MALAM tadi sukar melepaskan mata untuk dilenakan, kira-kira mahu mengukir sesuatu. Seketika mencari idea kalau datang manfaat yang dapat dijadikan tulisan. Lama saya termenung, terlintas wajah bonda mengajak hati mahu mendedikasikan sebuah hadiah untuknya. Bonda yang juga seorang wanita serikandi buat saya dan 5 lagi adik-adik saya. Sehingga kini baru saya dapat rasakan tunainya penat lelah seorang ibu kepada saya. Ibu seorang wanita, tetapi dia kuat seperti bukan seorang wanita. Saya rasakan dia persis seorang pahlawan.

Jam tangan memulaskan ke angka 1245 malam.


_______________________________________________



SEINGAT saya, kisah ini sudah lama saya lalui, barangkali di bangku sekolah rendah, ketika itu di peringkat darjah satu, guru kelas saya masa itu namanya Cikgu Hasnah Akil. Hingga kini, guru pertama yang menjadikan saya seorang ‘orang’ masih diingati raut dan namanya. Ketika hari pertama saya di kelas:

‘Siapa yang mahu jadi ketua kelas?’

Saya dan juga 4, 5 orang rakan sedarjah yang lain dengan tidak segan silunya mengangkat tangan, kononnya mahu mengoffer diri untuk naik ke kerusi pengetua bagi kelas satu Ali. Di barisan belakang pula, ada juga 2 dan 3 orang yang mengangkat tangan. Apa yang menggelikan hati saya juga terkejut, 2, 3 orang itu adalah budak-budak perempuan. Mereka ada semangat juga, tetapi ketika usia sekecil itu barangkali mereka tidak tahu bahawa jawatan ketua kelas hanya diperuntukkan untuk budak lelaki. Boleh sahaja budak-budak perempuan mahu menjadi ketua kelas, tetapi dengan syarat seluruh ahli-ahlinya di kalangan perempuan sahaja.

‘Cikgu, orang perempuan boleh jadi ketua kelas ke cikgu?’

Cikgu Hasnah yang saya amat sayangi itu lantas ketawa kecil, tetapi masa itu saya masih belum mengerti tentang erti senyum sinisnya itu.

‘Fatimah, Nurul dan Siti. Turun tangan dulu ya. Ketua ni hanya untuk orang laki-laki saja. Kamu bertiga nanti cikgu akan lantik sebagai calon penolong kelas’

Cikgu Hasnah pandai memujuk. Dan ketika itu Fatimah, Nurul juga Siti lekas-lekas merebahkan tangan mereka walaupun terpaksa bermasam muka lagi mencuka. Bukan malu, tetapi kecewa tidak dipilih sebagai calon ketua kelas.

Akhir ‘pilihanraya’ saya dinaikkan ke jawatan itu, rasminya sebagai Ketua Kelas Satu Ali. Pulang ke rumah terus dikhabarkan berita itu kepada Abah dan Bonda. Apa lagi, pujian menggununglah yang saya perolehi malam itu, senyum sampai ke telinga dibuatnya.

Saya pula sempat bekerja dalam masa yang singkat sahaja, sebelum dibuang daripada jawatan ‘veto’ tersebut. Oleh kerana kenakalan saya dan rakan-rakan, saya dipecat!! Cikgu yang melucutkan jawatan itu bukanlah Cikgu Hasnah tetapi guru lain yang mengajar saya subjek bahasa melayu, namanya Cikgu Noraini Bahauddin. Kesnya hanya kerana saya keluar daripada kelas tanpa izin ketika ketiadaannya. Namun saya akui memang saya sendiri yang teramat nakal. Ketua kelas tidak mensyaratkan saya untuk berperangai dan berfeel baik. Saya dan rakan-rakan adalah hero menyakat budak perempuan di sekolah tersebut. Dunia sekolah rendah adalah dunia yang paling nakal dalam episod hidup saya - Saya mula menjadi manusia setelah berbelas tahun saya mengenali kenakalan.

Cukuplah.

Itu semua kisah 16 tahun yang lalu. Saya hanya boleh menyimpan ikhtibar daripada lipatan kisah itu. Yang mahu saya kisahkan adalah isu lain, tetapi coretan kenangan tadi ada kaitnya jika anda pandai dan bijak menghubungkan pointnya.


WANITA; Kedudukkannya di Tempat Kedua, Namun Peranannya Tetap di Hadapan

Mari bayangkan seketika, apa yang akan terjadi bila seekor burung telah hilang sebelah sayapnya? Atau sebuah kereta yang tiada dipasangkan enjinnya, atau kapal terbang yang cuma ada sebaeah sahaja daripada sayapnya? Jangankan mahu terbang tinggi atau bergerak laju, jalannya juga pasti akan tergelong-gelong kerana tiada keseimbangan, tiada kestabilan ataupun tiada pelengkap yang sepatutnya saling melengkapi.

Saya tidak mahu mengibaratkan mereka yakni wanita, perempuan, muslimah persis sayap kapal terbang atau kepak bagi seekor burung, bahkan lebih daripada ibarat itu wanita adalah nyawa yang berdenyut lalu mengalirkan sumber hidup. Bukan juga sebagai nyawa sahaja tetapi seumpama pelengkap kepada kelompangan sesuatu.

Sayap adalah harta segalanya untuk seekor burung, dengan kuasa yang membolehkan ia terbang, ia mencari rezeki dan menyara hidup, lalu sayap itulah sumber nyawanya.

Wanita pula adalah segala nyawa buat pasangannya (lelaki), dengan kelembutan dan kecekalannya, kami yang laki-laki inilah mengambil dan mengutip kelebihan itu untuk menyempurnakan hidup.

Begitulah namanya wanita, peranannya tetap diletakkan dihadapan, kepentingannya jua tetap berada dalam keutamaan, cuma yang dikurangkan sedikit hanyalah kedudukannya sahaja. Kedudukan itu bukanlah dibezakan kerana wanita itu ilmunya sedikit, bukan juga kerana fizikalnya yang lemah tetapi diletakkan dalam situasi itu hanya untuk menunjukkan bahawa wanita itu perlu berada dalam suasana yang harus dibimbing, perlu dijagai rapi, perlu disayangi dan dibelai, dan yang paling penting mereka perlu dipelihara maruahnya. Kedudukan mereka di tempat kedua ini tidak langsung mencacatkan mana-mana fizikalnya atau mengurangkan hak-hak mereka bahkan diberikan sebanyak-banyaknya kelebihan yang mahal.

Kedudukannya yang berada di belakang lelaki tidak langsung menjejaskan apa-apa yang ada pada diri wanita bahkan mereka itu lebih selamat juga terpelihara. Justeru itu, dalam agama Islam lebih-lebih lagi tidak pernah mengabaikan kedudukkan insan ini tetapi tinggi dari itu menyanjung martabat manusia bernama wanita. ALLAH amat sayang pada wanita lalu DIA meletakkan wanita itu sebagai insan yang dijagai dengan rapi. Cantik sungguh cara ALLAH menyayangi wanita.

Anda wahai wanita boleh keluar berjihad untuk bakti anda kepada agama jika tidak berlaku fitnah tetapi anda juga akan memperolehi pahala seumpama keluar berjihad dengan cuma melahirkan taat setia kepada seorang suami. Pahala sebesar dan seagung itu anda perolehinya tanpa perlu mengangkat pedang atau mengorbankan darah dan nyawa.

Alangkah banyaknya jalan dan lorong mudah yang dihamparkan untuk wanita semata-mata membolehkan insan bernama wanita ini senang untuk ke syurga. Hanya mengeluarkan sedikit titik peluh untuk berpahala berbanding lelaki yang lebih rumit jalannya.

Seorang sahabat bertanya kepada Nabi saw, kepada siapakah dia harus hormati selepas ALLAH dan RASULNYA? Lalu 3 kali Nabi menyebut agar ibu perlu dahulu dihormati, kemuadiannya barulah si ayah.

Ibu, ibu dan ibu…


Kudrat Anda Adalah yang Terhebat!!

Saya mahu mencabar kita-kita yang lelaki ini supaya merasakan apa yang telah dirasai oleh wanita-wanita yang sedang mengandung atau ibu-ibu kita yang pernah mengendong kita semasa di alam ‘perut’. Letak sahaja beberapa buah buku di dalam sebuah beg jinjit, lalu bawalah ia ke mana-mana saja destinasi yang anda bergerak, waimmah ketika tidur sekalipun jangan ditanggalkan beg tersebut. Paling kurang 3 kilogram pun sudah cukup, agak-agak apa yang kamu rasakan?

Sudah pasti pertamanya rimas, terpaksa memegang beg sentiasa dan setiap masa.

Laginya, berat.

Lenguh sendi dan bahu.

Letih dan sebagainya penat yang akan terasa.

Sudah pasti mulut sentiasa merungut-rungut.

Tetapi seorang yang bernama ibu ini yang juga jantinanya seorang perempuan boleh melalui semua kerenah itu tanpa sebarang gundah atau sesal. Bukan sehari dua tetapi 270 hari bersamaan dengan 9 bulan tanpa rasa jemu, boring, tension dan sebagainya. Tidak pula ibu ini merungut-rungut kepada anak yang dikandung bahkan dibelai dengan kasih sayang walaupun yang hanya dia perolehi adalah sakit yang sentiasa menemaninya dan berhadapan dengan maut ketika kita mahu dinyawakan ke dunia.

Hebat bukan? Adakah kita laki-laki ini masih tidak mahu menganggap insan ini sebagai nyawa atau heroin kita?

_____________________________________________


Saya bukan seorang ayah, apalagi layak digelar serikandi bernama ibu, saya juga selamanya tidak akan boleh menjadi seorang ibu yang mampu merasai perit derita seorang yang bernama ibu, bonda, emak, mama, atau ummi, jauh sekali dapat melahirkan zuriat kerana saya bukanlah insan mulia yang dilahirkan sebagai wanita yang agung ini.

Tetapi saya mahu menghargai mereka ini dengan saya memahami jiwa juga perasaan mereka. Saya tidak ada jiwa seorang wanita, namun saya akan hidup dengan mereka juga suatu hari nanti, lalu saya dahulunya perlu menerokai insan-insan ini. Bermula dari ibu saya cuba memahaminya.

Malam tadi saya dapat melelapkan mata dengan lena walaupun seketika sahaja, kerana dedikasi sudah saya coretkan. Bukan untuk bonda saya seorang tetapi untuk semua wanita yang menggalas tugas seorang ibu.

Saya mungkin akan faham tentang mereka setelah saya dikurniakan seorang isteri dan cahaya mata nanti.

0149 am – seusainya, saya mahu berdoa untuk ibu pula.

Untuk read more, tulis di sini...

0 Responses so far.