Kisah Bulan dan Matahari

“Bulan-bulan, berapakah umurmu sekarang?” Tanya matahari suatu hari.

“Kalau dibilang-bilang semula hampir berjuta tahun, kenapa wahai matahari?” jawab bulan, dia hairan apabila matahari bertanya sedemikian.

“Engkau tahu berapa umurku?” soal matahari lagi.

“Tentunya engkau lebih tua daripada aku,” bulan menjawab merendah diri.

“Sudah tua benar rupanya aku wahai bulan. Namun aku masih belum puas berkhidmat untuk ‘mereka’ di bumi,” luah matahari lagi.

“Benar, aku juga begitu wahai matahari. Namun aku merasa cemburu dengan mu wahai matahari. Amatlah aku merasa diri ini terlalu kerdil jika dibandingkan denganmu. Engaku adalah abang, aku pula adik. Umurmu sahaja sudah menunjukkan engkau sudah lama bekerja. Kelebihan di jasad kurniaan Tuhan-Mu, pun sudah membuktikan besarnya jasamu pada penduduk di bumi. Tapi aku?” bulan tiba-tiba terasa sebak.

“Hanya bersinar di malam hari tanpa apa-apa faedah,” sambung bulan lagi. Dia sedih.

“Bukan begitu wahai bulan,” matahari cuba memujuk kesedihan bulan.

“Mengapa tidak!! Engkau mengeluarkan cahaya kepada makhluk di bumi, dengan cahaya itu tumbuh-tumbuhan mampu hidup, dengan bahang mu, engkau memberikan ketenangan kepada manusia. Engkau memberikan segala-galanya yang bermanfaat kepada makhluk bumi. Namun aku tidak, bercahaya pun tidak lagi berguna. Manusia sudah ada lampu,”

“Engkau tahu bulan, engkau juga mempunyai kelebihan yang tidak ada padaku?” matahari cuba memujuk, bulan senyap.

“Ketika bercahaya, engkau kelihatan cantik dan menawan. Semua makhluk mampu melihat mu. Apabila dinisbahkan cahaya yang cantik, pasti nama mu akan disebut-sebut. Walaupun manusia sudah mempunyai lampu, tetapi engkau masih diperlukan,” tambah matahari lagi. Dia melirik kepada bulan yang mengukir sedikit senyuman.

“Benarkah begitu wahai matahari?” Tanya bulan inginkan kepastian.

“Benar wahai bulan,”

“Panjangnya umur bukan nilai disisi tuhan, tetapi amalan kita yang akan ditanya kelak,” kata matahari lagi.

“Engkau tahu bulan. Kalaulah aku ini hidup lama, namun aku tidak pernah berbuat kebajikan, nescaya umur aku adalah pendek dalam pengibaratan. Tetapi kalau engkau yang hidup walaupun sementara dan engkau berkhidmat dengan sepenuh tenaga dan manfaat, maka engkau adalah layak dipanggil abang daripada aku,” terang matahari.

“Engkau sungguh mulia wahai bulan,” puji matahari.

“Engkau juga wahai matahari,”


Umur Dewasa Menilai Kematangan Diri

Setiap tahun tatkala bertukarnya tahun, maka akan bersilihlah umur kita. Makin dekat juga dengan kematian dan yang sudah berlalu umur itu, pastinya tidak dapat dijenguk-jenguk semula. Yang tinggal hanyalah yang akan datang menanti. Kalau umurnya sudah menjangkau 50 tahun maka, sudah separuh abad kita hidup, sama umurnya dengan kemerdekaan Malaysia. Namun, apa sebenarnya yang dicari dalam kurniaan umur ini? Manfaat umur tersembunyi di mana?

Hakikatnya, kalau keseronokkan yang dicari maka itulah yang akan ditemui, kalau akhirat yang menjadi matlamat, maka akhiratlah yang akan kita perolehi. Kalau umur sudahpun berusia 30 tahun, tetapi maksiat masih lagi terus-menerus, maka 30 tahun ibarat 3 hari baru kita hidup. Namun, sekiranya umur baru menjangkau 15 tahun dan diisi pula dengan kebaikkan yang maksima, maka usia itu sudah dikira sebagai usia yang dewasa, matang dan panjang.

Kesimpulannya, manfaat umur itu dinilai dari sudut apa? Usia yang panjang atau amalan yang banyak? Tamsilannya mudah saja, dua orang yang bekerja sebagai kerani masing-masing melakukan kerja yang sama dalam tempoh masa yang sama. Namun seorang rajin bekerja dan seorang lagi sebaliknya. Menaip, menelefon pelanggan, print out kertas kerja, menyusun data dan sebagainya semuanya diselesaikan oleh pekerja tadi. Sebaliknya seorang lagi, menaip sehelai laporan pun tidak siap-siap. Sekejap ke dapur makan, sekejap ke meja kawan berbual-bual. Hasilnya bila sudah tamat tempoh bekerja, kedua-duanya mendapat natijah yang berbeza. Silap-silap seorang lagi akan dibuang pekerjaannya.

Oh rupanya begitu, masa dan umur dinilai. Bukan pada panjangnya umur, tetapi pada banyaknya amalan baik kita. Nabi pun pernah berpesan, bekerjalah seolah kamu ingin hidup lebih lama.


Selamat Hari Tua !!

BUZZ!!

‘Selamat Hari Lahir ke-23, semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki’

Begitulah bertalu-talu mesej yang sampai di skrin laptop saya kira-kira dua hari lepas, sehingga hari ini pun masih ada lagi mesej yang tiba, walaupun agak kelewatan, namun mereka tetap mengingati, sungguh terharu saya. Rupanya, hari ini saya sudah menjangkau ke angka 23 tahun, ternyata hampir 23 tahun juga saya menghirup nafas segar tanpa berbayar. Tubuh badan juga masih dikurniakan dengan kesihatan yang juga tidak berbayar dengan wang ringgit. Kadang-kadang terfikir juga, nikmat yang percuma ini sampai bila perlu terus digunakan tanpa manfaat.

“Dah besar rupanya kau, bila pula nak berkahwin?” soalan bonus begini yang sukar untuk saya berikan jawapan.


Bila dikaitkan dengan perkahwinan, selalu saya tertanya-tanya, perlukah syarat tua untuk ke gerbang perkahwinan? Kalau begitu, ke mana pula orang-orang muda mahu ditempatkan? Ada juga satu ketika kawan-kawan bertanya, mahu kahwin di waktu muda atau tunggu tua sikit lagi afdhal berkahwin? Jawab saya mudah sahaja. Mana yang difikirkan keperluan itulah yang menjadi kewajipan, dan mana-mana yang tidak perlu kepada desakan tidaklah menjadi larangan. Formulanya mudah sahaja, anda sudah bersedia atau belum? Kematangan adalah isu utama dalam hal ini.

“kenapa kamu tidak berkahwin?” soalan ini biasa diajukan kepada sesiapa sahaja, termasuk anda juga.

“Saya belum bersedia lagi,” juga jawapan yang selalu kita dengar.

Ramai yang memberikan alasan bahawa mereka yang tidak mendirikan rumah tangga di usia muda adalah kerana tidak bersedia, diri tidak yakin dan pelbagai lagi jawapan negatif yang menghalang untuk mendirikan rumah tangga di awal usia 20-an. Langsungnya, dengan jawapan-jawapan sedemikian, ramailah yang sudah teracun dan mulai takut untuk mendirikan rumah tangga di awal usia. Lebih-lebih lagi sesetangah pihak yang cuba memomok-momokkan cerita berkisar penceraian warga muda. Jadilah sebuah masjid itu suatu yang dicop sebagai unsur negatif dan punca kepada perpecahan masyarakat.

Dalam kelapangan dan keterbukaan kita mempersoalkan isu kahwin muda atau tua, bagi saya usia bukanlah menjadi perbincangan serius, tapi ianya adalah masalah yang hanya kesampingan sahaja. Lainlah jika yang meminta untuk berkahwin itu pelajar lepasan sekolah rendah, bukan begitu? Laginya, sikap sesetengah pihak yang memberi alasan belum bersedia dan belum lagi matang untuk mendirikan rumah tangga, itu juga faktor yang menghalang untuk mendirikan masjid. Soalnya, siapa yang selayaknya digelar sebagai matang sehingga dialah satu-satunya dibenarkan berkahwin awal? Konklusinya begini, sehingga kini belum wujud lagi oleh mana-mana ahli saintis yang menetapkan teori kematangan manusia yang mutlak. Juga belum ada lagi yang mengkategorikan bahawa apabila manusia telah mencapai tahap ini, dia dikira matang. Matang itu suatu yang subjektif. Manusia yang menilai kematangan mereka sendiri.

Begitu juga di dalam rumah tangga, kalau mahu menunggu tahap kematangan, sampai ke mana-mana kita tidak akan berkahwin. Percayalah, kematangan dan kesediaan itu akan datang sendiri apabila kita berkahwin kelak. Kematangan akan sebati dalam keterpaksaan bekerja apabila kita menjalankan tanggungjawab di dalam rumah tangga. Paksa itu menjadikan kita lebih bertanggungjawab dan matang secara automatik. Apa tidaknya, kalau dulu mahu makan hanya memikirkan perut sendiri, tetapi bila sudah berdua, maka tanggungjawab mencari makanan sudah dipecahkan dua juga, demikianlah juga dalam hal-hal yang lain.

“Habis itu, kenapa anta tak kahwin muda kalau dah bersedia?” soal seorang sahabat.

“Bukan ana tak mahu kahwin lagi, bagi ana umur 30-an masih juga muda bagi seorang lelaki,” jawab saya. Dia tersenyum.

afiqsaleh - 2136pm

0 Responses so far.