“Siapa nak dengar abah cerita?”

“Cerita apa malam ni abah?”

“Sang Kancil dengan... dengan.. dengan Buaya!”

“Nakkkkk!” balas kami serentak. Terkesima ketika itu, selalunya jarang abah bercerita tentang binatang kecil itu.

“Mari ikut abah. Bentang tilam, kemudian kita tolong ibu lipat baju dulu, baru abah mulakan cerita. Menarik ni,” abah mula pancing kami. Ketika itu kami berdua baru saja berusia 4 ke 5 tahun. Hingusan lagi rupanya.

“Alaaa, kata nak cerita, tapi kena lipat kain pula,” saya merungut, tak patut. Bila teringat semula kisah melipat kain, saya tersenyum sendiri. Susah benar saya hendak jadi rajin, perlu diumpan baru terasa mahu buat.

“Lipat baju masing-masing je! Yang lebihnya abah dengan ibu yang lipatkan,” abah beri tawaran. Kami gembira. Lagi sedikit baju yang perlu dilipat, lebih cepat kami akan dapat dengar cerita sang kancil.

Abah gembira, umpannya mengena malam itu. Ibu di dapur melirik pandang pada abah, ringan beban ibu malam itu. Kami menjadi mangsa keadaan Abah! Kalau dulu, itu mungkin perkataan yang diluahkan dalam hati, tapi sekarang, bila diimbau kenang semula, tiada lain yang saya dapat ucapkan bahawa ia satu tarbiyyah. Saya sekarang rajin melipat kain! Kalau tidak kerana Sang Kancil, manakan saya tahu teknik melipat kain sehingga sekarang. ‘Tarbiyyah melipat kain’ menjadikan kami adik-beradik seorang yang berdisiplin dalam hidup. Msakan tidaknya, baju yang hendak dibasuhpun kalau ada yang tidak diterbalikkan (dibetulkan muka luar dan dalamnya) akan ditegur, lebih teruk dirotan.

“kancil pun mula mengira bila melalui dia atas kepala sang buaya seekor demi seekor,” abah begitu bersemangat. Kerut mukanya seolah dia yang turut berada dalam cerita sang kancil.

“satu, dua tiga lekuk... jantan betina aku ketuk,”

“Lagi sekali abah. Apa kancil tu cakap?”

Sepi seketika.

“Aduhhh! Busuknya, siapa yang buang angin ni. Abah ada bau,”

“Bukan bampit tau,” saya menafikan.

“Haa, siapa lagi kalau bukan.....”

Kami bergelak panjang malam itu, cerita sang kancil belum sempatpun habis jalan ceritanya, saya dan adik bergurau-senda dengan abah. Bergeletek.

Itu cerita dulu, kisah indah begitu sudah jarang kami buat sekarang, abah tidak bercerita lagi, kami juga tidak ada sebagai pendengar abah yang setia kerana sekarang sudah jauh dari sisi abah dan ibu. Jauh yang memungkin kami sukar untuk bersua, apa lagi mahu berperasaan dan berpaut kasih. Ukhwah kami anak beranak dipautkan dengan cerita sang kancil dan lipat baju.

Tidak sama lagi, kini saya hanya keseorangan bila melihat baju yang betimbun-timbun, mood pun semakin pudar untuk melipat baju. Kerana tiada abah dan ibu di sisi melihat kami.
Sekarang, hanya ibu seorang yang menjadi teman setia melipat baju. Dia yang basuh pakaian dia juga yang melipatnya. Ibu dan Abah, bukan kami tak mahu bantu kalian, tapi kami jauh yang merindu saat itu.

Tarbiyyah kalian kami masih dahagakan.

Bukan kasih sayang lagi, kerana kasihnya sudah cukup bukti kami membesar dengan bahagia.

Pengalaman?

Ya, itu juga bermakna untuk teman-teman rapat kami semasa keberadaan ini dikejauhan mata kalian. Kerana kami membesar dengan pengalaman abah dan ibu.

Ibu memberi susu.

Abah mengutip rezeki.

Kami terhutang budi. Bila mahu dibayar ya? Sampai bila tak akan terjelas hutang budi seperti ini, sehingga kami menjadi ayah dan ibu suatu hari nanti, baru kami faham erti kesusahan. Saya mahu anak saya ditarbiyyah dengan cara abah mentarbiyyah kami. Saya mahu ceritakan pada anak-anak, yang saya dahulunya malas dan nakal. Oleh kerana itu, teman rapat saya ialah buluh rotan. Rotan adalah nilai yang tarbiyyah yang paling efektif untuk saya. Butir-butir tasbih pun saya sudah rasa berbirat di belakang badan. Kerana abah mahukan saya menjadi seorang ‘orang’.

"Janji saya pada ayah dan bonda, saya mahu menjadi orang yang bahagianya boleh dikongsi dengan serumpun kasih mereka. Bila mereka tiada nanti, mereka boleh meminjam bahagia saya di 'alam sana' dan saya juga menumpang baki-baki bahagia mereka, yang mereka tinggalkan di sini"


“Abah nak kenek-kenek udang!” pinya saya.

“ha, mari-mari,”

Masa kecil sudah berlalu dan tak akan pasti dapat diulang cerita dan lagunya. Masa dewasa inilah baru terkenang-kenang, sudah pasti rindu bertaut tanpa sedar. Rindukan abah dan ibu, juga rindukan tarbiyyah yang masih belum sempurna.

Janji saya pada ayah dan bonda, saya mahu menjadi orang yang bahagianya boleh dikongsi dengan kalian. Bila mereka tiada nanti, mereka boleh meminjam bahagia saya di alam sana dan saya juga menumpang baki-baki bahagia mereka, yang mereka tinggalkan di sini.

Bila Saya berdoa, mereka sejuk dan tenteram.

Bila Mereka meninggalkan jasa, saya tenteram berkehidupan dalam kebahagiaan.

Syurga kami adalah redha kalian.

Untuk read more, tulis di sini...

3 Responses so far.

  1. kasih seorang ibu dan ayah tidak mampu dinilai.. bukan semua bisa merasinya dan ada juga yang tidak langsung dapat menikmatinya..

    kenangi mereka selalu dalam doa kita.. Doakan kesejahteraan mereka dinia dan akhirat.

  2. sebenarnya kalau diikutkan,memang kita tak mampu membalas jasa orang tu a kita. sekalipun kita memikirkan bahawa dengan kejayaan kita, kita dapat membahagiakan mereka, sebenarnya itu hanyalah balasan setitis dari kasih sayang yang mereka berikan kepada kita.smg kita semua tidak menjadi anak yang derhaka dan dapat bersama-sama ibu bapa kita di akhirat nanti.

  3. shukran saudari alhanin & Nurul Lailati Mahat atas pandangan membina...