“Abang tak sarapan dulu?” sapa Aisyah.

“Abang dah lewat, hulurkan abang air kopi tu, Aisyah,” Hilmi membetulkan kolar baju kemejanya. Tali lehernya disarung kemas.

“Ya Allah, panasnya!”

“Itulah abang ni, hati-hatilah minum. Air kopi tu Aisyah baru buat, kan panas lagi?” Cepat-cepat Aisyah menyambut cawan yang dihulurkan oleh Hilmi.

“Kenapa Aisyah tak cakap, kopi ni panas?” Hilmi mengipas-ngipas lidahnya yang sedikit melecur.

“Lain kali gelojoh lagi, mari Aisyah campurkan dengan air sejuk kopi tu,”

Selepas meneguk secawan kopi, Hilmi mengemaskan barang-barangnya menuju ke pintu. Seperti hari-hari kebiasaan Aisyah menemani Hilmi ke muka pintu, dia mencapai tangan Hilmi yang tergesa-gesa mahu keluar dari rumah.

“Abang dah lupa lagi nak salam Aisyah ye?”

“Oh, maaf,” Hilmi tersipu malu. Pagi itu dia terlupa lagi. Cepat-cepat dia mencapai jari lembut Aisyah dan bersalaman. Kali ini Hilmi mengucup tangan Aisyah sambil menguntum senyum manja.

“Nakal lah suami Aisyah ni,” Aisyah mengusik.

“Nakal-nakal pun ada orang sayang juga. Abang minta diri dulu, Assalamualaikum,” Hilmi segera masuk ke dalam kereta. Aisyah hanya memandang dengan lirik mata. Entah kenapa pagi itu Hilmi begitu ceria sekali membuatkan hatinya terasa damai menatap wajah Hilmi.

Gurau-sendanya dengan Hilmi malam tadi masih lagi terbayang-bayang dibirai fikirannya. Seolah-olah adegan semalam sedang bermain di hadapan matanya. Gelak-tawa mereka seperti ngiang kedengaran.

Aisyah tersenyum sendiri di muka pintu. Tidak sedar Hilmi telah hilang dari pandangan mata.

Hening pagi itu mengundang ketenangan di hatinya.

__________________________

“Abang kat mana ni?” soal Aisyah di hujung talian. Baru setengah jam Hilmi meninggalkan rumah dia mendapat panggilan telefon dari suaminya.

“Masih dalam perjalanan ke pejabat, trafik jam kat Jalan Ipoh. Abang terlupa nak beritahu Aisyah,” Hilmi menumpukan pemanduannya. Sambil melihat ke kiri dan ke kanan, dia menyusup ke ruang kosong yang mempunyai laluan. Dalam kesesakan lalu lintas, dia cuba menghilangkan keserabutan.

“Apa dia, abang?”

“Aisyah masak sedap-sedap ye, tengahari nanti abang balik makan di rumah,” ujar Hilmi.

“Sungguh?” Aisyah teruja. Dia inginkan kepastian. Jarang benar Hilmi mempunyai masa untuk makan tengahari di rumah melainkan di hujung minggu. Hari-hari bekerja biasanya Hilmi akan menghabiskan masanya di pejabat. Cuma waktu malam sahaja masa untuk mereka makan bersama.

“Betul, sayang” jawapan itu membuatkan Aisyah riang. Dia mula berfikir sesuatu menu yang bakal disediakan untuk makan tengahari nanti.

“Aisyah nak masak Ayam Merah, abang suka?”

“Apa-apa aje lah, asalkan jangan lupa tempoyaknya sekali,”

“Semestinya Aisyah tak lupa,”

“Abang minta diri dulu, Assalamualaikum,” Hilmi memutuskan talian.

“Abang, hati-hati ye, waalaikumsalam,”

Aisyah segera ke dapur, melihat-lihat barang masakan yang perlu disediakan. Kalau ada bahan masakan yang kurang dia harus ke pasar untuk membelinya. Selepas menyiapkan semua bahan-bahan masakan yang diperlukan dia menuju ke ruang tamu untuk mengemas.

Dia membetul-betulkan kusyen di sofa, kemudian menyapu lantai dan menggantikan langsir lama dengan langsir yang baru dibasuh. Selesai kerja-kerja mengemas di dalam rumah dia ke luar rumah pula untuk melakukan kerja-kerja membersihkan ruang garaj yang dipenuhi dengan daun-daun kering yang gugur. Sambil menyapu daun-daun kering dia menyanyi kecil, sesekali ada alunan zikir dibibirnya yang sering didengari di corong-corong radio.

Sejak Hilmi mengajarnya beberapa alunan zikir ringkas yang lunak alunannya, bibirnya tidak pernah lekang dengan zikir-zikir itu, setiap kali memasak seorang diri di dapur dia berzikir, ketika mengemas rumah juga dia sering mengalunkan lagu-lagu zikir yang diajarkan oleh Hilmi.

‘Subhana-Allah, walhamdulillah, wala ilaha illa-Allah wa-Allahu akbar’

Zikir ini selalu diulang-ulang oleh Aisyah. Dia suka akan alunannya. Paling digemari jika Hilmi yang mengalunkan zikir itu sebelum mereka tidur. Suara Hilmi merdu dan serak-serak basah mengasyikkan Aisyah yang mendengar zikir itu.

“Aisyah suka zikir ni?” pernah suatu malam Hilmi bertanya. Jari jemarinya lembut membelai rambut Aisyah yang ikal.

“Suka. Rasa tenang sangat,” jawab Aisyah. Matanya dipejamkan sambil menghayati bait-bait zikir yang dialunkan oleh Hilmi.

“Kalau yang ini Aisyah suka tak? Cuba Aisyah dengar, lepas tu kita zikir sama-sama,”

‘Subhana-Allah, walhamdulillah, wala ilaha illa-Allah wa-Allahu akbar’

Hilmi memulakan alunan zikir.

‘Subhana-Allah, walhamdulillah, wala ilaha illa-Allah wa-Allahu akbar’

Kemudian Aisyah pula menurut alunan zikir yang dilagukan oleh Hilmi. Tersekat-sekat dia menyebut zikir itu, lagunya agak sumbang. Hilmi membetulkan sebutannya sambil mengiringi lagu dan alunan zikir tersebut. Akhirnya Aisyah sudah dapat mengalunkan zikir itu sendiri.

“Kali ini Aisyah pula yang zikir, abang nak dengar,”

“Aisyah malu, nanti tersalah berdosa pula. Aisyah nak zikir sama-sama dengan abang,” pinta Aisyah.

“Tadikan Aisyah dah boleh sebut? Tak sedap lagunya pun tak apa, asalkan zikirnya betul. Cuba Aisyah baca dulu abang nak dengar,”

‘Subhana-Allah, walhamdulillah, wala ilaha illa-Allah wa-Allahu akbar’

Aisyah memulakan zikirnya. Kali ini lidahnya tidak tersekat lagi, lafaznya semakin lancar, Cuma lagunya tidak menepati alunan zikir.

“Pandai isteri abang. OK, kali ini cuba pula dengan lagunya sekali,” ujar Hilmi. Aisyah tersenyum bangga. Dia semakin yakin.

‘Subhana-Allah, walhamdulillah, wala ilaha illa-Allah wa-Allahu akbar’

Aisyah mengulang-ngulang zikir itu sehingga dia sendiri terasa asyik dan tenteram. Benarlah kata Hilmi, orang yang sentiasa berzikir, hatinya akan beroleh ketenangan.

Semakin diulang zikir pendek tersebut, semakin tenang hatinya. Akhirnya dia sendiri tidak pasti entah kali ke berapa zikir itu diulang-ulang. Dia hairan, tidak sedikitpun dia merasa letih bahkan semakin bersemangat untuk terus berzikir.

Selepas puas berzikir dia memalingkan wajahnya ke arah Hilmi. Mata suaminya telah terpejam rapat.

‘Hmmm.. tidur rupanya’

Aisyah tersedar dari lamunan apabila terdengar hon bas sekolah yang berhenti mengambil anak-anak kecil di sebelah rumahnya.

Dia tersenyum sendiri. Cepat-cepat dia menghabiskan kerja-kerja mengemas garaj. Selepas ini dia akan memasak. Sebelum jam 12 tengahari dia mesti menyudahkan masakannya. Biasanya Hilmi akan pulang ke rumah bila hampir waktu Zohor.

Panas terik pagi itu membuatkan badannya kurang selesa, Aisyah berkali-kali terasa kurang enak, sesekali kepala berdenyut-denyut disimbah panas mentari. Selepas siap mengemas, dia segera masuk ke dalam rumah. Dia tidak biasa berlama-lama di tengah panas, dahulu semasa di sekolah menengah, dia pernah jatuh pengsan di padang sekolah ketika perhimpunan mingguan sekolah, apabila dibawa berjumpa doktor, ternyata dia tidak tahan panas.

Aisyah merebahkan diri di sofa, menyedut nafas seketika menghilangkan letih. Dia meneguk secawan air sejuk bagi menghilangkan lelah. Kepalanya masih lagi berdenyut-denyut. Sambil memejamkan mata, dia berzikir meraih sedikit kekuatan menahan sakit di kepala.

Selepas puas duduk, denyutan di kepalanya tidak juga berkurang, kemudian dia berbaring di sofa. Tangannya pula sedari tadi memicit-micit kepalanya supaya sakitnya berkurang tetapi tidak berhasil. Akhirnya tanpa sedar dia pengsan, terlelap di ruang tamu.

Sunyi.

Bersambung...

[Usah Jemu Memberi]

1 Response so far.

  1. semenjak dua menjak ni,
    ana rasa blog enta tentang kahwin je,

    inshaAllah, tak lama lagi tu nak walimah.

    ana doakan enta semoga selamat semuanya! ameen.