Mereka tersilap!!

Itu persepsi saya diawal mendengar slogan tersebut. Mendaulatkan ugama atas nama perkauman adalah langkah yang tersasar dan tersimpang. Bukan sahaja boleh menaikkan kemarahan bangsa barangkali boleh memburukkan nama ugama.

Islam tetap tertegak tanpa perlu menunggu bangsa tertentu untuk bersatu terlebih dahulu. Bahkan dengan kepelbagaian kaum yang majmuk, Islam boleh ditegakkan. Mensyiarkan ugama tidak harus didahulukan dengan apa-apa aspek perkauman, sekalipun bangsa itu sedang berpecah-belah, Islam tidak akan terpengaruh dengan situasi untuk dibangkitkan, kerana masih banyak bangsa yang sudi mendepangkan tangan untuk mendaulatkan Islam.

Islam tidak memerlukan Melayu sahaja untuk bangkit, bahkan Melayu sekadar faktor kecil untuk kebangkitan Islam, pendak kata, jika Melayu tidak wujud di dunia ini ataupun Melayu sendiri belum lagi mahu bersatu, Islam pasti bangkit dengan kegagahannya sendiri. Dan kalaupun bangsa Melayu berjaya mendaulatkan Islam, tidak bermakna Orang Melayu dengan riak bisa berkata: “Bangsa kamilah yang memartabatkan Islam”

Rasis!

SLOGAN DAN MATLAMAT?

Sesungguhnya, apa yang ingin dibawa oleh entiti Islam ini ternyata silap, percaturan mereka dalam usaha untuk merealisasikan matlamat utama mereka mengandungi unsur kemasyarakatan yang sangat sensitif. Lalu jalan yang mereka rencanakan telah tersimpang sedikit ke tepi dan akhirnya telah mengakibatkan berlakunya “kemalangan” yang memakan diri. Slogan Melayu yang dilaungkan bukan sahaja tidak difahami bahkan sudah mula menimbulkan kemarahan. Sehinggakan ada yang mengandaikan persepsi sebegini:

Bangsa Melayu diagung-agungkan,

Bangsa Cina mula berkecil hati,

Bangsa India terasa dianak-tirikan.

Sedangkan Islam diwahyukan untuk semua dan tidak terkecuali atas nama kebangsaan!

Dalam usaha untuk memartabatkan ugama, sama sekali ia tidak boleh digabungkan dengan sentimen perkauman yang dapat menimbulkan perpecahan. Seolah-olahnya kita sedang melakukan dua kerja yang bertentangan, yang pertama cuba memartabatkan Islam, namun dalam masa yang sama bangsa lain merasa tidak berpuas hati kerana disisihkan.

Kita mampu bersetuju jika matlamat untuk mempersatukan Melayu itu dalam kerangka memartabatkan Islam hanya dijadikan sebagai matlamat cabang, tetapi jika diletakkan sebagai matlamat utama ia adalah tidak relevan.

Sebagai sebuah entiti yang membawa nama Islam, mereka harus sedar bahawa pendekatan yang ingin diketengahkan dalam memartabatkan Islam harus diteliti agar tidak mengguris mana-mana pihak.

Saya akui, Bangsa Melayu sememangnya banyak “memenangi” kedudukan teratas dalam apa jua masalah dan gejala sosial. Statistik membuktikan bahawa Melayu menduduki kiraan tertinggi dalam kegawatan tersebut. Usaha entiti ini untuk memperbaiki bangsa Melayu dan mengembalikan mereka kepada cara hidup yang sempurna tidak harus diperlekeh bahkan itulah yang dimahukan oleh semua entiti dakwah yang membawa nama Islam.

Saya juga bersetuju jika mahu mengembalikan zaman keagungan Islam di Malaysia, Bangsa Melayu harus dahulu diubah agar jalan untuk melihat kegemilangan Islam dapat dirasai semula. Kalaulah situasi ini yang mereka sedari untuk melajukan jalan menuju kemenangan Islam, saya harus memuji entiti ini kerana belum ada lagi kesatuan yang mengambil cakna secara serius akan isu ini.

JANGAN SALAHKAN BANGSA LAIN

Namun,

Jika Masjid India disalahkan dan dijadikan alasan untuk merealisasikan slogan ini, itu tidak sepatutnya berlaku kerana Masjid India tidak pernah memecah-belahkan masyarakat yang bersembahyang disitu bahkan menjadi agen dan pusat penyatuan umat Islam sesama kaum. Bahkan nama Masjid India sendiri tidak langsung mencetuskan kontroversi dan ia hanyalah sebuah nama tanpa ada apa-apa agenda perkauman.

Bukankah ini satu cara & sikap yang negatif? Membangkitkan isu bangsa lain dengan tujuan untuk mempromosi kehebatan slogan tertentu. Mahu memartabatkan melayu, Masjid India yang disalahkan.

Kita harus sedar, golongan selain Melayu yang bernaung di “Tanah Melayu” adalah golongan minoriti yang harus dijaga, apatah lagi mereka ini bukanlah dikalangan penganut yang beragama Islam. Dakwah kita kepada mereka adalah berbentuk tauladan dan hubungan baik. Jika dakwah yang ingin dibawa ini tersalah langkah, Islam akan menanggung risiko yang besar untuk tidak didekati.

Oleh kerana, bangsa Melayu adalah golongan majoriti yang mendominasi kedudukan besar di Malaysia, tidak seharusnya mereka menimbulkan isu perkauman yang kononya dengan kesatuan kaum akan mampu memartabatkan Islam.

Ya teori ini ada benarnya, jika ‘umat’ melayu tidak bersatu, Ugama Islam di Malaysia amat sukar untuk ditegakkan, maka ia harus dijadikan salah satu faktor untuk menyelamatkan Islam, tetapi memadailah ia dijadikan sebagai solusi kecil dan method pelaksanaan sahaja, bukannya diangkat menjadi slogan dan disorak-sorak.

Saya tidak hairan jika slogan ini keluar dari kesatuan yang tidak membawa nama Islam, tetapi jika yang melaungkan slogan ini terbit dari entiti yang sinonim dengan nama Islam, ia tidak wajar. Silap mereka cuma satu, cuba menaikkan kedaulatan Islam atas nama bangsa dan mewar-warkannya sebagai slogan.

Sebagai sebuah entiti yang sudah lama bertapak sebaris dengan NGO dan parti politik Islam, mereka harus bijak membuat pertimbangan dalam meletakkan objektif pada setiap penggal sesi pentadbiran mereka. Slogan atau motto yang dirangka harus menepati bukan sahaja kehendak ahli mereka malah keperluan masyarakat di luar sana. Ia mesti mengambil kira sensitiviti dari pelbagai aspek apatah lagi jika ia dikaitkan dengan nama ugama.

Apa yang dikhuatiri objektif untuk mempersatukan Melayu mungkin berhasil tetapi matlamat untuk mempersatukan kaum atas nama Islam tidak terlaksana. Lebih dibimbangi, ulam yang dicita, bukan pucuk yang mendatang sebaliknya perpecahan kaum pula yang terjadi. Lalu, masyarakat akan mensabitkan kesalahan ini kepada bangsa Melayu kerana Islam telah disinonimkan dengan nama Melayu.

Sebagai umat Islam yang sayang akan agamanya, saya mahu melihat entiti ini terus mendapat pengiktirafan di mata masyarakat Islam dengan hanya memperbaiki sedikit daripada slogan mereka. Mereka akan lebih gah jika pendekatan yang dibawa ini berbentuk universal, Melayu tetap Melayu, cuma tidak diabaikan peranan bangsa lain lalu kalimahnya boleh digeneralkan kepada umum agar tafsirannya berunsur majmuk.

KITA SEPAKAT, ISLAM BERDAULAT!

Maka, Cina, Melayu dan India dapat disatukan atas nama Islam.


MOHD AFIQ MOHD SALEH
Mantan,
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ)
Sesi 2010/2011

16 Responses so far.

  1. Sedikit respon sebelum saya respon secara lebih lagi nanti:

    1. Kelihatan penulis menulis dalam keadaan penafian (in denial) kerana menggunakan istilah 'entiti ini' berbanding ISMA. Keadaan ini mungkin disebabkan ISMA tersebut yang mungkin semakin mendapat tempat di hati masyarakat dan mula mencabar status quo anda.
    2.Masyarakat Cina & India Muslim pun faham tentang peranan bangsa mereka dalam mendaulatkan Islam, lantas wujudlah MACMA & Kongres India Muslim. Ironinya bila bangsa melayu berbuat begitu, dikatakan rasis. Mungkin penulis terlalu terkesan dengan perjuangan Melayu UMNO yang akhirnya tidak dapat mendaulatkan Islam (dari sudut pandang penulis).
    3.Bangsa/kaum telah banyak memainkan peranannya dalam kebangkitan umat. Umaiyah, Abbasiyah, Uthmani, bahkan semua bangsa lain merupakan antara kajian yang dilakukan oleh Ibn Khaldun dalam kitab Muqaddimah. Beliau merumuskan peranan bangsa yang bersepakat dalam sejarah kebangkitan umat.

  2. amboi...

    Sudah berani keluar statement "mereka tersilap!!"



    mengapa sanggup menulis sedemikian?
    di mana adab anda?
    di mana disiplin anda dalam menulis??


    sudahkah anda menyelidik dan berbincang dgn pimpinan ISMA???

    (sekadar teguran dari muslim ke atas muslim yang lain, malu kalau mantap pemimpin saya sendiri keluar statement atau menulis tanpa disiplin di sini)


    -ahli MPPMJ-

  3. typo* : mantan

  4. Salam

    Sekadar teguran dan percambahan ilmu sebagai sahabat. Saya bukanlah ahli ISMA, dan pendapat ini adalah pendapat peribadi berdasarkan perbincangan beberapa syuyukh di Malaysia.

    1. Sangat tidak beretika dan kurang beradab apabila menyatakan ijtihad sayu2 badan dakwah itu tersilap, kerana apa yang mereka katakan hanyalah satu ijtihad mereka berdasarkan pemerhatian mereka dibumi Malaysia. Perkara ini adalah perkara furu' bukanlah perkara asas. Maka, sangat tidak beradab bila berpendapat mereka SILAP. Itu hanyalah ijtihad.

    2. Apa yang saya faham apabila mengkaji slogan ISMA ini, pendapat mereka yg ingin orang Melayu Muslim sepakat bukanlah matlamat mereka, tetapi ianya satu wasilah untuk melihat kedudukan ISLAM di Malaysia tidak di ganggu gugat. Harap kaji sebelum berkata. Berbincanglah dengan pimpinan mereka, bukan sekadar mendengar cakap-cakap belakang atau tulisan2 di laman2 web yang kadangkala apabila saya baca, tidak seperti apa yang ISMA ijtihadkan.

    Mungkin anda terkesan dengan gelombang yang ISMA bawa di bumi Jordan ini, maka keluarlah serangan2 yg tertumpu kearah itu. Sekadar nasihat saya, bila melihat MPPM terlalu menekan isu ini, fokuslah dengan kerja anda. Berapa banyak kerja yang patut anda lakukan terabai dek kerna ingin menyerang ISMA yang saya paati ahlinya hanya beberapa orang. Berapa banyak lagi kebajikan mahasiswa yang terabai dan terbiar apabila pimpinannya sibuk dengan urusan yang sepatutnya bukan urusan mereka. Sepatutnya pimpinan MPPMJ cuba utk memperkasakan MPPMJ dimata dunia, dan tidak hilang fokus dek terasa tergugat. Dan saya secara jujurnya, melihat program2 ISMA semuanya adalah progran2 yang baik dan langsung tidak meyerang MPPM. Bahkan, ahli ISMA sendiri antara penggerak dalam progam2 PERMAI. Tanyalah dengan mereka yang jujur. Dan perkara ini saya sediri lihat di Irbid sebelum ini.

    Wallahualam. Kita Semua MPPM!

  5. Terima kasih di atas komen pengunjung, diharapkan semua responder dapat menyertakan nama anda untuk memudahkan saya membalas respon tersebut, sekian.

  6. terima kasih ustaz,

    sedikit sebanyak menjelaskan tentang perjuangan mereka. Saya pasti walaupun ini sebuah ijtihad, ia tetap tak boleh dipandang ringan.

    ijtihad tidak boleh dibatalkan oleh ijtihad, tetapi adakalanya kita boleh tersalah meletakkan ijtihad.

    teguran ustaz ada kebenarannya, saya amat bersetuju dengan statement: "Kita mampu bersetuju jika matlamat untuk mempersatukan Melayu itu dalam kerangka memartabatkan Islam hanya dijadikan sebagai matlamat cabang, tetapi jika diletakkan sebagai matlamat utama ia adalah tidak relevan"

    saya pasti, pandangan ustaz mengenai TERSILAP itu bukan sebagai kenyataan tetapi sekadar PERSEPSI. Kerana masih ramai yg kurang jelas dengan perjuangan ISMA pada sesi ini.

    kalimah MELAYU dalam slogan mereka telah menimbulkan pelbagai tanda tanya.

    terima kasih atas perkongsian ustaz. Saya yakin ia terdapat pencerahan yg baik.

    MOHD KAREEM

  7. tidak dinafikan ramai ahli mereka yg mengerahkan tenaga di dalam persatuan di Jordan, tetapi ada sebahagian pimpinan tertinggi mereka di sini boleh saya katakan "keras kepala"

    Banyak kata perdamaian & ruang2 yang cuba dibuka untuk 'mereka' untuk bekerjasama tetapi selalu tidak diendahkan.

    apa yg saya nampak (selaku mahasiswa lama) mereka tidak sahaja mahu bekerja tetapi mereka mahu membawa NAMA.

    artikel ini mempunyai sedikit sebanyak pencerahan akan agenda mereka.

    thanks, keep it up!!

  8. biasalah tu,

    klu org yg xsokong ISMA bg mreke ok je artikel nie, tp klu "orang2" dia, tak beradablah, tak berdisiplin lah,

    anggaplah tulisan ustaz afiq ni sebagai ijtihad dia sendiri.

    shukran

    ahmad mppmj

  9. Ust Afiq saleh telah mengeluarkan satu IJTIHAD beliau dalam melihat keadaan samasa..Dimana Islam itu perlu didaulatkan atas nama ISLAM itu sendiri bukan atas nama mana2 bangsa.. Iye MacMa dan KimmA mereka bergerak atas nama Bangsa kerana mereka melihat Muslim di malaysia suke bermain lagu bangsa..Jadi adakah ISMA yang bermanhajkan Ikhwan dan berdusturkan Quran Sunnah juga mahu bermain lagu yg sama.. Kita sepatutNya menjadi JUARA dalam memainkan tarian Islam yang sebenar.. =) itu adalah pandangan. Jika ia ISMA mahu membawa Kebajikan Tarbiyyah dan Dakwah bersama.. Masuklah bertanding dalam PRK di Jordan.bukan mewujudkan entiti berbeza.. ISMA mahupOn mana2 gerakan yg lain adalah 2 betalion berbeza yang duduk dibawah satu angkatan yakni Islam..InsyaAllah..

    Muslim Sepakat Islam Berdaulat

    -- Abdullah Suady --

  10. Jika Melihat pada slogan itu sahaja sudah menimbulkan banyak tanda tanya.

    saya setuju dgn statement:
    'Islam tetap tertegak tanpa perlu menunggu bangsa tertentu untuk bersatu terlebih dahulu. Bahkan dengan kepelbagaian kaum yang majmuk, Islam boleh ditegakkan. Mensyiarkan ugama tidak harus didahulukan dengan apa-apa aspek perkauman.'
    tidak salah jika ia diletakkan sebagai satu ijtihad bedasarkan apa yang berlaku sekarang ini.
    Kalau menganggap ianya sebagai satu wasilah untuk melihat kedudukan ISLAM di Malaysia tidak di ganggu gugat, tidak perlu meletakkan 'isu perkauman' yang akan menimbulkan kecelaruan. Dan ia bukanlah salah satu jalan dakwah yang menarik. Di Malaysia, isu perkauman adalah satu hal yang agak berat untuk dibincangkan secara terbuka. Kenapa mesti MELAYU sahaja di sepakatkan? tidakkah bangsa-bangsa lain yang beragama islam juga penyumbang kepada dakwah hari ini? bukan sahaja di malaysia malah di seluruh pelusuk dunia yang membantu dalam mendaulatkan Islam.
    jika menjadi persoalan, andai melayu tidak sepakat, apa akan jadi dengan ISLAM?? ISLAM tetap dengan KEDAULATAN yang KEKAL.

    pencerahan yang lebih mungkin dapat lagi diperjelaskan jika ada kerjasama dan tidak menganggap hanya satu pihak sahaja yang perlu mempersoalkan hal ini melainkan ianya dikaji terlebih dahulu.

    sekadar pandangan.
    syukran kathir.

    NURUL

  11. Melayu Sepakat hanyalah strategi nama sahaja, tetapi matlamat yang utama adalah ISLAM...

    Kerana apa yang saya tahu, ISMA ingin membawa ISLAM sebagaimana yang dibawa oleh NAbi Muhammad s.a.w...

    Tidak ada penambahan, mahupun pengurangan...

  12. Assalamualaikum w.b.t.,
    Insyaallah jika ianya kerana Allah yang maha esa untuk menegakkan keadilan untuk manusia sejagat ramailah yg akan bekerjasama… Tapi jika untuk bangsa semata-mata, banyak permasalahan agama lagi yg perlu di bincangkan.

    Mudah untuk meninta dan menutur kata, tetapi sukar untuk terus adil melaksanakannya…
    Wallah hu ‘alam.

  13. sy tidak nampak artikel ini sbg tidak beradab, tapi ia lebih kpd kritikann dan pandangan peribadi ust afiq. sy percaya artikel ini adalah hasil pemerhatian beliau dan tidak semudah itu untuk beliau melontarkan pandangan sebegini.

    jika badan politik atau NGO yg besar pun ada melakukan kesilapan dan wajar ditegur, apatah lagi ISMA, mereka harus lebih terbuka dalam menerima kritikan positif spt ini.

    apa yg ust afiq lontarkan adalah benar, kalau mahu menjadikan stratergi menyatupadukan melayu sebagai matlamat, tidak sepatutnya ia dislogankan lebih2 lagi di bumi malaysia yg penuh dengan keperlabaaian kaum. cukuplah ia dijadikan sebagai hadap yang disembunyikan.

    saya juga setuju dengan tema yg dicadangkan oleh ust afiq & saudara suady, samada kita menggunakan kalimah "kita" ataupun "muslim" untuk mengharmonikan penggunaannya.

    bahkan ia mungkin boleh diterima oleh ramai pihak.

    sekian dr sy - siti nur

  14. pndangan pribdi dr mantan pres yg begitu teliti & bernas.

    jika ISMA mahu terus diterima oleh masyarakat sekeliling & meneruskan survivor perjuangan mreka di malaysia, ambil la kritikan ini utk pmbinaan yg lebih kuat.

    ust afiq tak berniat nak menjatuhkan ISMA bahkan dia ada menyatakan sokongan atas usaha mereka utk menyatupadukan orang melayu, cuma ada beberapa kelemahan yg prlu dibaiki, itu saja.

    sy percya, ada sebilangan ahli ISMA yg tidak berstuju dgn slogan ini tapi masih mendiamkan diri krana memegang prinsip wala'

    spatutnya jika wala' andalah ahli ISMA yg harus menegur mereka jika berlaku kesilapan.

    (orang lama)

  15. Terima kasih atas lontaran idea daripada semua pengunjung & pembaca.

    1. Saya masih menunggu lontaran idea yg berunsur kontra daripada artikel ini agar dapat mewujudkan suasana diskusi yg sihat. Saya memerlukan respon dua hala terutama dari pihak "sana" (jangan lupa nyatakan nama anda, saya seorang yg terbuka)

    2. Apa yang ingin saya balas daripada komen yang terdahulu sebahaagiannya telah dijawab oleh ramai responder, dan saya sependapat dengan mereka.

    3. sekiranya anda merasakan artikel ini sebagai kurang beradap saya dengan lapang dada menerimanya tetapi harus dengan hujah yg baik. saya tidak menulisnya dengan semberono tetapi dengan pengamatan dalam semua aspek. tidak ada kalimah yg kurang enak atau apa jua penghinaan yg terdapat di dalam artikel tersebut. maka, tidak padanlah anda menghukum ia sebagai tidak beradab.

    4. Anggaplah artikel ini sekadar teguran baik saya kepada "anda". Ia mungkin lebih baik berbanding ramai orang diluar sana yg bersuara belakang & menghamburkan kata-kata yg tidak baik kepada anda.

    5. Saya pernah bertemu dgn sebilangan ahli ISMA & bertanyakan soal hadaf mereka pada sesi ini, maka saya boleh tafsirkan ia kepada 3 golongan:

    1- Masih kabur dengan slogan
    2- Kurang bersetuju
    3- Faham tetapi serba salah

    namun saya tidaklah menghukum semua ahli anda begini. tetapi masalah kefahaman kecil yg berlaku dalam sebuah organisasi harus segera diatasi.

    sekian.

  16. satu kritikan yang bagus dan berani. satu kritikan yang susah untuk ditelan oleh kita yang sudah biasa berasa islam=melayu. sedangkan berjuta melayu di dunia ni yang bukan islam, dan cina islam di china sendiri melebihi jumlahnya dr melayu islam di tanah melayu ini. saya pohon dr Allah semoga menjauhi perjuangan ini dr memperjuangkan bangsa ku, coz i know malay will always be here as long as i'm here since god had made me a malay. tetapi islam itu mungkin tiada pada diriku jika aku tidak berusaha menegakkannya dalam diriku. mungkin di saat itu, tingallah saja aku seorg melayu. nauzubillah. adakah laku di padang mahsyar nanti jika aku pergi, apakah yang telah kau buat di dunia dulu?aku tindas kaum lain, kerana aku kena pertahankan islam, islam untuk org melayu. nauzubillah. ya Allah, jauhkan lah hati ku dr mencintai bangsa melayu membuta tuli. amin!

    syabas, brother!berusahalah tukar prinsip2 isma jika mereka masih menyamatarafkan islam dan melayu. semoga islam lebih berkembang di malaysia dan seterusnya di luar negara. ws