Ketika minum-minum malam dua hari yang lalu, kami duduk berbual-bual sambil menghilangkan letih seharian bekerja. Maklumlah, malam minggu semua ketensionan mesti dibuang jauh-jauh, pelajaran dilupai seketika, yang ada hanyalah suka ria. Biasalah, lepak orang bujang-bujang, kalau tidak tajuk kahwin yang menjadi bualan, tidak sah!!

Kahwin, Nikah, Calon. Itu saja topiknya, pusing-pusing ikut jauh sikit, tajuk ini juga yang asyik diagendakan dalam minum-minum kami. Bukan malam itu saja, bahkan sudah selalu. Alahai, memang dasar bujang trang tang-tanglah semuanya.

Saya bertanya pada kawan saya yang seorang, dia belum ada calon lagi ketika ini: ‘Kalau kau diberi pilihan, nak cari calon yang Hafizah juga atau yang biasa-biasa?’

Lama dia berfikir, baru menjawab: ‘Yang biasa je. Yang penting ada agama’

Saya berseloroh pula, sekadar menduga: ‘Hai, takkan yang biasa je. Tak sekufulah, nanti macam mana nak mengulang Quran, zaujah tak menghafal quran?’

‘Alah, itu semua atas diri sendiri. Kalau dah malas nak mengulang, dapat zaujah yang masyi* pun kita tak mengulang. Tak begitu?’

‘Kau cakap je orang fiq. Kau pun sama’

Berderai gelak tawa kami berempat malam itu. Sambil-sambil mengunyah ayam goreng, sembang dan tawa tak lepas daripada mulut kami. Lepas seorang, seorang lagi yang membuka cerita. Tepat jam 12 malam baru kami mula melangkah pulang ke rumah.

___________________________________________



Ramai Yang Ingin SEKUFU, Tapi Tersalah Anggap

Asal mahu memilih pasangan mesti diletakkan syarat supaya pasangan mestilah sama padan atau sama …………... Kalau doktor mesti mahu dengan doktor, yang ustaz pula harus berkahwin dengan ustazah, Syed juga perlu dipadankan dengan Syarifah atas tujuan menjaga nasab yang dikatakan bersambung dengan Nabi, lalu janda jugalah yang menjadi mangsa keadaan, nak mencari duda sebagai pasangan hidup baru mereka, kan ke susah begini?

Habis tu, macam mana pula Datuk K yang berstatus duda boleh berkahwin dengan Datin S yang masih dara? Jadi, tidak sekufulah mereka?

Musykil alam.

Betulkah sekufu itu maksudnya mestilah ‘sama’? atau ertinya sama padan dan taraf? Kalaulah begitu maksudnya, maka ramailah yang sudah tersalah pilih pasangan, ustaz sudah ada yang berkahwin dengan doktor, bahkan ada ustaz yang telah berkahwin dengan artis, kan dasyat sekufunya tu?

Beginilah, saya tidaklah mempunyai pengalaman untuk mempasang-pasangkan orang, jauh sekali mempunyai pengalaman berkahwin, sudah tentu tidak layak saya memperkatakan tentang isu sekufu ini, namun saya cuma membuka ruang buat semua untuk sama-sama berfikir seketika sahaja. Sekadar mahu merungkai istilah yang disalah anggap oleh sesetengah pihak.

Mudah sahaja, jika ada yang beranggapan sekufu itu sama padan betullah maksudnya, jika ada yang beranggapan selain daripada itupun tepat juga maksudnya. Yang penting ertinya tidak lari daripada istilah asal iaitu ‘mahu mencari titik persamaan’ dalam asas pembinaan rumah tangga. Kalau masa depan anda dijamin bahagia dan mampu hidup dengan pasangan anda yang sama bidang serta tarafnya, itu juga sudah disebut sebagai sekufu.

Tetapi ada pula yang berkahwin berlainan bidang, bahkan tidak sama padan langsung. Adakah mereka ini boleh terus dilabelkan sebagai pasangan yang tidak pandai mencari yang sekufu? Bukan begitu, mereka ini pun sekufu juga, cuma cara sekufu mereka ini lain sahaja. Tamsilannya begini, dua orang yang mahu ke destinasi tertentu, masing-masing menggunakan kenderaan yang berlainan, seorang menaiki bas ekspres manakala seorang lagi menonggang motor. Sampainya tetap sama cuma berlainan masa, mungkin disebabkan berlainan kenderaan. Pokoknya mahu sampai dengan selamat ke destinasi.

Perkahwinan pun begitu, selagi tujuannya satu iaitu mencipta kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga terjaga, maka itu juga membawa maksud sekufu. Akhirnya maksud sekufu yang saya ingin kongsikan itu adalah ‘perkahwinan yang saling melengkapi antara satu sama lain’. Suami yang ada kekurangan tetapi ditampung oleh isteri, isteri pula banyak kelemahan lalu dibantu pula oleh si suami. Kan bahagia? Tidak kiralah suami itu seorang anggota polis sekalipun, jika isteri yang juga seorang ustazah itu mampu membawa suami ke arah kebahagiaan akhirat, itu lebih baik daripada pasangan ustaz dan ustazah yang sering sahaja bergaduh dan bermasam muka kerana mahu menegakkan ilmu atau ego masing-masing.

Saya tidak larang jika rakan-rakan saya ada yang mahu berkahwin dengan minah-minah rempit di luar sana, jika tujuan mereka untuk memperbaiki. Kerana minah-minah ini juga mulia dan ada hak untuk menjadi seorang Muslimah yang baik-baik seperti sekalian ustazah.

Sekufu itu, saling melengkapi, sekufu itu bantu-membantu, sekufu itu walaupun lain keinginan tetapi sama tujuan. Sekufu itu, walaupun lain tarafnya tetapi mahu mencari titik persamaan. Sekufu itu, Tampung kelemahan dan terima kekurangan, saling bermaafan.


Janganlah Memilih Sangat!

Bila saya bertanya pada rakan-rakan, kalau mahu mencari isteri apa syarat yang mahu diletakkan? Ramai yang menjawab: ‘Tak cantik sangat pun tak mengapa, yang penting tahu tentang agama. Pandai jaga hati suami’

Ada juga yang berkata, jawapan yang nakal-nakal: ‘Cantik pun penting, nanti tak adalah nak cari yang lain. Nabi pun suruh cari yang cantik-cantik’

‘Yang pandai memasak dan mengemas’

‘Yang rajin dan Romantik’

‘Pandai memujuk kalau merajuk’

Macam-macam lagi jawapan yang kalau ditanya maka akan bersusunlah syarat-syarat yang menjadikan ramai anak-anak dara menjadi andartu, dan si teruna terus dengan sikap memilihnya. Ada juga yang memberi jawapan sekadar mencari yang baik-baik, rupa tidak jadi masalah. Tetapi bila di offer, banyak pula songehnya: ini tidak lawa sebab tak pakai kaca mata, ini kurus sangatlah, dia tu garanglah, itu tidak kena dan ini pula tidak kena, sedangkan yang di offer tadi semuanya ada rupa dan baik-baik belaka.

Ah, pendek kata, lelaki ini kebanyakkan memilih dan banyak songeh. Macamlah selepas berkahwin nanti diorang yang mengandung dan bersalin atau menyusukan anak-anak.

Nasihat saya pada semua kaum Adam, janganlah memilih sangat nanti melepas baru tahu.

Saya petikkan sedikit pendapat buat tatapan semua, bagi saya betul juga Pak Cahyadi Takariawan berbicara dengan pendapatnya tentang isu jangan memilih ini, lalu saya juga mahu menyoal anda semua, dengan kadar apakah anda menilai untuk memilih pasangan anda, adakah mendahulukan kecantikkan atau agamanya? Sebelum menjawabnya, dengarkan ini:

‘Anda laki-laki Muslim yang berniat melaksanakan pernikahan. Usia anda pula sudah 25 tahun. Anda dihadapkan pada realitas bahwa wanita Muslimah yang sesuai kretiria Fikih Islam untuk anda nikahi ada sekian banyak jumlahnya. Maka siapakah yang lebih anda pilih, dan dengan pertimbangan apa anda memilih dia sebagai calon isteri anda?

Nah, apabila semua laki-laki Muslim berpikiran dan menentukan calon isterinya harus memiliki kecantikkan ideal, berkulit putih, usia 5 tahun lebih muda dari dirinya, maka siapakah yang akan datang melamar para wanita Muslimah yang usia di atas 30 tahun , atau di atas 35 tahun, atau bahkan di atas 40 tahun, (atau yang kurang rupanya tetapi cukup dipenuhi dengan ciri-ciri keagamaannya)?


Ini hanya satu contoh saja, bahwa dalam konteks pernikahan, hendaklahnya dikaitkan dengan proyk besar dakwah Islam (ciri-ciri keagamaan). Jika kecantikkan harapan anda bernilai 100 point, tidakkah anda bersedia menurunkan kadar 20 atau 30 point untuk bisa mendapatkan kebaikkan dari segi yang lain? Ketika pilihan itu membawa maslahat bagi dakwah, mengapa tidak begitu?’


(Pak Cahyadi Takariyawan - dipetik daripada Buku Dijalan Dakwah Aku Menikah)

Ini soalan saya seterusnya:

Jika gadis harapan anda adalah berusia 20-an dan anda menginginkan yang cantik molek sebagai syaratnya, tidakkah anda bersedia untuk memberikan sedikit toleransi dengan melihat kepada gadis yang kurang sedikit cantiknya tetapi mempunyai ciri agama yang lengkap dan sempurna?


Redha Ibu Bapa didahulukan

Mungkin ada suatu lagi ciri-ciri kesekufuan yang kita tidak perasan dan sedari. Ia adalah redha ibu dan bapa. Kalau anda sekufu macam mana sekalipun, itu sudah lengkap, ini pun sudah sempurna, agamanya cukup, ilmunya cukup tetapi berkahwin tanpa izin ibu bapa atau berkahwin lari tanpa pengetahuan ibu bapa, yang mereka itu suatu ketika dahulu melahirkan kita, menyuapkan nasi kepada kita semasa kita kecil, yang mendodoikan kita apabila terjaga di malam hari. Maka itu sudah jauh daripada landasan sekufu yang pertama sekali perlu dicari.

Lalu, apakah yang ada pada sebuah sekufu jika redha yang mengandungi asbab (punca) sekufu itu telah diabaikan ?

Jangan main-main dengan kuasa atau power sebuah redha ibu dan bapa. Sekali penangannya selamanya pasti akan menyesal dan terasa. Jika di dunia tidak tahu, di akhirat pasti tahu. Betullah kita yang akan hidup dengan pasangan kita, tetapi siapakah yang ‘menjadikan’ anda dewasa sehingga anda mampu berkahwin dan menipu mereka?

Fikir-fikirlah.

Semoga perkahwinan ini menjanjikan kebaikkan sahaja untuk semua mempelai yang bakal menciptakan gerbang perkahwinan nanti.


p/s: Oh, kawanku kahwin lagi… Selamat pengantin baru buat Ustaz Zaidi ‘Tok Woli’ yang berkahwin ‘senyap-senyap’ tapi terkantoi dengan saya, hehehe. Agar kalian berdua dapat mengisi ruang kebahagiaan dengan ketenangan hakiki.

Juga buat Abang Azharku ex-DQ yang sepatutnya terus kekal dengan gelaran ‘Hang kebal’ tetapi sudah ‘kebas’ ops! Sorry. Buat pasangannya juga Kak Athirah Ajos. Jaga Abang Azhar elok-elok ya! Moga kalian terus thabat dalam perjalanan membina Islam di Tanah Air kita.

Takbir!!


Untuk read more, tulis di sini...

5 Responses so far.

  1. Panjang lebar cerita pasal kawin..hehehe.. Kak Tirana dah lama kawin, dah lalui macam-macam pahit dan manis cuma satu saja kak tirana nak pesan - belajar jadi sabar kerana dalam alam perkahwinan, tahap kesabaran yang tinggi amat diperlukan.

  2. thanks kak..

    semoga akak dan suami serta anak-anak berbahagia selalu

    dikurniai sakinah sepanjang mengatur keluarga

    diberikan maghfirah sepanjang melalui mehnah hidup

    amin.

  3. Salam.
    hehe..ini tulisan orang yang dah tak sabar nak kawin. Tapi macm org dah ada pengalaman kahwin.
    Hm..musykil2.

    Bampit, bila2 free, YM kejap, ada benda penting nak bincang.. Soal 'kehidupan' =)

  4. Salam..
    Perkahwinan adalah fitrah semulajadi dari Tuhan selain merupakan satu ibadah.
    Alangkah baiknya kalau dpt berkahwin dgn org yg kita sayang, dpt berkongsi duka dan duka selain menghormati antara satu sama yg lain.
    tapi ..sedihnya kalau tak dpt hidup dgn org yang kita inginkan selama ini...
    Bagaimanapun redha dgn siapa jodoh kita kerana ia telah ditentukan oleh Allah s.w.t.

  5. salam ustaz
    sy ni konon la dok berkawan ngn sorg lelaki ini..tp dia muda 4 tahun..dan mak sy xbg kawan..
    tmbh kakak sy plak,plih yg bleh didik kita,bukan kita didik dia..tak sekufu ke ustaz?