Duduk dari kiri (hadapan): Tok Wan & Mak Wan, Kak Long dan Pak Long (menantu) serta cucu-cucunya.


Sebab itulah mengapa saya suka berkunjung-tamu ke rumahnya. Selain hidangan makanan yang lazat-lazat buatan air tangan daripada orang lama, saya juga mendapat ilmu tambahan hasil pengalaman orang veteran yang makan garam dahulu daripada saya.

Lagipun, apabila berada di perantauan seperti ini (di Jordan), memang memerlukan nasihat serta pedoman daripada ramai orang agar tidak tercicir dan terpesong daripada landasan budaya sendiri dan agama terutamanya.

Kalau diikutkan hati, saya mahu terus mendengar celoteh Tok Wan sehingga waktu Subuh datang, namun apakan daya, teman-teman semua sudah mencemikkan muka dan menunjukkan mata yang kuyu. Akhirnya kami berenam mengambil keputusan untuk tidur dahulu, esok boleh sambung berborak lagi.

“Kamu semua pergilah tidur dulu, Tok Wan dan Mak Wan tak apa, memang selalu tidur lewat. Kadang-kadang tak tidur sampai ke Subuh..” Ujar Mak Wan.

Wahhh! Tok Wan & Mak Wan memang kawtim! (kata saya dalam hati). Citarasa Tok Wan memang sama dengan saya. Gemar tidak tidur hingga ke lewat malam. Jam 12 malam terasa seperti baru berlalu waktu Maghrib.

“Kami selalunya tidur sekejap lepas solat Dhuha sampai ke Zohor” Tambah Tok Wan pula. Tetapi tabiat yang ini memang tidak sama sekali. Biasanya orang lelaki bujang akan tidur bermula selepas Subuh sehinggalah ke lewat tengahari lebih-lebih lagi jika jatuh pada waktu hujung minggu.

Demikianlah Tok Wan dan Mak Wan yang saya pernah kenali 3 tahun dahulu. Mereka bukan sahaja sebagai ayah dan bonda saya di sini, bahkan lebih daripada sebuah keluarga yang sedikit-sebanyak mengisikan kekosongan kasih sayang dan memberi semangat baru kepada saya.

Kalau tidak kerana kami yang beria-ria mahu keluar bermain main
bowling semalam, saya dan seorang teman sudah mendapat satu lagi ilmu baru. Kata Mak Wan, bahan-bahan semua dah ada, tinggal kami saja yang rajin atau tidak untuk mengulinya. Akhirnya, tepung tidak menjadi kuih, semuanya terlelap kerana keletihan bermain bowling.

Kasihan Cheff Mak Wan yang bersemangat menunggu kami untuk mengajar.

Apa yang mengharukan, tepung yang sepatutnya menjadi bahan kami untuk mempelajari cara membuat kuih, telah ‘bertukar’ menjadi Roti Canai dan Nasi Lemak Ikan masin pada keesokkan paginya. Pagi itu, seperti bersarapan di warung tepi kampung Parit 10, Sekinchan. Mujurlah tak ada Teh Tarik, kalau tidak semua ramuan minum pagi akan menjadi lengkap pakejnya.

Siapa lagi kalau bukan kerja Mak Wan dan anaknya Kak Long yang ringan tangan menyajikan itu semua. Malu pun ada rasanya. Tetapi bak kata pepatah Melayu (khas untuk lelaki) ‘
Kalau Malu Lapar!’ Jangan tipu, jika setiap orang yang menjamah hidangan pagi itu mesti menambah dua pinggan Nasi Lemak dan dua keping roti canai bersama Milo suam.

Kata Tok Wan:

“Tok Wan mendidik anak-anak dengan cara askar. Setiap masa mesti ikut peraturan. Bangun pagi harus tepat masanya. Pergi ke sekolah jangan sesekali ponteng”

“Pulang dari sekolah mesti tepat pada waktunya, jika anak-anak Tok Wan lewat sejam pulang ke rumah, Tok Wan akan tanya ke mana mereka pergi. Sebab masa yang terbuang itu berharga”

Saya memerhatikan Mak Wan hanya mengangguk mengiyakan cerita Tok Wan. Kemudian, Tok Wan bercerita lagi.

“Apabila nak mendidik anak-anak, mesti tunjukkan kepada mereka apa yang ingin kita ajarkan sampai mereka betul-betul faham. Jangan gunakan kekerasan”

“Dari kecil lagi, Tok Wan dah mula ajarkan anak-anak Tok Wan buat kerja sendiri supaya satu hari nanti mereka boleh berdikari. Kalau darjah satu, Tok Wan ajarkan yang ringan-ringan macam membasuh dan mengapurkan kasut mereka sendiri”

“Lagi, macam mana cara-cara nak gantung baju dengan hanger. Masukkan seluar dulu kemudian baru sangkutkan bajunya”

Saya semangat melihat telatahnya menggayakan sesuatu.

“Kemudian, bila sudah besar sedikit, Tok Wan ajarkan yang lagi susah, seperti mengemas katil dan membasuh baju dan lain-lain lagi. Semua kerja-kerja itu Tok Wan akan ajarkan depan mata mereka sampai anak-anak Tok Wan faham dan mereka boleh buat sendiri di depan mata Tok Wan”

“Setiap kali mengajar, Tok Wan akan tanya pada anak-anak Tok Wan, Faham ke tidak?. Kalau mereka faham dan reti, esok Tok Wan akan lihat hasilnya”

“Esok bila Tok Wan tengok, baju tak bergantung dan bersepah, cadar tak berkemas, barulah Tok Wan rotan anak-anak Tok Wan. Sebab apa kamu tahu tak?”

Kami semua diam tercongok.

“Sebab bila mereka dah faham tapi tak amalkan. Masa tu barulah boleh rotan mereka. Jangan mendidik anak-anak terus dengan kekerasan dan rotan. Ajar mereka dahulu sampai faham”

Barulah semua mengangguk kepala tanda faham dengan cerita Tok Wan. Saya mengagak Tok Wan memang garang orangnya, apatah lagi duduk bekerja sebagai askar. Siang dan malam bergelumang dengan hidup yang berperaturan dan berdisiplin.

Saya tidak boleh berkata tidak dan menafikan bahawa anak-anak Tok Wan semuanya telah menjadi orang. Bukan setakat orang biasa, tetapi juga orang hebat di mata masyarakat yang kebanyakkannya menjadi ustaz dan ustazah.

Kak Long (anak Tok wan yang pertama) yang saya kenal seorang graduan dari Universiti Al-Azhar Mesir.

Sambil mendengar cerita Tok Wan, saya menghirup Nescafe Panas yang terhidang. Saya memang pantang kalau bertemu kopi. Pedulilah, apa orang nak kata. Saya menghirup dengan tenang.

Peeerrggghhhh! Nikmat Tuhannnnnn.

Tok Wan menyambung ceritanya:

“Kamu semua, waktu tengah muda-muda ni jangan fikir benda lain. Tumpukan pada pelajaran saja. Bila sudah habis ijazah terus sambung master. Kemudian, kalau nak kerja barulah boleh”

“Anak-anak Tok Wan, semua Tok Wan hantar belajar agama. Tapi, ada juga seorang dua yang dah seronok bekerja, bila dah seronok bermain dengan duit, jadi malas nak belajar. Dah lama-lama bekerja barulah terasa mahu belajar semula”

Cerita yang ini, nampaknya ramai yang tidak setuju. Maklumlah, masing-masing sudah boring & bosan menelaah buku pelajaran, yang bermain di fikiran kami ketika itu bilalah hendak tamat pengajian dan bekerja. Biasalah, anak muda!

“Tok Wan sekarang baru menyesal dahulu tak gunakan masa untuk belajar agama. Dulu Tok Wan susah nak membaca Quran, lidah Tok Wan keras tapi Tok Wan tak putus asa nak belajar Quran. Alhamdulillah, bila pulang dari haji Tok Wan rasa semangat nak mengaji Quran. Tok Wan selalu doa pada ALLAH supaya lembutkan hati Tok Wan untuk belajar Quran”

Di hujung bicaranya ada nada getar dan kesedihan. Saya lihat dia seakan mahu mengalirkan air matanya. Saya juga menghafal Al-Quran, tetapi belum pernah mempunyai jiwa seperti Tok Wan yang bersungguh-sungguh akannya.

Lama Tok Wan diam, dia menyambung ayat terakhir sebelum kami menutup perbualan malam itu. Nasihat yang ini adalah yang paling saya ingati.

Ngeee!

“Tok Wan dan Mak Wan kamu lagi suka kalau jodoh anak-anak ditentukan dengan pilihan masing-masing. Tok Wan tak suka nak tentukan jodoh mereka. Bila masing-masing dah suka sama suka barulah boleh bahagia”

Ish! Tok Wan dan Mak Wan ni, macam tahu-tahu je hati kitorang. Semuanya tersengih busuk.

“Tok Wan dan Mak Wan dulupun kahwin sebab suka sama suka tau!” Tambah Mak Wan pula. Lagi bertambahlah senyum kami sampai ke telinga.

“Haa, dengar tu Afiq!” sakat seorang dari kami. Saya memekakkan telinga.

Saya kira, itulah permulaan bahagia Tok Wan & Mak Wan. Selain agama yang mengikat hubungan mereka, kesediaan masing-masing untuk menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri juga adalah faktor mereka bahagia sehingga kini.

Tidak cukup untuk saya kisahkan pertemuan saya dengan Tok Wan dan Mak Wan, cerita satu malam mungkin tidak memadai untuk dilakarkan dalam sehelai kertas. Kerana ia sebuah ilmu yang sangat bermakna.

[Usah Jemu Memberi]

1 Response so far.

  1. tersengih macam kerang busuk* :)