‘Aku terima nikahnya Siti binti Abdullah dengan mas kahwin sebanyak RM100, tunai’ atau maksudnya yang lebih mudah difahami mungkin begini: (Aku menerima Siti binti Abdullah dengan seluruh jiwa dan ragaku kerana teramat cinta akannya).

Baiklah, itu baru nisbah lafaz cinta untuk manusia. Masih ingat lagi dengan dua lafaz kalimah ini?

‘Aku bersaksi bahawa tiada TUHAN yang layak (selayaknya) disembah melainkan ALLAH, dan Nabi Muhammad saw adalah pesuruhnya’

Atau maknanya bisa diterjemahkan begini: ‘Aku bersaksi bahawa aku cintakan ALLAH dan aku jua cintakan Rasulullah’

Kalau sudah lupa, boleh diingat-ingatkan kembali supaya lafaznya sentiasa segar meniti di bibir. Namun, kalau sekadar lafaz sahaja, ia belum lagi mencukupi kerana jauh dari sebuah lafaz itu terkandung di dalamnya sebuah makna yang menjadi bukti kesetiaan kita kepada ALLAH, iaitu melalui praktikal dalam kehidupan.

Lafaz bukan sekadar lafaz, tetapi amalannya yang menjadi lambang kecintaan!

Kalau dulu boleh melafazkan cinta, mengapa tidak sekarang anda membuktikan lafaz itu dengan perbuatan. Kata bijak pandai: LOVE IS VERB. Ya, cinta itu adalah perbuatan dan gerak-laku. Kalau mahukan cinta kita dibuktikan, maka kita harus bekerja untuk cinta.

Kalau kita mahu memberitahu kepada ALLAH bahawa kita amat mencinta-Nya, lalu kita harus dibuktikan segala amalan dalam harian hidup kita adalah menjurus kepada kecintaan kepada-Nya. Apa sahaja amalan (perbuatan/verb) yang boleh melahirkan rasa cinta hamba kepada Rabb-nya atau amalan yang menjadikan Rabb-nya sayang kepada hambanya, itulah yang harus kita usahakan.

Walaupun hakikat kecintaannya tidak sama antara cara bercinta dengan manusia dan bercinta dengan ALLAH, tetapi apa salahnya jika praktikalnya dibawa kepada cara bercinta dengan ALLAH.

Prinsipnya mudah, kalau mahu dicintai oleh seseorang, maka kita harus melakukan apa yang disukai oleh orang yang dicintai. Kalau si dia sukakan Bunga Ros, mengapa tidak dihadiahkan bunga yang paling harum dan cantik kepada si dia yang dicintai, mudah-mudahan dengan pemberian tersebut akan melahirkan rasa saling mencintai antara dua pihak.

Ya, cinta antara manusia dengan manusia, juga cinta antara ALLAH dengan manusia.

Hidup ini berbekalkan cinta. Selagi ada cinta, manusia akan terus hidup. Kerana cinta akan nyawa, dengan berbekalkan cinta, seorang manusia akan berusaha mencari makanan untuk meneruskan hidup, dan begitulah seterusnya.

Adakah anda merasakan sebuah cinta itu sudah memadai dengan hanya dibuktikan dengan lafaz semata-mata? Setiap hari berkata cinta kepada kekasih, tetapi tidak pernah mencari jalan ke arah itu. Setiap saat melafazkan sayang kepada isteri, tetapi tanggungjawab selalu diabaikan.

Setiap hari berkata, akulah hamba-Mu, tetapi solat jarang sekali, maksiat dilakukan setiap hari.

Kalaulah begitu, dimanakah nilai & makna kalimah syahadah yang pernah kita lafazkan suatu ketika dahulu?

Hanya tinggal ‘kenangan’ atau sengaja mahu menyedapkan hati TUHAN?

Jangan bercakap tapi tak serupa bikin. Buktinya sudah banyak, ramai orang yang gagal dalam percintaan bukan kerana tidak handsome atau tidak jelita, tetapi kerana tidak setia dan berbohong dengan cinta. Lafaz mulut mereka tidak seiring dengan perbuatan.

Cantik ataupun tidak cantik wajah seseorang bukanlah pandangan atau nilaian di sisi ALLAH, tetapi sejauh mana kesetiaan seorang hamba dalam membina alam percintaannya dengan TUHAN.

Yang cantik belum tentu dicintai manakala yang buruk belum tentu dibenci. Tetapi yang tidak setia walaupun cantik, pasti akan dibenci.

Orang yang setia adalah orang yang benar-benar cinta. Orang yang khianat dalam percintaan adalah orang yang tidak jujur. Bahayanya manusia seperti ini adalah kerana mereka bukan sahaja akan memusnahkan kebahagiaan orang yang dicintai tetapi akan merosakkan juga kesucian cinta.

Jangan menjadi munafiq dalam sebuah percintaan!

PETUA BERCINTA

Ada dua petua untuk membuktikan cinta kita kepada TUHAN, iaitu melakukan sesuatu perkara kerana mahu dicintai oleh-Nya dan meninggalkan kemarahan (larangan) ALLAH kerana tidak mahu dimurkai oleh-Nya.

Pendek kata, ada yang kena buat, ada juga yang perlu ditinggalkan. Semuanya kerana cinta! Buat kerana cinta, tinggal juga kerana cinta.

Unik sungguh rasanya apabila bercinta dengan TUHAN yang bernama ALLAH taala.

Tahukah anda, ALLAH tidak akan rugi satu sen pun jika seluruh manusia tidak beriman kepada-Nya, bahkan tidak pernah mengurangkan kebesaran yang ada pada-Nya. Yang akan merasai kerugian adalah manusia kerana dengan kejahilan mereka, mereka juga yang akan ditempatkan ke dalam api neraka.

ALLAH juga tidak memperolehi keuntungan apa-apa jika seluruh manusia bersepakat untuk mencintai ALLAH, bahkan manusia yang beriman itu akan mendapat balasan yang setimpal iaitu syurga.

Jikalau manusia mahukan syurga, pilihlah cinta kepada ALLAH, namun jika tidak mahukan syurga, abaikan saja. Tidak ada yang ketiga melainkan neraka sahaja.

"CHEMISTRY" DENGAN ALLAH

Oleh kerana bercinta dengan ALLAH ini sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, jadi yang akan menjadi penghubung antara manusia dengan TUHAN adalah suatu yang dipanggil ikatan. Ikatan yang kuat akan menjadikan manusia sentiasa berwaspada agar terpimpin ketika sedang melalui alam percintaan dengan ALLAH. Kalau bercinta dengan manusia pun ada chemistry, kenapa tidak ia juga wujud ketika bercinta dengan Tuhan?

Chemistry (keserasian) itu disebut sebagai ihsan.

Dalam konsep ihsan, Rasul saw telah menyebutkan: ‘Kamu beribadah seolah-olah kamu melihat ALLAH, jika tidak mampu, maka yakinlah DIA yang sedang melihat kamu’

Sebab apa Nabi saw memaksudkan begitu di dalam ihsan? Kerana manusia ini sifatnya mesti dikawal dan harus diperhatikan sentiasa. Itu adalah fitrah manusia, apabila terasa diperhatikan oleh sesuatu mereka akan melaksanakan amalan dengan berhati-hati.

Semakin dalam rasa cinta kepada ALLAH, semakin kuat ikatan chemistry tersebut dengan-Nya, dan semakin bersungguh-sungguhlah kita melaksanakan suruhan serta meninggalkan larangan-Nya. Dan begitu jualah sebaliknya. Ketika manusia telah kehilangan chemistry tersebut, mereka akan semakin jauh dengan TUHAN lalu kemaksiatanlah yang menjadi kecintaan mereka.

Dahulu kita pernah melafazkan cinta, tetapi sehingga kini cinta itu masih belum terbukti dengan amalan. Dahulu kita pernah berjanji untuk cinta, tetapi cinta itu masih tersimpan dan belum lagi dizahirkan.

Mungkin lafaz itu terlalu murah dan mudah sekali diucapkan sehingga kita telah lalai seketika daripada mengingatinya semula.

Lalu ketika itu, di manakah ALLAH kamu? Adakah masih di hati atau telah mati?

__________________________________________

Nota Kehidupan (1): Pesan Nabi saw: ‘Jadilah seperti lebah, ia makan dari sumber yang baik-baik, lalu mengeluarkan sesuatu (madu) yang baik-baik dan tidak mematahkan tempat yang dihinggapinya.

Nota Kehidupan (2): Merasai sebuah ‘kehilangan’ sebelum kehilangan adalah suatu yang memeritkan. Sebahagian daripada rutin kehidupan saya telah hilang. Selepas cuba menerima hakikat akhirnya air mata ini mengalir lagi.

[Usah Jemu Memberi]

1 Response so far.

  1. alhamdulillah syukran atas perkongsian