Siang tadi jam 2.00 petang, 7 Mac 2009 selesai sudah himpunan 100 000 orang menuntut agar dasar PPSMI segera dimansuhkan telah berjaya dilaksanakan. Kata Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar bin Chik, perhimpunan ini telah mencapai target seperti yang dirancangkan. Walaupun berlaku beberapa insiden yang kurang menyenangkan seperti serangan bertubi-tubi daripada FRU, namun itu bukanlah penghalang utama kepada mereka yang mencintai bahasa sebagai tunjang bangsa. Pencinta bahasa tidak kisah dengan ugutan dan apa jua serangan fizikal mahupun spiritual dalam memperjuangkan hak dan pendirian bangsa kita melayu. Semua itu tidak langsung mematahkan semangat bahkan menyalakan semarak perjuangan, tidak kira dalam perjuangan apa sekalipun, selagi ianya bertujuan memartabatkan agama Islam.



TABIAT MEROSAKKAN BAHASA SUDAH JADI SEBATI



Saya boleh lagi menerima, jika di dalam penulisan sms, email, (sistem pesanan ringkas) perlu menggunakan kependekkan (short form), akronim dan lain-lain ringkasan bahasa, tetapi tidak dapat menerima dan bertolak ansur jika bahasa itu sengaja dirosak-rosakkan dalam penggunaan seharian atau lain-lain wasilah komunikasi. Jika sekali-sekala tidak menjadi masalah, tetapi segala-galanya mahu dipendekkan, kalau diringkaskan kerana kependekkan tatabahasa yang tepat tidak mengapa juga, tetapi dibuat-buat menjadi kependekkan yang salah struktur tatabahasanya, kemudian digabungkan pula dengan kerojakkan bahasa, sungguh berat masalah ini.


Saya peribadinya merasa sedikit rimas dengan gejala sebegini, bahkan ianya sudah melarat-larat ke peringkat yang serius. Punya jadi punyer/punye, ke jadi ker, khabar jadi kabo/kabor. Ada juga perkataan yang sudah sedia pendek, tetapi dipendekkan lagi, utk jadi ut sahaja. Saya tidak tahu mahu meletakkan dan melabelkan di manakah kategori kependekkan pada perkataan-perkataan tadi. Mahu dilabelkan sebagai ringkasan bukan, bahasa pasar juga bukan, habis yang mana satu kalau bukan perkataan tadi sudah menjadi rojak yang telah di rosakkan? Apa bezanya menulis atau menaip punya yang betul dengan punye/punyer yang salah ini? Letih jari menaip atau sengaja ambil mudah dan sudah selesa dengan tabiat yang salah ini? Bukan sahaja ejaannya tidak tentu hala, bahkan pemilihan perkataannya buruk lagi merugikan.

“Erm...janji mesej sampai, jimat pun jimat,”

Di bahagian mana yang anda nampak jimat? Jika pada perkataan yang asal (betul ejaannya) mengandungi 5 patah huruf namun setelah dirojakkan sudah bertambah menjadi 6 patah huruf, ataupun kekal juga 5 huruf tetapi salah ejaannya. Gejala ini saya perhatikan sudah sekian lama dan menjangkau ke seganap urusan, tidak kira rasmi atau pun tidak, terutamanya pada pengisian di blog-blog. Potensi ada tetapi saya kira ianya satu pembaziran kerana hilang bunga bahasanya. Alangkah baiknya mereka yang mempunyai idea dan kemampuan berdakwah menggunakan bahasa yang indah-indah sebagai penarik. Sayangnya, Mereka ini berilmu dan berkaliber dalam dakwah tapi malangnya kurang pandai berbahasa. Dakwah mereka yang indah sudah dikotori dengan kebobrokkan bahasa yang rosak.


SEBAHAGIAN PERJUANGAN AGAMA?



Saya bukan anti-kerajaan atau pro pada mana-mana pihak, tetapi selagi memperjuangkan sesuatu isu itu dasarnya melirik kepada kebenaran, maka itulah yang menjadi pendirian dan sikap saya ketika ini. Bahasa Melayu yang sudah menjadi bahasa ibunda dan pertuturan kita mahu ditukar ke bahasa lain dalam subjek sains dan matematik? “Mereka” berkobar-kobar untuk mengangkat darjat bahasa Melayu tetapi dalam masa yang sama cuba menjatuhkannya dalam diam-diam. Memusnahkan bahasa ini seolah mahu meranapkan segenap pancaindera bahasa.

Setiap bangsa ada bahasanya tersendiri untuk berkomunikasi, bukan dibuat-buat bahasa itu tetapi berkembang melalui tamadun yang beredar bersama zamannya, bahasa mula tercipta di samping budaya yang menurut bersama memperindahkan kesenian bahasa, seperti kata yang lain pula, dalam keindahan bahasa ada kemolekkan dan kecantikkan budaya serta bangsa. Dengan bahasa itu, sebuah bangsa mampu memahami sesuatu perkara. Dengan bahasa itu juga, segolongan bangsa mampu membina peradaban kerana faham akan sesuatu, dan yang paling tinggi dengan bahasa juga kita berupaya memahami kehendak dan keterangan agama.


Tetapi jika bahasa dalam bangsa itu ditukarkan kepada bahasa perantaraan yang lain, bagaimana? Betapa tingginya pengorbanan bahasa dalam memberi kefahaman perlu kita ketahui nilainya. Kalaulah bahasa yang menjadi orang tengah dan pemudah cara untuk kita memahami agama, mengapa senang-senang sahaja mahu ditukarkan dan dimusanahkan? Kalau di India untuk mereka memahami bahasa arab mereka perlu menggunakan bahasa India. Dan dengan memahami bahasa arab melalui bahasa India, mereka pula belajar tentang agama Islam maka bahasa itu sudah dikira sebagai wasilah penting untuk beragama. Begitu juga jika di China, Sepanyol, Thailand dan Negara-negara lain, kalaulah bahasa ibunda mereka itulah yang menjadi tunjang utama untuk mereka faham akan agama maka merosakkan bahasa, memusnahkan bahasa, menghilangkan kepentingan bahasa, menukarkan bahasa, seolah-olah mereka memusnahkan dan menghilangkan sebahagian daripada agama. Langsungnya kepada sesiapa yang memperjuangkan kepentingan bahasa, mereka adalah selayaknya digelar sebagai pejuang yang memperjuangkan sebahagian daripada agamanya. memetik kata ABDULLAH MUNSYI beliau pernah menegur:




"Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?"



JANGAN BELOT DAN KHIANAT



Sahabat-sahabat kita di Malaysia siang tadi dalam titik peluh sama-sama memperjuangkan bahasa Melayu agar dijagai martabatnya. Sewajarnya kita perlu merasa sedikit bersalah kerana tidak dapat bersama-sama mereka memperjuangkan sebahagian daripada agama, yang juga bahasa kita. Jika mereka di sana berusaha mempertahankan bahasa melayu mengapa pula kita di sini terus menerus menggunakan bahasa yang salah dan rosak, seolahnya kita sedang belot terhadap perjuangan sahabat kita di tanah air. Setiap orang bertanggungjawab akan kecintaan bahasa jika hati mengatakan sayang. Anda boleh berubah, jika anda tahu akan kesenian dan keindahan bahasa kerana bahasa juga ada hak tertentu yang perlu anda jaga kerana amanahnya. Tidak susah bukan? Hanya membawa pengamalan bahasa dalam pertuturan dan penulisan, dua mekanisme sahaja untuk kita berubah. Sayang bahasa, sayang jugalah agama.



Idea oleh:



Mohd Afiq Mohd saleh

Ketua Biro Pembangunan Insan

Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti AL al-Bayt, Jordan (PRISMA)




0 Responses so far.