“Rizal, enta tak payah pergilah kalau tak sihat,” ujar Abu Ikrima. Dia simpati melihat Rizal yang kerap bersin sejak dua hari yang lalu.

“Ana dah janji dengan adik-adik nak buat usrah malam ni. Lagipun ada masjlis hari lahir Anas, diorang dah sediakan makan-makan, kecil hati Anas kalau ana tak datang” jawab Rizal sambil bersiap-siap menyarung kopiah.

“Anakan boleh gantikan enta, Rizal”

“Kalau kita berdua pergikan lagi meriah,” Rizal tetap berkeras, mahu hadir juga ke majlis usrah. Jarang sekali usrahnya ditangguhkan. Jika dibatalkan sekalipun, apabila dia mempunyai urusan di luar kampus.

“Betul enta larat ni, Rizal?” Abu Ikrima inginkan kepastian walaupun dia tahu Rizal seorang yang tinggi semangatnya.

“Sungguh!” Rizal menjawab sambil mengukir senyum kecil. Dia tidak mahu Abu Ikrima bimbang akan kesihatannya. Dia sudah ralik dengan sakit-sakit yang datang.

“Sakit sikit je, enta tak usahlah risau,” tambahnya lagi.

“Rizal, Rizal…” Abu Ikrima mengeluh kecil.

“Abu, ana tumpang kitab ni dalam beg enta ya?” Rizal menghulurkan Buku Risalah Ta’lim kepada Abu Ikrima.
“Ada apa-apa lagi nak dibawa, Rizal?”

“Oh ya! Hadiah untuk Anas, ana pergi ambil dalam bilik sekejap,”

“Ana tunggu di luar ya Rizal. Jangan lupa kuncikan pintu,” Abu Ikrima melangkah keluar dari rumah menuju ke tempat letak kereta.
____________________________________

“Begitulah sunnatullah dalam perjuangan, adakalanya senang dan adakalanya kita dilanda kesusahan. Semuanya adalah ujian buat seorang daie yang ingin menyampaikan ugama ALLAH taala. Jika kita mampu bersabar atas segala bentuk ujian yang berlaku, maka kita sebenarnya telah bersedia untuk ditarbiyyah oleh ALLAH” Rizal menggulung topik pembentangan usrahnya malam itu.

“Jangan kita cepat berputus-asa atau patah semangat dalam perjuangan, kerana Nabi-Nabi terdahulu telah diuji oleh ALLAH dengan ujian yang lebih berat daripada kita hari ini. Nabi Nuh a.s misalnya, walaupun pengikutnya hanya seramai beberapa orang saja selepas 1000 tahun berdakwah, namun dia tidak pernah berputus-asa,”

Rizal berhenti seketika melihat reaksi anak-anak usrahnya. Sepi sebentar.

“Abang Rizal, maaf saya mencelah. Kadang-kadang kita terasa lemah bila berdakwah, tapi orang tetap tak menghargai usaha kita. Sampaikan kita terasa mahu berhenti berdakwah, macam mana tu bang?” soal Syafiq, ahli usrah yang paling muda. Pelajar tahun pertama kuliah usuluddin.

“Syafiq dan adik-adik semua. Jika kita berdakwah kerana mahukan penghargaan manusia, kita mungkin akan kecewa kerana tidak semua manusia yang akan menerima dakwah kita, kerana hidayah itu adalah hak milik mutlak ALLAH taala. Kita memberi kepada manusia atas dasar tanggungjawab tetapi bukanlah untuk menerima balasan manusia,” terang Rizal.

“Kalau adik-adik semua nak tahu, Nabi-Nabi terdahulu juga pernah terasa lemah dan hampir berputus-asa kerana sikap umatnya yang degil, tetapi apabila mereka diingatkan oleh ALLAH taala bahawasanya dalam perjuangan dakwah itu mesti melalui kepahitan sebelum diganjarkan dengan kemanisan di syurga nanti, mereka kembali bersemangat untuk berdakwah,” hampir semua ahli-ahli usrah mengangguk tanda semakin faham dengan apa yang disampaikan oleh Rizal. Abu Ikrima tersenyum, dia puas apabila ahli usrahnya faham dengan topik yang ingin di bawa malam itu.

“Ingat, ALLAH tidak bertanya samada dakwah kita telah berjaya ataupun tidak, tetapi DIA akan bertanya, adakah kita telah melaksanakan tugas dakwah ataupun tidak,” tambah Rizal lagi.

“Kalau semua sudah faham, abang nak minta seorang daripada adik-adik buatkan satu kesimpulan. Anas boleh?” Anas yang sedari tadi duduk termangu-mangu membetulkan silanya.

“Boleh, Abang,” Anas membelek-belek nota yang ditulis seawal usrah tadi.

“Baiklah, semua dengarkan apa yang Anas nak cakap,” pinta Rizal.

“Pertama, kita tidak boleh cepat berputus-asa ketika menyampaikan dakwah. Kedua, ujian yang berlaku ke atas seorang pendakwah adalah satu tarbiyyah,” Kata-kata Anas terhenti seketika. Dia membelek-belek lagi buku notanya.

“Ada lagi Anas?” soal Rizal apabila melihat Anas diam.

“Ada bang, yang terakhir sekali, kita memberi bukan untuk menerima, tapi kerana tanggungjawab dan ikhlas untuk ALLAH taala,” Anas menyudahkan pendapatnya.

Rizal mengangguk. Dia gembira melihat semua ahli usrahnya pada malam itu sangat bersungguh-sungguh membincangkan tajuk pembentangan. Ada sebahagiannya yang membuat sedikit ‘homework’ untuk sesi pembentangan. Rizal kagum akan semangat yang ditunjukkan oleh ahli usrahnya. Jarang dia melihat adik-adik yang baru menyertai program usrah mempunyai semangat sehebat itu.

Tepat jam 9 malam, usrah diakhiri dengan bacaan doa beramai-ramai.

“Mari kita suapkan Anas kek ramai-ramai,” seloroh Abu Ikrima.

“Abang Abu, tak payah suap, kita lenyek je kek tu kat Anas, baru dia ingat birthday dia sampai bila-bila,” tambah Syafiq pula. Semua yang ada tertawa dengan gelagat Syafiq.

Anas sibuk memotong kek hari lahirnya, ahli usrah yang lain pula membantu dan sebahagianya duduk bersembang-sembang. Sembang-tawa mereka menghidupkan suasana majlis malam itu.

“Anas, selamat tahun manis yang ke-22, moga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki,” Rizal menghulurkan sebungkus hadiah kepada Anas. Cantik dan kemas balutannya berwarna merah hati.

“Terima kasih bang,”

“Sama-sama, lekas-lekaslah kahwin kalau dah sampai seru,” ujar Rizal. Sekali lagi suasana berderai dengan hilai-tawa semua.

“Ish, Abang Rizal ni, mengarut je. Saya tak mahu langkah bendul,” balas Anas mengenakan semula Rizal.

“Abang Rizal kamu tu tunggu masa je. Orang mahu kat dia, tapi dia pula yang jual mahal,” Abu Ikrima menambah dari jauh.

“Bertuahlah siapa yang jadi suri di hati Abang Rizalkan?” Omar pula bersuara.

“Abang Abu, siapa orangnya? Bagitahulah kat kami” tanya Syafiq.

“Kamu semua kenalah tanya kat dia sendiri. Abang Abu yang duduk satu rumah ni pun dia tak bagitahu,” kali ini giliran Abu Ikrima pula bersepakat dengan ahli usrah mengenakan Rizal.

“Enta ni Abu, ada-ada je,” Rizal tersipu-sipu menahan malu, pipinya yang putih kelihatan merah.

“Ooo.. Abang Rizal malu-malu yea. Bagitahulah kat kami, bang, bagitahulah”

“Insyaallah, bila sampai masa nanti, kamu semua orang pertama Abang Rizal beritahu. Sekarang tumpukan pada pelajaran dulu. Lepas tu, barulah boleh fikir tentang kahwin,” balas Rizal. Semua nampak kecewa.

“Jom semua, kita makan!” laung Anas dari jauh.

Hampir jam 11 malam, Rizal dan Abu Ikrima meminta izin untuk pulang. Majlis malam itu sungguh membawa makna. Selain berusrah, sambutan hari lahir Anas telah mengeratkan lagi ukhwah antara mereka. itulah yang Rizal harapkan.

Sepanjang keterlibatannya dalam program usrah, tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk melahirkan ahli usrah yang berilmu dan ikatan ukhwah yang dibina kekal sepanjang masa. Sehingga 5 tahun dia berkecimpung dengan aktiviti usrah, ada sebahagian anak usrahnya yang masih lagi menghubunginya walaupun sudah berada jauh.

Rizal bangga dan puas. Agama ISLAM itu cukup indah apabila ditautkan dengan tali persaudaraan.

‘Allahumma, thabbit quluubana a’la dinika' (Tautkan dan satukan hati-hati kami dalam agama-Mu) bisik Rizal di dalam hati, berdoa agar terus ditetapkan perjuangannya di medan ini.

“Termenung apa tu, Rizal? Jom, kita balik,”

"ok,"

Bersambung..
_____________________________________

Nota Kehidupan (1) :
Sebagai seorang penulis, saya ingin bertanyakan pendapat anda agar anda sentiasa berpuas hati dengan semua tulisan saya. Dalam cerpen "Aku Malu Menjadi Khadijah-Mu" apakah yang anda mahukan dalam kesudahan cerpen ini? 'Sad ending' ataupun 'happy ending'?

Nota Kehidupan (2) : Ada patah yang bisa tumbuh semula, ada patah yang tidak akan bercambah. Ada kehilangan yang bisa diganti, ada kehilangan yang tidak mampu diganti.

Nota Kehidupan (3) : Agar kegembiraan hari esok masih lagi menjadi milik saya.

[Usah Jemu Memberi]


9 Responses so far.

  1. best2...:)

  2. hepi ending la fiq..

  3. ustaz, kasilah yg hepi2 kat hujungnye, tak sanggup tgok ustazah nurul sedih..

  4. hapi endind la..

  5. sad ending pn xpe, sbb bkn crite btul pun, huhu

  6. wlu pun bkn cite btul, tp klu hayati rse sdih gakk.. msti happy ending,

    klu bleh nk tgok die khwin dgn ust rizal.

    SITI

  7. terima kasih atas semua cadangan anda. Skrip yang sebenar sudah ada di tangan saya. Mungkin akan diubah mengikut citarasa pembaca atau akan dikekalkan demi memelihara kondisi jalan cerita.

    Apapun, ia akan dibukukan apabila saya menemui penerbit yang bersesuaian. di situ jalan ceritanya akan dipanjangkan & lebih banyak konflik.

    teruskan membaca cerpen ini hingga ke episod terakhir.

  8. terbaeklah Fiq!!!!

  9. terbaiklah! sad ending :) hepi endh dah blh diagak...