Prolog x

Dalam tadahan dua tanganku,

Dalam sujud akhirku,

Dalam qiyam dan tahajjudku,

Dalam linangan serta tangisan air mataku,

Jarang sekali namanya tidak ku sebut. Selepas kesejahteraan buat ayah dan bonda, namanya akan meniti kemudiannya. Semua pintaku kepada Tuhan untuknya adalah yang baik-baik belaka, agar dia juga sejahtera seperti mana ayah dan bondaku.

Sehingga kadangkala, aku tidak pasti namanya telahku ucap berulang-ulang dalam setiap doaku. Bagiku, selagi mempunyai ruang untuk aku mendoakan kebaikan untuknya, tidak akan aku biarkan masa itu terbuang. Kerana kesejahteraan buatnya adalah keperluan bagiku.

Sayang aku kepadanya adalah atas nama ALLAH. Jika ditakdirkan perpisahan, atas nama-Nya jualah aku melaluinya.

Tidak seperti teman-teman yang lain, bila aku bertanyakan kepadanya tentang namaku dalam doanya, dia juga mendoakan kesejahteraan untukku. Aku tidak tahu sejauh mana, tetapi bahagia yang aku rasai hari ini mungkin jua hasil doanya yang tidak putus-putus. Sampai ke hari ini, namanya adalah kewajipan dalam bait-bait doaku.

Aku tidak pernah merasa rugi andai doaku untuknya tidak berbalas dengan doa yang sama daripadanya, asalkan dia berbahagia sudah memadai bagiku membuatkan hati ini gembira. Memberi bukan bermakna untuk menerima semula, aku mungkin akan kecewa jika pemberianku ini bermaksud untuk menerima sesuatu kembali.

Percayalah, aku sungguh ikhlas untuknya.

Doaku kerana kasih akannya,

Doaku hanya kerana cinta akannya

Prolog xi

Mempunyai satu sahabat sejati lebih berharga dari seribu teman yang mementingkan diri sendiri. Apa yang aku alami deminya kadang-kadang melelahkan diri, tetapi itulah yang membuat persahabatan kami mempunyai nilai yang indah.

Alah, sedikit lelah apa salahnya, kerana dia sudah banyak berpenat-lelah untukku.

‘Tuhan, dalam persahabatan kami, kerinduan itu sangat indah, kadangkala ia juga meresahkan. Jika ia melukakan dalam masa yang sama ia membahagia kami. Mengenalinya adakala memahitkan, namun ia juga adalah saat terindah sepanjang pertemuan’

Sampai hari ini, aku juga masih tertanya-tanya, mengapa dia yang menjadi pilihanku dalam persahabatan sedangkan lebih ramai insan di luar sana yang hebat. Aku langsung tidak memandang kehebatan sesiapa, bagiku persahabatan adalah medan menerima kelemahan sesiapa sahaja yang sudi bersahabat.

Ya, aku menerima kekurangannya sebagai satu anugerah yang paling berharga buatku.

‘Tuhan, memilihnya bukanlah kerana keistimewaanya, tetapi aku melihat dirinya mampu memberikan keistimewaannya kepadaku. Dia seorang yang memahami, kerana dirinya adalah sebahagian daripada hidup & matiku’

Raut wajahnya memberi tenang setiap kali dipandang,

Tuturnya adalah semangat dikala tiada siapa berada di sisiku,

Nasihatnya panduan menjalani masa mendatang,

Dia memimpinku ke jalan yang tiada orang yang bisa memanduku. Menyuluh hidupku daripada kesamaran dan gelap kepada cahaya yang sangat indah. Sungguhpun dia insan biasa, tetapi dia adalah luar biasa pada mereka yang mengenali hati budinya.

Apabila aku memikirkan soal perjalanan hidupku, seringkali aku terasa dialah yang paling layak untuk mendampingiku sepanjang itu. Barangkali perjuangan menempuh kehidupan akan terhenti tanpa dia di sisiku.

‘Tuhan, bahawasanya aku tidak pasti samada esok & lusa aku masih diberi peluang bernafas demi meneruskan kehidupan yang berbaki. Kerana itu, aku memerlukan seseorang untuk menemaniku di ruang ini agar bila jatuhnya nanti, ada tangan yang bisa menyambutku’

‘Tuhan, dia akan mendorong diri aku daripada terus berputus-asa dan rasa kecewa’

Oh, ketika ini aku cuba membelek-belek semula diariku, kalau-kalau ada tertulis kenangan kami ketika bersama dahulu. Biar aku menulis semua kebaikkannya di sini. Meskipun dia tidak pernah tahu aku memujinya, tetapi Tuhan Maha Tahu apa isi hatiku terhadapnya.

Aku seronok dan berulang kali mengungkapkan: “Dia sahabatku yang baik”

Aku bukanlah sahabatnya yang terbaik, tetapi jika aku punyai kebaikkan aku suka berkongsi dengannya, aku mahukan kebaikkan yang ada padaku ada padanya. Kerana ia adalah peninggalanku untuknya yang mampu ku berikan.

Aku tidak tahu saat ajal dan jodohku, tetapi jika sudah sampai masanya aku pasti redha.

‘Tuhan, andainya aku dijemput oleh-Mu mendahuluinya, sampaikan rasa hati ini kepadanya bahawa di hati ini tidak pernah ada yang lain melainkan dia. Aku mahu dia tersenyum saat melihat wajahku kali terakhir. Aku redha jika dia menemui sahabat yang lebih baik daripadaku selepas ketidaanku asalkan dia tidak melupai aku sampai bila-bila’

‘Tuhan, sejenak ini aku hanya mengharapkan dia beroleh kekuatan dalam mendepani kehidupannya. Dia perlu bahagia, kerana banyak sudah kebahagiaannya telah dikorbankan untukku. Jangan Engkau ambil kebahagiaannya ketika dia memerlukan’

Aku sudah berjanji, akan menunaikan cita-citaku untuknya. Aku mahu dia pasti dan yakin jika dia terus bersamaku dalam persahabatan ini dia tidak akan kecewa. Aku juga tidak mahu kehilangan sahabat baik sepertinya. Aku yakin, selain Tuhan tiada siapa yang boleh ‘mengambilnya’ daripada hidupku.

Oh, sedikit masa lagi dia akan meninggalkanku dari tanah ini, semakin hari semakin terasa suasana pilu itu. Aku pun tidak pasti dia juga merasakan perasaan yang sama sepertiku ataupun tidak. Namun, sunnatullah tidak akan menunggu sesiapa, ia akan terus melaksanakan rutinnya. Kalau perpisahan yang tertulis, perpisahanlah yang akan terjadi.

Musim bunga yang lalu tidak sama dengan musim bunga untuk yang kali ini, dinginnya sangat damai dirasakan. Seolah mengetahui akan persahabatan kami yang bakal diuji. Musim bunga yang lalu, aku bisa bersamanya tetapi mungkin tidak untuk kali ini.

Aku tetap di sini dengan perjalananku, namun dia akan terus dengan cita-citanya. Sampai masa mungkin kita akan bertemu lagi.

‘Tuhan, biarlah pertemuan kali kedua nanti pertemuan yang tiada perpisahan’
_____________________________________

“Fiq..oh Fiq”

“Syafiq..” Adam memangil Syafiq. Syafiq tidak menyahut.

“Laa, tidur rupanya,”

Dia menatap seketika wajah sahabatnya itu. Sahabat yang dikenalinya 3 tahun lalu sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading.

Adam tersenyum sendiri. Terkenang saat mula-mula pertemuan.

Malam ini, ceritanya sampai di sini sahaja. Syafiq pun sudah tidur. Esok dan lusa dia akan menyambung lagi tulisannya.

‘YA ALLAH, rahmatilah dia’

Bisik hati kecil Adam.

Bersambung..
___________________________________

Nota Kehidupan (1) : Atas permintaan sahabat baik saya, cerpen ini saya publishkan untuk semua pengunjung yang menunggu-nunggu sambunganya. Ada juga yang bertanya bila cerpen TDMB ini akan tamat? Jawab saya: "Bila semua pokok sudah tidak berbunga lagi"

Nota Kehidupan (2) : Ada pengunjung Blog KEHIDUPAN yang membaca artikel saya bermula dari bawah ke atas. Apalah yang ada pada Nota Kehidupan tu? sekadar suka-suka.

Nota Kehidupan (3) : Amat beruntung rakan-rakan saya yang mengenali alam rumah tangga diusia muda, sungguhpun tanggungjawabnya berat, namun lelahnya tidak terasa apabila berkongsi rasa dengan orang yang dicintai. Apatah lagi jika dia sentiasa di sisi. Selamat Pengantin Baru buat sahabat saya!

[Usah Jemu Memberi]

3 Responses so far.

  1. waduh teruji benar rasanya meneliti monolog ni...semoga endingnya juga teruji jugak..hehe..tp monolog yang ckup berisi...teruskan usaha menulis ye akh!

  2. seakan fham prasaan pnulis, sdihnya bila berpisah. sgt terkesan crpen ni fiq..

  3. dh lme xbce cerpen nie, smbungan yg mnarik. tp sedih lak.

    ble nk habis? Adam tu siapa? watak sbenar ke?