Bahagian Yang Datang Sendiri

Jika boleh direnung dan diimbas-imbas kembali, cerita bahagia ini pasti tidak akan cukup dengan satu kisah, kerana ia terlalu luas persepsinya dan lebar jalur layarnya. Bahagia ada pelbagai pentafsiran yang tersendiri. Ada yang berkata, ‘ketenangan hati adalah kebahagiaan diri’ lagi ‘kegembiraan cukup untuk melambangkan kebahagiaan’ lagi ‘cinta sejati adalah sebuah kebahagiaan’ dan macam-macam lagi pandangan. Apapun, saya mahu menyimpulkan bahawa kebahagiaan adalah sebuah ‘naluri rasa’ yang menghasikan ketenangan.

Tahukan anda, ‘kebahagiaan’ dan ‘ketenangan’ adalah dua teman rapat yang selalu disinonimkan. Benar ataupun tidak ia sudahpun terbukti, salah satunya tidak akan wujud jika salah satu daripadanya tidak wujud. Masakan orang yang bahagia dalam masa yang sama dia tidak merasakan ketenangan - Ia mustahil.

Bahagia yang paling tinggi kualitinya dan tidak boleh diganggu-gugat, apabila ianya datang dan dikurniai daripada ALLAH taala. Datanglah sehebat manapun ujian dan kedengkian manusia kepadanya, jika bahagia itu sudah dikuasai oleh hati, dugaan itu bisa dihadapi dengan tenang dan tabah.

petua yang paling mudah untuk mendapat 'kekayaan segera' dalam kebahagiaan adalah dengan selalu berzikir mengingati ALLAH taala.

Ada terdapat manusia, tenangnya terpancar pada tingkah laku dan wajahnya. Apabila manusia lain memandang kepadanya mereka turut mendapat rasa ketenangan. Kehebatan ini hanya berlaku pada sebahagian manusia sahaja.

Pernahkah anda terfikir bagaimana untuk mencari kebahagiaan dan mengundang keberkatan kepada diri? Tahukan anda bahawa, untuk mendapatkan kebahagiaan diri, anda bukan sahaja boleh mencarinya untuk diri sendiri, bahkan jika anda memberikan bahagia itu kepada orang lain, anda juga turut memperolehi kebahagiaan tersebut. Maka, benarlah prinsip ‘kebahagiaan diri dengan membahagiakan orang lain’ begitu juga ‘kegembiraan diri dengan menggembirakan orang lain’

Seorang ibu tidak perlu bersusah payah mencari kebahagiaan untuk kebaikkan dirinya sahaja, tetapi dia akan memperolehi dua hasil apabila dia memberikan bahagianya kepada semua anak-anaknya. Dia hanya perlu memberi dan mengusahakan satu kebahagiaan (iaitu membahagiakan anak-anaknya), hasilnya dia akan memperolehi dua kebahagiaan iaitu, bahagia untuk dirinya dan bahagia anak-anaknya. satu kerja yang menghasilkan dua nilai.

Anda juga pasti berasa gembira dan bahagia apabila pertolongan anda kepada seseorang itu berhasil dan mampu memberikan kebaikkan kepadanya, lebih terharu apabila dia berkata kepada anda:

‘Terima kasih banyak-banyak atas pertolongan kau tempohari. Aku sudah mempunyai semangat baru. Aku bahagia sekarang!!’


Bahagia Rumah Tangga: Dengan ‘Pilihan ALLAH’ dan ‘Redha Ibu Bapa’

Keluarga yang bahagia akan menjadi idaman semua pasangan suami dan isteri. Tentunya kebahagiaan ini bukan sahaja didambakan tetapi mahu juga ia berpanjangan dan berkekalan sehingga ke akhir hayat KEHIDUPAN. Lalu tidak hairanlah jika proses mencari titik kebahagiaan untuk membina sebuah rumah tangga yang harmoni bermula sejak mencari pasangan hidup.

Suami mencari Isteri yang Solehah.

Isteri menerima lelaki yang baik dan Soleh.

Asas ini sudah biasa dilakukan dan diamalkan oleh setiap pasangan yang mahu berkahwin, lebih-lebih daripada golongan agamawan. Kata orang, ‘Jika ustaz yang pasangan hidupnya ustazah, bahagianya mungkin panjang’ . YA, mungkin benar kata seperti itu, sememangnya tidak dapat disangkal, jika agama adalah tunjang yang diutamakan dalam pembinaan rumah tangga, kebahagaiaan pasti akan datang kepada mereka.

Anak-anak yang lahir harus ditarbiyyah dengan bimbingan Agama.

Rumah-rumah dihiasi pula dengan sistem Agama yang digaris-pandukan oleh ISLAM.

Demikianlah beberapa aspek dan petua yang bakal menjaminkan kebahagiaan alam rumah tangga. Seperti yang saya pernah tuliskan bahawa, bahagia itu hanya ada pada AGAMA. Kerana ISLAM bukan sekadar kepercayaan kepada ALLAH semata-mata bahkan suatu peraturan dan ‘Cara Hidup’ (the way of life) kepada manusia. Prinsipnya mudah, ‘siapa yang mengikut peraturan, nescaya hidupnya akan teratur’

Namun, bahagia juga berkait rapat dengan beberapa konsep hubungan yang perlu dijaga, iaitu pertalian dengan ALLAH dan keredhaan ibu dan bapa.

Apabila ramai teman-teman saya yang bercerita dan bertanyakan tentang situasi bahagia dalam rumah tangga (perkahwinan), fikiran saya hanya tertumpu kepada dua aspek yang menjadi sub-topik perbincangan ini, iaitu PILIHAN ALLAH dan REDHA IBU BAPA.

Saya mahu memaksudkan dua aspek ini sebagai ertinya begini: Jikalau anda (yang masih belum mempunyai calon pasangan) mahukan kebahagiaan itu wujud di dalam keluarga anda suatu masa kelak, PILIHAN ANDA haruslah selari dengan dua aspek tadi, iaitu Pilihan ALLAH dan redha ibu bapa. Saya amat menjamin jika dua ciri-ciri ini diutamakan dalam proses mencari pasangan hidup, di awal pembinaan ‘syurga duniawi’ lagi anda sudah beroleh keberkatannya. Tidak susah,

Selarikan pilihan anda dan pilihan ALLAH dengan beristokhoroh (memohon petunjuk),

Selarikan redha ibu dan bapa dengan mencari pasangan tanpa membelakangi mereka dan mendahului pendapat mereka.

Nescaya, anda bakal dinaungi oleh bahagia yang lebih panjang daripada pasangan lain, kerana di situ anda sudah menguasai dan beroleh dua keberkatan, iaitu keberkatan daripada TUHAN dan keberkatan daripada ibu bapa. Berkat sebeginilah yang bakal memanjangkan nilai keharmonian dan kebahagiaan hidup anda nanti.

Kisah Al-Qomah sentiasa menjadi peringatan untuk saya dalam garis panduan mencari bahagia. Bagi saya, apapun kehendak dan kemahuan kita, ibu bapa wajar didahulukan (dalam hal dan urusan kebaikkan), ia bukan kerana adat atau kebiasaan tetapi bertitik-tolak daripada suruhan ALLAH taala. Kesan, impak atau effect keberkatan itu terlalu besar di sisi seorang manusia atau anak.

Al-Qomah tidak mampu melafazkan kalimah syahadah ketika di hujung sakaratulmaut hanya kerana ibunya yang terguris hati. Tidaklah terlalu besar dosanya, sebabnya cuma suatu ketika Al-Qomah tidak menghidangkan lauk yang dimasak oleh ibunya sebaliknya lebih mendahulukan lauk yang dibawa oleh isterinya. Lauk? Ini bukan soal lauk, tetapi soal hati ibu yang terluka. Hati ibu yang tersinggung siapa tahu? Apatah lagi jika sengaja menyinggungkan perasaan mereka dengan membelakangi mereka ketika mencari pasangan.

Jangankan berkat, bahagia yang sedikitpun belum tentu datang.

Percaya atau tidak, bahagia dan berkat ini berkait-rapat dengan redha ibu bapa? Mari saya ceritakan. Seorang teman saya seperti tidak yakin bahawa istilah ‘lelaki yang baik untuk wanita yang baik’ apabila seorang temannya yang sudah berkahwin mendapat suami yang buruk perangainya. Jika dilihat sememangya tidak bertepatan dengan ‘istilah’ tersebut. Namun, di hujung penceritaan barulah dikhabarkan bahawa temanya itu berkahwin tanpa restu kedua orang tuanya. Dalam hal ini, ia bukan lagi menumpu kepada istilah ‘lelaki baik untuk wanita yang baik’ tetapi lebih berkait rapat dengan soal redha ibu bapa dan keberkatan ALLAH.

Begitulah 2,3 orang teman saya yang mengadukan perihal kebahagiaan rumah tangga kepada saya, akhirnya mengakui bahawa redha ibu bapa mesti didahulukan. Saya juga tidak lekang menyampai pesan kepada teman-teman yang bakal mendirikan ‘mahligai’ agar jangan diabaikan peranan ibu bapa.

‘Pasangan boleh dicari-ganti, namun redha ibu yang seorang tiada boleh digalang-ganti’



Penutup:

Keberkatan dan kebahagiaan itu terlalu halus dan berkait rapat. Ibarat isi dan kuku jika dipisahkan akan kehilangan peranannya. Bahagia tidak mungkin diperolehi tanpa keberkatan dan keredhaan. Jika bahagia yang dicari, pasti redha yang ditagih dan berkat yang diraih.

‘MEMBERI kebahagiaan lebih tinggi nilainya daripada MENCARI kebahagiaan’

________________________________________


Dapatkan wallpaper & Poster Motivasi KEHIDUPAN daripada saya di sini: afiqsaa'flickr
Sembang-sembang Motivasi bersama saya di sini (Yahoo Mesengger): afiqsaa@yahoo.com
Perkongsian Idea, Pendapat dan Masalah dengan saya di sini: (Email): afiqsa@yahoo.com
Laman Sosial bersama saya di Facebook: type 'my afiq'


Untuk read more, tulis di sini...

3 Responses so far.

  1. salam..
    restu drpd kedua ibubapa adalah penting.
    tp bagaimana pula kalau ibubapa merestui tp dlm mase yg sama mereka 'tdk menyetujui' pilihan itu. krn mereka mempunyai pilihan sendiri utk anak mrk..
    kiranya dah mcm terpaksa terima.

  2. mungkin situasinya bermaksud begini:

    si ibu bukan 'tidak menyetujui' atau terpaksa terima. mungkin si ibu kurang yakin akan calon pilihan anaknya.

    si anak mesti buktikan bahawan pasangan pilihannya seorang yang diyakini dan dapat memenuhi apa jua kehendak yang dilihat baik pada pandangan ibunya.

    buktikan juga, bahawa ciri-ciri yang ada pada pilihan si ibu tetap ada pada pilihan si anak.

    lambat laun si ibu akan terbuka hati. keras-keras si kerak nasi, di siram air akan lembut jua.

    tetapi anda mesti tahu membezakan antara TIDAK MERESTUI dan TIDAK BERSETUJU.

    semoga anda di mudahkan jalan ke sana.

  3. alhamdulilah..akhirnya dari sini,kita tahu juga,apa yang penting adalah redha keduanya..'berjalan
    sendiri tanpa keduanya,akan jatuh tak terbangun,ya ustaz? syukran atas perkongsian ilmu ini =)