Seketika saya meninjau-ninjau di lamannya, saya lalai dan leka sekejap. Melihat-lihat rona dan posisi hijau sebagai lantai dekorasi terus menarik perhatian saya. Gambar sahaja yang terpampang indah di sudut muka laman blog, menyejukkan saya dan siapa sahaja yang turut bersinggah di blog ini. Berhajat mahu singgah sebentar sahaja, namun terus tanpa sedar, saya seakan berlama-lama ditarik kehebatan dan keindahan pengisian yang dapat saya bayangkan kemunculannya nanti. Rupanya Tok Guru bukan calang-calang biasa orangnya, masakan kita melihat di ketika ini seorang yang berumur juga mempunyai blog, saya kagum, kagum dan kagum. Platform ini saya lihat langkah bijak Tok Guru sebagai Menteri besar yang bergerak seiring dengan kepantasan masa. Suatu Inisiatif positif yang bernas.


Sememangnya saya tertunggu-tunggu ketibaan gedung ilmu sebegini, lebih-lebih lagi yang mengendalikan perspektif ini adalah di kalangan ikon di hati saya, Tok Guru Nik Abdul Aziz. Menimba ilmu sebegini, bukan sahaja mengundang seronok, tetapi mampu merubah pandangan yang bersifat tertanya-tanya ke arah pemikiran yang sempurna ideologinya. Masakan buah-buah mulut Tok Guru dalam fikrahnya tidak menyelitkan langsung berkenaan kefahaman Islam hakiki. Maka amatlah menjadi kerugian bagi sesiapa yang gemarnya mencari bahan hiburan minda dan dahagakan suapan tok guru, tidak menjenguk-jenguk serta menimba segeluk ilmu di taman ini. Sementelah kita sibuk berbicara dan menulis garapan dalam blog masing-masing, apa salahnya di dalam blog tok guru ini kita ambil sedikit-sebanyak daripadanya inzarnya, kalaupun tidak berupa ilmu baru, tetapi ianya boleh menggantikan tajdid ilmu itu dengan nasihat dan teguran. Oh, bukan senang menanti kedatangan tok guru di laman maya ini, bagi kami-kami yang berkampung di luar Negara, laman ini sahajalah yang menjadi teman kami dalam memperolehi sumber agama. Kami terasa langkah ini seolah satu bual bicara dan sembang-sembang dengan tok guru secara berdepan-depan.
Bersungguh-sungguh benar tok guru dalam melihat anak-anak negaranya supaya tidak jauh daripada agama, dia buat begitu, dan dia buat begini. Bukan untuk dirinya sahaja, bahkan kebaikkan bersama turut dikongsikan. Meminjam pesan (sabda) nabi saw disaat bunyinya begini lagi dalam pengertiannya: “sampaikanlah walau sepotong ayat” . lantas tok guru dengan prinsip kerendahan diri dan ilmunya terus berusaha mengembangkan sayap-sayap agama agar setiap audiens dan mad’u dapat terus merasakan “sepotong ayat” itu sebagai satu dakwah dan ilmu yang boleh diamalkan bersama. Keratannya amat pendek pesan nabi tadi, namun mendalam maknanya, beerti sepotong ayat itu kalau disambung-sambung penyampaiannya maka akan terus tersebar ilmu yang satu itu. Tidak rugi bukan??


Makanya, saya berharap kepada semua sidang yang mahukan lebihan ilmu dan ketambahan dalam beragama, berbondong-bondonglah segera ke laman ini http://www.blogtokguru.com/ untuk menimbanya, biarpun tidak lama. Anda sendiri boleh menilai sejauh mana nilainya. Tok guru tidak lokek dalam lidahnya menyampaikan dakwah, tangannya yang sentiasa tidak berhenti menulis sesuatu untuk kita. Semoga amal tok guru sebegini dinilai oleh ALLAH sebagai amal syurga untuk beliau dan diambil manfaat oleh kita sebagai insane yang kurang berilmu ini. Jazakallahu fiik.


afiq saleh,
0022 am-mafraq jordan

1 Response so far.

  1. berpencak silat biar di gelanggang..
    bersajak kata biarlah tenang..
    andai tak mengerti jangan difahami..
    ayat tersirat jangan terjerat..
    warna yang hitam tak semesti kelabu..
    yang putih..kadang-kadang berdebu..