“Suri, ibu ke pasar ye, kalau adik kamu sudah siap, suruh dia sarapan dulu baru ke sekolah,” pesan Bonda Miah kepada anaknya. Sambil membaiki anak tudungnya.

“Baiklah ibu” Balasnya ringkas, Suraya menoleh sekilas.

“Pak cik Salim kamu datang sini kejap lagi, nak ambil bekas-bekas kuih dia. Kamu kumpulkan setempat, nanti dia ambil sendiri,” tambah Bonda Miah lagi.

Suraya mengangguk sahaja. Dia sudah tahu rutin hariannya. Sekitar jam 12 nanti, jualan pasti akan habis. Kebiasaannya Nasi Lemak dan kuih-muihnya seawal pagi sudah habis dijual. Anak-anak kecil yang pergi ke sekolah lazimnya akan singgah ke Warung Bonda Miah dahulu membeli Nasi Lemak ataupun kuih sebagai bekal.

Kalau tidakpun, warga tua yang sudah pencen selalu melepaskan penat di situ. Pekena secawan kopi pekat Bonda Miah dan bersembang-sembang hingga ke tengah hari.

“Kak Suri..”

“Haa, itupun adik kamu. Suruh dia sarapan dulu, kalau tidak, bungkuskan Nasi Lemak untuk dia” ujar Bonda Miah terus melangkah meninggalkan warung.

Terkocoh-kocoh Sufian berlari ke arah Suraya. Kasutnya tidak dipakai kemas, jalannya terhinjut-hinjut. Budak sekolah rendah memang begitu. Suraya tersenyum melihat telatah anak kecil itu.

“Ish, pergi ambil sikat, akak sikatkan rambut Pian,”

Suraya menyambung kerja-kerja yang masih berbaki di warung ibunya. Selepas mengemas meja dan membasuh pinggan mangkuk, dia harus menghantar Sufian ke sekolah tidak jauh dari situ, 5 minit perjalanan. Sedang sibuk mengemas, dia teringat sesuatu.

‘YA ALLAH, macam mana aku boleh lupa temuduga pagi ini. Suraya, Suraya, kau ni memang pelupalah. Belum tua lagi dah nyanyuk’ bisik hati kecilnya lantas bergegas mencari kelibat adik bongsunya yang sedari tadi tidak muncul-muncul.

“Pian, cepat sayang, akak dah lambat ni”

Sufian muncul tiba-tiba dari belakang.

“Kamu ni Pian, terkejut akak” anak itu hanya tersengih-sengih, lucu melihat kakaknya tersentak. Selelsai menyiapkan adiknya Suraya masuk ke dapur.

“Yanti, kamu jaga warung ya sampai bonda pulang, aku mahu hantar Pian ke sekolah. Aku tak balik ke warung semula, terus ke tempat kerja”

“Iya buk” pantas Suraya melangkah meninggalkan Yanti berpimpinan tangan bersama Sufian. Langkahnya laju meninggalkan warung tersebut. Tanpa sempat menoleh ke depan, dia terlanggar seseorang. Hampir terjatuh dibuatnya, mujur Suraya sempat mengimbangkan tubuhnya.

“Eh, kamu ni dah tak nampak orang ke? Punyalah terang siang hari ini kamu boleh berlanggar?” Tegur seorang lelaki muda, di sebelah lelaki tersebut kelihatan seperti rakannya.

“Err, maafkan saya encik, saya tak sengaja,”

“Lain kali kalau berjalan pandang ke depan, bukan ke langit,” Berdekah-dekah mereka berdua ketawa. Wajah Suraya merah padam. Semua yang berada di warung memandang ke arahnya. Selang beberapa saat, Suraya cepat-cepat berlalu.

“Siapa tu Budin? Jarang aku tengok kat warung ni?” soal Haikal.

“Entahlah, bibik baru Mak Miah kot,” jawab Budin. Matanya terpisat-pisat menahan cahaya matahari.
“Tapi, cun juga!” sambung Budin lagi.

“Banyaklah kau punya cun. Tak ada masa-lah nak berawek-awek ni, kalau nak bercinta pun bukan perempuan macam tu taste kita”

“Itu kau, aku lain Kal”

“Apa punya mat rempitlah kau ni Budin, dengan ustazah pun kau minat? Jawabnya tak merempitlah lepas kau kahwin nanti” Haikal memerli Budin sambil membakar sebatang rokok.

“Kau lainlah Kal, orang berada. Perempuan keliling pinggang. Aku ni, gadis kampungpun belum tentu mahu. Nak harap kerja merempit, sampai bila aku nak kaya,”

“Dah lah tu, cerita pasal perempuan sampai esok tak habis. Kau nak minum apa ni?”

“Macam biasalah, Kal,”

“Yanti, Neslo Ais dua, kurang manis ye,”

“Iya pak”

Dia menyedut rokoknya lagi. Sambil-sambil menunggu pesanan Haikal melepaskan penat. Pagi itu matahari sangat terik.

“Kal, aku nak tanya sikitlah. Kau ni duit banyak tapi suka lepak kat warung je, apa kelas. Kalau aku jadi kau, aku lepak kat Starbuck ke, Kopitiam ke, Secret Resepi ke. Barulah standard”

“Sekali-sekala lepak kat warung apa salahnya, lagipun aku dah biasa dengan Mak Miah ni, kena dengan selera aku. Dari kecil sampai besar, kuih-kuih dia nilah Mummy aku buat bekal ke sekolah”

“Tapi kalau dah tiap-tiap hari kau datang sini, tak jemu ke? Asyik-asyik Neslo ais, aku dah naik bosan dah”

“Wei, aku belanja ni dah kira nasib baik tau. Bersyukurlah sikit,” Haikal berang.

“Alaa bro, aku gurau jelah, itupun nak ambil port juga ke,” Budin menggaru-garu kepala yang tidak gatal, mengibas-ngibas asap rokok Haikal yang berkepul-kepul. Dia rimas.

“Budin, malam ni temankan aku pergi Bukit Bintang, aku ingat nak cari something sikitlah. Birthday adik aku lusa. Merajuk pula Si Mira tu kalau aku tak bagi hadiah,”

“No hal, asalkan kau belanja, aku on je sepanjang masa,” usik Budin.

“Apa-apa jelah”
_____________________________________________

Pagi itu, Haikal seorang diri ke warung Bonda Miah. Tiba-tiba lidah teringinmahu menjamah Nasi Lemak Bonda Miah. Jarang dia singgah ke warung itu diawal pagi, selalunya apabila matahari sudah naik segalah barulah dia bangkit dari tidur dan terus mencari sarapan pagi.

Namun hari itu tidak seperti selalu. Perutnya menjerit-jerit mahu diisi, lagipun, sejak semalam dia belum menjamah apa-apa.

“Awal kamu bangun hari ini Haikal. Mimpi apa malam tadi?” sapa Bonda Miah. Meletakkan secawan Neslo Ais ke meja.

“Ish, Mak Miah ni, perli saya nampak,”

“Bukan Mak Miah tak kenal kamu tu Haikal, kamu dengan ayam, ayam bangkit dulu dari kamu. Malulah sikit dengan ayam tu. Rezeki mahal kalau selalu bangun pagi lambat” sambung Bonda Miah berbaur sindiran. Haikal cuma memekakkan telinga, pedih juga sesekali mendengar kata-kata Bonda Miah.

“Mak Miah, Pak Aji sihat?” ujar Haikal mengalih perbualan. Dia tidak tahan dengan sindiran Bonda Miah.

“Sihat, Alhamdulillah. Pagi-pagi dah keluar pergi kerja. Ada apa lagi kamu nak pesan? Mak Miah nak ke dapur ni”

“Tak ada dah. Mak Miah, sambal kasi lebih sikit ye,”

Bonda Miah terus masuk ke dapur menyiapkan pesanan. Baru jam 8 pagi, pelanggan sudah ramai yang datang, tidak seperti hari sebelumnya. Bekas-bekas kuih yang biasa terisi hampir separuh telah berusik.

“Suri, kamu pergi hantarkan Nasi Lemak ni kat meja 8, sekali dengan kuih Karipapnya,”

Suraya meletakkan semua pesanan ke dalam sebuah dulang. Baru beberapa langkah mahu keluar dari dapur, matanya terpandang pada seseorang yang dia seakan kenali. Dia cuba mengingat semula lelaki tersebut, tapi agak samar.

‘Aduh! Mamat tu ke? Malunya aku’ Hatinya berdetik. Dia baru teringat, lelaki itu lelaki yang dia terlanggar tempohari. Kalau tak kerana dia seorang perempuan, sudah lama dia menjawab. Tapi, apa pula kata orang sekeliling nanti.

Seperti pelanggan lain, dia buat-buat tidak tahu sahaja. Tetapi Haikal perasan.

“Awak yang langgar saya hari tu kan?”

“Ya, encik. Saya tak sengaja, nak cepat. Saya minta maaf,” bila ditegur begitu, Suraya tidak sempat untuk mengelak.

“Nasib baik awak langgar saya, kalau kereta saya yang langgar awak, habislah Mak Miah kena cari pekerja baru,”

Suraya tersentak. ‘Boleh tahan juga mamat ni perli aku. Sabar jelah’ bisiknya.

“Awak pekerja baru kat sini?” soal Haikal.

“Tak encik, saya anak Mak Miah. Tolong ibu berniaga kat sini sementara tunggu kerja tetap,”

“Laa, anak Mak Miah rupanya. Sebelum ni saya tak pernah nampak awak pun?”

“Saya baru habis belajar,” balasnya pendek. Dia semakin meluat dengan lelaki di hadapannya itu. Kalau bukan kerana pelanggan ibunya, sudah lama dia hambat.

“Ohh..”

“kalau tak ada apa-apa, saya ke dapur dulu, ada lagi yang encik nak pesan?”

“Tak ada,”

Sebelum sempat Suraya menoleh, Haikal bersuara lagi.

“Oh ya, saya pun nak minta maaf terlanggar awak. Kalau awak tak mahu maafkan pun tak apa, sebab salah awak,”

Suraya terus melangkah meninggalkan Haikal, dia sudah meluat. Geram pun ada.

‘Sombongnya, benci..benci!’ bisik hati Suraya lagi.
_________________________________________________

“Mak miah, nak tututp warung dah ke?” sapa Haikal dari jauh.

“Habis tu, kamu tengok Mak Miah tengah buat apa ni? Dah nak malam dah ni, esok Mak Miah nak bangun pagi-pagi berniaga pula,” jawab Bonda Miah. Sibuk mengemas barang dapur untuk persiapan jualan pada esok hari.

“Mak Miah, kawan saya ni Haikal dahaga sangat, katanya dah ketagih dengan Neslo Ais Mak Miah tu. Punyalah banyak restoran mewah kat KL ni, warung Mak Miah juga yang dia nak cari,” sampuk Budin.

“Ish, kau ni Budin. Kecil hati Mak Miah nanti,” ujar Haikal berbisik.

“Eh, tak adalah Mak Miah. Budin ni suka bergurau. Boleh ye Mak Miah kitorang nak tumpang minum segelas dua,”

“Kamu berdua nak minum apa? nanti Mak Miah buatkan,”

“Macam biasa Mak Miah, minuman favourite Haikal tulah, Neslo Ais kurang manis,”

“Kal, kalau tiap-tiap hari kita minum air tu je, boleh buasir jadinya,”

“Jaga sikit mulut kau tu. Kalau tak mahu minum duduk diam-diam je,”

“Yelah,”

Penat seharian berpeleseran di Kuala Lumpur siang tadi masih berbaki, hujung minggunya selalu dihabiskan bersama rakan-rakan motor di Ibu Kota. Kalau tidak bekerja mereka akan menghabiskan masa di shopping kompleks.

Haikal beruntung, ibu bapanya orang yang berada, segala kemewahan yang dimiliki oleh ibu bapanya adalah miliknya jua. Ana tunggal memang begitu, seperti raja yang bersemayam sepanjang hayat, kalau boleh makanpun mahu bersuap.

“Budin, cuba kau ambilkan kasut yang kita baru beli tadi, aku nak test power. Ni ambil kunci ni, aku letak kat bonet belakang kereta, dalam plastik hitam,”

“Aku juga yang kena ambil,”

“Alaa, tolonglah,”

Budin menuju ke tempat letak kereta di hujung warung. Sejurus Mak Miah tiba membawa minuman yang dipesan.

“Kamu berdua minumlah, Mak Miah belanja,”

“Terima kasih Mak Miah. Mak Miah, Yanti dan anak Mak Miah mana, tak nampak batang hidung pun?”

“Kamu tanya Mak Miah masa ini, manalah nak ada. Bukan ke dah petang ni. Warung Mak Miah ni buka pagi je Haikal. Mengarut sungguhlah kamu ni,”

“Ye tak ye jugalah,”

Haikal menghirup minuman perlahan-lahan, sambil matanya menjenguk-jenguk ke luar warung kalau-kalau ada kelibat Suraya. Entah kenapa, tiba-tiba dia rasa tertarik dengan gadis tinggi lampai itu. Peristiwa perlanggaran tempohari masih diingati.

“Laaa, yang kau ambil dengan palstik makanan ni sekali buat apa?”

“Manalah aku perasan, Kal,”

Setengah jam mereka menghabiskan masa di warung Mak Miah petang itu, hampir azan Maghrib barulah mereka pulang.

“Mak Miah, kami balik dulu. Terima kasih belanja kami air ni,”

“Tinggalkan aje cawan-cawan tu, nanti Mak Miah angkat,” laung Mak Miah dari dalam dapur. Mereka meninggalkan warung Mak Miah. Rupanya Haikal tidak sedar sebungkus plastik yang berisi makanan tertinggal di bawah meja warung Mak Miah sewaktu minum tadi.

Akhirnya, Mak Miah yang terjumpa plastik tersebut melatakkannya di atas meja dapur sementara menunggu hari esok untuk dipulangkan. Dia tahu, barang itu kepunyaan Haikal dan Budin. Mereka berdua selalu terlupa. Dahulu tertinggal dompet, kali ini tertinggal plastik pula.

Mak Miah membuka plastik tersebut, melihat jika ada barang penting.

‘Coklat rupanya, tentu mahal ni. Orang kalau dah kaya, barang-barangpun letak mereta-rata’ bisik Mak Miah. Hajatnya mahu dipulangkan pada esok hari kalau Haikal bertandang ke warungnya.

Sambil menunggu Suraya datang menjemputnya, dia merehatkan diri seketika. Menyapu halaman warung dan membetul-betulkan kerusi meja.

Bersambung…

[Usah Jemu Memberi]

1 Response so far.

  1. bagus cerpen ni, bila agaknya ada sambungan lagi