“Kak Nurul, kenapa ni? Tak pernah-pernah kita pergi kuliah awal, hari ni kita pergi awal. Akak ada kerja ke?” Soal Syuhada. Dia hairan, pagi-pagi lagi Nurul telah mengejutnya meminta menemaninya untuk ke kampus.

“Tak ada apa-apa, Syuhada. Tiba-tiba hari ini akak rasa nak bersarapan kat sini pula,” Nurul berbasi-basi menjawab pertanyaan Syuhada. Dia cuba menyembunyikan hal yang sebenar.

“Ish, peliklah Kak Nurul ni,” bisik Syuhada. Dia masih bingung. Tak pasal-pasal dia menjadi mangsa keadaan untuk bangun awal pagi. Waktu untuk kuliah pertama mereka masih berbaki dua jam.

“Syuhada nak makan apa, biar akak pergi ambil,”

“Syu tak mahu makan lagi, pagi-pagi ni kurang selera sikitlah kak. Nak minum aje. Milo panas,” balas Syuhada. Nurul terus meninggalkan Syuhada keseorangan di situ.

Sebenarnya, hati Nurul masih tidak tenteram, mimpi buruknya malam tadi terus bermain-main di kotak fikirannya. Entah kenapa, pagi itu dia bersungguh-sungguh mahu berjumpa dengan Rizal. Kalau diikutkan hati resahnya, mahu sahaja dia berterus terang akan hasrat hatinya kepada Rizal. Namun, dia harus berfikiran waras. Dia cuma seorang wanita. Akhirnya, dia membatalkan saja hasratnya untuk menemui Rizal.

Dalam keresahan di hatinya ketika itu, wajah lelaki itu selalu muncul.

“Syu tengok, muka akak masam je, Kak Nurul Sakit?” soal Syuhada. Semenjak keluar dari rumah lagi dia memerhatikan tingkah laku Nurul. Seperti ada yang tidak kena, namun dia hanya mendiamkan diri untuk bertanya.

“Tak, Syuhada, akak OK. Cuma…”

“Cuma apa, kak?”

“Mungkin akak banyak sangat berfikir kot. Persatuan lagi, kuliah lagi,” Nurul berdalih, dia tidak mahu Syuhada tahu yang hatinya sedang resah memikirkan Rizal dan mimpi yang mengganggu tidurnya malam tadi.

“Kak Nurul asyik teringat ustaz Rizal kot,” Syuhada berjenaka, Nurul tersentak kecil tetapi cepat-cepat menyembunyikan reaksi itu, Dia memandang Syuhada, pelik, seolah-olah Syuhada tahu apa yang sedang berada dalam fikirannya.

“Ada-ada aje kamu ni Syuhada. Kuat sungguh mengusik akak,” Nurul mencubit sedikit Roti Canai dan disuapkan ke mulutnya. Seleranya mati pagi itu. Makanan pun dirasakan tawar saja.

“Kak, Kak Nurul. Tu, sana tu. Nampak tak?” Tiba-tiba Syuhada bersuara.

“Siapa Syuhada?” Nurul kehairanan. Dia tidak nampak kelibat sesiapa pun yang dikenali.

“Laa, Ustaz Rizal dengan Abu Ikrima, tak nampak ke?” Nurul tersentak, dia segera mencari-cari kelibat Lelaki yang disebutkan oleh Syuhada. Tidak sangka, dia dapat melihat lelaki itu hari ini. Akhirnya, anak matanya terarah pada kelibat Rizal dan Abu Ikrima.

__________________________

Rizal dan Abu Ikrima berjalan beriringan masuk ke Kafetaria Al-Zahra, terus menuju ke bahagian tempat meletakkan beg dan buku.

“Rizal, enta nak makan apa? Ana pergi ambilkan,” pelawa Abu Ikrima. Tidak ingin serabut dengan keramaian mahasiswa yang berkunjung ke Kafetaria itu, dia memilih untuk pergi mengambil tempahan seorang diri.

“Macam biasalah Abu, Bihun Goreng dengan Nescafe panas kurang manis. Kalau tak ada Bihun, Koew Tiow Goreng,” balas Rizal. Anak matanya melilau mencari meja kosong.

Usai sahaja kuliah pertama mereka pada jam 8 pagi tadi, terus mereke bergegas ke Kafetaria, rutin harian mereka berdua memang begitu. Jika tidak bersarapan pada jam 9, mereka sudah tidak ada masa kosong untuk mengisi perut. Jam 1 petang barulah mereka selesai semua subjek kuliah.

“Abu, kita duduk kat hujung sana ya,” ujar Rizal.

Abu Ikrima mengisyaratkan dengan jari menandakan OK kemudian pantas beredar menuju ke kaunter makanan untuk mengambil pesanan.

Kafetaria Al-Zahra sememangnya menjadi pilihan ramai student di kolej tersebut. Juadah yang disediakan tidak jemu untuk dijamu. Terlalu banyak menu harian yang disediakan. Dari sarapan pagi sehinggalah ke makan malam. Masakan panas juga ada disediakan untuk pelajar yang menetap di kolej kediaman pada waktu malam. Lagipun Rizal sangat rapat dengan seorang tukang masak merangkap tauke di salah satu booth di situ. Setiap hari jika tidak menjamah Nasi Lemak Sotong atau Bihun Goreng Mak Cik Teha tidak sah. Nescafe buatan air tangan Mak Cik Teha juga ada kelainan. Seleranya amat kena dengan cara masakan Mak Cik Teha.

“Enta tak ada dengar-dengar ke, bila ura-ura kolej kita nak buat pilihanraya kampus, Rizal?” Abu Ikrima memulakan bicara.

“Tak ada pula,” balas Rizal pendek, menghirup Nescafe panas ke mulut.

“Biasanya, masa-masa macam ni pihak kolej dah umumkan tarikh pilhanraya. Tahun ni terasa macam lambat pula, kan Rizal?”

“Hmm, awal lagi rasanya. Ana rasa dalam sebulan dua lagi mereka umumlah,”

“Enta yakin Pro-Mahasiswa boleh menang besar tahun ni, Rizal?” Abu menduga.

“Kalau kita kuat berusaha, insyaallah kita boleh kekalkan kerusi yang lama dan tambah beberapa kerusi lagi. Nak kata menang besar tu susahlah sikit Abu, tapi tak mustahil. Enta kena rajinlah tolong ana, kerahkan kawan-kawan kita untuk turun padang,”

“Ana yakin, kalaupun kita tidak menang besar, mungkin kita boleh rampas balik MPP di kampus kita untuk Pro-Mahasiswa,” Tambah Rizal lagi, bersungguh-sungguh dan yakin sekali dengan hujahnya.

Kotak fikirannya kembali mengenangkan kemenangan Pro-Mahasiswa 3 tahun yang lalu. Walaupun ketika itu dia baru berjinak-jinak dengan gerak kerja pilihanraya kampus namun dia begitu bersemangat untuk membantu dan melihat kemenangan mahasiswa menguasai kampus.

Siang dia berkempen, di sebelah malam pula dia turut serta menampal poster calon di sekitar kampus dan kolej kediaman pelajar. Rizal mendapat kepuasan pada pilihanraya sesi itu. Akhirnya, Pro-Mahasiswa diisytiharkan menang besar dengan memperolehi majoriti undi terbanyak ketika itu.

Peristiwa itu memberikan suntikan baru untuk dia terus berusaha pada pilihanraya kampus di masa-masa akan datang. Ternyata, ketentuan dan rezeki tidak lama menyebelahi Pro-Mahasiswa, tahun berikutnya Pro-Mahasiswa tidak mendapat majority undi yang banyak, hanya menang kecil di kerusi-kerusi kecil. 3 tahun yang lalu hingga tahun terakhir ini, Pro-Mahasiswa masih belum dapat untuk mengisi & mengulangi kemenangan lama.

Rizal berazam, sebelum dia meninggalkan kampus itu, dia akan memastikan kemenangan 3 tahun yang lalu akan berulang.

Dia termenung seketika. Menghamburkan nafas perlahan-lahan.

“Hai Rizal, good morning. Saya nampak awak termenung jauh? Tak perasan saya datang” Tiba-tiba dia disapa oleh seseorang yang cukup dikenali di kolej itu.

“Eh, Siva. Maafkan saya, saya betul-betul tak perasan awak ada kat sini tadi. Mari, join kami sarapan pagi sekali,” pelawa Rizal. Siva bersama-sama dengan seorang gadis Cina, matanya sepet tetapi galak. Manis dengan senyum simpulnya.

“Oh tak apa, kami baru je lepas makan tadi kat sebelah sana, nampak awak saya terus ke sini,” balas Siva sambil membetulkan beg tangannya.

“Lama sungguh kita tak berjumpa, susah nak jumpa awak di library sekarang, Siva” ujar Rizal. Rizal perasan, perempuan cina di sebelah Siva itu hanya merenung Rizal. Rizal agak kurang selesa. Dia seolah pernah melihat wanita itu, tetapi tidak begitu mengenalinya.

“Saya yang susah nak jumpa atau awak yang sibuk? Program sana, program sini, ceramah tak putus-putus. Any way, saya nak kenalkan awak dengan Yang di-Pertua Baru persatuan kami, Cik Mei Ling”

“Hai Saya Mei Ling,” Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam. Rizal serba salah.

Siva menggeselkan bahunya ke bahu Mei Ling sambil berbisik: “He's Moslim!”

“Oh, I’m sorry Rizal. Saya faham” Mei Ling Menarik semula tangannya. Rizal tersenyum kecil. Abu Ikrima pula menarik muka masam.

“Its ok,” balas Rizal pendek.

“Habis tu, awak sebagai apa Siva? Masih jadi tukang tulis, setiausaha?” soal Rizal berseloroh.

“Errr, saya….” Sebelum sempat Siva bersuara, Mei Ling memotong kata-katanya.

“Rizal, kalau you nak tahu, Siva sekarang dah jadi orang besar juga, dia sebagai Naib Yang di-Pertua. Tak kurang hebatnya,” pintas Mei Ling, gadis itu agak petah berbahasa Melayu walaupun ada sedikit pelat-pelat kecil.

“Wah, tahniah Siva. Tak sia-sia kamu duduk menulis selama ni, akhirnya dah jadi menteri. Oh ya, saya jarang nampak Cik Mei…. err” Rizal tergagap ketika itu, terlupa dengan nama gadis Tiong Hua yang berdiri di hadapannya.

“Mei Ling!” pintas Gadis bermata sepet itu. Dia tersenyum kecil.

“Oh, Cik Mei Ling,” Rizal tersipu malu.

“Tapi, awak boleh panggil saya Siti, semua kawan-kawan Melayu saya panggil saya Siti, diorang yang beri nama tu untuk saya. Saya suka nama tu. Macam wanita dalam sejarah Islam, Siti Katijah” Balas Mei Ling dalam pelatnya menyebut nama Saidatina Khadijah. Rizal terkejut. Gadis di hadapannya itu mungkin bukan calang-calang orang.

“Saya dari Faculty Business Study, second year kat sini. Saya selalu nampak Cik Rizal dalam aktiviti di kampus ini, awak sangat hebat. Ramai pelajar cina yang kagum dengan bakat awak” tambah Mei Ling lagi. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman.

“Terima kasih, biasa-biasa saja, Cik Mei… Err Siti,”

“Sama-sama,”

“Kalau awak nak tahu Siti, Siva ni dari dahulu lagi minat dengan bahasa dan sastera cina. Sampaikan dia seorang je yang duduk dalam persatuan kamu. Saya doakan dia berkahwin dengan orang cina suatu masa nanti,” seloroh Rizal mengenakan Siva.

“Hey, mengarutlah awak ni Rizal. Suka mengenakan saya” suasana hingar-bingar di Kafetaria itu bertambah bising dengan gelak-tawa mereka bertiga.

“Kalau macam tu, kami beredar dululah Rizal. Kami ada kuliah jam 9 nanti,” Ujar Siva yang sedari tadi diam membiarkan mereka berdua bersembang.

“OK. Selamat bekerja Siva dan Siti. Saya yakin kita akan menang pada pilihanraya tahun ni,” ujar Rizal. Memberikan kata semangat untuk mereka.

“Thanks, nice to meet you Rizal,” balas Mei Ling pendek sambil mengukir senyuman kecil. Mei Ling dan Siva beredar meninggalkan mereka berdua di meja makan. Abu sedari tadi mendiamkan diri mula bersuara.

“Ana tengok Mei Ling tu macam nak mengorat enta je, Rizal”

“Ish, enta ni tak baik tau Abu. Tak elok sangka buruk macam tu. Kalau Mei Ling tu tahu, kecil hati dia. Ingat senang ke nak cari orang cina yang berjiwa melayu macam dia. Nama dia pun ‘Siti’ , siap kenal lagi siapa Siti Khadijah,” Rizal sebenarnya kagum dengan gadis cina itu.

“Hmm, yelah” Abu Ikrima mencemikkan bibirnya.

Selesai menjamu selera, mereka berdua terus beredar meninggalkan Kafetaria tersebut. Masing-masing menuju ke dewan kuliah yang berasingan. Jam 1 tengahari mereka akan bertemu di situ semula untuk pulang ke rumah.

Rizal termenung jauh sambil bibirnya tersenyum kecil. Kagum dengan gadis cina itu. Dia dapat merasakan semangat perjuangan yang ada pada Mei Ling.
_______________________

Dari jauh, Nurul asyik memerhatikan gelagat Rizal dan Abu Ikrima. Dia amat mengenali gadis india yang seorang itu, cuma gadis cina yang berada di samping Siva itu jarang sekali dilihat. Tiba-tiba kehadiran gadis cina itu menimbulkan tanda tanya dalam hatinya.

Keresahannya kian bertambah, namun dia cuba menyedapkan hatinya. Mungkin gadis cina itu mempunyai urusan persatuan yang mahu dibincangkan bersama Rizal. Rizal pula memang dikenali ramai di kampus tersebut, jadi tidak hairanlah ada sahaja siswa atau siswi yang datang bertemu dengannya.

Namun, kemesraan gadis Tiong Hua bersama Rizal yang dilihat sebentar tadi, menghadirkan sedikit rasa cemburu dalam hati Nurul.

Nurul masih tertanya-tanya. Resah memikirkan Rizal belum lagi reda, ditambah pula dengan gadis cina yang dilihat tadi terus menambahkan keresahannya. Entah mengapa, pagi itu dia mahu menyalahkan semua orang.

Akhirnya, dia beristighfar berulang kali. Mohon dijauhkan dari syak-wasangka buruk dan mainan syaitan.

Nurul termenung sendirian.

Bersambung

1 Response so far.

  1. assalamualaikum
    menarik cerita ni
    tapi mcm mana nak crk episod2 sebelumnya ya ?

    harap disertakan link dr episod 1 hingga yang terkini

    syukran