Team Memasak Saya (Team Nur Iman): Dari kiri,
Bro. Syahidan, Bro. Shauqi dan Cheff Utama, Bro. Tarmizi


Cerita Kami yang Memasak

Saya sudah lupa bagaimana saya boleh terlibat dalam arena masakan semenjak belajar di Jordan ini. Saya bukanlah seorang yang minat memasak di Malaysia dahulu, jauh sekali pakar dalam bidang yang sinonim dengan kaum hawa seperti ini, tetapi akhirnya ia menagih minat saya sedikit demi sedikit ke dalam aktiviti ini.

Dahulu di Malaysia, jangankan memasak lauk, dapur pun jarang saya ‘lawati’, cuma jika ada keperluan yang mendesak sahaja saya dan adik teruna yang lain akan menjadi cheff. Itupun hanya memasak Nasi Goreng ‘biasa-biasa’ atau Maggi Sup. Selain menu itu, ada lagi menu kebiasaan yang menjadi kebanggaan dan kejayaan seandainya orang lelaki seperti saya berjaya menyajikannya, Telur Goreng Mata Kerbau atau Dadar, Menanak nasi dan menjerang air.

Sekali saya ke dapur, seperti sepuluh orang punya hasil kerja. Yang mengemasnya adalah bonda.

Di Jordan, kami lebih cenderung menjalani KEHIDUPAN secara berdikari, kalau mahu dinisbahkan ukhwah kami, semua sudah kami anggap seperti adik-beradik. Siapa lagi kalau orang itulah yang hari-hari kami bertemu di rumah, berjumpa di dalam bilik kuliah, muka itu jugalah yang kadang-kadang masam mencuka dan lain-lain lagi kerenah. Suka-duka adalah asam garam kami di sini, tiada orang yang akan memahami jiwa Melayu melainkan ‘kami-kami’ ini.

Menu Kari, Sup, Kurma, dan Tom Yam adalah basic of cooking. Siapa yang tidak tahu asas itu bermakna dia belum layak lagi digelar pelajar Jordan. Walaupun menu yang sama tetapi rasanya amat pelbagai apabila cheff yang memasaknya datang dari serata negeri. Yang Kelantan dengan Kari manisnya, Negeri Sembilan pula dengan Sup Pedas berapi, Melaka pula setiap masakan kalau boleh mahu ‘dihiasi’ dengan cili kering.

Macam-macam jenis dan ragam yang ada. Sebab itulah, Tom Yam sahaja akan mempunyai 20 rasa yang berlainan.

Tidak jauh berbeza dengan suasana kampus di Malaysia, program-program yang dijalankan di tempat kami juga memerlukan juadah hidangan untuk perseta. Perbezaannya hanyalah, di sini kami yang akan memasak dan menyajikan sendiri hidangan tersebut, adapun di Malaysia hanya ‘berhello’ kepada mana-mana catering, serta menunggu pada hari yang dijanjikan, makanan yang dipesan akan sampai bahkan keenakkannya jauh lebih hebat.

Kebiasaannya, menu yang disediakan untuk peserta dalam program yang diadakan tidak terlalu berat. Tetapi ia menjadi berat apabila situasi kami yang berada jauh dari Tanah Air. Mana mahu dicari rempah Kari Adabi? Di mana pula hendak mendapatkan Serai dan Daun Limau Purut? Santan dan Kicap? Serta lain-lain lagi.

Pihak penganjur mahukan kami menyediakan ‘Masakan Melayu’. Hendak Seribu Daya, Tak Mahu Seribu Dalih, maka terhasillah juga Kari Ayam. Rasanya walaupun tidak sehebat Kari Mamak, tetapi ia iras-iras Kari juga dan layak dipanggil Kari.


Masak: Sepakat Yang Berkat

Selama saya diminta memasak untuk apa jua program, saya tidak pernah merasa ketinggalan dan bangga mempunyai team memasak yang ceria. Terus terang saya katakan, masalah peribadi dan masalah persatuan yang saya alami akan hilang dan ‘terbang’ sejauh-jauhnya apabila kami bertemu mata dalam kerja-kerja memasak.

Walaupun team kami ini sentiasa berubah-ubah keahliannya untuk setiap penggal, tetapi sifat ceria itu tetap ada pada ahlinya walaupun ada kemasukkan baru yang menyertai kami. Tiada temuduga, tetapi ia terjadi sendiri. CERIA itu menghilangkan segala duka!!

Sememangnya kerja-kerja memasak untuk satu-satu program amatlah berat dan mencabar dalam penyediaannya. Bayangkanlah daripada ‘tiada apa-apa’ kita perlu menjadikan ‘ada sebuah hidangan’. Selalu orang membayangkan kerja memasak ini cuma menggoreng, menumis dan menanak nasi. Siapa pernah terfikir jauh dari sudut itu persediaan seperti membeli bahan mentah dan menyediakan bahan memasak adalah lebih mencabar daripada kerja memasak. Menumis lebih mudah dibuat daripada memotong 25 ekor ayam. Menanak nasi juga senang jika mahu dibanding dengan mengangkat beras yang beratnya 10 kilogram sejauh 1 kilometer.

Memasak memang mudah, di sebalik tabirnya siapa yang tahu? Kerana itu, pesan saya pada semua pembaca, jangan mudah menilai dan ‘memberi gred’ terhadap makanan sekiranya apa yang anda rasakan kurang enak atau tidak sedap pada pandangan lidah anda, ia akan menyebabkan hati tukang masak akan mudah berkecil hati. Nabi saw pun pernah bersabda, jika makanan itu tidak sedap, tinggalkan atau berdiam diri sahaja.

3 tahun di sini, kuantiti masakan yang paling tinggi pernah kami sediakan adalah penyediaan makanan untuk seramai 400 orang. Ketika itu TUHAN sahaja yang tahu akan rasa keletihan kami. Tidak tidur semalaman adalah perkara kelaziman apabila membuat kerja-kerja memasak untuk sesebuah program. Jika tersilap langkah iaitu sengaja meninggalkan kerja menumis atau menanak dengan ‘tidur seminit’ maka peserta program bakal menjamah air kosong dan kek. Lalu, pengorbanan untuk tidak tidur dan menyumbangkan sedikit masa adalah penting.

Anda akan lebih memahami situasi kesukaran pada Tukang Masak ini jika anda seorang ibu yang mempunyai anak-anak.

Kami sempat merasai beberapa keadaan yang kami anggap ia sebuah pengalaman manis sepanjang keberadaan kami dalam arena ini. Pernah berhadapan dengan bajet yang tidak cukup, tenaga kerja yang sikit, harga makanan yang mahal dan lain-lain situasi yang mencabar upaya kami. Kadangkala ada juga tercalit perasaan mahu pencen dan bersara dari bidang ini. Biarlah kesukaran memberi ini nantinya dibalas oleh ALLAH taala. Akhirnya sehingga kini saya masih boleh berdiri teguh untuk apa saja permintaan memasak. Saya seronok dan damai bersama mereka di sini.

Saya mahu berkongsi sedikit lagi pengalaman kepada pembaca. Petua dan ilmu ini saya perolehi sendiri sepanjang saya menjadi tukang masak. Masakan yang berkat adalah masakan yang menggunakan sumber yang Halal, pemasaknya yang ikhlas serta cukup dan memadai apabila ia disajikan. Mungkin ibu-ibu juga perasan akan situasi yang saya telah gambarkan ini.

Keberkatan tidak semestinya terletak pada sedapnya sesuatu hidangan atau mewahnya ia, cukup saya katakan jika ianya Halal dan mencukupi, kita hampir kepada keberkatan. Sebaliknya, sekiranya ia sedap, lazat dan enak tetapi dibuang-buang dan dibazir-bazirkan? Ia bukan lagi mengundang keberkatan sebaliknya laknat daripada ALLAH taala.


Antara Jodoh dan Nasi Minyak

‘Aik? Baru 5 ulas dah berair mata? Teringat dekat matair ke?’ Gas bawang amat memedihkan mata. Seorang teman saya sempat mengusik, dia memang gemar berjenaka.

‘Bawang ni pelik sikitlah hari ini, macam tak kasi aku memasak je. Korang jelah yang masak, boleh?’ berderai ketawa kami malam itu.

Sejak akhir-akhir ini, selepas sekali percubaan membuat Nasi Minyak berjaya, hampir setiap kali program kami diminta menyediakan menu itu. Program Anak Negeri pun Nasi Minyak, Program di Kedutaan menunya juga Nasi Minyak, Program Aidilfitri anjuran Persatuan Zon juga hidangan utamanya adalah Nasi Minyak.

Akhirnya, kami jadi ‘orang minyak’ kerana terlalu banyak bermain dengan minyak.

Termasuk hari ini, entah kali ke berapa NASI MINYAK yang kami telah sajikan, program itu dan program ini semuanya berhajat dengan menu yang serupa, cuma lauk yang kadang-kadang berbeza. Moga-moga ada 'berkat' di sepanjang tungkus-lumus menyediakannya. Tapi, apa kaitannya antara JODOH dan NASI MINYAK?

Mudah saja, jika anda mahu menemui Nasi Minyak disajikan tanpa bayaran, kunjungi saja ke majlis-majlis perkahwinan. Kahwin itukan jodoh? Kaitannya adalah apabila ada majlis kahwin maka akan ada jugalah hidangan Nasi Minyak.


Penutup:

Saya pasti akan merindui team-team memasak sejak mula-mula saya menjejakkan kaki ke bumi ini. Ahlinya silih berganti kerana ada yang sudah pulang ke tanah air. Kini yang berbaki hanya kami berempat. Moga TUHAN kurniakan kudrat dan kekuatan untuk kami terus memberi khidmat kepada semua orang.

Mungkin apabila pulang ke tanah air nanti, kami tidak berpeluang untuk memasak lagi kerana segala kemudahan di sana sudah mencukupi dan lengkap. Saya pernah berjenaka bersama teman-teman sepemasakan saya, apabila saya berkahwin nanti dan berpeluang untuk memasak, saya akan menyediakannya sendiri. Mereka mentertawakan saya. Ada juga yang berbunyi:

‘Nanti kalau aku nikah, aku nak tempah untuk masakkan dalam majlis aku ya!’

‘Bolehhhhhhhhhhhh...’


___________________________________


p/s: Tahun ini saya bercadang mahu pulang ke Malaysia sekejap. menghilangkan kegalauan rindu kepada bonda dan abah. kalau boleh, hendak juga merasa jika ada teman-teman lama yang mahu melangsungkan hari 'bahagia', perut teringin untuk diisi dengan Nasi Minyak ala-ala Malaysia pula selain Char Koew Teow yang sudah lama menjadi idaman kalbu.

[Usah Jemu Memberi]

Untuk read more, tulis di sini...

6 Responses so far.

  1. salam..
    blurr sekejap baca kaitan jodoh n nasi minyak (otak dh tepu ngan maklumat)

    hmm.. camni, nak cop masakkan nasi minyak tuk hari bahagia akk.. huhu.. boleh ke??

    di jordan ni.. seingt akk.. sekali je masak nasi minyak.. tu pun time eid lepas.. best jugak bila makan ramai2.. ukhuwah rasa terjalin bahagia.. lepas ni.. bila lagi?? hmm.. tggu balik malaysia la gamaknye :D mana tau time tu leh awak dtg masak tuk hari bahagia.. hehe

  2. ceria tu pnawar duka.. =)

  3. bila nak mai masak kat umah ana lak. xpenah lagi makan masakan abg afiq...

  4. slm bampit, klu dah pdi msk nsi myk, blk rya nnt... blh msk nsi myk utk klrg kita kt mlys

    diksyah & keluarga di malaysia

  5. salam fiq

    apa khabr? dh jd tukang msk ko ya kat jordan. blajar lg masak lg, larat ke?
    apa pun "Usah Jemu Memberi" fiq..kan?

    nnti bleh msk kan utk mjls bhagia aku jg ya.

    gud luck!!

  6. salam

    waaa, nak jgakk masuk gambar aku dlm ni fik..mne die?

    nk join grup Nur Iman boleh x?

    hihihi