“Adam, kau belum mahu tidur lagi?”

“Belum, ada sikit lagi aku hendak habiskan tulisannya” ujar Adam.

“Maaflah, kalau aku menyusahkan kau saja” balas Syafiq

“Oh, tak apa-apa, Syafiq. Cuma aku mahu tanyakan sesuatu boleh?”

“hmm..”

“Kenapa dia tak datang berterus terang saja dengan…” Soalan Adam terputus di situ.

“Maksud kau dia?” soal Syafiq inginkan kepastian.

“Diakan perempuan, ada malu. Masakan dia bisa jadi pendahulu” Balas Syafiq lagi, ringkas.

Malam terus larut. Membiarkan manusia lena dengan kelembutan bayu heningnya. Adam terus menyambung tulisannya. Dia sudah berjanji harus melangsaikan cerpen itu lewat musim bunga nanti. Dia menyelak helaian seterusnya…
______________________________________

Prolog - iv

Hari ini, untuk 4 tahun yang lalu, kami mula melangkah ke dunia yang baru. Dari alam persekolahan beralih ke dunia remaja. Perbezaan umur setahun tidak menghalang kami untuk menjadi teman rapat sama seperti orang lain. Bahkan kadangkala aku akan menganggap dia lebih tua daripada diriku kerana ilmunya.

Bertanya khabar pun sudah memadai bagi kami untuk menggembirakan hati masing-masing. Aku gembira kalau dia sentiasa sihat. Aku hanya mahu mendengar khabaran daripadanya yang baik-baik belaka, walau dari mulut siapapun khabaran itu aku perolehi.

Dia juga seorang ketua yang berhemah, pandai mengambil hati semua anak buahnya. Kelebihan yang ada padanya itulah menjadikan aku sangat senang mempunyai teman sepertinya. Aku banyak mencontohi sikapnya dalam diam, hakikatnya dialah yang memimpin sepanjang persahabatan kami. Bibirnya jarang lekang dari nasihat dan kata-kata yang baik setiap kali kami ‘bersembang’

Kalau berhubung melalui telefon, dia sering memberikan aku kata-kata penguat. Ada satu mesej yang aku masih tatapi hingga ke hari ini. katanya:

‘Kadang-kadang kita berdoa untuk kuat, tapi kenapa banyak dugaan, kadang-kadang kita minta cerdik tapi masalah pula yang timbul. Kadang-kadang kita minta kebahagiaan tapi huru-hara pula. Dugaan menjadikan mental kita kuat, masalah menjadikan kita berfikir, huru-hara menjadikan kita tabah. Hebatkan ALLAH? Semua ada hikmah. Kalaulah manusia tahu hadis ini: Telah berkata Jibril wahai: Wahai Tuhan, Engkau sampaikanlah hajat hamba-Mu. Maka ALLAH menjawab: Biarkan hamba-Ku itu, kerana aku mencintai suaranya’

(20 August – Penghujung musim panas)

Aku pernah mendengar, dia juga pernah melalui kisah sedih seperti aku suatu masa dahulu. Namun tidak tahu sejauh mana kebenaran kisah tersebut. Dia berpisah selepas mengikat tali perkenalan dengan seorang yang menjadi pilihan di hatinya. Jika benar-benar ia terjadi, tidak salah aku katakan bahawa dia manusia yang mempunyai ketabahan yang sangat hebat.

‘Tuhan, temukan dia dengan insan yang lebih baik untuk mengisi kekosongan hatinya pernah yang luka itu’

Ah, aku tidak pasti samada ‘kekosongan’ itu sudah diisi ataupun belum. Jika benar dia sudah memiliki penggantinya, aku sahabat yang paling gembira melihatnya tersenyum dan tidak lagi sedih. Mungkin kalau tidak sekarang atau suatu hari nanti, dia sudi menceritakan kepadaku siapakah insan bertuah yang telah memiliki hatinya.

Jika aku menemui insan bertuah itu, aku harus berpesan padanya agar menjaga sahabatku ini dengan sepenuh hati. Jangan biarkan dia menangis keseorangan. Kerana air matanya adalah kesedihan bagi aku.

‘Tuhan, aku tidak berbohong. Aku gembira bila dia gembira’

Suatu ketika, dia cuba menjauhi aku. Puas aku mencari silap diri, kalau-kalau tingkahku ada membuatkan dia berkecil hati atau mengguris perasaannya. Namun buntu.

Aku tidak senang duduk, pelajaranku terganggu seketika memikirkan hubungan kami semakin tidak akrab sejak kebelakangan itu. Gundah yang datang menjadikan semua kerja-kerja ku serba tidak kena. Hati ku setiap saat hanya terbayang wajahnya yang sedang berkecil hati.

Entah dimana silapnya sampai kini aku belum menemui jawapannya. Walau bagaimanapun aku harus menyalahkan diriku kerana aku bukan sahabatnya yang terbaik

‘Tuhan, andainya sikap akulah sebagai dosa yang membuatnya berkecil hati denganku, dosanya lebih dahulu aku ampunkan. Bahkan aku rela menghadiahkan separuh kebaikkanku kepadanya’

Namun, aku sendiri terlupa apakah peristiwa yang telah menjadikan titik perdamaian dalam hubungan kami ketika tragedi itu berlaku. Yang aku pasti, dia dengan sikapnya yang ringan mulut menghulurkan lafaz kemaafan lebih dahulu daripadaku.

Adakalanya, aku pernah berkecil hati dengannya, tetapi rasa itu aku tutupi dengan senyuman. Namun dalam sebahagian perkara, aku mempamerkan rasa itu supaya aku bisa mengajarkan sesuatu yang bermanfaat untuk kehidupannya. Marahku tidak lama, kerana aku senang memaafkannya.

‘Tuhan, katakan padanya, dia tak usah bimbang akan kemarahanku, kerana salahnya aku telah anggap sebagai kelemahannya yang tidak disedari’

Setitik kesilapannya terhadapku, sebesar padang Arafah kemaafanku terbuka untuknya. Dia bukan lagi sesiapa untuk menghalangnya daripada mendapat kemaafanku.

Prolog – v

Dia mungkin tidak tahu, aku sangat sukakan kek buatannya. Biarlah tidak sehebat tukang masak terkemuka, tetapi ada air tangan keikhlasan dalam acuan keknya. Keikhlasan itulah yang tidak menjemukan aku untuk menjamahnya. Sesekali jika aku rindu akan kek itu semasa ketiadaannya, aku akan berusaha mencarinya di kedai sekadar menghilangkan rasa tersebut.

Aku harap dia tidak tersenyum sendiri jika mengetahui pujianku terhadapnya.

Seingatku, aku jarang dapat menduduki satu pengajian sekuliah dengannya di kampus. Walaupun kami rapat, tetapi ia memungkinkan untuk kami dapat bersama dalam satu kuliah kerana kesibukan dan komitmen. Cuma kami kerap bertanyakan tentang khabar pelajaran masing-masing.

Aku tahu dia seorang yang bijak dalam pelajaran berbanding aku yang hanya biasa-biasa. Tak mengapalah, itu mungkin kelebihan padanya yang tidak ada pada aku. Namun, jurang itu tidak langsung mengganggu persahabatan kami.
………

Tahun ini genap suku abad usiaku, perkenalan dengannya mengajar aku nilai sebuah persahabatan yang sangat hebat. Sepanjang itulah usia ku mencari erti persahabatan, akhirnya aku menemui nilai itu ketika aku ditakdirkan bertemu dengannya.

Aku tidak menyangka semasa hari lahir yang ke suku abad ini aku akan menerima sebuah pemberian yang penuh dengan makna. Sepanjang bersahabat, dia jarang melupai hari kelahiranku walaupun adakalanya ia hanya disambut dengan sepatah pesanan ringkas melalui telefon. Itu sudah cukup berharga untuk aku menganggapnya sebagai teman setia.

Bagi aku sendiri, nilai persahabatan bukanlah terletak pada sebatang pen atau sebuah buku, tetapi pada sebuah ingatan dalam sebuah pemberian.

Kalaupun dia hanya memberikan kepadaku sehelai kulit gula-gula sebagai hadiah hari lahirku, ia akan tetap ku kenang dan hargai kerana ingatannya bukan kerana kulit gula-gula.
__________________________________________

“Adam, aku mahu tanyakan sesuatu?” sapa Syafiq suatu hari. Angin lembut petang itu meniup perlahan.

“Kenapa terlalu sukar untuk kita membuat pilihan?”

“Engkau sudah fikir masak-masak Syafiq?”

“Aku takut dan keliru, Adam!”

“Banyakkan berdoa, supaya ALLAH bukakan jalan yang terbaik untuk kita” Ujar Adam ringkas memujuk Syafiq yang sedang resah. Sore itu, mereka berdua lebih banyak melayan perasaan masing-masing.

Adam sangat faham akan perasaan sahabatnya itu ketika ini.

Bersambung…

[Usah Jemu Memberi]

3 Responses so far.

  1. aduhh, smakin mdebarkan lah cerpen ni fik.

    cepat laa sambungggggggg...!

  2. sape Syafiq tu plak? kawan adam ke?
    papepun terbaeklah fik.

    tak sabar nak bca smbungn nye..

  3. a'ah x sbr la nak taw smbungnnye...

    ~still wondering..org cam ustaz ni..ade je mase u menukil cerpen2 gini..daya imaginasi y tinggi