gambar hiasan - www.azizilsedek.com

Ikan di laut, Asam di darat,

Dalam kuali, ketemu jua.

Sebenarnya dunia bukanlah kecil cuma ia tidak besar (eh, sama jelah maknanya kan?). Ada manusia sedar bahawa dunia ini kecil bila dia yakin dengan kebesaran TUHAN, namun ada manusia yang tidak sedar, mereka merasakan dunia yang sedang mereka diami sekarang lebih ‘besar’ berbanding syurga.

Selepas saya menulis artikel bertajuk Jodoh itu Luar Biasa Sifatnya, saya mendapat banyak maklum balas dan pertanyaan berkenaan dengan jodoh melalui email. Sampaikan saya terpaksa menoktahkan jawapan saya bahawa, Jodoh sememangnya luar biasa!

Jangan main-main dengan Jodoh, belum tentu A yang anda rancang A yang akan menjadi, barangkali B, C ataupun Z, yang direncana tidak sama dengan apa yang berlaku.

Manusia mempunyai upaya mentadbir, namun,

ALLAH lebih berkuasa mentakdir.

Jadi, tidak salahlah jika saya berkata begini:

‘Berkenalan dengan orang lain, bersahabat dengan orang lain, berkawan dengan orang lain, bercinta dengan orang lain, merisik dengan orang lain, bertunang pula dengan orang lain, akhirnya berkahwin dengan orang yang mula-mula kita berkenalan’

Wah, jauhnya perjalanan? Kenapa tak berkahwin je terus dengan orang yang mula-mula kita kenal tu? Kan senang. (tanya seorang sahabat)

Jawab saya: itulah jodoh yang luar biasa, dunia inikan kecil?

LUAR BIASANYA KERANA KITA ‘TIDAK TAHU’

Tiada siapa yang tahu dengan siapa dia akan mendirikan rumah tangga dan berjanji sehidup semati kecuali ALLAH swt.

Azman tidak pernah tahu bahawa dia akan berkahwin dengan sepupunya sendiri, Nurul juga tidak menyangka bahawa suaminya adalah rakan yang pernah menarik tudungnya hingga terkoyak ketika mereka bergaduh di dalam kelas semasa bersekolah rendah dahulu. Rosman pula teruja wanita yang dahulunya telah memutuskan pertunangan dengannya kini telah selamat menjadi isterinya. Anita juga tidak menyangka bahawa kawan kepada adik pakciknya di sebelah ibu telah menjadi suaminya dan bahagia sehingga hari ini.

Ishh, pelikkan jodoh dan takdir ni?

Kadangkala, kita sendiri rasa takut untuk membuat keputusan hidup. Bimbang lain yang dibuat lain yang jadinya.

Siapa sangka, dahulu wanita itulah yang sangat kita benci, marah dan meluat, bila pandang rasa hendak cubit-cubit je hidungnya, tetapi kini, bila dia hilang sekejap dari pandangan rasa gelisah dan rindu, dia jugalah isteri yang paling kita sayang dan cintai. Jauh manapun dunia kita pusing, kalau sudah disusunkan jodoh dan ketentuan, itulah jodoh kita. Rupa-rupanya Rafeah jiran belakang rumah itulah jodohnya selepas 5 tahun tercari-cari calon isteri di overseas.

Oleh kerana jodoh ini adalah urusan ALLAH, maka manusia disuruh agar berusaha terlebih dahulu kemudian menerima segala percaturan yang telah ditetapkan. Mungkin pada masa kita menerima ketentuan itu agak sukar untuk kita menerima hakikat yang ada, sebaliknya kita mungkin akan menyedari selepas kita beroleh manfaat daripada takdir tersebut. Firman ALLAH dalam Surah AL-Imran:

‘Boleh jadi kamu tidak suka akan sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu, boleh jadi kamu suka akan sesuatu sedangkan ia tidak baik bagi kamu. Dan ALLAH lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui’

Yang manusia suka itu belum tentu baik untuk mereka, tetapi yang dibenci oleh manusia belum tentu tidak baik untuk mereka. Manusia tidak tahu apa sebenarnya yang ada disebalik kebencian dan kesukaan tersebut, disebalik “ketidak-tahuan” manusia yang disebutkan oleh ALLAH, ada baik dan ada pula buruknya – manfaat atau mudhorat.

JANGAN BENCI KEPADA JODOH

Kata orang, kalau kita tidak dapat apa yang kita suka, sekurang-kurangnya kita cuba menyukai apa yang kita dapat.

Apa sahaja yang dikurniakan kepada seorang hamba adalah yang paling baik untuknya. Soal apa yang kita suka atau hajati itu nombor dua, tetapi mungkin kita tidak sedar apa yang kita sukai itu belum tentu itulah yang kita perlukan.

Kerana itulah, ALLAH swt mengurniakan sesuatu kepada manusia berdasarkan apa yang diperlukan bukan apa yang dikehendaki oleh manusia. Adakala kita rasa menghendaki sesuatu tetapi tidak tercapai, sebaliknya apabila sampai satu masa ALLAH swt menggantikannya dengan yang lain (yang kita sendiri tidak ingini), sedangkan itulah sebenarnya yang diperlukan oleh manusia.

Ada orang inginkan seorang isteri di kalangan ustazah, akhirnya berkahwin dengan seorang doktor gigi atas pilihan orang tua dan istikhoroh, mulanya mereka tidak bahagia tetapi selepas melalui beberapa musim hidup bersama, barulah dia sedar ustazah yang menjadi igauannya dahulu hanyalah kehendak semata-mata tetapi doktor gigi yang berada disampingnya sekarang adalah keperluan untuk hidupnya.

Seorang ustazah mungkin kehendak semata-mata, tetapi doktor gigi adalah keperluan untuknya.

Ada orang mahukan seorang isteri yang lembut dan peramah, alih-alih dikurniakan seorang isteri yang pemarah. Sebagai hamba, kita tidak seharusnya membenci jodoh, sebaliknya menerima dengan hati yang redha. Mungkin lelaki tadi seorang yang malas sembahyang, maka Tuhan padankan ia dengan isteri yang pemarah dan garang supaya boleh memaksanya mengerjakan sembahyang. Bukankah itu satu keperluan dan manfaat? Setidak-tidaknya agama si suami telah terjamin.

OH, KECILNYA DUNIA INI

Jodoh merupakan cabang kepada takdir, lalu berusaha terhadapnya adalah suruhan. Walau apapun yang terjadi, manusia tidak boleh untuk berputus-asa sebaliknya berusaha memperbaiki jodoh untuk mendapatkan natijah yang lebih baik.

Apalah kurangnya, kalaupun tidak dapat seorang isteri yang berstatus ustazah, dapat memiliki isteri di kalangan adik kepada seorang ustazah pun jadilah. Setidak-tidaknya ada juga tempias seorang ustazah.

Usaha sudah, tawakal sudah, doa pun sudah, tinggal lagi kita menerima saja apa yang bakal Tuhan berikan kepada kita sebagai jodoh. Sebenarnya, apa yang telah diusahakan secara bersungguh-sungguh itulah hasil yang terbaik untuk kita walaupun diluar jangkaan yang diinginkan. Kerana ALLAH memberikan sesuatu berdasarkan sejauh mana tahap usaha dan kesungguhan manusia.

Ada sebuah kisah, ia berlaku kepada seorang sahabat saya. dia seorang yang betul-betul memilih dalam soal jodoh. Katanya pada saya, jika dia sudah menemui seorang calon yang diminati dia akan berusaha mendapatkannya melalui apa jalan sekalipun.

Dia mahukan seorang ustazah yang bertudung labuh, menghafal Al-Quran, tubuh yang berisi sedikit dan kalau boleh berkaca mata serta mempunyai suara yang manja. Dan dia menemui apa yang dicari selama ini lalu sepanjang tempoh 2 tahun dia berusaha mendampingi wanita tersebut. Akhirnya, jodoh tidak memihak kepadanya, wanita tersebut berkahwin dengan rakan sekampus dengannya. Dia dikurniakan seorang isteri yang berlawanan dengan ciri-ciri yang diingininya. Dia hanya membuat keputusan mencari calon & berkahwin dalam tempoh dua minggu sahaja. Saya sendiri tidak berkesempatan menghadiri majlis perkahwinannya kerana terlalu pantas keputusan yang dibuat.

Dan isterinya adalah rakan lama sepengajiannya dahulu ketika sama-sama menduduki peperiksaan STAM di Kelantan. Kini dia bahagia selepas dikurniakan seorang bayi perempuan yang sangat comel.

Itulah keindahan dan keunikan jodoh.

Kerana itu asam yang berlainan bangsa dengan ikan kembung akhirnya bertemu di dalam ‘bahtera’ kuali sedangkan ikan kembung tidak pernah pun tahu akan kewujudan asam di darat, tetapi mereka disatukan atas nama jodoh.

[USAH JEMU MEMBERI]

10 Responses so far.

  1. nice entry.syukran.

  2. ana nak minta pandangan.benar tak jika ana bpendapat dlm hal usaha ni lebih kpd lelaki.perempuan mgkn ble usaha ke arah ilmu2 rumahtangga.ke cane?

  3. wah, entry santai yang padat. ana suka syeikh..apa2pun, ana sokong kenyataan entry ni..

  4. really nice entry..

  5. To mujahidahputeri: Peranan jodoh adalah terletak atas bahu lelaki & wanita. Lelaki akan mencari wanita yang sesuai, manakala wanita boleh memilih lelaki yang sesuai.

    Oleh kerana itu, setiap lelaki & wanita harus tahu ciri-ciri lelaki/wanita yang layak untuk dijadikan suami atau isternya.

    To NeoBalanoCarpus: Terima kasih, semoga bertambah manfaat.

    To Qaseh Qistina: Terima kasih.

  6. ntry yg sgt best dr akhi :) bersabar dikurniakan jodoh yg terbaik... :) kerana jodoh, ajal dan rezeki itu telah ditetapkan utk kita sejak dalam rahim ibu lg :)
    jgn lupa singgah ke teratak ana http://miszalina.blogspot.com/

  7. semangat baca pasal jodoh jodoh ni..

  8. Salam.

    Dalam 'kehidupan' manusia, kita akan selalu berhadapan dgn suatu perkara yg tidak pasti, begitu juga dalam soal jodoh. Walaupun kita telah berniat untuk mengahwininya dan telahpun istikharah.

    Maksud ketidakpastian itu adalah keputusan terakhir terletak di tangan Allah s.w.t, itulah yg dinamakan keputusan terbaik. Ia hanya datang dari sisi Allah shja bukan manusia. Meskipun seluruh manusia menganggap keputusan itu buruk dari sisi manusia.

    Sebab itulah ada kes di mana pasangan sudah bertunang dan pada hari majlis pernikahan, tunangnya lari dan memutuskan pertunangan secara tiba2 malah menggunakan sms pula!

    Betul kata blogger 'kehidupan'. Dia belajar dari pengalaman hidup yg telahpun dia laluinya..=)

    Mohd Aizat
    -Secawan Kopi-

  9. Salam.

    A good entry. Memang jodoh itu cukup rahsia dan datang dengan tak dijangka. Dunia ini kecil bagi si pencari akhirat dan cukup besar bagi si pencinta dunia.

    Keep writing good topics here. Saya percaya ramai yang terinspirasi dengan cara Afiq menulis dan kupasan2 yang dibawakan.

  10. Subhanallah...rasa tersentuh betul membaca entry ni..dalam fasa mencari2 pasangan hidup ni terkadang takut kita tersalah tafsir konsep usaha yg sebenar. USAHA perlu juga diiringi DOA+TAWAKKAL...