2 BULAN YANG DAHULU.

“Adik-adik kita yang baru sampai ini, kita kena jaga elok-elok. Ana dah tak ada lepas ini, korang jelah yang akan bersama dengan diorang,” pesannya. Nasihat buat kami hari ini.

“Abang Man jangan cakap macam tu, kami ni pun perlu bimbingan abang Man juga,” tambah seorang.

“Eh, tak adalah. Ana yakin dengan korang semua,” jawabnya merendah diri. Duduk-duduk kami malam itu terisi juga dengan kata semangat daripadanya.

“Abang Man janganlah balik Malaysia lagi. Tunggulah setahun dua dulu,” seorang yang lain berseloroh.

“Alaaa Cik Man baru 30, muda lagi tu. Tak akan nak buat masjid dah kot?” tambah yang lain turut berjenaka.

Semua berderai ketawa.

“ketawa-ketawa juga, ingat pesan ana tu,” dia mengulangi pesanannya tadi. Sambil tersenyum simpul.

“Ingaaaatt!!” serentak semua.

6 MAC 2009 – 1 PAGI (JUMAAT), IRBID.

“Tiket Cik Man bila?” soal seorang sahabat.

“Insyaallah 22 hari bulan ni, pukul 11 pagi,” jawabnya spontan.

“Alaaaa, lambat lagilah Cik Man nak balik Malaysia,” seloroh seorang sahabat.

“Tengok tu Abang Man, dia nak halau anta. Nak suruh Abang Man Balik cepat,” saya menambah sedikit, menghangatkan keadaan jenaka.

Semua ketawa. Dia juga ketawa kerana tahu itu hanya gurauan yang maksudnya rindu.

“Korang kalau mengenakan ana memang nombor satu, pakat-pakat bolehlah,” balasnya.

Sepi seketika.

“Hmmm...ingat ini, duduk kat sini jangan tinggal persatuan. Bantu persatuan, siapa lagi kalau bukan korang yang nak hidupkan persatuan. Korang ni dulu, persatuan yang banyak bantu sampai boleh jadi macam ni,” luahnya. Butiran nasihat yang berharga kami dapat malam itu. Kami menyuap makanan, sambil-sambil mendengar ‘leteran’ berharga itu.

“Cik Man dah tak ada, tak bestlah lepas ni,” kawan sebelah kanan bersuara. Semua tergelak lagi. Malam itu, walaupun tidak dirancang untuk supper di tempat sejauh itu, namun makan-makan kami malam itu penuh dengan kata-kata nasihat daripadanya. Mahal makanan bukan kiraan, tetapi nilai mahal nasihat itu belum boleh dibayar lagi.

“Anta bab-bab membodek nombor satu,”

Sambil mencubit ayam panggang, kami berbual-bual panjang. Kadang-kadang diselangi nasihat dan teguran. Katanya, belajar jangan jemu-jemu. Saya masih ingat.

“Dah lewat sangat ni, jom balik?”

“Jom kita!”


21 MAC 2009 – 11 MALAM (AHAD).

“Jemputlah masuk, abang Man belum balik rumah lagi. Dalam 10 minit lagi dia sampailah,” saya mempelawa tetamu yang tak disangka-sangka berkunjung malam itu. Sahabat jauh rupanya.

Sementera menunggu, kami berbual panjang. Minum-minum.

“Apa perancangan Cik Man balik Malaysia nanti?” soal seorang sahabat baiknya. Jauh datangnya dari kawasan Irbid ke Mafraq, katanya mahu wida’ dan bersua muka, bimbang kalau-kalau selepas ini tak berkesempatan nak berjumpa.

“Insyaallah, 3 perkara yang ana nak kena buat,” jawabnya. Semua tertanya-tanya.

“Apa tu?”

“Nak cari kerja dan berbakti pada mak ayah dulu,” terangnya ringkas namun amat mendalam dan bermakna. Tinggi cita-cita beliau. Mungkin masa dia telah tiba untuk tabur bakti-bakti yang dia pernah kutip di bumi Jordan dahulu.

“Lagi dua perkara?” soal seorang lagi ingin tahu.

“Hahah...lagi dua tu rahsia,” balasnya pendek sambil mengukir senyum.

“Antum semua ni, duduk di sini jangan lepaskan peluang tuntut ilmu banyak-banyak. Balik Malaysia nanti boleh tolong masyarakat, ingat tu ya,” tambahnya lagi.
Malam itu, kami dapat buah-buah nasihat lagi. Mulutnya tidak lekang dengan nasihat. Jarang kami duduk bersembang dengannya duduk membuang masa. Paling kurang, hujungnya ada nasihat atau teguran. Biarpun nasihat itu sudah biasa didengari, bagi kami itu juga sebagai peringatan, kami selalu lupa.

QUEEN ALIA AIRPORT, SEMALAM...

“Besar sangat beg ni Cik Man, tak lepas nanti masa nak check in ni,” seorang kawan kami menyakat. Kami baru saja tiba di perkarangan lapangan terbang.

“Tak lepas, nta orang la kena bawa balik semua ni, poskan pada ana,” jawabnya berseloroh.

Kami beramai-rami mengiringinya ke pintu masuk. 9 orang semuanya. Bibit kesedihan sudah mulai terasa. Dia saya lihat dari jauh, pudar sahaja wajahnya, gurau tawa pun seakan dipaksa oleh suasana. Saya tahu dia akan tinggalkan kami di sini, mungkin tak akan kembali lagi.

Sepi.

“Fiq, cepatlah! Nak tangkap gambar tak ni?” seorang sahabat melaung, tangannya melambai-lambai memanggil saya.

“ok-ok,”

Pagi itu kurang sedikit cerianya kerana seseorang yang banyak berjasa akan dihantar pulang ke tanah air. Mungkin selepas ini akan bertemu dan mungkin juga sebaliknya. Juah di sudut hati tidak mahu berpisah, namun kami tidak mampu menolak kemungkinan dan takdir. Pertemuan gandingannya adalah perpisahan.

“Doakan ana ya, mohon maaf andai sepanjang pertemuan ada tersalah kata dan lain-lain,” saat ini saya lihat hujung matanya digenangi air. Mengalir di pipinya.

“Teruskan belajar. Doakan juga jika panjang umur kita berjumpa lagi di Malaysia,” suaranya serak-serak menahan sedih. Meninggalkan sahabat, kenangan, dan pengalaman yang belum tahu boleh dicari dan berulang lagi.

“Insyaallah abang Man, doakan kami juga,” balas seorang yang lain. Kami melepas pelukkan, tetapi seolah tidak mahu dilepaskan. Itulah lambaian terakhir kami pagi itu.


HARI INI...

“Rasa ada yang tak kena je hari ini. Cik Man dah tak ada, rasa pula kekurangannya,” sapa seorang sahabat, kami dulu baik dengan Abang Man. Teman satu group bersembang.

Petang itu, bukan seperti hari-hari biasa, kehilang an yang biasakan dikatakan orang akan ada penggantinya mungkin tidak berulang. Orang sepertinya bukan mudah disisip penggantinya, mirip-miripnya pun belum tentu jumpa. Oh ya, mungkin dia tidak merasakan kesedihan kerana dia yang meninggalkan, tetapi kami yang ditinggalkan cukup terasa kehilangan, suatu yang bermakna, yang selalu di sisi, sudah tidak ada. Walaupun sempat bersua dalam jangkanya singkat, namun pertemuan itu terasa seolah semusim panjang telah kami lalui. Kenangan dan pengalaman usah dikata, kerana dia yang banyak menciptakan kenangan sepanjang kami berkenalan. Di sini kami akan terus dengan perjuangan kami, di sana mungkin dia bersama tanggungjawab yang sedia menanti. Cuma harapan kami dia tak akan melupakan kami di sini, untuk hari ini dan selamanya.

1 Response so far.

  1. aku wat kat photobucket.com
    tp kena upload gambar dlm tu dullu baru le wat slideshow...pastu bila ko dh siap slideshow tu, dia akan bg html..