Kadangkala bila terasa ada masalah, lebih tenang duduk-duduk di tempat sunyi dan memandang sesuatu yang boleh membuatkan fikiran melayang merenung sesuatu. Mungkin bagi saya alam dan makhluk selain manusia jalan terbaik untuk meluahkan segala. Mereka adalah pendengar terbaik.



Lihat pada awan gemawan dan langit, membuat hati terasa lapang seketika.

Lihat pula burung yang terbang-terbang, lapang bertukar menjadi gembira seperti ‘mereka’

Lihat bulan, bulan tidak berkata sesuatupun, tapi hati puas kerana bulan seolah memberi jawapan.

Lihat matahari, wah panas! Tapi ingin terus melihat tanpa hati rasa sepanas matahari.

Pokok dan bunga. Bergoyang-goyang ditiup sepoi angin dari kiri ke kanan. Lihat pada ‘mereka’ juga hati pun jadi tenang.

Semua ‘mereka’ masakan boleh berkata-kata, apatah lagi mampu memberi nasihat kepadaku sebagai pengubat masalah. Tapi tidak tahulah, hati seperti ini lebih suka dan damai bila bersua dan ‘bercakap-cakap’ dengan sahabat ini.

“Eh, gila ke engkau ni, bercakap dengan pokok?”



Gila ya. Jadi, buat apa bercakap dengan orang berakal kalau tak boleh berfikir? Hidup mahu bersenang-senang saja, mahu berhibur, mahu berdosa dan mahu bermaksiat. Kan seronok jadi seperti burung, terbangnya tiada yang menghalang, kiacauannya tiada dinilai dan diselit dosa.
Burung, teruslah terbang dan berkicau.


* * *


“Adik, ke mari sekejap!”

“Adik suka burung ni?”

Adik mengangguk cepat-cepat. Dia mahu pegang, saya tidak memberi lantas adik mencemikkan muncung bibirnya, comel! Saya yang memanggilnya kemudian saya pula yang menghalang dia, masakan adik tidak marah. Akhirnya saya beri adik pegang burung itu. Adik tertawa puas.

“Abang, burung masuk syurga tak?”

“Masuk sayang! Burung macam adik juga. Dia dan adik akan sama-sama masuk ke syurga. Adik suka?”

Adik angguk. Lesung pipitnya cantik bila dia tersenyum.

Soalan adik buat saya berfikir. Adik mungkin tahu yang burung masuk syurga kerana burung tak buat jahat pada adik. Burung tak gigit adik, burung tak menipu adik, burung juga tak pernah marah adik. Kerana itu adik sangka burung masuk syurga kerana kebaikkan-kebaikkan itu. Tapi adik tak tahu yang burung masuk syurga kerana dia lebih mulia daripada aku. Tak pernah buat dosa, bahkan sentiasa berzikir.

Tidak seperti manusia, lalainya tak pernah berhujung. Lagi lalai lagi sesat. Seronok berhibur lupakan akhirat. Dosa dan pahala bercampur gaul. Oh ya! Walapun burung tak tahu macam mana nak buat pahala, tapi burung tak pernah buat dosa dan salah pada Tuhan Agung. Kerana itu burung masuk ke syurga dengan adik. Adik suci seperti burung.

Adik Tanya lagi.

“Abang, kenapa orang tu jalan guna tongkat?”

“Sebab dia tak ada mata sayang. Dia buta, jadi tongkat itu untuk bantu dia berjalan. Adik ada mata, sebab tu adik jalan tak guna tongkat. Adik nak jadi macam orang tu?”

Adik geleng pula. Dia tak mahu kot!

“Adik tak mahu jadi buta, sebab burung tak buta. Adik nak masuk syurga dengan burung!”

Pandai adik jawab.

Oh, mungkin adik sangka orang buta tak masuk syurga kerana butanya, kerana tak nampak, kerana berjalan guna tongkat. Yang adik tahu, orang yang masuk syurga, orang yang ada mata.

Tapi adik tak tahu, orang yang ramai di neraka nanti adalah orang yang ada mata, tapi tiada mata hati yang berfikir. Yang ramai di neraka dan diseksa nanti mereka yang buta mata hati sedangkan mata zahirnya celik. Yang haram buat dan yang halal ditinggalkan. Yang Tuhan Agung murka buat tak tahu, yang dilarang itulah yang seronok dibuat, tapi yang disuruh? Berat sekali. Tuhan letak ke tepi dulu kerana mahu berseronok-seronok. Itulah orang yang ada mata melihat, tapi tiada ‘mata’ berfikir.

Adik mesti terkejut bila yang akan masuk syurga bersama adik nanti ialah orang buta yang bertongkat tadi, kerana dia lebih mulia dari aku.

“Adik, bila adik dah besar nanti adik nak jadi apa?”

“Adik nak jadi pilot lah, boleh terbang dekat awan macam burung tu!”

Eh, pandai pula adik cakap orang putih. Lepas tu pula, sedari tadi adik asyik cakap tentang burung.

“Adik suka... Adik suka burung tu abang!”

Abang pun!”

Hati saya berkata pada adik, tapi adik tidak dengar:

Adik, bila besar nanti adik boleh jadi apa yang adik mahukan. Adik boleh jadi burung, adik juga boleh jadi orang buta. Dua-dua mungkin masuk ke syurga. Burung ada mata untuk terbang, tapi orang buta ada tongkat untuk berjalan. Persamaan mereka, mereka punyai mata hati untuk bergerak.

Adik, biar celik mata hati ya! Jangan buta mata di hati, kerana buta hati akan membinasakan adik, biar di dunia di akhirat lebih teruk. Kalau manusia itu sempurna tubuhnya tapi tak sempurna amalannya dengan Tuhan, maka lebih mulia orang yang buta matanya tetapi tahu pekertinya dengan Tuhan Agung! Kalau orang buta bertaqwa, jadilah orang buta itu mulianya lebih daripada orang yang celik.

Adik, bila adik melihat burung, adik jangan lupa ingat juga pada siapa yang mencipta burung itu. Kerana bila adik tahu siapa yang menciptakan burung itu, adik akan tahu yang burung itu ada ‘tuannya’. Bila adik dah tahu burung ada tuannya, adik mesti akan tahu bahawa burunglah makhluk yang paling taat dan patuh.

Adik, jangan sesekali adik ingkar dengan Tuhan Agung ya! Kerana yang menciptakan adik, burung dan orang buta tadi ialah DIA. Yang masukkan adik, burung dan orang buta tadi ke dalam syurga juga DIA. Yang masukkan orang yang lalai dan leka ke dalam jurang neraka juga DIA.

Adik, bila adik dah besar nanti jangan lupa doakan abang ya! Supaya abang juga boleh jadi semulia burung yang adik suka itu. Supaya abang boleh masuk syurga bersama-sama adik dan burung yang adik ingin jadi tadi.

Suasana sunyi seketika. Saya dan adik dibuai leka petang.

"Abang kenapa abang kata burung boleh masuk syurga dengan adik?"

KERANA DIA LEBIH MULIA, DIK...

Adik tidak dengar apa yang saya katakan. Kerana adik belum memahami erti mulia. Bila besar nanti adik akan faham.

"Kenapa abang tak jawab?"

"Oh ya..kerana burung tu baik macam adik"

Adik senyum kegembiraan. Saya mendakap erat tubuh adik. Mudah-mudahan adik jadi orang yang berguna suatu hari nanti. Mudah-mudahan saya juga akan jadi seperti burung.

0 Responses so far.