'aku pasti dia takkan melupai persahabatan ini'

Prolog - i

Siang terasa pendek, malam pula seperti deras berganti cerah. Pertukarannya terlalu cepat silih gantiannya. Amat pantas rupanya masa berlalu pergi.

Bahang musim panas belum lagi puas teriknya dirasai, sudah tiba pula musim bunga.

Biarpun belum sempat untuk aku melakar impian dan memori yang indah-indah bersamanya. Ukhwah seolah menoktahkan tali yang selama ini mengikat perhubungan kami.

‘Rupanya, dia sudah mahu pergi meninggalkan aku’

Sungguh tidak percaya bahawa aku pernah bertemu dengannya. Dan kini aku harus berpisah. Seolah dipaksa untuk peninggalan yang sementara ini, tetapi dia harus pergi kerana punyai cita-cita sendiri.

‘Aku yakin dia tak akan melupakan persahabatan ini’

Sungguh mulia tanah ini, mempertemukan aku juga dengan insan yang mulia. Lalu menjadikan aku manusia yang mulia lebih baik dari dahulu. Dia sahabat yang mulia kerana berjaya memuliakan diri aku. Hingga sekarang aku bisa digelar manusia.

‘Tuhan, adakah dia tahu bahawa setiap saat aku terus mendoakan kebaikkan untuknya?’

Tuhan diam, tetapi aku yakin DIA Maha Mendengar.

Aku tidak mahu memanggilnya kawan atau teman, tetapi dia adalah sahabat. Bahkan aku telah menganggapnya lebih daripada itu. Dia mungkin tidak mengetahui, tetapi aku acapkali meluahkannya dalam tindak-tandukku kepadanya.

Jangan ditanya kenapa dia pergi terlalu cepat, kerana pergi akan pergi jua. Lagipun dia bukan pergi untuk selama-lamanya, tapi aku merasakan ia sebuah pemergian yang agak luar biasa. Anggotaku seolah-olah sudah hilang satu daya kekuatan. Kini pun aku seakan merasainya walaupun dia masih di depan mataku.

‘Tuhan, adakah aku hanya berseorangan melayan perasaan ini?’

Tuhan diam lagi, namun aku yakin DIA Maha Mengetahui isi hatinya.

Percayalah, aku tidak bisa memadamkan wajahnya dari dalam hatiku, aku juga tidak mampu membuang budinya yang banyak berjasa untukku. Buang bererti aku akan kehilangannya untuk selamanya.

‘Tuhan, adakah masih bisa untuk pertemuan kali kedua nanti?’
……………………..

Prolog - ii

Lazimnya, aku menjadi tempat luahannya walaupun dia tidak tahu ketika itu aku punyai gelisah sendiri. Kalaupun bukan aku yang menjadi tumpangan deritanya, sekurang-kurangnya dia gembira bila aku sudi menjadi pendengar setianya.

Ya, aku setia hingga kini. Sedihnya adalah sedih buat-ku jua. Mana bisa aku sanggup membiarkan dia menangis keseorangan. Akhirnya, aku akan buat-buat menangis agar dia terus selesa bertemankan aku. Bukanlah niatku mahu berbohong, tetapi dia sahabat yang tidak harus tahu apa erti kesedihan. Kerana aku mahu dia terus gembira.

‘Adakah dia harus tahu bahawa dia tidak pernah keseorangan bila dia di kejauhan?’

Kerana aku sentiasa ada walaupun dalam diamnya dia tidak mengetahui.

Aku mengenalinya sebelum dia mengetahui siapa diriku. Pertama kali wajahnya ku lihat, entah kenapa aku terasa dirinya mempunyai banyak persamaan. Dia punyai kebaikkan budi yang tiada pada orang lain.

Dia tidak pernah menganggap permintaanku sebagai satu kesusahan, bahkan dia tersnyum bila aku meminta sesuatu darinya. Dia tidak menghadiahkan aku bunga sebagai ingatan, tetapi memberikan budi sebagai balasan.

Tinggal beberapa purnama lagi untuk memasuki musim bunga, kerana bunga yang gugur akan menjadi saksi perpisahan kami. Aku tidak terlalu takut jika kehilangannya, namun lebih gusar jika kehilangan jalinan dan ukhwah yang pernah diikat dahulu. Aku tidak pernah berjanji untuk sehidup semati dengannya, tapi apa salahnya untuk aku terus mengambil budi daripadanya.

‘Layakkah aku mendampinginya untuk satu musim lagi? Atau bisa untuk terus selama-lamanya?

Bumi kinanah ini telah menjadi medan suka dan duka untuk kami.

Pernah aku memarahinya, namun dia melaluinya dengan salamatu sodri, mahu ku-angap dia persis malaikat yang tiada rasa untuk bermasam muka. Bahkan dia dahulu yang menghulurkan tangan tanda kemaafan.

‘Ah, manusia jenis apakah dia ini?’

Aku punyai ramai teman, tetapi aku temui nilai persahabatan hanya ketika bersamanya. Adakalanya bila aku berduka, aku tetap terasa ramai kerana tangannya sentiasa ringan membantuku.

Apabila aku sudah memahami apa itu persahabatan, kesusahannya bukan lagi beban buatku. Apabila aku telah mengerti apakah erti ukhwah, kepayahannya bukan lagi menjadi kesakitan untukku. Kerana sampai bila-bilapun budinya takkan mampu aku tunaikan apatah lagi untuk membalasnya sebagai galang ganti.

Biarlah Tuhan sahaja yang membalasinya.

Prolog – iii

Biarlah orang berkata dia tidak cantik, namun dia cantik pada mereka yang pernah mengenalinya. Bukan aku seorang yang berkata begitu, bahkan ramai orang yang gembira saat bertemu dengannya. Sejuk perut ibu yang melahirkannya, tenang jua hati ayah yang membesarkannya.

‘Tuhan dengarlah apa yang ingin ku sampaikan ini, bahawa dia sahabat-ku yang baik’

Aku tahu benar apa kegemarannya. Aku juga tahu apa minatnya. Dia pasti ingat pemberian ku dahulu, walaupun ianya tidak seberapa, namun ia melebihi daripada sebuah keterujaan kerana dia sudi menerima dengan seadanya.

Mengungkapkan nilai sebuah persahabatan tidak cukup hanya dengan selajur syair atau ungkapan kata-kata tetapi dibuktikan dengan pengorbanan. Pada dia, ada pengorbanan yang tidak ada padaku. Aku berubah kerananya, dan aku menjadi baik adalah kerana kebaikkannya.

Terasa baru saja halwa musim sejuk menyapa, sungguh banyak memori yang aku dan dia cipta ketika itu. Aku tidak melupainya, saat bersiar-siar dan berjalan melihat kebesaran ALLAH jauh ke bumi Syam. Itulah satu-satunya kenangan yang akanku memoirkan dalam apa jua diari kehidupanku.

Apabila orang bertanyakan kepadaku siapakah sahabatmu yang baik itu? Aku tidak akan memperkenalkan siapa dia, tetapi aku akan menyebutkan kebaikkan serta budi yang pernah diberikan kepadaku.

Bulan ketahuilah, dia lebih cantik cahayanya daripadamu kerana budinya.

Matahari ketahuilah, dia lebih bercahaya daripadamu kerana kebaikannya.
______________________________

Adam meletakkan pen, cukup untuk malam ini luahannya. Dia akan terus menulis sehingga tiba musim bunga nanti.

Bersambung…

[Usah Jemu Memberi]

5 Responses so far.

  1. like it.. :)

  2. Ya ALLAH,terasa sgt bca cerpen nie. sape gerangan si dia tu Fiq?

  3. ustaz, ini kisah benar ke?
    menarik & mnyentuh prasaan. bertuah si dia dalam cerpen ni..

  4. "Apabila orang bertanyakan kepadaku siapakah sahabatmu yang baik itu? Aku tidak akan memperkenalkan siapa dia, tetapi aku akan menyebutkan kebaikkan serta budi yang pernah diberikan kepadaku."

    like statement ni :)

  5. Assalamualaikum.

    Teruslah menulis. Saya link blog saudara, mohon kebenaran.

    Terima kasih.