Gambar ihsan - Zulhasmin 


Apa yang menyebabkan Abang Long terpikat dengan Kak Nur? Macam mimpi je, saya sangka Abang akan memilih yang lebih baik’ Suatu petang kami berbual, tiba-tiba terlintas dari mulut Azman bertanyakan saya soalan ini.

‘Kak Nur adalah yang terbaik yang pernah Abang temui. Percaya?’ Balas saya.

‘Gadis kampung yang cuma bekerja di kilang?’ Dia cuba menduga saya.

‘Ya!’ Jawab saya lagi.

‘Kan Abang boleh cari yang lebih baik daripada tu?  Yang berjawatan setaraf dengan Abang Long’

‘Kamu tahu Man, betapa susahnya nak mencari yang berbudi macam Kak Nur kamu tu? Walaupun tiada lulusan yang tinggi-tinggi, tapi budinya tinggi tau!’ Memahamkan seorang yang berasal dari bidang akademik sepertinya agak payah. Saya cuba memberikan dia kefahaman dengan jawapan yang dia sendiri cari.

‘Hanya kerana budi je Abang Long buat keputusan nak berkahwin dengan Kak Nur? Ajaib!’ Azman bertanya lagi, kali ini nampak seperti dia semakin memahaminya.

‘Man, kamu mahu isteri yang cantik dan berjawatan tinggi tetapi pemalas, bersikap buruk dengan suami dan tiada adab sopan?’ saya pula mahu menduganya. Dahinya berkerut memikirkan sesuatu.

‘Tak naklah bang’

‘Kalau begitu, carilah yang berbudi’ Lama dia berfikir. Lalu dia bersuara lagi, kali ini mengenakan saya pula.

‘Habis tu, bila nak makan nasi minyak bang?’

‘Ish, kamu ni Man. Ada-ada je! Lambat lagilah!!’

_________________________________

BUKAN PADA PAKAIAN SEMATA-MATA

Pada seri seorang wanita itu, yang dipandang adalah pada zahirnya terlebih dahulu. Begitulah selalunya pentafsiran dan pandangan seorang manusia. Jika baik luarannya, baik juga dalamannya. Ya, itu adalah prinsip yang tepat dalam penilaian manusia. Kita bukan Tuhan yang mampu menghukum mana-mana manusia sebagai baik atau buruk. Apa yang dipandang itulah yang ditafsirkan.

Pakaian.

 Ia adalah penilaian yang paling mudah untuk dinilai. Tetapi ia bukanlah tafsiran 100% untuk mengatakan seorang itu baik melalui pakaian semata-mata.

Dalam membincangkan soal akhlak, ia tidak tertumpu semata-mata kepada aspek pemakaian sahaja, jauh dari sudut itu adalah soal ‘nilai tambah’ yang membolehkan seseorang itu menjadi muslimat yang mempunyai ciri-ciri kemuslimatannya dan jua menjadikan dia lebih istimewa. Tudung sahaja belum memadai jika tingkah-lakunya masih persis ‘wanita murahan’. Menutup aurat juga tidak bererti jika tutur katanya tidak ‘ditutup’ dan dijagai rapi.

Menutup aurat dan berpakaian dengan baik mengikut garis panduan agama adalah soal hukum sahaja.

 Pakaian mungkin menjadi simbolik kepada akhlak luaran yang boleh dipamerkan. Namun, di sebalik itu ada pakaian yang lebih hakiki yang akan menggambarkan imej muslimah yang sebenar iaitu pakaian akhlak.

Kerana itulah, apabila Rasul saw menceritakan kepada para sahabatnya tentang perihal wanita yang solehah, baginda akan menggambarkan bagaimana akhlak yang harus dimiliki tanpa mengkhususkan bahawa pakaian itu sebagai tafsiran menyeluruh kepada makna sebenar akhlak. Pakaian hanya bersangkutan dalam soal hukum-hakam, yang telah menutup auratnya dengan sempurna sudah dikira terlepas daripada kewajipan hukum.

Tinggal lagi, bagaimana seseorang itu bisa menjadi cantik dengan hukum yang diamalkan seiring dengan akhlak baik yang dimilikinya.

Bukankah lebih indah, jika prinsip hukum itu digabung-jalinkan dengan kecantikkan akhlak?

Namun, mutakhir ini dunia kian terbalik. Pakaiannya lebih cantik mengalahkan akhlaknya yang kurang cantik. Pakaiannya mampu dibeli dengan harga yang sangat mahal, tetapi akhlaknya terlalu murah harganya.

Muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata. Wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil,tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi.itulah yang terbaik.

Muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona, tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya ,tetapi dilihat melalui keikhlasannya ketika ia memberikan segala kebaikan itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan. Muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa, tetapi dilihat melalui bagaimana cara dia berbicara dan berhujah kebenaran.

Muslimah sejati bukan dilihat melalui kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya, dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang telah diberi.


BAHKAN LEBIH BURUK DARIPADA SEORANG LELAKI

‘Kamu tahu Man, kenapa Nabi kita dipanggil  Al-Amin oleh orang Arab Quraisy?’ Kami menyambung lagi  perbualan petang itu. Sambil menghirup secawan Nescafe saya bertanya kepadanya.

‘Sebab dia baik pekerti’

‘Lagi?’

‘Sebab dia Nabi kot? Dan sebab dia dipercayai’ Azman menjawab dalam seloroh. Antara tahu dan tidak tahu.

‘Kamu tahu tak Man, Nabi saw seorang ummi? Bermakna ketika itu Baginda seorang yang tidak sangat berilmu. Nabi tak boleh membaca apatah lagi mahu menulis syair’ Tambah saya.

‘Tahu’

‘Adakah kamu kira, orang yang berilmu itu akan dihormati jika tanpa akhlaknya yang baik?’

‘Tak, bang!’ Dia mulai faham akan maksud saya.

‘Nabi saw hanya perlu berakhlak untuk disanjung. Jadi, antara yang berpakaian cantik dan berakhlak baik, mana satu pilihan kamu?’

‘Tentulah yang baik Abang Long, kalau boleh nak dua-dua sekali’

Pecah suasana hening petang itu dengan hilai-tawa kami. Azman memang nakal orangnya tapi mudah diajak berbincang. Saya beruntung mempunyai adik saudara sepertinya.
______________________________________

                Apabila saya menulis pendapat sebegini, adakah orang laki-laki terlepas daripada tanggungjawab untuk berakhlak mulia? Oh, Tidak sama sekali, lelaki juga perlu berakhlak jika ingin ke syurga. Akan tetapi, kesan buruknya akan lebih terpamer kepada wanita berbanding lelaki jika mereka tidak berakhlak.

ALLAH taala telah menetapkan ada sebahagian perkara yang boleh dilakukan oleh wanita dan ada sebahagiannya ditugaskan kepada orang lelaki untuk melaksanakannya, kerana Dia lebih tahu akan baik buruknya sesuatu.

 Adat-adat yang disusun oleh tradisi Melayu kita pun banyak mementingkan dan menjaga nilai kesopanan seorang wanita. Antaranya, anak gadis dilarang menyanyi di dapaur ketika sedang memasak. Soalnya bukan kerana perbuatan tersebut dikira kurang beradab sahaja, tetapi soal suara itu adalah aurat jika didengari oleh kaum laki-laki. Bukankah jika seorang wanita yang terjerit-terlolong itu lebih buruk feelnya berbanding lelaki? Bahkan 2 kali ganda tahap kurang sopannya.

Pesan nenek saya: ‘Orang perempuan cara duduknya biarlah sopan. Duduk bersimpuh supaya nampak cantik dan juga beradab’

Saya ingat pesannya sampai sekarang. Eh, tidak bolehkah jika seorang wanita mahu duduk selain bersimpuh atau menjulur kaki ketika tetamu bertandang? Boleh sahaja, apa salahnya. Selebihnya anda bayangkanlah sendiri rupanya…

Awas! Jangan sesekali cemarkan imej pemakaian anda yang baik dengan tingkahlaku yang boleh menjatuhkan kredibiliti tersebut. Percayalah, orang akan memandang akhlaknya dahulu selepas pakaian sebelum menilai aspek-aspek yang lain. Biarlah kurang cantik, tetapi akhlaknya dijaga baik. Biarlah tidak manis, tetapi tutur-katanya ditapis.

Lelaki juga sama, kalau berkopiah atau berketayap biarlah perangainya seperti orang yang berketayap bukannya ‘berkayap’. Jangan hanya meminjam imej Islamik atau berlagak alim kerana ingin memikat seorang wanita semata-mata tetapi perlu menjadikan ia (imej) sebagai peribadi yang berpanjangan.

PENUTUP

 Pendek kata, yang berakhlak sempurna itu bukanlah dalam kalangan yang berjubah dan bertudung semata-mata, bukan juga yang berkopiah atau berserban sahaja, tetapi mereka yang mempunyai kesempurnaan akhlak adalah mereka yang mempunyai gabungan kedua-duanya, kerana ia melambang syiar sebuah agama. Gandingan antara hukum dan akhlak harus bersifat seiring untuk membuktikan akhlak itu bukan sahaja pada material (pakaian) semata-mata.

Kalau hendak menjadi seorang wanita adalah sangat mudah dan senang, tetapi jika mahu menyandang gelaran muslimah itu lebih sukar apatah lagi jika ingin menjadi yang solehah.

Ia seumpama satu masakan yang dihidangkan untuk tetamu, masakan akan menjadi enak dan sedap dimakan bukan saja pada hiasannya (pakaian) yang cantik, lebih penting daripada itu adalah ramuan (akhlak) yang digunakan dalam masakan. Gabungan antara dekorasi yang dihiasi dengan cantik dan ramuan akan menghasilkan masakan yang sempurna.

Jangan kata terliur, pastinya akan terbawa-bawa sampai ke dalam mimpi anda.

Itulah kuasa wanita solehah. 

0 Responses so far.