Kata ALLAH taala, apabila ada Mawaddah dan Rahmah dalam sebuah keluarga itu, ia bakal mengundang bahagia datang. Mawaddah terbina daripada cinta dan kasih sayang ahlinya, Rahmah pula disemai melalui kekuatan tarbiyyah (sistem pendidikan) yang berpanjangan.

Di awal perkahwinan, CINTA tidak perlu diperkasa, ia akan sentiasa wujud dan berpanjangan, mungkin kerana ketika itu ia masih mekar dan tumbuh. Penjaganya setiap hari ‘menyiramnya’ tanpa perlu disuruh. Maklumlah, dunia CINTA yang baru hendak diterokai oleh pasangan, semuanya dilihat cantik. Si dia memberi cinta, si dia pula segera membalas CINTA, lalu tiada hati yang terabai dan terguris.

Yang menjadi kerisauan dan kebimbangan ialah, apa yang akan terjadi apabila usia perkahwinan telah melangkau pada tahun yang ke sepuluh? Masih suburkah CINTA seperti di masa mula-mula dahulu berkahwin? Mampukah pasangan mengulangi semula keintiman semasa berbulan madu?

Sedikit sahaja yang berkata ‘YA’ selebihnya, cuma mengangkat bahu dan berkata: ‘Entahlah, kami tak romantik seperti dahulu. Isteri lebih suka bersama anak-anak’. Situasi begini pasti berlaku kerana pasangan bukanlah mesin yang tiada perasaan jemu atau bosan. Tetapi ia boleh digarap dan di up-grade kan semula, bahkan ia juga boleh menjadi lebih hebat daripada CINTA biasa.

Umpamanya beginilah, kereta yang sudah lama tidak diguna-pakai, paling kurangpun ia dapat dikenal pasti apabila dilihat ianya semakin penuh dengan habuk, tayarnya pula kusam. Belum lagi dicek pada enjinnya, silap hari bulan kereta tersebut perlu dihantar ke bengkel untuk baik-pulih. Kereta yang lama sudah tidak digerakkan akan menerima sakit, walaupun suatu ketika dahulu dialah raja di jalanan. Begitu jualah pada CINTA.

Pepatah arab pernah menyebut, ‘setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah (apa yang tidak tahu) itu ubatnya dengan bertanya. Melainkan mati yang tiada ubatnya’

Jika semua penyakit itu mempunyai ubat, masakan CINTA yang sudah sedia ada tidak boleh diubati? Ia cuma perlukan usaha yang sedikit sahaja untuk dihangatkan. Jika mahukan bahagia dan keintiman seperti ‘dahulu’, panaskan ia kembali. Bukan untuk siapa pun, anda yang berusaha, anda juga yang akan merasakan kehangatannya.

Ayuh!


Terimalah Dia Seadanya Tanpa Syarat

Imbaulah semula ketika pertama kali anda menatapnya di malam pertama. Dengan kasih sayang dan CINTA kerana ALLAH, anda mengungkapkan kata-kata ikhlas kepada-nya, anda menerima dia seadanya. Segala kekurangannya adalah juga kekurangan yang anda punyai. Lalu anda membisikkan juga, anda mencintainya bukanlah kerana kelebihan atau kekurangannya, tetapi hanya mahu membina mahligai yang redhai ALLAH taala.

Sebagaimana mana anda menerima si dia semasa di awal perkahwinan, ia tidak akan berubah jika di hati masih lagi kuat mengatakan ‘aku menerima tanpa apa-apa syarat, dia adalah temanku dunia dan akhirat’. Penerimaan dia tanpa syarat menunjukkan anda telah menghargai pasangan anda.

Usah dibandingkan kekurangan dia dengan pasangan yang lain, kerana itu akan merencatkan hubungan percintaan. Seeloknya menerima kekurangan itu dengan hati yang terbuka dan berazam untuk cuba memperbaikinya. Suami juga tidak boleh hanya mengiyakan sahaja perbuatan isteri kerana terlalu sayang, sebaliknya berani menegur jika bersalah.

Petuanya begini: jika isteri memasak tidak sedap tegurlah dengan berhikmah dan ikhlas, kalau yang tidak sedap pun dikatakan sedap, sampai bila-bila pun isteri akan masak tidak sedap.

Cubalah!


Berikanlah Perhatian Yang Penuh Terhadap-nya

Seekor kucing yang dibela oleh tuannya sesekali akan datang menggeselkan badannya kepada tuannya. Itu menunjukkan kucing tadi merasa selesa, seolah tuannya cukup mengambil berat terhadapnya. kadang-kadang apabila tuannya menghayunkan kaki sehingga tercampak kucing itu ke dinding ia akan kembali semula. Itu hanya seekor kucing, manusia mungkin tidak begitu.

Manusia terlalu mendambakan kasih sayang terutama sekali apabila ia sudah diikat dengan sebuah janji. Manusia akan mudah tersinggug apabila perasaan dan perhatian yang diberi tidak diendahkan, apatah lagi ia terjadi dalam situasi rumah tangga. Pastinya si isteri mahukan belaian yang lebih daripada seorang suami kerana suamilah satu-satunya tempat pergantungan.

Ingatlah, jika anda seorang suami yang bijak, anda pasti dapat menyedari perubahan pada si isteri, murung dan sedih. Hati wanita amat mudah tersentuh apabila pemberiannya tidak dihiraukan. Bukan isteri mahu diminta dibalasi segala jasa-jasa, tetapi hati kecil mereka cuma mahu dihargai sebagai seorang isteri.

Justeru, jika pasangan mahukan kehangatan ini terus dirasai, suami harus dahulu memulakan langkah memberikan sepenuh perhatian kepada isteri. Penuhi permintaan dan hasrat hati mereka dengan adil. Percayalah, perempuan tidak pernah lupa akan sebuah tanggungjawab, tetapi lelaki mudah lupa akan budi.

Jadi, kepada sekalian suami, berubahlah mulai sekarang. Nyatakan CINTA anda dengan meletakkan perhatian dan kasih sayang yang paling dahulu hanya untuk si dia.

Anda boleh!


Ucapkan Kata Cinta Pada-nya

Tidak salah jika sesekali mengungkapkan kata-kata yang membuktikan CINTA kepada pasangan (suami isteri). Ia adalah motivasi dan penguat semangat percintaan walaupun ia hanya sebuah kata-kata. Anda hanya perlu mencari masa-masa yang damai dan hening untuk mengucapkannya samada kepada isteri atau suami. Jika isteri malu mendahulu, apa salahnya si suami yang menjadi pemula. sesekali ucapkanlah begini kepada pasangan:

‘Abang, saya sayangkan abang sepenuh hati selepas ALLAH dan Rasul-NYA. Tiada orang lain kecuali abang seorang’

Atau,

‘Dalam hati ini cuma ada Siti seorang sahaja. Percayalah, cinta abang tak pernah luntur sejak dahulu’

Ia nampaknya seperti dalam tayangan cerekarama, tetapi kalau berani dipraktikkan, semangat cinta yang bakal bersemi dan wujud seperti di syurga. Jika dia menjadi bidadari, kenapa tidak anda menjadi bidadaranya? Tetapi nasihat saya, jangan setiap hari mahu ‘bersayang-sayang’, nanti sayang itu hilang ummphh!! nya.


Saling Memotivasi dan Dimotivasi

Orang bertanya, bagaimana mahu mewujudkan suasana motivasi dalam keluarga? Mudah sahaja, ia boleh wujud dengan cara sentiasa memberikan dorongan semangat kepada pasangan. Apabila salah seorang merasa lemah, salah seorang lagi mestilah membantu dan memberi kata-kata peransang. Begitu juga apabila melakukan kesilapan, tegur-menegur adalah perlu, ia mesti dijadikan budaya dalam keluarga tidak kira kepada isteri, suami dan anak-anak.

suami isteri mesti sedia menegur dan ditegur.

Seorang suami yang bukan sahaja sebagai ketua keluarga harus peka terhadap situasi rumah tangga. Sekiranya mendapati ahli di dalamnya telah hilang semangat dan kasih sayang, suami harus dahulu bertanggungjawab memberikan motivasi agar ia tidak terus melarat.


Mengapa Mengambil Dia Untuk Dibuang?

Kita terlalu takut untuk membicarakan soal perpisahan, tetapi itulah yang seringkali berlaku. Mahligai yang telah berpuluh tahun dibina akhirnya musnah dan hilang sekelip mata hanya dengan ungkapan cerai. Tidakkah anda terfikir usaha gigih yang pernah dilakukan itu seolah telah dibazirkan hanya disebabkan dengan sedikit emosi?

Tidak dinafikan, pertelingkahan atau pergaduhan pasti akan berlaku di dalam rumah tangga. Namun, jalannya bukanlah dengan perpisahan. Renungkanlah kembali, sewaktu mula berpandangan dan mengenali hati budi, hati hanya berfikir untuk sehidup dan semati. Tiada langsung terdetik untuk berpisah.

Jika suatu ketika dahulu memilihnya sebagai suri, lalu hari ini berhasrat untuk berpisah. Mengapa tidak dari dahulu menyatakan begitu? Perpisahan bukan sahaja meruntuhkan rumah tangga yang dibina, bahkan ada sebuah nilai yang telah dikorbankan iaitu CINTA.


Penutup:

Kembalikan saat-saat manis percintaan seuapaya mungkin, agar rasa itu dapat membahagiakan anda di sepanjang melalui perjalanan mahligai ini. jika bahagia yang diimpikan mengapa tidak diri berani berusaha untuk mengekalkannya. Suami isteri bertanggungjawab untuk membina sebuah kebahagiaan. Bukankah ini realiti dan makna KEHIDUPAN?


_________________________________________


Dapatkan wallpaper & Poster Motivasi KEHIDUPAN daripada saya di sini: afiqsaa'flickr
Sembang-sembang Motivasi bersama saya di sini (Yahoo Mesengger): afiqsaa@yahoo.com
Perkongsian Idea, Pendapat dan Masalah dengan saya di sini: (Email): afiqsa@yahoo.com
Laman Sosial bersama saya di Facebook: type 'my afiq'

[Usah Jemu Memberi]

Untuk read more, tulis di sini...

5 Responses so far.

  1. salam fiq..

    aduhh, bab2 mcm nie lah yg di tunggu2..
    seronoklah bca bab2 keluarga nie

    all da best!

  2. Assalamualikum Ustaz,

    Terlebih dahulu saya nk ucap terima di atas artikel yg penuh dgn manfaat, saya ada beberapa perkara nk di kongsi dan minta di beri sedikit nasihat dan pandangan berkaitan masalah yg di hadapi..

    saya Insyallah akn mendirikan rumah tangga seandainya ada jodoh tidak lama lg, tetap sekarang saya menghadapi masaalah keewangan,

    bukan sahaja masaalah tidak mencukupi dari sudut kewangan, malahan saya menangung bebanan hutang,

    jadi apa yg harus saya lakukan dlm menyelesaikan kekusutan yg berlaku?

    terima kasih, Wasalam

  3. salam..
    waduh afiq..kamu bicara seolah-olah udah puluhan tahun berumah tangga..huhu
    tahniah..!! (^_~)

  4. salam ustaz cinta afiq...sungguh2 tidak percaya..menulis spt sudah b'pengalaman berumah tangga..sy yakin n percaya penulisan ini t'hasil melalui p'bacaan..bila lg ustaz cinta nk berumah tngga..nun jauh d sabah

  5. salam wbth semua pembaca, moga berada dalam kebahagiaan CINTA-Nya selalu:

    izinkan saya menyatakan maaf kerana kelewatan membalas komen-komen ini. terlalu lama rupanya saya tidak ke blog saya.

    to anonymous (1): terima kasih banyak-banyak, saya akan cuba memperbanyakkan lagi artikel berbentuk kekeluargaan, insya'Allah.

    to Tanah Hijjaz: sama-sama juga saya ucapkan pada saudara.

    HUTANG- ia ibarat suatu yang 'ditagih' selagimana ia tidak ditunaikan, selama itulah ia akan mengejar. nabi saw tidak menggalakkan umatnya berhutang walaupun dalam jumlah yg sedikit.

    adalah sebaik-baiknya saudara melangsaikan beban hutang sebelum melangkah kepada 'tanggungjawab' yg lebih besar. perkahwinan akan menagih kesanggupan yg lebih mencabar. jika hutang yg sedia ada tidak dilunaskan, ia bakal bertambah selepas berkahwin nanti.

    umpamanya seperti ini, apabila kita meninggalkan puasa wajib, kita tidak digalakkan untuk berpuasa sunat sehinggalah yg wajib itu (hutang) itu dilangsaikan terlebih dahulu. bukan kita dihalang untuk mengerjakan yg sunat, tetapi ia soal KEUTAMAAN yang mesti dikedepankan.

    jika tidak mampu membayar semua, paling kurang anda mesti membayar separuh daripadanya. tetapi, untuk kebahagiaan gerbang perkahwinan anda, saya berpesan ia lebih elok dilangsaikan sepenuhnya. moga-moga tiada yg 'mengekori'..

    nabi saw ada mengajar doa agar dipermudahkan jalan untuk membayar hutang. ianya terdapat dalam doa-doa ma'thur yang kita bacai setiap hari. amalkan ia, insyaAllah akan membuka laluan mudah untuk anda.

    semoga saudara Tanah Hijjaz berpuas hati dengan jawapan ini.

    to Sofila: rasa segan apabila menulis perihal orang berkahwin sedangkan diri masih belum ke arah itu. ibarat menulis tentang bulan, tapi belum pernah ke sana...

    to anonymous (2): terima kasih..terima kasih, moga ia menjadikan panduan untuk saya juga suatu hari nanti. selain pengalaman membaca ada lagi yang saya akan ceritakan, bagaimana saya mendapat ilham menulis seperti ini.

    bila ada rezeki, insyaAllah saya akan ke arah 'itu'. saudara seperti mengenali saya, siapa ya gerangannya ini?

    terima kasih semua. s

    p/s: saya dalam tempoh peperiksaan, doakan saya dipermudahkannya. doa anda sangat penting untuk saya!