Orang yang susah tidak akan rasa GEMBIRA,

Orang yang senang belum tentu GEMBIRA,

Namun, orang yang TENANG sudah tentu rasa GEMBIRA dan senang,

Orang yang TENANG akan merasai gembira walau dia dalam kesusahan,

Namun, orang yang GEMBIRA belum tentu rasa TENANG bila kesusahan,

Orang yang susah akan jua merasai KETENANGAN,

Orang yang TENANG pasti akan GEMBIRA ketika senang dan susahnya,

GEMBIRA boleh dikecap ketika senang,

Tetapi TENANG boleh dikecap ketika senang dan susah,

GEMBIRA itu cuma perasaan hati,

TENANG itu fitrah dan naluri hakiki.


Nilai Sebuah Perasaan

Seorang ibu dapat merasai ketenangan dalam apa jua keadaan. Ketika ketiadaan anak-anak di sisi dan dihurung sunyi, mahupun di kelilingnya dipenuhi dengan riuh anak-anaknya, dia tetap beroleh ketenangan. Dia mampu tersenyum sewaktu duduk seorang diri, dia juga akan tersenyum apabila anak-anaknya pulang ke kampung halaman. Ternyata kedua-duanya menggambarkan ketenangan insan yang dinamai bonda.

Ketenangan yang dirasai bonda redupnya akan berpanjangan dan kekal. Hingga ke akhir hayat pun, jiwa jua hatinya cukup serasi menjadi teman walaupun hanya bersama ketenangan. Makan minumnya adalah ketenangan jiwa dan kekayaan senang di hati.

Selama ibu merasa tenang, selama itulah ibu tak perlukan sesiapa mendampingnya di sisi. Anak-anaknya pun akan tewas, lantas apabila anak bongsunya punyai masalah dan keserabutan jiwa, bonda dulu akan dicari dan didakap. Mengambil sedikit ketenangan dari bondanya. Ketenangan bonda tidak jua berkurang walaupun seberapa banyak tenang yang dikongsikan.

Siapa pun tidak tahu apa rahsia ketenangan seorang bonda. Kalau hendak selalu melihat, ibu tidaklah selalu gembira, namun di wajah ibu tetap menggambarkan ketenangan yang mirip-mirip seorang sufi. Bonda persis di payungi malaikat yang sentiasa tenang.

Ibu tiada harta yang menggunung-gunung untuk memikat hati agar senang, tetapi cukup hati yang satu untuk menggapai tenang.


Kaya yang Gelisah, Miskin yang Tenang

Kalau dihitung-hitung, semua yang mahu di hati, sudah ada di depan mata. Cuma satu yang dicari belum ketemui. Iaitu rasa. Iaitu fitrah dan Naluri.

Mencari rasa damai.

Mencari sesuatu yang boleh memberi senang dan tenang.

Dia mencarinya di tengah-tengah harta dan kekayaan yang dipunyai selama ini, tetapi tiada! Pada duitnya, sahamnya yang berjuta-juta, pada anak-anaknya yang berjaya, pada isterinya pula yang berpangkat Datin, semuanya tidak ada malah hati terasa lebih terasing dan gulana. Mungkin dia lupa bahawa nilai metarial itu tidak mampu menghasilkan sebuah spirit yang bernama ketenangan.

Terhenti pencariannya.

Sedari dulu, dia tidak pernah mengharapkan orang lain. Sepanjang hidup hanya ‘rasa cukup’ yang menjadi buah ketenangan menghadapi kesusahan. Bahkan ketika dilanda susah hatinya bertambah yakin dengan pemberian-Nya lalu ia bersyukur. Pantas dia memperoleh apa yang dimahukan iaitu ketenangan dalam kesusahan.

Dia miskin harta, tetapi tidak miskin jiwa dari rasa ketenangan.

Dia kaya dengan jiwa yang tenteram dan tenang, walaupun tidak kaya dengan harta.

Baginya syarat mendapat ketenangan adalah rasa cukup dan biasa bersyukur. Syukur perolehannya selalu tidak pernah mengecewakannya daripada mendapat apa yang dihajati. Dia memperoleh ketenangan melalui jalan susah dan jalan senang. Kedua-dua jalan itu bisa memberikan ketenangan dalam diri.

Dia yakin kepada-Nya yang memberikan ketenangan atas cariannya. Dia bahagia dengan kesusahan yang memberikan ketenangan kepadanya, tetapi dia akan gelisah bila kegembiraan yang tiada membuahkan ketenangan jiwanya.

Pencariannya akan terus menerus sehingga menemui hakikinya jiwa yang tenang.


Bahagia dan Ketenangan Yang Hakiki

Kalaulah ketenangan itu letaknya pada kekayaan, nescaya Qorunlah manusia yang paling mendapat ketenangan kerana dia memilik segala kekayaan.

Kalaulah kekuasaan itulah yang memberikan sebuah ketenangan yang abadi, nescaya Firaun layak diberikan nilai ketenangan itu, kerana segala kekuasaan ada pada kehendaknya.

Kalaulah sebuah kesihatan itu dapat menyarungkan ketenangan kepada pesakitnya, nescaya ubatlah yang layak memberi ketenangan itu, kerana dialah yang manusia sangkakan dapat menyembuh segala penyakit.

Jikalaulah duit itu mampu membeli segalanya, namun ada satu yang abstrak belum bisa dibeli oleh si duit. Duit hanyalah nilai kebendaan, lalu ia tidak sesekali boleh memebeli nilai kejiwaan. Duit tidak akan mampu membeli walau secubit ketenangan.

Jikalau sebuah ketenangan itu boleh dibeli oleh kejayaan manusia, nescaya ramai manusia yang berjaya (tetapi sesat) beroleh ketenangan. Tetapi kejayaan itu terlalu kecil nisbahnya untuk membeli sebuah ketenangan.

Ketenangan itu diberi pada nilai yang berkat, sisa yang bersih dan hati yang suci. Ketenangan itu diberi kepada yang mencari kebenaran. Biasanya ia ada dalam sebuah kesusahan kadangkala wujud jua dalam kesenangan. Jangan katakan kegembiraan itu sama dengan sebuah ketenangan, tetapi katakan ketenangan itu akan membuahkan kegembiraan. Jangan katakan kegembiraan itu adalah kegembiraan, tetapi katakan ketenangan itu ada gembira di dalamnya.

KEHIDUPAN yang hakiki adalah yang punyai jiwa ketenangan di sepanjang likunya. Kerana itu liku yang dilalui tidak semestinya senantiasa mudah. Apa jua kesulitan jika diberikan berkat oleh-Nya pasti akan ada ketenangan di situ.

Kerna suatu hari nanti kita akan dipanggil, menuju ruang damai yang tenteram lagi hakiki selamanya. Bila tiba di teratak Mahsyar, TUHAN memanggil jiwa-jiwa itu:


‘WAHAI jiwa yang tenang, kembalilah kepada (Tuhan-mu) dengan hati yang redha yang diredha-Nyai masuklah ke dalam golongan hamba-hambamu, masuklah ke dalam taman syurga ini (syurga-Ku)’

(al-Fajr)

afiq saleh - 0148 am

Untuk read more, tulis di sini...

0 Responses so far.