Hampir jam 12 malam, Hilmi masih belum pulang ke rumah. Aisyah masih setia menunggu kepulangan suaminya. Tangannya memegang telefon bimbit sambil dilekapkan ke dada. Bimbang sehingga kini Hilmi tidak menghubunginya. Hilmi hanya memberitahu yang dia akan pulang lewat ke rumah melaui mesejnya 2 jam yang lalu.

Lauk yang dimasak hampir sejuk. Aisyah sugul menunggu Hilmi, namun dia terus sabar menanti lelaki. itu Dia sudah berjanji untuk makan malam bersama-sama walaupun Hilmi sudah berpesan bahawa dia akan pulang lewat pada malam itu. Aisyah tidak punyai selera jika menjamah lauk-pauk itu seorang diri. Dia gembira jika Hilmi dapat makan bersama-samanya. Hatinya senang melihat Hilmi menyuapkan makanan hasil masakannya.

Aisyah mendengus kecil sambil hati kecilnya berbisik: ‘Abang Hilmi, ke mana Abang? Aisyah bimbang’

Berulang-ulang lafaz itu diungkapkan, agar hilang sedikit rasa kebimbangan dan keresahan. Aisyah bangkit dari sofa menuju ke meja makan. Membuka tudung saji dan mengangkat kembali lauk-pauk yang telah dihidang untuk dipanaskan semula.

Sambil memanaskan lauk, dia cuba memujuk hatinya agar tidak lekas marah. Dia amat sayangkan Hilmi lantas dia harus memahami siapa suaminya. Hilmi bukan sahaja seorang penaung sebuah syarikat, tetapi dalam masa yang dia juga menghabiskan masa lapangnya untuk memberi kuliah di surau-surau atau masjid.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi, Aisyah membuka mesej yang sampai:

SALAM AISYAH, ABANG DALAM PERJALAN BALIK, KALAU AISYAH LAPAR MAKANLAH DULU, JANGAN TUNGGU ABANG. MAAF KALAU BUAT AISYAH MENUNGGU.

Hilang sedikit kerisauan Aisyah apabila mendapat mesej daripada Hilmi. Dia pantas membalas mesej suaminya:

AISYAH TUNGGU ABANG BALIK, AISYAH NAK MAKAN SAMA-SAMA DENGAN ABANG :-)

Aisyah cepat-cepat menyudahkan kerjanya, bimbang kalau-kalau Hilmi sudah hampir sampai ke rumah. Udang Masak Lemak Cili Api semerbak baunya, itulah lauk kegemaran Hilmi bersama-sama Sayur kalian masak ikan masin. Hilmi sangat gemarkan masakan pedas seperti itu. Pernah suatu ketika, Hilmi menambah hampir 5 kali apabila dihidangkan dengan lauk tersebut.

Sebagai seorang isteri, dia berasa terharu kerana air tangannya menjadi kegemaran seorang suami yang dicintai. Mengingatkan kisah di meja makan, Aisyah tersenyum sendirian dengan gelagat Hilmi.

Usai memanaskan lauk, Aisyah kembali ke ruang tamu, sementara menunggu Hilmi sampai, dia berehat di sofa. Mencapai senaskhah majalah, di selak helaian demi helaian, namun tiada yang menarik minatnya untuk membaca.

15 minit berlalu, tanpa sedar Aisyah terlelap di sofa kecil itu. Keletihan menunggu Hilmi tiba.
………………………………………..

Hilmi tiba di perkarangan rumah, pantas dia keluar dari keretanya menuju ke pintu pagar, sambil-sambil matanya meninjau ke dalam rumah, gelap. Fikirnya, pasti Aisyah sudah tidur.

Selepas memakirkan kereta, dia berjalan masuk dan memberi salam, namun tiada siapa yang menjawab. Hilmi memetik suis lampu, apabila terlihat Aisyah sedang keseorangan tidur di sofa kecil itu, dia tersenyum. Memandang isterinya dengan wajah yang sayu. Lantas dia merapati isterinya.

“Aisyah, kenapa tidur kat sini, sayang? Bangun sayang,” Hilmi menggerakkan tubuh Aisyah perlahan-lahan, bimbang mengganggu tidur isterinya.

“Abang Hilmi? Abang dah balik? Maaf, Aisyah tak sempat nak sambut abang, Aisyah tertidur masa tunggu abang tadi,” Aisyah termangu-mangu seketika, terkejut Hilmi sudah berdiri di hadapannya. Dia segera mencapai briefcase Hilmi.

“Tak apa Aisyah. Abang yang patut minta maaf sebab buat Aisyah menunggu. Aisyah dah makan ke belum?” soal Hilmi.

“Belum lagi, Aisyah dah janji nak makan dengan abang,” jawab Aisyah.

“Laaa, kesiannya dia. Tak lapar ke? Kenapa susah-susah tunggu abang ni. Kan abang dah pesan pada Aisyah, malam ni abang pulang lewat sikit,” Hilmi serba-salah. Dia menatap dalam-dalam wajah isterinya. Pucat sedikit, barangkali lapar dan letih menunggunya pulang.

“Lapar, tapi Aisyah nak makan dengan abang,”

“hmm. Jom kita makan, kesian abang tengok Aisyah lapar. Nanti sakit isteri abang , abang juga yang susah,” Hilmi berjenaka. Aisyah cuma tersenyum, terhibur dengan gelagat Hilmi yang pandai mengambil hatinya.

“Abang tak mahu mandi dan tukar pakaian dulu?”

“Tak apa kita makan dulu, lagipun dah lewat malam. Lama pula Aisyah nak tunggu abang nanti, lagipun abang dah lapar ni,”

“Alaaa, kalau busuk nanti, tak seleralah Aisyah nak makan dengan abang,” Giliran Aisyah pula yang menyakat Hilmi.

“Ishh, isteri abang ni, ada-ada aje tau. Aisyah masak apa untuk abang malam ni?” balas Hilmi.

“Masak lauk favourite abanglah, cuba teka?”

“Wahh, abang dah tahu dah, masak lemak udangkan? Jom, abang dah lapar ni,” Jawab Hilmi, dia sudah tahu apa yang bakal dihidangkan. Sememangnya lauk itu yang ditunggu-tunggu. Mereka beriringan menuju ke meja makan.

………………………………………………………..

“Aisyah tak mahu tidur lagi ke?” soal Hilmi melihat Aisyah sedang melipat kain baju yang baru diangkat dari jemuran.

“Aisyah tak mengantuk lagi, abang. Tadi masa Aisyah tunggu abang balik, Aisyah dah tidur,” Aisyah menyambung semula melipat baju-baju yang masih berbaki.

“Lagipun esokkan hari Sabtu, cuti. Boleh tidur banyak-banyak,” sambungnya lagi.

“Orang perempuan, tak elok selalu tidur, nanti lekas tua, suami tak sayang dah,” Hilmi mengusik isterinya. Aisyah mengerling dari jauh sambil tersenyum kecil

“Aisyah..”

“Ye, abang,”

“Abang ingat nak bawa Aisyah pergi berjalan-jalan esok. Dah lama kita tak keluar bersiar-siar. Aisyah nak ikut?” Hilmi memancing Aisyah. Dia tahu, Aisyah selalu kesunyian apabila dia pergi bekerja. Hanya sesekali jika Hilmi punyai masa senggang, dia akan menghubungi Aisyah dari pejabatnya. Hilmi cukup mengagumi Aisyah, seorang isteri yang terlalu memahami kariernya.

“Nak! Kita nak ke mana, abang?” Aisyah berhenti melipat kain, dia mengalihkan wajahnya ke arah Hilmi.

Surprise! nanti esok abang beritahu Aisyah. Dah habis lipat baju ke tu?”

“Dah, kenapa?”

“Kalau Aisyah belum mengantuk, abang nak ceritakan sesuatu untuk Aisyah. Kisah Siti Zulaikha dengan Nabi Yusuf as. Aisyah mesti suka,” pelawa Hilmi. Dia tahu, Aisyah suka mendengar & membaca kisah-kisah para Ambiya’. Dan Hilmi juga tidak jemu membelikan untuk isterinya buku-buku sirah untuk bacaan Aisyah di rumah. Setidak-tidaknya, itu salah satu cara untuk Hilmi mentarbiyyah isterinya yang baru mengenali Islam.

“Kalau nak dengar marilah,”

Aisyah berjalan menuju ke katil. Membetulkan duduknya di sebelah Hilmi, bahunya disandarkan rapat dengan bahu Hilmi. Sungguh bahagia dirasakan ketika itu, berada dalam dakapan suami tercinta.

Hilmi memulakan cerita. Sesekali Hilmi menyelitkan dengan jenaka kecil agar Aisyah tidak bosan dan mengantuk. Sesekali Aisyah pula yang bertanyakan soalan kepada Hilmi. Hilmi asyik bercerita sehingga tidak sedar jam sudahpun menunjukkan ke angka 1.30 pagi. Hilmi memang begitu tabiatnya, apabila sudah mula bercerita dia lupa sekejap akan keadaan sekeliling.

“…. Dan akhir sekali, Siti Zulaikha yang pernah menfitnah Nabi Yusuf as itu memeluk agama Islam dan berkahwin dengan Nabi Yusuf as,” Hilmi menyudahkan bait-bait terakhir ceritanya. Dia menoleh seketika ke arah Aisyah.

“Hmmm, tidur rupanya. Bertuah sungguh!” desis Hilmi. Perlahan dia bangkit dan merebahkan isterinya ke katil. Di bangkukan kepala Aisyah dengan bantal lalu diselimutkan tubuhnya. Hilmi tersenyum kecil dengan gelagat isterinya itu. Seringkali tertidut setiap kali Hilmi bercerita.

‘Aisyah…Aisyah’ detik hati kecil Hilmi.

Hilmi berjalan menuju ke bilik air, mengambil wudhu. Dia mahu menunaikan solat sunat kemudian barulah masuk ke tempat tidur. Begitulah rutin hariannya.
________________________________

“Abang nak minum apa? Teh susu ke Nescafe?” soal Aisyah, dia menyendukkan sepinggan Bihun goreng kepada Hilmi. Pagi itu Aisyah bangkit awal dari yang biasa. Menyediakan sedikit sarapan untuk santapan mereka dan bekalan untuk bersiar-siar nanti.

“Mestilah Nescafe, kurang manis ye Aisyah” Hilmi menyuapkan Bihun goreng, dia mencapai akhbar KOSMO! membelek-belek helaian akhbar tabloid tersebut.

“Ini airnya, bang,”

“Aisyah tak mahu makan ke?” soal Hilmi apabila melihat Aisyah tidak menjamah Bihun goreng yang sudah disenduk.

“Aisyah tengok abang makan pun dah kenyang. Nak Aisyah temankan abang makan? Kalau tak, Aisyah nak pergi bersiap,”

“Sikit pun tak mahu jamah?”

“Dah, Aisyah dah makan kuih tadi,”

“Hmm, kalau macam tu, Aisyah pergilah bersiap. Kalau kita keluar awal, tak adalah jem sangat jalan raya,” balas Hilmi. Aisyah bangkit dan beredar meninggalkan Hilmi keseorang di meja makan. Hilmi sedari tadi asyik membaca akhbar, sesekali dia menghirup Nescafe yang disediakan oleh isterinya.

Pagi itu cuaca sangat baik, matahari bersinar seperti tiada tanda-tanda hujan akan turun. Hilmi berhajat mahu membawa Aisyah bersiar-siar ke Taman tasik Titiwangsa dan sekitar Kuala Lumpur hari itu. Jika cuaca baik, dia merancang untuk membeli belah di shopping kompleks. Mungkin malam baru mereka akan pulang.

“Abang, cantik tak tudung Aisyah?” tiba-tiba Aisyah muncul di hadapannya. Hilmi terkejut kecil. Terpukau seketika, seolah melihat suatu yang menakjubkan.

“Masha ALLAH, cantik sangat isteri abang. Mana Aisyah dapat tudung labuh ni?” Hilmi masih tidak mengalihkan pandangannya. Terpesona dengan penampilan Aisyah. Aisyah tidak pernah bertudung litup begitu. Sungguh cantik!

“Ustazah Fatimah yang hadiahkan. Ada 3 helai, abang suka kalau Aisyah pakai macam ni?” soal Aisyah ingin kepastian. Dia membetul-betulkan tudungnya.

Hilmi tidak bersuara, tidak percaya bahawa di hadapannya itu adalah isterinya. Masih terkesima.

“Abang.. kenapa pandang Aisyah macam tu, malulah Aisyah,” Aisyah mula tersipu-sipu. Cepat-cepat dia mengalihkan wajahnya dari Hilmi.

“Aisyah lain dari yang lain. Habis tu, macam mana dengan tudung-tudung lama Aisyah?” soal Hilmi ingin kepastian.

“Tudung-tudung lama tu Aisyah nak simpan. Nanti kalau ada orang yang memerlukan, Aisyah nak sedeqah pada mereka,” jawab Aisyah sambil tersenyum. Hati berbunga-bunga apabila Hilmi memuji kecantikkannya.

“Abang dah siap makan?”

“hmm,” Hilman mengangguk.

“Kalau Aisyah dah siap, Jom kita bergerak sekarang. Abang pergi keluarkan kereta dulu,” Hilmi bergegas meninggalkan meja makan.

“Aisyah..”

“Ye, abang,”

“Abang beruntung ada isteri secantik Aisyah, macam bidadari” sempat Hilmi mengusik Aisyah.

“Nakalnya suami Aisyah ni!”

Aisyah mengemaskan barang-barang makanan yang ingin dibawa dan diletakkan di muka pintu. Selepas memastikan semua lampu dipadam, dia membetul-betulkan sedikit tudungnya dan terus keluar dari rumah.

Dia tersenyum sendiri. Hari ini, dia bakal memulakan peribadinya yang baru. Dia berazam mahu terus bertudung labuh sampai bila-bila.

‘Ya ALLAH, istiqomah-kan amalanku di atas landasan agama-Mu sehingga aku mati nanti, amin’

Bisiknya perlahan.

Bersambung...

2 Responses so far.

  1. nape episode first name hilmi..tp yg 2nd ni hilman lak??ke cite len2..juz ask je..confius..^^,

  2. untung aisyah...
    waiting for next episode ^^