Selagi yang bernama lelaki dan perempuan itu dilahirkan dalam fitrah dan kesempurnaan, begitu jualah mereka akan dikurnai oleh ALLAH sebuah rasa yang dinamakan CINTA, setiap manusia akan memiliki rasa itu. Ucaplah syukur jika fitrah itu masih lagi digunakan pada jalan yang baik sehingga kini – iaitu CINTA kepada Maha Pencipta yang tak putus-putus.

Mencintai sesama manusia adalah suruhan agama, oleh sebab itu tidak hairan jika seorang wanita atau lelaki menyimpan perasaan terhadap sesama mereka. Kerana ia adalah fitrah. Jangan tersalah anggap kepada Agama, kerana ia datang kepada manusia untuk menyusun dan mengawal fitrah, bukan menyekat. BERCINTA itu boleh, tetapi mesti dikawal caranya.

Oh! Indah nian Agama yang bernama ISLAM ini.

Lelaki boleh mencintai wanita begitulah jua sebaliknya, maka itulah fitrah yang sempurna. Lalu ISLAM menyediakan wasilah sebagai landasan untuk bercinta daripada terpesong ke lembah dosa. Akhir daripada hasrat dan matlamat bercinta adalah menuju sebuah redha ALLAH taala.

Jika prinsip ini dapat dipelihara, saya mempersilakan semua pembaca untuk bersama saya menghayati nikmatnya CINTA dan rasa DICINTAI.


Keluhan dan Suara Hati

Bercakap soal CINTA mungkin tidak menjadi masalah kepada sesiapa, malah hati manusia tidak pernah dihalang untuk mencintai sesiapa sahaja yang mereka sayang. Lebih daripada itu, tidak salah menyatakan hasrat CINTA kepada siapa yang mereka CINTAI. Nabi saw pernah bersabda kepada seorang sahabat yang sangat mencintai sahabatnya yang lain, kata Nabi saw: ‘Jika kamu sayang akan-nya, ucapkan kepada-nya bahawa kamu CINTA akannya’

Namun, persoalan dan masalah timbul pada ‘Penerimaan Cinta’. Samada lelaki terutamanya wanita menjadi takut untuk memulakan langkah dan takut jika cintanya ditolak. Ramai wanita di luar sana mengeluh dan saya rasakan keluhan wanita ini lebih berat berbanding lelaki yang sifatnya ‘boleh mencari’. Ini sebahagian daripada suara hati wanita:

‘Lelaki yang saya simpan perasaan kepadanya mungkin sukar untuk menerima saya kerana dia lebih muda daripada saya’

‘Lelaki itu malu mahu menerima lamaran saya kerana status akademik saya sedikit tinggi daripadanya. Apa yang harus saya buat?’

‘Takkanlah saya yang mesti mulakan? Kan apa pula kata orang: Perigi mencari Timba’

‘Saya tidak langsung memandang rendah kepadanya, Cuma lelaki itu yang merasakan kekurangan pada dirinya untuk menerima saya. Walupun saya seorang ustazah saya sanggup menerimanya sebagai seorang polis biasa. Saya terlalu CINTA padanya…’

Akhirnya, para wanita yang seharusnya mendapat kedudukan yang adil dalam percintaan hanya memedamkan perasaan mereka. Lelaki yang mereka CINTAI dan wajar mereka miliki itu terpaksa disimpan dalam angan-angan dan bayangan kerana halangan dan dilema. Jika CINTA itu dibalas bertuahlah wanita itu, jika tidak perasaan mereka akan terus disimpan.

Lelaki jua meluahkan:

‘Siapalah saya ini dalam persatuan, cuma jawatan biasa. Manalah layak dengan Timbalan Presiden’

‘Aku rasa tak sekufu pula. Keluarganya kaya berbanding keluarga aku. Rasa rendah diri sangat-sangat’

‘Dia sudah berumur, mana mungkin dia hendak menerima aku yang dia sudah anggap sebagai adiknya’

Dilema demi dilema yang masuk ke dalam hati masing-masing menjadikan tujuan percintaan tersekat. Sedangkan jika dilema itu dipandang dengan jalan kebaikkan dan positif ia bakal menyempurnakan sebuah CINTA. Dilema itu seolah dipandang terlalu besar berbanding tujuan CINTA, sehinggakan CINTA sanggup dipendam dan diabaikan kerana sebuah halangan yang kecil.

Anda mampu merealisasikan CINTA anda jika berani membuat sedikit perubahan. Seorang wanita yang tinggi taraf hidupnya boleh menerima CINTA seorang lelaki yang kurang sedikit status kekayaannya jika dia melihat pembinaan keluarga bahagia sebagai matlamat utama. Ukuran kekayaan dan status mesti diketepikan dahulu kerana ia hanyalah pelengkap bukanlah syarat utama kepada kebahagiaan.

Lelaki pula harus menolak rasa malu untuk menerima wanita yang berkedudukan lebih tinggi daripada mereka. Apalah yang ada pada perbezaan pangkat, status, dan umur jika kehendak bahagia itu lebih diutamakan. Umur hanyalah sebuah angka, apakah semakin tinggi umur seseorang semakin tinggilah jaminan bahagia yang akan mereka perolehi?


Petua Bahagia

Jika anda seorang wanita, pastinya dilema memilih lelaki terus bermain, lebih-lebih lagi lelaki yang dicintai itu berstatus muda dan rendah tarafnya daripada. Pada wanita, mereka tiada masalah untuk memberi dan menerima CINTA mereka kepada lelaki walaupun rendah tarafnya yang penting lelaki itu mampu memberikan bahagia kepada mereka, sebaliknya masalah berpihak kepada lelaki, mereka malu untuk menerima lamaran dan CINTA wanita yang tidak sama kedudukannya.

Ia adalah sebuah luahan yang realiti.

Seandainya anda wanita yang berada dalam situasi ini, katakan kepada lelaki yang anda CINTAI, bahawa anda tidak pernah melihat kekurangannya sebagai halangan dalam perhubungan apatah lagi dalam pembinaan keluarga suatu hari nanti. Jika redha ALLAH yang dijadikan pegangan dalam kebahagiaan, jauhkan rasa kekurangan yang hanya bersifat material dan sementara.

Bukankah CINTA Nabi saw dahulu dengan insan yang lebih tua dan lebih kaya daripadanya telah dihiasi dengan bahagia yang panjang? Kedudukan Nabi Muhammad saw sebagai seorang ketua keluarga bukanlah pada umurnya, tetapi menjadi ketua kerana tanggungjawab.

Di dalam sebuah keluarga, setinggi manapun taraf kedudukan seorang isteri dan tua umurnya dia mesti dan perlu mentaati seorang suami sebagai ketua keluarga. Selagi mana taatnya seorang isteri kepada suami, sepanjang itulah dia bakal memperolehi kebahagiaan dan redha ALLAH taala.

Sekali lagi saya mahu membawakan pandangan seorang Penulis buku motivasi keluarga dari Negara Seberang, Indonesia. Baginya, bukan soal status atau umur yang mesti dipandang untuk mencapai bahagia, tetapi banyak aspek yang lain dan salah-satunya adalah aspek agama, dengarkan:


‘Anda laki-laki Muslim yang berniat melaksanakan pernikahan. Usia anda pula sudah 25 tahun. Anda dihadapkan pada realitas bahwa wanita Muslimah yang sesuai kretiria Fikih Islam untuk anda nikahi ada sekian banyak jumlahnya. Maka siapakah yang lebih anda pilih, dan dengan pertimbangan apa anda memilih dia sebagai calon isteri anda?

Nah, apabila semua laki-laki Muslim berpikiran dan menentukan calon isterinya harus memiliki kecantikkan ideal, berkulit putih, usia 5 tahun lebih muda dari dirinya, maka siapakah yang akan datang melamar para wanita Muslimah yang usia di atas 30 tahun , atau di atas 35 tahun, atau bahkan di atas 40 tahun, (atau yang kurang rupanya tetapi cukup dipenuhi dengan ciri-ciri keagamaannya)?

Ini hanya satu contoh saja, bahwa dalam konteks pernikahan, hendaklahnya dikaitkan dengan proyok besar dakwah Islam (ciri-ciri keagamaan). Jika kecantikkan harapan anda bernilai 100 point, tidakkah anda bersedia menurunkan kadar 20 atau 30 point untuk bisa mendapatkan kebaikkan dari segi yang lain? Ketika pilihan itu membawa maslahat bagi dakwah, mengapa tidak begitu?’

(Pak Cahyadi Takariyawan - dipetik daripada Buku Dijalan Dakwah Aku Menikah)


Jika bahagia itu diukur dengan kekayaan, nescaya mereka yang miskin tidak akan terbela.

Jika kebahagiaan dalam keluarga diukur dengan usia, ia bukanlah sumbangan utama kepada bahagia.

Jika bahagia itu diukur melalui status yang sama atau perkiraan sekufu, siapakah nanti yang mahu membela wanita berumur, balu atau janda yang memerlukan kasih sayang dan cinta seorang lelaki beriman?

Ketahuilah bahagia boleh dicapai melalui pasangan yang sentiasa memberi tanpa puas dan juga tidak mengharapkan apa-apa balasan. Siapapun isteri atau suami anda, jika masing-masing tahu akan peranan, ia pasti akan menjamin bahagia.

Saya cukup ramai teman-teman yang berkahwin walaupun status mereka sangat berbeza. Kalau si suami yang lebih muda usianya daripada isteri memang cukup ramai di sini, saya yang melihatnya sudah merasakan bahagia apatah lagi teman-teman saya sudah yang melaluinya. Semuda manapun suami anda, di rumah nanti pastinya panggilan ‘abang’ yang akan kedengaran. Walaupun isteri lebih tua daripada suami, isteri tetap akan memanggil ‘abang’ Tetapi jangan pula suami tersasul memanggil isterinya ‘kakak’, boleh hancur kehangatan bulan madu!!

Terima sahaja siapa pun calon dan pasangan anda sebagai seorang penghias rumah tangga, selagi dia mampu memberikan kasih sayang dan kebahagiaan. Kata orang tua-tua, isteri yang lebih tua daripada suami curahan kasih sayangnya lebih ‘ummpph’ daripada isteri yang agak muda usianya.

Namun, saya tidak mengambil penting sangat akan petua ini, saya sudah katakan usia bukanlah pengukur bahagia, muda atau tua nilainya pada siapa yang pandai memenangi hati suami. Sekadar mahu memberi semangat dan motivasi kepada teman-teman yang bakal mendirikan rumah tangga dan calon mereka adalah berstatus ‘kakak’.

Alahai…

___________________________________


p/s: CINTA juga membawa makna kebaikkan seseorang dicurahkan kepada anda. Jika ada situasi itu pada anda, anda sedang diperhatikan dalam CINTAnya.

[Usah Jemu Memberi]

Untuk read more, tulis di sini...

5 Responses so far.

  1. salam...

    ustaz,
    alangkah baikny jika smua muslimin bpandangn spt ustaz...
    "usia" bukanlah phalang kpd kbahagian..
    muslimat yg "lbih tua" @ "lbih brusia".. tidak bmakna tidak boleh bercinta dgn muslimin yg "lbih muda"...
    kerna usia bukanlah phalang sgala2nya.....
    status "kakak" boleh btukar mjadi "sayang" dan status "adik" boleh btukar mjadi "abang"...
    trima kasih ustaz krn artikel ustaz tlh mmotivasikan kami golongan2 muslimat "brusia" yg hidup & bkerja di kalangan muslimin yg "lbih muda"...
    kami brasa lbih dhargai :)

    syukran ya ustaz

  2. slm wbth

    ustz, kali sungguh mnarik minat utk sy mmbca artikel ini. sy blum lg mngalami situasi spt ini, namun siapa yg thu jodoh sy dgn lelaki yg muda.

    nk tnya ustaz & sidang pmbaca blog CINTA ni, knp ya lelaki sukar nk trima wnita yg berumur dr mreka? adkah mreka malu ustaz?

    ustaz nnt tliskan plak artikel ttg 'prigi mncari timba'

    smoga ust sukses selalu!

  3. salam wbth ustaz

    sebenarnya dgn siapu pun pasangan kita, kita akan bahagia jika matlamat utk bahagia diutamakan. misalnya, saling faham-memahami.

    suami & isteri tahu akan t'jawab masing-masing. isteri mesti anggap suami sebagai ketua yg perlu dihormati dan suami juga menganggpa isteri sebagai teman yg harus disayangi.

    barulah bunga-bunga bahagia akan datang. tidak semestinya usia & status penentu bahagia.

    saya amat bersetuju dgn artikel ini.

    SITI

  4. salam...
    saya amat tertarik membaca topik ini dan amat bersetuju bahawa umur bukanlah ukuran bahagia. rakan saya berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda sehingga kini kehidupan mereka aman bahagia sehinggalah dikurniakan 3 org cahayamata.

    harap2 cinta seorang wanita yang jauh lebih muda berbanding lelaki yang layak dipanggil ayah adalah sebuah cinta yang lahir dari hati yg suci kerana takut-takut jadi seperti seorang lagi ayah rakan saya yg berkahwin dua. usia isteri jauh lebih muda dan bila baru2 ini si suami jatuh sakit dan terus minta agar diceraikan....masyaalah...cinta apakah namanya itu jika sekadar cintakan sewaktu sihat dan ditinggalkan sewaktu sakit.
    harap tidak terjadi pada diri kita...hendaknya...

  5. ustaz ni boleh jadi pelapis ustaz hasrizal...mach gut