentang fakta-fakta sebenar. Cukup licik..!! ibarat “bermain golf di gelanggang futsall” tak boleh nak pukul jauh-jauh, bimbang outside dan fall. Terhad, terbatas dan dikawal.

Konklusinya, kerajaan perlu cepat bertindak selepas isu debat harga minyak ini berlangsung, sekiranya tidak rakyat akan terus bersuara tidak kiralah di jalanan atau di mana-mana sekalipun. Suara rakyat adalah suara keramat, yang bisa merubah segala-galanya (dengan izin ALLAH). Jangan biarkan rakyat dalam kesempitan dan penderitaan yang berpanjangan, kerna yang akan disoal mula-mula sekali di akhirat kelak ialah golongan umara’. Tidak kiralah samada pemimpin Negara, persatuan, masyarakat, keluarga dan sebagainya. Semua taklifan ini akan diteliti oleh ALLAH satu persatu. Renung dan Fikirkanlah..

Akhirnya,
Terima Kasih Dato’ Seri Anwar Ibrahim… Terima Kasih Datuk Ahmad Shabery Cheek, terima kasih daun keladi, ada masa bertemu lagi kalian…


afiqsa
gombak,selangor
selasa-1425pm-160708

p/s: kalau lah pak-pak menteri rasa dan tau yg RM10 tu tak cukup untuk penuhkan satu tangki minyak bg motor Kriss, nescaya harga petrol mungkin takkan naik mendadak...